30 September, 2009



Bila perkara lama tersingkap kebenarannya, kelu lidah untuk berbahasa.

Bila difikir-fikirkan semula, hidup ini benar-benar seperti rancangan drama di televisyen.

Ada orang baik. Ada orang jahat. Ada orang ikhlas. Ada orang dengki.

Ada bahagia. Ada derita. Ada menang. Ada kalah.

Membuatkan saya geleng kepala dan mengukir senyuman. Senyuman pahit.

Luka lama berdarah semula.

Walau saya akur ianya sudah lama sembuh tapi hari ini saya tidak dapat menahan luka itu dari mengalirkan darahnya untuk kali kedua.

Ya Allah, kuatkan hati saya dalam menerima kenyataan ini.

Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa.

Saya maafkan setiap kesilapan dan keterlanjuran orang itu. Walau pada hakikatnya kesilapan dan keterlanjuran itu adalah sesuatu yang tidak terduga oleh saya.

Ya Allah, indahkan diri ini dengan sikap untuk memaafkan orang lain.

Kerana itulah jua yang sering dipesan oleh suami saya: “maafkan semua kesilapan orang pada kita”.

Ya, saya sedar semua manusia ada kelemahan dan kekurangan. Kita tidak sempurna apatahlagi memegang label insan ma’sum. Kita melakukan kesilapan. Dan kesilapan itu bukanlah sesuatu untuk dikesali sepanjang hayat tetapi untuk diambil hikmah dan iktibar agar kita tidak mengulanginya sekali lagi.

Saya akur inilah takdir.

Inilah ketentuan Allah s.w.t dan saya akui aturan Allah s.w.t itu memang cukup indah.

Siapalah saya untuk mempertikaikan semua itu.

Akhirnya, ada airmata pilu dalam menilai masa lalu….


Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Janganlah kalian saling membenci, saling berdengki, dan jangan pula saling mengkhianati. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim mendiamkan saudaranya (tidak bertegur sapa) lebih dari tiga hari" (Hadith riwayat Muslim dalam kitab sahihnya)

28 September, 2009

Bismillah

Hari pertama saya di UKM saya sudah dihujani dengan pelbagai persoalan tentang permasalahan saya yang kononnya saya berada Filipina dan memerlukan wang S1000 untuk membolehkan saya pulang ke negara saya lantaran segala barangan saya telah dirompak oleh seorang yang tidak bertanggungjawab ketika mengikuti sebuah lawatan sambil belajar di sana. Semua ini adalah gara-gara dari sebuah emel palsu yang disebarkan kepada semua contacts yang terkandung di dalam emel alqamariah@yahoo.com.

Ramai yang prihatin dan bertanya sehingga saya perlu menjelaskan cerita yang sama berulang kali. Terima kasih saya ucapkan kepada teman-teman dan guru-guru yang amat risau tentang keadaan saya sehingga ada yang meluahkan rasa bersalah kerana tidak dapat menghulurkan bantuan ketika saya amat memerlukan. Subhanallah.. terharunya saya.

Namun begitu, perlu untuk saya menyatakan bahawa emel yang diterima beberapa hari sebelum Lebaran itu adalah sebuah emel palsu yang menggunakan nama saya. Saya tidak berada di Filipina. Emel alqamariah@yahoo.com saya telah dicerobohi dan kemudiannya telah ditukar passwordnya sehingga saya sendiri tidak dapat me'log in' ke emel ini.

Dua hari sebelum itu, saya ada menerima sebuah emel dari Yahoo!Alert yang menyatakan bahawa saya perlu mensahkan email saya kerana menurutnya terlalu banyak akaun emel Yahoo! dibuka tetapi tidak aktif. Lalu untuk memastikan emel saya ini merupakan sebuah emel yang aktif saya perlu mensahkannya dengan membalas semula emel tersebut dan memberikan nama penuh, Yahoo! ID, alamat emel, PASSWORD, jantina, tarikh lahir, pekerjaan dan negara. Jika saya tidak membalas emel itu, maka akaun emel saya akan ditutup dalam masa 24 jam.

Lalu tanpa berfikir panjang saya telah memberikan segala maklumat yang diperlukan itu kepada Yahoo! Alert. Melihat kepada emelnya yang menggunakan logo Yahoo! dan templatenya yang memang tidak ubah seperti template Yahoo!, maka saya tidak mencurigai sebarang perkara. Namun setelah emel saya dicerobohi sehari selepas itu baru saya sedar bahawa emel Yahoo! Alert tersebut hanyalah sebuah emel palsu yang bukan dihantar oleh Yahoo! tetapi seorang hacker.

Seperti semudah membilang satu, dua dan tiga, hacker tersebut telah membuang semua alternate email addresses saya dari akaun alqamariah@yahoo.com, mendaftarkan emelnya ke dalam akaun alqamariah lalu menukar password saya. Semua ini membuatkan saya gagal me'log in' emel saya untuk menyelamatkannya dari disalahgunakan oleh hacker tersebut.

Saya terlalu bimbang kerana emel alqamariah@yahoo.com bukanlah sebuah emel biasa yang hanya digunakan oleh saya untuk berbalas dan men'forward' emel. Tetapi penggunaan emel ini lebih dari itu. Emel ini menyimpan pelbagai emel rasmi, confidential, personal dan beberapa kertas kerja yang amat bernilai bagi saya.Dan yang lebih membimbangkan saya ialah jika hacker tersebut menggunakan nama saya untuk melakukan sebarang perkara jenayah. Lalu dengan ditemani oleh suami saya, saya telah membuat laporan polis dan ianya kini berada di bawah siasatan CID ( Criminal Investigation Department ). Saya juga berusaha memaklumkan perkara ini kepada pihak Yahoo! agar mereka membantu saya untuk mendapatkan semula emel ini. Dan Alhamdulillah setelah hampir seminggu menunggu dan berusaha, akhirnya saya mendapatkan semula emel alqamariah@yahoo.com dengan bantuan Yahoo!Singapore.

Alhamdulillah saya tidak kehilangan sebarang emel tetapi saya kehilangan semua contacts dan emel rakan-rakan saya di dalam akaun ini. Saya sendiri tidak mengerti mengapa ianya di delete oleh hacker tersebut. Walaubagaimanapun, tidak mengapa. Yang pentingnya saya berjaya mendapatkan semula emel saya.

Akhir sekali, mengapa saya menceritakan semua ini?

Pertama, saya ingin memberitahu bahawa emel yang bertajuk 'save me from this' bukan dari saya dan ianya adalah emel palsu.

Kedua, saya telah berjaya mendapatkan semula emel ini dan saya masih menggunakannya seperti biasa.

Ketiga, sebagai peringatan untuk kita bersama bahawa jangan percaya kepada sebarang emel yang meminta agar memberikan password emel anda.

Sesungguhnya peristiwa ini banyak mengajar saya agar lebih berhati-hati di kemudian hari.

Sekian

Wassalam

Sakinah Saptu

24 September, 2009

Bismillah

Masih belum terlambat kiranya untuk saya mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua. Semoga kita tergolong di kalangan mereka yang layak menyambut lebaran. Kepada semua yang mengenali diri saya, jutaan maaf dipohon andai ada perkara-perkara yang mengguris perasaan telah dilakukan oleh saya. Saya adalah manusia biasa, tentu sahaja tidak terlepas dari sebarang kesilapan.

Bersama kiriman kali ini saya sertakan sebuah penulisan yang dihasilkan pada lebaran tahun lalu. Saya muatkan penulisan ini semula sebagai peringatan bersama bahawa 'Pertunangan bukanlah tiket untuk menghalalkan sebuah perhubungan'.

Moga bermanfaat.

***************************

BILA YANG ADA APA-APA DIANGGAP TIADA APA-APA



Kunjungan saudara saya semasa awal bulan Syawal kelmarin, membuatkan saya mengerutkan dahi saya dan bertanya-tanya. Tetapi saya hanya menyedapkan hati saya dengan berkata di dalam hati:

“Mmmm…mungkin kau tak tahu. Kan selama ni belajar kat UKM”

Lalu setelah beberapa jam saudara saya itu pulang dari rumah, saya pun mengajukan persoalan ini pada mak saya:

“Mak, *** tu dah kahwin ke?”

“Tunang dia lah”, jawab mak saya dengan pantas.

“Tunang? Abih dah jalan raya sama-sama dengan family?”

“Biarlah… kan tunang dia”

“Tunang pun..mana boleh jalan sama-sama. Tak manis lah” (sebenarnya saya nak kata, “Tak boleh lah”, tapi saya masih lagi beralas-alas dalam berbicara)

“Alaaahhh..kalau kau sume tak boleh!”

Aik…mak saya marah saya pula. Saya menggelengkan kepala lalu malas nak menyambung bicara. Perkara itu telah mengingatkan saya kepada persoalan yang pernah dilontarkan kepada saya beberapa tahun yang lalu (waktu itu juga adalah Hari Raya Aidilfitri):

“Kinah tak jalan raya dengan boyfriend ke?”, tanya kakak ipar saya ketika saya sedang sibuk membasuh pinggan mangkuk di dapur. Saya tersenyum lalu menjawab:

“Tak lah…mana boleh keluar-keluar. Belum jadi suami”

“Oh…”, wajah kaki par saya yang putih itu terus bertukar merah dan ada riak-riak terkejut di wajah itu. Barangkali dia malu sendiri dengan soalan yang diajukannya kepada saya dan terkejutnya dia kerana saya tidak keluar berjalan raya dengan bakal suami saya.

“Abih…selama nie tak pernah keluar jalan sama-sama eh?”, tanyanya lagi kerana masih tidak percaya. Saya ketawa lalu menjawab:

“Tak lah..tak pernah keluar pun”

Pada situasi yang lain (pada tahun yang sama) ketika rumah saya dikunjugni oleh makcik dan pakcik saya dan pada waktu itu mak saya memberitahu salah seorang makcik saya bahawa saya bakal mendirikan rumahtangga, makcik saya itu terus bertanya:

“Abih tak jalan-jalan dengan abang, ke?”, tanyanya selamba kepada saya. Saya hanya tersenyum. Pada kali ini mak saya yang jawabkan:

“Dia mana nak…belum kahwin. Dosa!” Saya terkejut.Wahh..jawapan mak saya betul-betul straight to the point, tidak ada belok-belok. DOSA!

Tetapi apa yang lebih memeranjatkan saya adalah respon dari makcik saya itu:

“Alaa…Na! Belum kahwin nie,nak buat dosa, buatlah banyak-banyak. Nanti dah kahwin barulah tutup buku, taubat banyak-banyak. hahahhahh”, jawabnya dan diikuti dengan tawanya yang berdekah-dekah.

Hah! Terperanjatnya saya dengan ucapannya itu. Tanpa ada rasa segan apatahlagi bersalah, dia mengucapkannya kepada saya yang sememangnya dia ketahui bahawa saya adalah seorang asatizah di Darul Quran Masjid Kampung Siglap yang setiap harinya kerja saya adalah mengajar al-Quran dan menyemak hafazan para pelajar saya. Tidak keluar berjalan dengan bakal suami saya dianggap sebagai satu bahan lucu yang harus ditertawakan!

Astaghfirullah…saya tidak terucap sepatah dua kata pun. Hanya bibir saya sahaja yang mampu mengukir senyuman yang cuba saya manis-maniskan. Tetapi hati saya sebenarnya ada kepahitan. Pahit itu bersarang di jiwa saya adalah kerana muslim sekarang seolah-olah tidak dapat membezakan apakah itu halal dan apakah itu haram. Adakah halal dan haram hanya setakat pada makanan dan minuman yang masuk ke dalam perut?!

Sebenarnya inilah antara fenomena Hari Raya Aidilfitri yang ingin saya kongsikan dengan anda. Bertandang ke sana ke mari berduaan dengan tunang tersayang dan kadangkala berjalan bersama keluarga tapi merpati dua sejoli ini berkepit sahaja. Satu fenomena biasa tetapi sebenarnya adalah luar biasa yang ada apa-apanya. Dan apabila yang ada apa-apa itu dianggap sebagai tiada apa-apa, jiwa saya tercalar-balar jadinya. Bukankah dosa dan pahala itu adalah perkara yang banyak apa-apanya tetapi ramai di antara kita yang melihatnya sebagai tiada apa-apa. Kosong….melakukannya (iaitu perkara haram dan dosa) dengan tiada rasa bersalah malah tiada rasa malu dan berdosa! Kurang-kurang pun orang akan kata: “Kubur masing-masing..tak yah sibuklah nak jaga dosa pahala orang lain!”

Oh..begitu ke? Kubur masing-masing ya? Tapi musibah dan ujian Allah s.w.t timpakan kepada hambaNya di muka bumi ini bukan untuk orang yang berbuat dosa sahaja. Allah s.w.t telah menjelaskan di dalam firmannya yang bermaksud:

Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. dan Ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya. (al-Quran, al-Anfal:25)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa seksa Allah tidak sahaja dikhususkan untuk orang yang berbuat zalim. Lalu apakah tugas kita sebagai orang yang tidak mahu dikategorikan sebagai mereka yang berbuat zalim (melakukan dosa), jawapannya ialah ajaklah insan lain melakukan kebaikan dan cegahlah orang lain untuk melakukan kemungkaran (amar ma’ruf dan nahy munkar).



Justeru atas dasar amr ma’ruf dan nahy mungkar itu, perlu untuk saya nyatakan bahawa ikatan pertunangan bukanlah tiket untuk dua insan lelaki dan perempuan (bukan mahram) berjalan berdua-duaan, bergambar bersama dan melakukan perkara-perkara lain secara bersama. Hanya ikatan pernikahan sahaja yang menghalalkan perkara itu. Tidak ada yang lain. Jika perlu melakukan tugas secara bersama pun ianya bersyarat dengan ditemani mahram yang thiqah tanpa ada sebarang persentuhan.

Di dalam perkara ini suka untuk saya memetik beberapa perkara yang dibataskan semasa pertunangan yang telah dinyatakan oleh ustaz Zaharudin di laman webnya. Menurutnya, pasangan yang telah bertunang hendaklah:

1) Tidak bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Beliau menyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu’ dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.

2) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat), bagaimanapun, beliau tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi pada pandangan beliau, secara ‘verbal’ lebih mudah.

3) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu ( semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-
a. Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
b. Haram ber”dating” tanpa disertai mahram yang thiqah.
c. Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat (sms, phone, chat, mesengger )
d. Awas fitnah masyarakat sekeliling.
e. Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
f. Haram melihat kepada aurat masing-masing.
g. Awas daripada bertukar gambar.

Tetapi kini, semua perkara yang dinyatakan di atas sudah berleluasa. Tidak melakukannya adalah sesuatu kejanggalan yang kadangkalanya menjadi bahan gurauan dan tawaan orang lain. Pernah di dalam satu kelas madrasah mingguan (pelajar di dalam kelas tersebut adalah pelajar belasan tahun dan ada juga yang umurnya sudah menjangkau ke angka 20an tahun) saya menyatakan kepada para pelajar bahawa saya dan suami saya tidak pernah keluar berdua sebelum bernikah dan hendak tahu apa yang dikatakan oleh seorang pelajar lelaki yang duduk di barisan hadapan kepada saya?. Katanya:

“Alamak ustazah..kalau nak bohong pun janganlah bohong dengan kita orang. Ustazah ingat kita nie budak-budak ke?”

Mmmmm….saya menggelengkan kepala. Inilah akibatnya bila perkara yang ada apa-apa dianggap sebagai tiada apa-apa. MALAH PELAJAR MERASAKAN BAHAWA SAYA TIDAK JUJUR KETIKA MENYAMPAIKAN PELAJARAN KEPADA MEREKA. Berat sungguh!.

Saya mengerti, hendak berpegang teguh dengan hukum yang Allah s.wt tetapkan tidaklah mudah. Kata orang, kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Tapi saya tidak mahu menjadi orang yang takut dilambung ombak. Biarlah ombak besar mana pun yang melanda, saya akan harungi juga. Atas sebab itu, sejak dahulu lagi saya sudah bersiap sedia ketika membina rumah di tepi pantai. Dan saya yakin rumah itu akan utuh jika saya sendiri yang tidak merobohkan rumah itu. Segalanya bermula dari kita, iaitu anda dan saya. Jika saya berani untuk memulakannya (mempertahankan apa yang orang lain perlekehkan) lalu anda pula bagaimana?

18 September, 2009

Bismillah

Di sini saya ingin membuat satu pengumuman penting.

Saya tidak lagi menggunakan email alqamariah@yahoo.com

Emel tersebut telah dicerobohi dan sebuah emel menggunakan nama saya telah disebarluaskan untuk mendapatkan wang melalui emel tersebut.

Saya sendiri tidak dapat me'log in' ke emel itu lantaran password saya telah diubah ke password yang lain dan sebarang akses yang berkaitan dengan Yahoo seperti Yahoo Messengger, Myblog log, dan kesemua yahoogroups yang saya buka termasuklah maktabahalhadith, ukhwahiptqm dan alsagoffiyyat_44, tidak lagi dapat saya masuki.

Justeru itu, jika sekiranya anda mendapat sebarang emel dari alqamariah@yahoo.com, harap diabaikan kerana yang menghantar emel tersebut bukanlah saya.

Walau apapun, saya masih boleh dihubungi melalui emel dan Yahoo Messengger di sakinah.saptu@yahoo.com

Sekian.

Harap Maklum.

13 September, 2009

Bismillah

Kesibukan saya menyelesaikan tugasan demi tugasan telah membuatkan blog ini agak sepi dari dikemaskini dengan penulisan yang terbaru. Kini, saya masih lagi belum berpeluang untuk duduk dan menuliskan sesuatu di sini. Apapun, di akhir-akhir Ramadhan ini sebelum Syawal membuka tirainya, saya kira elok jika saya dapat berkongsi sebuah program diskusi yang dirakam pada hari Khamis yang lalu agar ia dapat memberikan manfaat bersama.

Program Hello Malaysia yang disiarkan di Bernama TV telah membincangkan berkenaan 'Mujahadah di Akhir Ramadhan'. Program ini telah dihoskan oleh Ustaz Wan Shohor Bani Leman bersama dua orang ahli panel iaitu Ustaz Shapizan Johari (UIA,PJ) dan Ustaz Fadlan Mohd Othman (UKM,Bangi).



Untuk melihat rakaman program Hello Malaysia bertajuk 'Mujahadah di Akhir Ramadhan', sila muat turun di sini.

Sekian

Wassalam