11 August, 2009

Bismillah

Sudah lama saya tidak menjampi air.

Tiba-tiba semalam saya dikejutkan dengan sebuah sms dari seorang adik yang sudah terlalu lama tiada khabarnya dan beliau meminta saya agar membuat ‘air tawar’.

Itu bukan sms biasa. Tetapi sms penuh harapan agar saya membantu. Bukan untuk membantu dirinya tetapi membantu orang lain yang dia rasakan perlu diselamatkan.

Sebenarnya menjampi air untuk diri saya sendiri adalah satu perkara biasa yang saya lakukan. Tetapi menjampi air untuk orang lain seingat saya kali terakhirnya adalah tahun lepas iaitu semasa saya di tahun akhir pengajian peringkat pra siswazah. Semasa tiga tahun belajar di peringkat degree itu, acapkali juga sms tiba di telefon bimbit saya meminta dijampikan air dan kadangkala tidak diminta tetapi saya sendiri yang berusaha untuk melakukan untuk adik-adik sepengajian yang sakit.

AIR JAMPI

Tentang menjampi air ini, bukanlah susah sangat. Saya tidak ada pantang larang. Apatahlagi pengeras itu dan ini. Paling asas dan ringkas untuk dibacakan pada air itu hanyalah

1) Surah al-Fatihah
2) Surah al-Ikhlas
3) Surah al-Falaq
4) Surah al-Nas

Lalu ditutupi dengan ayat 42 ayat dari surah al-Sod:



Maksudnya: inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum (al-Quran, al-Sod 38: 42)

Jika sekiranya dirasakan perlu untuk menambah selain dari pada 4 surah yang dinyatakan di atas, maka sebelum menutupinya dengan ayat 42 dari surah al-Sod, kita boleh membaca ayat-ayat yang dinamakan sebagai ayat-ayat syifa’ (penyembuh):

1) Surah At-Taubah: 14 – 15

2) Surah Yunus: 57

3) Surah An-Nahl: 67 – 69

4) Surah Al-Isra': 82

5) Surah Asy-Syu'ara: 75 – 80

6) Surah Fussilat: 44

Setelah dibacakan ayat-ayat al-Quran tadi, air itu boleh dibuat minum dan mandi. Boleh dilakukan banyak kali dengan kaedah yang sama sehingga sembuh. Dan sebagai bahan bacaan untuk mengetahui tentang perkara ini, saya menyarankan sebuah buku kecil yang mudah dan ringkas bertajuk ‘Ruqyah Mengobati Guna-guna dan Sihir Menurut al-Quran dan al-Sunnah yang Sahih’ oleh Yazid Abd Qadir Jawas.



SAYA BUKAN BOMOH!

Cuma satu perkara yang ingin saya tegaskan di sini ialah Saya bukan bomoh!

Tetapi saya hanyalah hamba Allah s.w.t yang yakin bahawa al-Quran itu adalah syifa’(penyembuh) bagi manusia kerana Allah s.w.t telah berfirman:



Maksudnya: Dan kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian (al-Quran, al-Isra’ 15:82)

Sesungguhnya Allah itulah maha penyembuh.



Maksudnya: “Singkirkanlah semua penyakit, Rabb ummat manusia, Sembuhkanlah, Engkau maha penyembuh, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari Mu, yang tidak meninggalkan sedikit pun penyakit” (H.R al-Bukhari dalam Kitab Sahihnya)

Sekian, moga diberi kesempatan bertemu di lain penulisan.

Wallahu'alam.

0 Comments:

Post a Comment