26 August, 2009

Bismillah

Alhamdulillah, Kertas kerja SIHIR DALAM AL-QURAN telah berjaya saya bentangkan pada Isnin yang lalu. Seperti komen oleh 'KOME' di ruangan salam Ukhwah - Pembentangan yang semangat!

Ya, saya tidak menafikan saya agak berpuas hati dengan penghasilan kertas kerja itu. Ditambah lagi dengan komen yang membina dari Prof Madya Dr Muhd Najib Abd Kadir. Begitu juga dengan respon yang agak memberangsangkan dari rakan-rakan sekuliah.

Namun sebenarnya Allah s.w.t lebih mengetahui perasaan saya pada saat pembentangan itu. Jiwa dan perasaan saya sedang berkecamuk dengan berita yang disampaikan dari Singapura. "Abah (bapa mertua) sedang nazak".

Lemah semangat saya pada pagi itu, sedangkan sebentar sahaja lagi saya akan membentangkan sebuah kertas kerja. Saya cuba mengawal perasaan terganggu itu dan saya membentang tanpa fokus yang tinggi. (lalu begitulah hasilnya, walau agak baik tetapi saya yakin ada kelam-kabutnya)

Apa yang saya fikirkan pada waktu itu ialah, saya ingin pulang segera agar dapat berbual dengannya untuk kali yang terakhir dan lebih utama adalah untuk memohon maaf jika saya ada melakukan kesilapan di sepanjang bergelar menantu dan mengucapkan terima kasih di atas segala kebaikkan yang dicurahkannya kepada saya dan sokongannya yang tak terhingga untuk perjuangan saya dalam menuntut dan mengajarkan ilmu. Saya ingin dia tahu, betapa saya amat menghargainya dalam hidup saya.

Lalu pada petang itu, setelah menghadiri Jalsah Ilmiyyah saya bergegas ke Perhentian Bas Kajang. Saya merasa sedikit resah apabila tiket untuk ke Johor Baharu sudah kehabisan. Akhirnya saya dicadangkan agar menunggu bas ekspress yang akan tiba pada jam 5 petang dari Pudu untuk melihat kalau-kalau ada tempat kosong. Bas tiba setengah jam lewat. Penantian saya berakhir dengan berita yang melegakan bahawa terdapat beberapa tempat kosong di bas tersebut, Alhamdulilah.

Setibanya saya di Singapura saya meminta agar suami saya membawa saya terus ke Hospital untuk berjumpa Abah. Tetapi suami saya mengatakan bahawa pelawat tidak dibenarkan masuk pada waktu malam lalu dia menyuruh saya agar datang ke Hospital pada keesokan paginya. Setelah menghantar saya pulang ke rumah mertua saya lalu suami saya bergegas ke Hospital untuk menjaga abahnya di sana.

Sepanjang malam itu saya tidak lena tidur. Saya terus-terusan berdoa agar diberikan peluang untuk bertemu dengan abah untuk terakhir kalinya. Tiba-tiba pada jam 4.30 pagi, telefon rumah berdering. Pembantu rumah mengetuk pintu bilik saya dan memanggil saya. Saya membuka pintu. "Kak, Pak Yazid telefon". Saya sebenarnya sudah dapat mengagak apa yang ingin disampaikan kepada saya. Saya menjawab telefon dan suami saya menyampaikan berita itu: "Inah, abah dah tak de, tau"

"Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un", itulah ucapan yang terlafaz oleh saya.

Sungguh, jauh di sudut hati saya ada rasa terkilan yang teramat sangat. Saya hanya dapat melihat jenazah manusia baik dan mulia budi pekertinya itu diusung masuk ke dalam rumah, melihat dan mengusap wajah tuanya setelah dikafankan dan menyolatkannya sebelum dikebumikan.

Namun, saya tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk semua itu, walau apa yang ingin saya sampaikan kepadanya masih tersimpan kemas di dalam jiwa.

Allahumagh filr lahu warhamhu wa 'afihi wa' fu anhu.

P/S: Saya tiada di UKM sepanjang minggu ini dan akan pulang ke sana pada Hari Ahad 30 Ogos 2009. Maafkan saya di atas segala kesulitan di sepanjang ketiadaan saya.

0 Comments:

Post a Comment