10 July, 2009



Pada hari Isnin yang lalu, ketika saya sedang memilih-milih tuala mandi di Warta (kini sudah bertukar nama ‘Bintang’), Bangi, saya terlihat dua orang remaja bersama mak dan ayah masing-masing sedang sibuk membeli-belah. Melihat cara mereka berbelanja dan melihat kekalutan mak dan ayah mereka memilih barang-barang keperluan untuk anak mereka, saya yakin mereka adalah pelajar yang baru sahaja mendaftar di UKM.

Lalu saya terkenang ketika saya mula-mula masuk ke Universiti. Seronoknya apabila mak dan abah begitu juga suami saya sibuk mencari barang-barang kelengkapan untuk bilik saya. Abah sibuk mencarikan penyapu dan baldi kecil. Manakala emak sibuk memilih-milih tikar untuk saya mengalas lantai. Ajid pula sibuk bertanya apakah barang-barang lain yang saya perlukan. Ketiga-tiga mereka risau dan melayan saya seperti kanak-kanak yang seolah-olah tidak pernah dilepaskan ke negara orang. Saya tersenyum…

Lama saya memikirkan tentang hal itu. Dan kesepian malam di blok 8E, Kolej Ungku Omar ini telah menggerakkan hati ini agar terus berbicara mengenainya. Berbicara agar sama-sama dapat merasa betapa besarnya sebuah harapan.

Apa yang saya lihat di Warta, Bangi itu?

Seorang remaja lelaki bersama kedua ibu bapanya.
Bapanya sedang memikul karpet hijau yang tebal.
Emaknya sibuk memliih-milihkan cadar comforter untuk anaknya. Biru atau hijau?
Dan remaja lelaki itu pula, ditangannya sendiri memegang bakul yang sudah dipenuhi dengan barang-barang keperluan yang lain.

Kemudian ketika saya sedang beratur di kaunter bayaran, seorang remaja perempuan yang juga bersama kedua ibubanya sedang membuat bayaran di barisan hadapan.
Apa yang mereka beli? Barang kelengkapan bilik yang serba hijau.
Dari cadar, tuala mandi, berus gigi, baldi hinggalah ke bakul sampah, semuanya berwarna hijau (tentu sahaja itu adalah warna kegemaran remaja perempuan itu). Lalu ayahnya mengeluarkan duit dari dompetnya yang saya yakin jumlah harganya bukanlah sepuluh atau dua puluh ringgit.

Saya termenung seketika lalu ada sebak di jiwa.

SITUASI ITU ADA CERITA…

Sebenarnya saya ingin membawa diri saya, adik-adik dan pelajar-pelajar saya yang kini sedang berada di semester pertama pengajian memuhasabah diri. Tidak kiralah sama ada anda berada di tahun pertama, kedua, ketiga atau keempat sekalipun. Yang penting, saya mahu mengajak anda merenung situasi yang saya ceritakan sebentar tadi dengan penuh makna.

Mungkin bagi anda kedua situasi itu adalah situasi biasa yang tidak perlu disedihkan. Tetapi ketahuilah situasi itu bukan situasi biasa pada saya. Ianya amat bermakna dan ianya juga sedang menceritakan sesuatu kepada saya.

Ia menceritakan betapa besar dan tingginya harapan seorang ayah dan seorang ibu ketika seorang anak menjejakkan kaki ke universiti. Mereka sanggup berbelanja dan menyediakan apa sahaja untuk keselesaan seorang anak yang bakal memulakan sebuah kehidupan baru.

Bangganya kedua ibu bapa. Senyum mereka tidak lekang dari bibir. Dan jika yang masuk universiti itu adalah anak mereka yang sulong, lebih-lebih lagi bangganya tidak terkira. Ini kerana anak sulong itu bakal menjadi contoh kepada adik-adik di bawahnya. Mungkin juga jika hilang rasional dari fikiran ingin sahaja mereka berteriak kepada dunia “Anak aku masuk Universiti!!!”

Mereka menghantar anak ke universiti dengan kegembiraan, kebanggaan dan tangisan yang entah bagaimana ingin saya gambarkan. Lalu anak itu ditinggalkan berjuang dengan penuh harapan akan terus memekarkan kebanggaan.

Itulah ceritanya.

HARAPAN DITUKAR DENGAN KEHANCURAN

Hampir 4 tahun saya menjadi penghuni institusi bernama universiti dan dalam masa itu saya sudah melihat pelbagai karenah dan pelbagai ragam manusia yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi.

Mereka yang pada awalnya datang bersama harapan kedua ibu bapa tetapi akhirnya ada antara mereka sendiri yang memusnahkan harapan itu. Malah mereka melupakan semua harapan itu. Mungkin boleh saya katakan, mereka sudah terlupa bagaimana saat-saat awal mereka ingin menapakkan kaki di universiti. Lupa akan sebuah pengorbanan dan keprihatinan yang dilakukan oleh ibubapa. Lupa akan pelukan mereka untuk melepaskannya menjadi penghuni kampus. Malah lupa juga tentang kenangan membeli-belah bersama mereka pada awal-awal semester pertama tahun satu.

Sedangkan semua itu adalah harapan. Harapan yang mampu untuk memotivasikan diri menjadi manusia yang lebih beriman, berilmu, berakhlak mulia dan menjunjung budi.

Tapi sayangnya, semakin lama di universiti ada yang merasakan semua itu sudah lapuk dan tak perlu dikenang-kenang. Sudah merasa diri terlalu dewasa dan mampu menentukan jalan hidup sendiri. Lantas ada yang belajar sambil lewa, belajar antara mahu dengan tidak, ada yang sibuk dengan dunia pacaran dan bertukar-tukar pasangan dan ada juga hanyut dengan dunia kemaksiatan. Dan akhirnya ada juga yang terkandas di tengah jalan.

Apabila sudah terhantuk barulah sedar diri sebenarnya tidaklah sehebat mana, baru sedar betapa perlunya ibu bapa, dan selalunya baru teringat ingin menangis sambil menyebut-nyebut kalimah ‘emak’ dan ‘abah’.

Semua itu berlaku di hadapan mata saya.

Lalu bayangkan perasaan kedua ibubapa apabila kejayaan yang diharapkan mekar mewangi tetapi kehancuran yang dihadiahkan oleh si anak. Bayangkan juga perasaan mereka yang setiap bulan menghantar wang belanja untuk anak yang kadangkala menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut tetapi akhirnya dibalas dengan kekecewaan. Tentu sahaja amat menyakitkan dan mencalar-balarkan perasaan seorang tua bernama ibu dan ayah.

BILA TERLEKA

Ya, kadang-kadang kita terleka. Contoh mudah, ketika kita memandu kereta dengan lurus, kadangkala terbengkok juga panduan kita. Tapi, adakah kita akan terus memandu dengan bengkok? Tentu sahaja tidak. Demi keselamatan nyawa, kita akan meluruskannya kembali. Begitulah hidup kita. Bila kita sedikit terleka, cepat-cepatlah pulang ke asalnya dan memperbetulkan keadaan. Jangan terus-terusan membiarkan diri terleka kerana itulah yang akan menyebabkan kehancuran. Umpama memandu kereta tadi. Jika kita terus memandu dengan bengkok, kita akan menyebabkan diri terjebak dengan kemalangan jalan raya.

Dan perlu kita ingat, bila terjebak pada kehancuran, kita bukan sahaja menyusahkan diri kita sendiri tetapi kita juga akan menyusahkan ibubapa.

Lalu apa yang mampu saya katakan seterusnya ialah mengenang jasa dan budi kedua ibu bapa mampu memotivasikan diri. Jangan luputkan setiap perkara baik yang mereka lakukan untuk kita. Dan tidak salah apabila setiap kali terleka, kita kenangkan harapan dan impian ibu bapa kita. Kenangkan senyuman dan pengorbanan mereka ketika pertama kali mereka menghantar kita ke universiti. Jadikan itu sebagai satu pembakar semangat untuk berusaha mencapai kejayaan dan memekarkan harapan mereka.

Akhir sekali, jadilah seorang anak yang menjunjung budi kedua ibubapa.

0 Comments:

Post a Comment