31 August, 2009

Saya teringatkan Maryam (Fatayat Ghufran). Teringat pada kata-katanya:

"Bila Ustazah nak balik sini? Kalau ustazah tak balik sini, saya nak pergi tempat ustazah"

Saya mengerutkan dahi.

"Nak buat apa?", tanya saya.

"Saya nak duduk dengan ustazah. Cuci baju ustazah ke, masak untuk ustazah"

Saya kaget.

"Subhanallah...sampai macam tu sekali. Bagusnya", ujar saya yang masih antara percaya dengan tidak.

"Yelah..kita kena berkhidmat dengan guru kalau nak ilmu dia" Katanya sambil tersenyum sampai telinga.

Ya Allah, terharunya saya.

Ada keindahan yang terlukis di jiwa ini.

Ada ketenangan yang terbentuk serta-merta di hati.

Saya tidak sangka, masih ada lagi pelajar yang begitu. Pelajar yang mahu berkhidmat untuk gurunya demi mencapai sedikit ilmu dari seorang insan bernama guru.

Bagi saya, itu adalah salah satu bentuk ihtiram yang begitu tinggi dari seorang pelajar untuk seorang guru.

Dewasa ini, berapa ramai pelajar yang ada keinginan seperti itu. Dan berapa ramai pelajar yang ada kesedaran seperti itu?

Selalunya, bagi seorang pelajar cukuplah dia menjadi pelajar yang baik dan menghormati gurunya. Namun, bercita-cita untuk berkhidmat belum tentu tertanam dalam dirinya.

Berapa ramai pelajar yang sanggup duduk di sisi gurunya ketika gurunya sakit? Jangan kata hendak duduk tetapi datang menziarah pun belum tentu lagi.

Berapa ramai pelajar yang sanggup meringankan tulangnya dan memerah otaknya untuk meringankan kesulitan gurunya? Selalunya ramai pelajar yang melarikan diri dari menggalas beban yang sememangnya bukan miliknya.

Berapa ramai pelajar yang hanya mengerti untuk berbaik-baik dengan gurunya semata-mata untuk mencapai markah yang baik dalam subjek? Namun, untuk mencapai ilmu guru, belum tentu terdetik di hatinya.

Moga bingkisan ringkas ini, menjadi pembuka mata dan jalan untuk kita lebih memuhasabah diri tentang sejauhmana ihtiramnya kita pada insan bernama guru.

Wallahu'alam.

Berikut adalah rakaman Nasihat untuk Penuntut Ilmu oleh Ustaz Yazid Abd Qadir Jawas. Moga bermanfaat:

0 Comments:

Post a Comment