31 August, 2009

Saya teringatkan Maryam (Fatayat Ghufran). Teringat pada kata-katanya:

"Bila Ustazah nak balik sini? Kalau ustazah tak balik sini, saya nak pergi tempat ustazah"

Saya mengerutkan dahi.

"Nak buat apa?", tanya saya.

"Saya nak duduk dengan ustazah. Cuci baju ustazah ke, masak untuk ustazah"

Saya kaget.

"Subhanallah...sampai macam tu sekali. Bagusnya", ujar saya yang masih antara percaya dengan tidak.

"Yelah..kita kena berkhidmat dengan guru kalau nak ilmu dia" Katanya sambil tersenyum sampai telinga.

Ya Allah, terharunya saya.

Ada keindahan yang terlukis di jiwa ini.

Ada ketenangan yang terbentuk serta-merta di hati.

Saya tidak sangka, masih ada lagi pelajar yang begitu. Pelajar yang mahu berkhidmat untuk gurunya demi mencapai sedikit ilmu dari seorang insan bernama guru.

Bagi saya, itu adalah salah satu bentuk ihtiram yang begitu tinggi dari seorang pelajar untuk seorang guru.

Dewasa ini, berapa ramai pelajar yang ada keinginan seperti itu. Dan berapa ramai pelajar yang ada kesedaran seperti itu?

Selalunya, bagi seorang pelajar cukuplah dia menjadi pelajar yang baik dan menghormati gurunya. Namun, bercita-cita untuk berkhidmat belum tentu tertanam dalam dirinya.

Berapa ramai pelajar yang sanggup duduk di sisi gurunya ketika gurunya sakit? Jangan kata hendak duduk tetapi datang menziarah pun belum tentu lagi.

Berapa ramai pelajar yang sanggup meringankan tulangnya dan memerah otaknya untuk meringankan kesulitan gurunya? Selalunya ramai pelajar yang melarikan diri dari menggalas beban yang sememangnya bukan miliknya.

Berapa ramai pelajar yang hanya mengerti untuk berbaik-baik dengan gurunya semata-mata untuk mencapai markah yang baik dalam subjek? Namun, untuk mencapai ilmu guru, belum tentu terdetik di hatinya.

Moga bingkisan ringkas ini, menjadi pembuka mata dan jalan untuk kita lebih memuhasabah diri tentang sejauhmana ihtiramnya kita pada insan bernama guru.

Wallahu'alam.

Berikut adalah rakaman Nasihat untuk Penuntut Ilmu oleh Ustaz Yazid Abd Qadir Jawas. Moga bermanfaat:

28 August, 2009



Terasa sayang ingin saya tinggalkan bumi Singapura.

Terus-terang saya katakan, saya lebih senang ber'Ramadhan' di sini.

Ada kedamaian. Ada kemeriahan ibadah di dalam jiwa.

Alhamdulillah, pada masa yang sesingkat ini, saya berkesempatan mengunjungi Masjid Darul Ghufran. Di sana, saya melihat bubur Ramadhan diagihkan, melihat unit Muslimah memasak di dapur, melihat Fityan sibuk membantu untuk persediaan berbuka puasa, bertemu dengan Maryam, (satu-satunya Fatayat yang ada pada petang itu), bertemu Raihana, Kak Rina, Kak Rehana, Kak Marziah, Hamzah, Ustaz Ahmad dan yang lainnya.

Saya juga sempat berterawih berimamkan 3 orang al-Hafiz yang dijemput khas dari luar negara dan antaranya ialah sahabat saya, Hanafi. Saya merasa lega melihat keadaan sahabat saya itu di Masjid Darul Ghufran. Lega melihat keceriaan wajahnya dan lega juga mendengar bacaannya yang bagaikan air mengalir tenang. Subhanallah.

Cuma saya tidak berkesempatan memenuhi permintaan Fatayat untuk sama-sama bertadarus pada hari Sabtu ini lantaran saya perlu pulang semula ke UKM.

Apakan daya, pulangnya saya ke kota Singa pada kali ini bukan pulang kerana bercuti tetapi pulangnya saya adalah pulang yang tak terniat di hati.

Minggu ini saya tinggalkan UKM dengan lambakan kerja yang terpaksa saya tangguhkan. Sesampainya saya di UKM kelak bersambunglah episod kesibukan dan kestresan yang membelenggu jiwa. Menyebabkan saya terpaksa mengurung diri di dalam bilik untuk menyelesaikan segala tugasan yang sudah semakin hampir ke tarikh penamatnya.

Sungguh, saya ingin kedamaian di bulan Ramadhan, seperti damainya Ramadhan saya di Singapura. Moga lambakan kerja itu, tidak terus-terusan menggugat kedamaian beribadah yang saya dambakan....

26 August, 2009

Bismillah

Alhamdulillah, Kertas kerja SIHIR DALAM AL-QURAN telah berjaya saya bentangkan pada Isnin yang lalu. Seperti komen oleh 'KOME' di ruangan salam Ukhwah - Pembentangan yang semangat!

Ya, saya tidak menafikan saya agak berpuas hati dengan penghasilan kertas kerja itu. Ditambah lagi dengan komen yang membina dari Prof Madya Dr Muhd Najib Abd Kadir. Begitu juga dengan respon yang agak memberangsangkan dari rakan-rakan sekuliah.

Namun sebenarnya Allah s.w.t lebih mengetahui perasaan saya pada saat pembentangan itu. Jiwa dan perasaan saya sedang berkecamuk dengan berita yang disampaikan dari Singapura. "Abah (bapa mertua) sedang nazak".

Lemah semangat saya pada pagi itu, sedangkan sebentar sahaja lagi saya akan membentangkan sebuah kertas kerja. Saya cuba mengawal perasaan terganggu itu dan saya membentang tanpa fokus yang tinggi. (lalu begitulah hasilnya, walau agak baik tetapi saya yakin ada kelam-kabutnya)

Apa yang saya fikirkan pada waktu itu ialah, saya ingin pulang segera agar dapat berbual dengannya untuk kali yang terakhir dan lebih utama adalah untuk memohon maaf jika saya ada melakukan kesilapan di sepanjang bergelar menantu dan mengucapkan terima kasih di atas segala kebaikkan yang dicurahkannya kepada saya dan sokongannya yang tak terhingga untuk perjuangan saya dalam menuntut dan mengajarkan ilmu. Saya ingin dia tahu, betapa saya amat menghargainya dalam hidup saya.

Lalu pada petang itu, setelah menghadiri Jalsah Ilmiyyah saya bergegas ke Perhentian Bas Kajang. Saya merasa sedikit resah apabila tiket untuk ke Johor Baharu sudah kehabisan. Akhirnya saya dicadangkan agar menunggu bas ekspress yang akan tiba pada jam 5 petang dari Pudu untuk melihat kalau-kalau ada tempat kosong. Bas tiba setengah jam lewat. Penantian saya berakhir dengan berita yang melegakan bahawa terdapat beberapa tempat kosong di bas tersebut, Alhamdulilah.

Setibanya saya di Singapura saya meminta agar suami saya membawa saya terus ke Hospital untuk berjumpa Abah. Tetapi suami saya mengatakan bahawa pelawat tidak dibenarkan masuk pada waktu malam lalu dia menyuruh saya agar datang ke Hospital pada keesokan paginya. Setelah menghantar saya pulang ke rumah mertua saya lalu suami saya bergegas ke Hospital untuk menjaga abahnya di sana.

Sepanjang malam itu saya tidak lena tidur. Saya terus-terusan berdoa agar diberikan peluang untuk bertemu dengan abah untuk terakhir kalinya. Tiba-tiba pada jam 4.30 pagi, telefon rumah berdering. Pembantu rumah mengetuk pintu bilik saya dan memanggil saya. Saya membuka pintu. "Kak, Pak Yazid telefon". Saya sebenarnya sudah dapat mengagak apa yang ingin disampaikan kepada saya. Saya menjawab telefon dan suami saya menyampaikan berita itu: "Inah, abah dah tak de, tau"

"Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un", itulah ucapan yang terlafaz oleh saya.

Sungguh, jauh di sudut hati saya ada rasa terkilan yang teramat sangat. Saya hanya dapat melihat jenazah manusia baik dan mulia budi pekertinya itu diusung masuk ke dalam rumah, melihat dan mengusap wajah tuanya setelah dikafankan dan menyolatkannya sebelum dikebumikan.

Namun, saya tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk semua itu, walau apa yang ingin saya sampaikan kepadanya masih tersimpan kemas di dalam jiwa.

Allahumagh filr lahu warhamhu wa 'afihi wa' fu anhu.

P/S: Saya tiada di UKM sepanjang minggu ini dan akan pulang ke sana pada Hari Ahad 30 Ogos 2009. Maafkan saya di atas segala kesulitan di sepanjang ketiadaan saya.

21 August, 2009



Artikel dibawah dipetik dari laman web soaljawab.wordpress:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya.

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali .a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:

* Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

* Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

* Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

* Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

* Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

* Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

* Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis sahih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.

4. Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan “Ya Ali” sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

20 August, 2009

15 August, 2009



Saya luahkan segalanya pada Ajid.

Hidup saya tidak tenteram.

Kerana saya tidak pernah menanam hasrat untuk mencampur-adukkan hidup saya dengan kemaksiatan.

Kerana tahap pengetahuan agama saya bukan di tahap pengetahuan orang awam.

Kerana saya adalah 'ustazah sakinah' di mana pun saya berada.

Saya tidak mahu menjadi manusia yang mengajar manusia lain agar tahu apa itu syariat Allah dan sunnah Rasulullah tetapi saya sendiri seolah-olah tidak pernah tahu dan tidak pernah mengajar orang lain tentang semua itu.

Saya tidak mahu menjadi manusia cakap tak serupa bikin.

Lalu adakah wajar saya meletakkan diri saya di tempat-tempat yang 'tidak sepatutnya' saya berada.

Saya tidak mungkin menjual pengetahuan agama saya dengan perkara maksiat hanya kerana saya perlu menyumbang khidmat pada tempat yang telah berbudi pada saya.

LEBIH TERBUKA?

Usah bicara tentang keterbukaan fikiran dengan saya.

Sebagai seorang pelajar sarjana saya memang mengerti tentang erti keterbukaan.

Tetapi KETERBUKAAN YANG BAGAIMANA PATUT ADA PADA DIRI SAYA?

Menolak tepi hukum syariat?

Baru saya dikatakan terbuka! Open-minded!

Maafkan saya, saya tidak TERLALU TERBUKA TENTANG ITU.

*********************

Saya terlalu sedih.

Sedih kerana orang yang berpengetahuan agama seperti tidak berpengetahuan agama.

Semalaman saya buntu. Saya tidak lena tidur.

Saya tidak tahu bagaimana harus saya hadapi.

"Sekarang Inah nak buat macam mana, Ajid? Cuba Ajid letakkan diri Ajid di tempat Inah?"

"Hmmm..Inah nak buat macam mana?"

Saya terkejut apabila suami saya memulangkan semula soalan itu kepada saya.

"Inah tanya Ajid, ni?"

"Inah fikir macam mana. Take this as a challenge. Inah belajar macam mana nak buat."

Petang tadi saya masih tidak dapat jawapan dari suami saya.

Dia suruh saya berfikir dan belajar cara-cara untuk menghadapi semua ini?

Tiada saranan apatah lagi memperlihatkan kepada saya jalan untuk ke arah penyelesaian itu.

Kemudian saya katakan pada diri saya:

SAYA PERLU BELAJAR SEMUANYA SENDIRI.

SAYA PERLU HADAPI DENGAN PENUH HIKMAH DAN SABAR.

KEMUDIAN BELAJAR DARI KESILAPAN.


Sebenarnya itulah jawapan suami saya setelah lama saya duduk sendiri dan merenung malam ini.

************************

Di jiwa saya masih berbekas sedu dan sedan.

Saya menghantar suami saya pulang dengan tangisan yang memang tidak tertahan. Beratnya saya untuk berpisah dengannya petang tadi. Kerana pertemuan tadi hanyalah pertemuan selama 7 jam.

Saya amat memerlukan dia di saat ini.

Tetapi, yang tinggal bersama saya kini hanya kata-katanya dan semangatnya yang tak pernah padam.

Air mata saya mengalir lagi...sambil teringat sebuah hadith dari Ibn Mas’ud r.a yang mana dia telah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Siapa yang mengalami kesusahan atau kesedihan, hendaklah dia berdoa dengan mengucapkan kalimah-kalimah berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ابْنُ عَبْدِكَ ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَداً مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ القُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي، وَنُورَ بَصَرِي، وَجِلاَءَ حُزْنِي، وَذَهَابَ هَمِّي

Maksudnya: “Ya Allah, aku adalah hamba-Mu, anak hamba lelaki dan hamba perempuan-Mu, diriku berada di dalam genggaman-Mu, jiwaku berada di tangan-Mu, hukum-Mu berlaku pada diriku, keadilan keputusan-Mu berlaku terhadap diriku, aku memohon kepada-Mu dengan menyebut semua Asma’-Mu yang Engkau namakan diri-Mu dengannya atau Engkau turunkan dalam kitab-Mu atau Engkau mengajarkannya kepada seorang di antara makhluk-Mu atau Engkau memeliharanya di dalam ilmu ghaib di sisi-Mu. Jadikanlah al-Quran sebagai cahaya dadaku, kebahagiaan hatiku, penghapus kesedihanku dan pelenyap kesusahanku”

Maka, seorang dari satu kaum berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang-orang yang rugi adalah orang yang tidak membaca doa tersebut.” Nabi s.a.w menjawab: “Benar, kerana itu perlu kepada mereka yang mendengarnya mengajarkannya (kepada orang lain)” (H.R Ibn Hibban dan hadith ini dihukum sahih dalam kitab Sahih al-Targhib, No. 1822)

Ya Allah..Hamba Mohon kekuatan...

11 August, 2009

Bismillah

Sudah lama saya tidak menjampi air.

Tiba-tiba semalam saya dikejutkan dengan sebuah sms dari seorang adik yang sudah terlalu lama tiada khabarnya dan beliau meminta saya agar membuat ‘air tawar’.

Itu bukan sms biasa. Tetapi sms penuh harapan agar saya membantu. Bukan untuk membantu dirinya tetapi membantu orang lain yang dia rasakan perlu diselamatkan.

Sebenarnya menjampi air untuk diri saya sendiri adalah satu perkara biasa yang saya lakukan. Tetapi menjampi air untuk orang lain seingat saya kali terakhirnya adalah tahun lepas iaitu semasa saya di tahun akhir pengajian peringkat pra siswazah. Semasa tiga tahun belajar di peringkat degree itu, acapkali juga sms tiba di telefon bimbit saya meminta dijampikan air dan kadangkala tidak diminta tetapi saya sendiri yang berusaha untuk melakukan untuk adik-adik sepengajian yang sakit.

AIR JAMPI

Tentang menjampi air ini, bukanlah susah sangat. Saya tidak ada pantang larang. Apatahlagi pengeras itu dan ini. Paling asas dan ringkas untuk dibacakan pada air itu hanyalah

1) Surah al-Fatihah
2) Surah al-Ikhlas
3) Surah al-Falaq
4) Surah al-Nas

Lalu ditutupi dengan ayat 42 ayat dari surah al-Sod:



Maksudnya: inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum (al-Quran, al-Sod 38: 42)

Jika sekiranya dirasakan perlu untuk menambah selain dari pada 4 surah yang dinyatakan di atas, maka sebelum menutupinya dengan ayat 42 dari surah al-Sod, kita boleh membaca ayat-ayat yang dinamakan sebagai ayat-ayat syifa’ (penyembuh):

1) Surah At-Taubah: 14 – 15

2) Surah Yunus: 57

3) Surah An-Nahl: 67 – 69

4) Surah Al-Isra': 82

5) Surah Asy-Syu'ara: 75 – 80

6) Surah Fussilat: 44

Setelah dibacakan ayat-ayat al-Quran tadi, air itu boleh dibuat minum dan mandi. Boleh dilakukan banyak kali dengan kaedah yang sama sehingga sembuh. Dan sebagai bahan bacaan untuk mengetahui tentang perkara ini, saya menyarankan sebuah buku kecil yang mudah dan ringkas bertajuk ‘Ruqyah Mengobati Guna-guna dan Sihir Menurut al-Quran dan al-Sunnah yang Sahih’ oleh Yazid Abd Qadir Jawas.



SAYA BUKAN BOMOH!

Cuma satu perkara yang ingin saya tegaskan di sini ialah Saya bukan bomoh!

Tetapi saya hanyalah hamba Allah s.w.t yang yakin bahawa al-Quran itu adalah syifa’(penyembuh) bagi manusia kerana Allah s.w.t telah berfirman:



Maksudnya: Dan kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian (al-Quran, al-Isra’ 15:82)

Sesungguhnya Allah itulah maha penyembuh.



Maksudnya: “Singkirkanlah semua penyakit, Rabb ummat manusia, Sembuhkanlah, Engkau maha penyembuh, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari Mu, yang tidak meninggalkan sedikit pun penyakit” (H.R al-Bukhari dalam Kitab Sahihnya)

Sekian, moga diberi kesempatan bertemu di lain penulisan.

Wallahu'alam.

06 August, 2009

Bismillah

Pada waktu ini, jam sudah menunjukkan ke angka 12 tengah malam. Sepatutnya, pada waktu seperti ini saya perlu berada di atas katil untuk melelapkan mata. Tapi, entahlah. Saya ingin meluah rasa pada malam ini. Cuma luahan rasa saya pada kali ini tidak akan panjang berjela seperti kebiasaannya.

Luahan Rasa 1

Rindu saya pada Ajid masih belum hilang sebenarnya (saya juga tidak pernah mahu rindu itu hilang) dan saya masih belum puas menatap wajahnya.

Ketika dia hadir untuk menziarahi saya pada Sabtu dan Ahad yang lalu, masa kami banyak dihabiskan di seminar Iman Orang Asing di UM. Kami hanya dapat duduk bersama sepenuhnya setelah seminar itu selesai pada jam 10 lebih malam. Itupun, banyak perkara yang tak dapat dikongsikan dan diceritakan lantaran perlu tidur awal kerana esoknya seminar akan bermula pada jam 8.00 pagi.

Luahan Rasa 2

Tugasan saya banyak yang tergendala dan saya tidak tahu mengapa.

Begitu juga amanah yang diberikan oleh Ustaz Wan kepada saya dan amanah yang diharapkan oleh suami saya. Semuanya masih terumbang-ambing.

Ya Allah, kuatkan perasaan saya.

Saya ingin terus menjadi hambaMu yang ikhlas dalam menuntut ilmu.

Luahan Rasa 3

Bilik saya ada banyak kitab. Saya tak tahu hendak diletakkan di mana lagi sehingga terpaksa membuka meja kecil saya untuk meletakkan kitab-kitab itu. Moga dengan meletakkannya di situ, saya lebih bermotivasi untuk menghabiskan bacaan untuk kesemua kitab-kitab itu.




Luahan Rasa 4

Saya amat terkesan dengan wasiat Ustaz Yazid Abd Qadir Jawas di seminar Iman Orang Asing Ahad lalu. Beliau menekankan tentang menuntut ilmu. Saya kembali berlapang dada. Saya kembali menjumpai asas pada perjuangan saya dalam menuntut ilmu. Ya, saya perlu ikhlaskan hati saya seikhlas-ikhlasnya.

Antara wasiat yang disampaikan oleh beliau:

1) Ikhlas
2) Berterusan dalam menuntut ilmu
3) Beramal Soleh
4) Berpegang pada al-Quran dan al-Sunnah dengan kefahaman Salaf
5) Menyuruh pada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran
6) Akhlak yang mulia

Subhanallah....

Saya perlu meneruskan perjuangan ini (walau sebenarnya sudah banyak kali saya meminta untuk berundur diri).

Ya Allah, Wahai yang membolak-balikkan hati..tetapkanlah hatiku...

Luahan Rasa 5

Terkesan dengan penulisan pada sebuah kutaib (kitab kecil) yang baru sahaja saya beli (walau baru beberapa halaman yang sempat dihabiskan). Penulisan seorang ayah kepada seorang anak. Satu pesanan. Satu nasihat. Satu Wasiat. Tentang memilih sahabat.



Luahan Rasa 6

Saya perlu berehat. Bimbang sukar untuk bangun sebelum azan subuh berkumandang.

Saya perlu berehat kerana sering tidak sihat sejak beberapa bulan yang lalu.

Saya juga perlu berehat untuk meneruskan perjuangan yang tidak pernah menjanjikan nokhtah.

Sekian. Wassalam

04 August, 2009



Artikel berikut dipetik dari laman web soaljawab. Moga bermanfaat.

********************************

Assalamualaikum WBT. Bulan sya’ban dah nak sampai pertengahannya.

Apa ada dengan pertengahan sya’ban? Apa ada dengan nisfu sya’ban?


“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh)


Akan tetapi hadith di atas tidak mengajar apa-apa amalan khusus di malam atau siang Nisfu Sya’ban! Dari mana asalnya? Siapa pula nabi yang mendapat wahyu yang mengajar kita tentang ibadah-ibadah yang tak di ajar oleh Nabi Muhammad SAW penutup segala rasul ini.


Ulas Dr. Yusuf al-Qaradawi:


“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.”

(Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).


Sudahlah mennyebarkan bid’ah, kita lalai, lupa sehingga menjadi tali barut penipu dan pendusta dengan menipu masyarakat menggunakan nama Rasul. Ibadah yang tak pernah di ajar Nabi SAW dikatakan di ajar oleh Rasulullah SAW.


“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka)


Ustaz Asri Zainul Abidin menyebutkan:


Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat barat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. ialah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya. Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya. Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. samada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ianya disebut sebagai al-hadith. Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadith pada hakikatnya, Cuma ianya disebut hadith berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadith palsu ialah:


“Hadith yang disandarkan kepada Nabi s.a.w secara dusta, ianya tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi `Ulum al-Hadith, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut)



Apakah modal-modal atau hadiith-hadith palsu yang dijadikan hujah untuk menipu masyarakat ini dan secara tak langsung mengkhianati agama wahyu yang telah sempurna ini?


a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban


Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi saw menghidupkan malam Nisfu Sya’ban ini dengan amalan-amalan yang khusus seperti sembahyang sunat yang khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya ialah:



- Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra: ((Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: “Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar))..



Hadis ini adalah maudhu’, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami’ dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.



- Diriwayatkan daripada Ibn Umar ra bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Barang siapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Sya’ban ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya)).



Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu’. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu’at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.



- Diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya berkata: ((Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Sya’ban seribu kali surah al-ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat, tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya dari berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya)).

Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu’.



Kebanyakan hadis-hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan–amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah saw akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.



Al-Hafiz al-Iraqi berkata: ((Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya’ban adalah maudhu’, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah saw. Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’: “Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I’syak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah dalam agama)). (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).




Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: ((Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu’ seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu)).


(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).



Ulamak kontemporari masa kini, Syiekh Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menyatakan di dalam fatwanya:

((Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah)).



Beliau menambah lagi:

((Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya)). (Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)


Para ulama muktabar lain seperti Syiekh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan akan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam ini tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis yang thabit yang menyebut akan fadhilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al- Suyuti:

((Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah)). (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)

b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Sya’ban.


Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi saw yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Sya’ban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Sya’ban sahaja dengan menganggap ia adalah sunnah, maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qaradhawi:

((Di dalam kaedah syara’, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syara’ kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata)).


(Rujuk Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)


Untuk apa kita sibuk-sibuk beramal dengan yang tidak sunnah sedangkan berapa banyak sunnah yang kita abaikan. Bahkan berapa ramai daripada kita meremehkan sunnah-sunnah ada, walaupun sudah mengetahui tentang nya. Lihatlah apa jadi dengan sunnah solat menghadap ke sutrah. Bid’ah nisfu sya’ban lebih popular dengan sunnah yang makin dilupakan ini, bahkan dipandang pelik orang yang sibuk-sibuk mencari dinding atau objek untuk dijadikan sutrah. Berapa ramai daripada kita yang mengamalkan bersiwak waktu nak solat, waktu nak baca al-Quran? Berapa ramai daripada kita bila mendengar azan akan berselawat? Berapa ramai daripada kita yang mengamalkan doa-doa dan zikir-zikir yang Nabi SAW ajar?

Lihatlah, bid’ah semakin membiak dan sunnah semakin pupus.

Wassalam.

Umairah-sh berkata:

Jangan mudah melatah jika ini adalah perkara baru yang anda ketahui.
Hiduplah untuk mempertahankan sunnah.