26 July, 2009

Jam 12.01 tgh malam, saya mendapat sebuah sms yang berbunyi:

I pray to Allah

to bless you

to guide you

to keep you safe

to give you joy

and happy always

Happy Birthday!


Sender:
Izzati Student Tuto
+6012448****

Kening saya terangkat.

Terkejut!

Oh..hari ini hari lahir saya!

[Saya terlupa walau siang tadi sudah diingatkan oleh Ayu dan Sa'adah bahawa saya akan bertambah umur pada hari ini. Hmmm....]

Saya teringat pada sabda baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Sekali-kali tidak akan berganjak kedua kaki seorang hamba (manusia) pada Hari Kiamat nanti sehingga kepadanya ditanya tentang lima perkara:

1. Tentang umurnya ke mana dia habiskan
2. Tentang masa mudanya ke mana dia pergunakan
3&4. Tentang hartanya dari mana dia perolehi dan ke mana ia belanjakan
5. Tentang ilmunya apakah yang dia amalkan.

(Hukum hadith: Sahih)

Lalu saya bertanya pada diri, bagaimana saya telah mempergunakan umur saya dan masa muda saya ini. Bagaimana pula dengan rezeki yang saya perolehi (dari mana saya dapatkan dan di mana pula saya belanjakan) dan adakah saya sudah cukup beramal dengan ilmu yang saya miliki.

Semua itu terlalu penting untuk saya fikirkan dan muhasabahkan pada hari ini, esok dan selamanya.

Ya Allah, Terima kasih di atas segala nikmat dan rahmat.

P/S: Saya tidak menyambut hari lahir dan saya tidak mengharapkan apa-apa melainkan doa untuk kesihatan dan kesejahteraan diri saya.

22 July, 2009

Bismillah

Video berikut pernah dikongsi oleh seorang teman di ruangan facebook. Saya berpandangan ianya adalah sebuah video yang baik untuk diri saya dan anda agar dapat sama-sama bermuhasabah.

Aqim Salatak! (Tunaikanlah Salatmu!)

19 July, 2009

Tidak ada dalil!



Saya tidak kisah jika yang keluar berduaan lelaki dan perempuan itu adalah suami isteri.

Tapi saya benar-benar kisah..
jika mereka itu adalah sepasang kekasih
atau hanya kawan-kawan biasa
ataupun hanya sekadar ada hubungan 'tunang'!

Lebih-lebih saya kisah,jika meraka itu pelajar Pengajian Islam!

Walaupun keluar beramai-ramai, apakah patut mereka tetap berjalan berdua, bergambar bersama, dan duduk makan bersama?!

Tidak ada dalil yang menghalalkan semua itu!

17 July, 2009

Sejak kebelakangan ini, saya cepat terkesan dengan pertanyaan dan kata-kata orang.

Sejak kebelakangan ini juga saya rasa hati dan perasaan saya tidak ‘sekebal’ dulu.

‘Ilmu kebal’ yang saya resapkan di hati saya semakin hari-semakin hilang kuasanya.

Mengapa agaknya?
Saya sendiri tidak pasti.

Mungkinkah kerana saya terlalu risau menghitung usia saya. Semakin hari semakin tua…

Entahlah, saya jadi kurang tumpuan dan fokus. Saya lebih dikurung dengan perasaan murung. Walau pada wajah saya tidak mencerminkan perasaan itu, tetapi hati saya tidak mampu menipu.

Mungkin sebab itu juga saya kurang menulis di blog sejak akhir-akhir ini. Saya kehilangan kata dan butir bicara. Seminggu ini, saya cuba ‘menyelesakan’ jiwa saya di setiap kuliah yang saya masuki. Dan saya tahu, jiwa saya tidak sama seperti semester yang lepas. Jiwa saya lambat mengenal dan beramah-mesra dengan suasana kuliah dan subjek.

Semenjak pulang ke UKM….jiwa dan fikiran saya terganggu.

Lama saya bermenung.
Lama saya merenung.
Lama juga saya bermurung.

Tiba-tiba saya teringatkan Nabi Zakariyya a.s.
Subhanallah....Syahdunya jiwa saya. Saya menangis.

Saya pujuk hati ini. Saya pujuk dan belai ia dengan penuh lemah-lembut. Saya katakan padanya:

“Ingatlah Sakinah ketika Nabi Zakariyya berdoa:







Maksudnya:(yang dibacakan Ini adalah) penjelasan tentang rahmat Tuhan kamu kepada hamba-Nya, Zakaria(2)Iaitu tatkala ia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut (3) Dia berkata: "Ya Tuhanku, Sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, Ya Tuhanku (4) Dan Sesungguhnya aku khawatir terhadap mawaliku[1] sepeninggalku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, Maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera (5) Yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya'qub; dan jadikanlah dia, Ya Tuhanku, seorang yang diredhai (6) (al-Quran, Maryam, 19:2-6)”

[1]yang dimaksud oleh Nabi Zakariyya dengan mawali ialah orang-orang yang akan mengendalikan dan melanjutkan urusannya sepeninggalnya. Yang dikhawatirkan Nabi Zakariyya ialah kalau mereka tidak dapat melaksanakan urusan itu dengan baik, Kerana tidak seorang pun di antara mereka yang dapat dipercayainya, oleh sebab itu dia meminta dianugerahi seorang anak.

Air jernih semakin deras mengalir jatuh ke pipi…

Saya pujuk lagi jiwa saya:

“Ingatlah Sakinah, ketika Nabi Zakariyya berdoa:



Maksudnya: Di sanalah Zakariyya berdoa kepada Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa". (al-Quran, Ali-Imran 3:38)”

Sakinah, seorang Nabi juga diuji dengan sukarnya mempunyai cahaya mata. Inikan pula dirimu seorang insan biasa dan tidak pula ma’sum. Nabi Zakariyya tidak pernah jemu berdo’a, Sakinah. Dia masih berdoa walau sudah menjadi lelaki tua yang begitu uzur bahkan isterinya itu pula seorang wanita yang mandul. Akhirnya doa itu diangkat oleh Allah s.w.t sehingga membuatkan Nabi Zakariyya sendiri bagai tidak percaya dengan takdir Allah s.w.t itu (disebut dalam al-Quran Surah Ali-Imran :39-41 dan surah Maryam: 7-11.) Lalu mengapa kau mesti berasa hidupmu begitu sunyi dan gelap, Sakinah? Sedangkan, usia pernikahanmu baru setengah dekad?

Usah berkecil hati dengan pertanyaan orang, Sakinah. Usah berjauh hati dengan kata-kata mereka.

Jika zuriat itu bukan rezeki di dalam pernikahanmu, tentu banyak lagi rezeki lain yang Allah berikan padamu. Maka jangan kau tutup matamu dari memandang rezeki yang lain itu. Ambillah rezeki itu dan pergunakan ia dengan sebaiknya untuk agamamu dan untuk bekal akhiratmu.

Senyumlah kerana kau sudah memiliki kembali ‘ilmu kebal’mu iaitu yakin dengan keindahan ujian Allah s.w.t dan hikmah di sebaliknya”

Saya melepaskan nafas dengan berat.

Subhanallah...

Saya mengerti bukan mudah menjadi manusia penuh bermotivasi. Manusia yang berjiwa kebal.

Bibir saya mengukir senyuman. Senyuman itu ada tangisan. Tangisan yang penuh dengan kesyukuran.

11 July, 2009



Ya Allah
satu demi satu ujian
Kau 'hadiah'kan padaku, Ya Allah
membuatkan aku menangis hiba
menggengam sejadah merahku
menggenggam telekung putihku
kusebut namaMu berkali-kali
kupohon ampunanMu tanpa henti
dengan sedu-sedan yang tidak tertahan

Astaghfirullah
aku semakin lemah Ya Allah
letakkan sabar dalam hatiku ini
aku benar-benar memohon kekuatan
kekuatan dan kekuatan
aku tidak mahu berputus asa

Ya Allah
walau hatiku penuh tangisan
ingin kusambut takdirMu dengan senyuman...

10 July, 2009



Pada hari Isnin yang lalu, ketika saya sedang memilih-milih tuala mandi di Warta (kini sudah bertukar nama ‘Bintang’), Bangi, saya terlihat dua orang remaja bersama mak dan ayah masing-masing sedang sibuk membeli-belah. Melihat cara mereka berbelanja dan melihat kekalutan mak dan ayah mereka memilih barang-barang keperluan untuk anak mereka, saya yakin mereka adalah pelajar yang baru sahaja mendaftar di UKM.

Lalu saya terkenang ketika saya mula-mula masuk ke Universiti. Seronoknya apabila mak dan abah begitu juga suami saya sibuk mencari barang-barang kelengkapan untuk bilik saya. Abah sibuk mencarikan penyapu dan baldi kecil. Manakala emak sibuk memilih-milih tikar untuk saya mengalas lantai. Ajid pula sibuk bertanya apakah barang-barang lain yang saya perlukan. Ketiga-tiga mereka risau dan melayan saya seperti kanak-kanak yang seolah-olah tidak pernah dilepaskan ke negara orang. Saya tersenyum…

Lama saya memikirkan tentang hal itu. Dan kesepian malam di blok 8E, Kolej Ungku Omar ini telah menggerakkan hati ini agar terus berbicara mengenainya. Berbicara agar sama-sama dapat merasa betapa besarnya sebuah harapan.

Apa yang saya lihat di Warta, Bangi itu?

Seorang remaja lelaki bersama kedua ibu bapanya.
Bapanya sedang memikul karpet hijau yang tebal.
Emaknya sibuk memliih-milihkan cadar comforter untuk anaknya. Biru atau hijau?
Dan remaja lelaki itu pula, ditangannya sendiri memegang bakul yang sudah dipenuhi dengan barang-barang keperluan yang lain.

Kemudian ketika saya sedang beratur di kaunter bayaran, seorang remaja perempuan yang juga bersama kedua ibubanya sedang membuat bayaran di barisan hadapan.
Apa yang mereka beli? Barang kelengkapan bilik yang serba hijau.
Dari cadar, tuala mandi, berus gigi, baldi hinggalah ke bakul sampah, semuanya berwarna hijau (tentu sahaja itu adalah warna kegemaran remaja perempuan itu). Lalu ayahnya mengeluarkan duit dari dompetnya yang saya yakin jumlah harganya bukanlah sepuluh atau dua puluh ringgit.

Saya termenung seketika lalu ada sebak di jiwa.

SITUASI ITU ADA CERITA…

Sebenarnya saya ingin membawa diri saya, adik-adik dan pelajar-pelajar saya yang kini sedang berada di semester pertama pengajian memuhasabah diri. Tidak kiralah sama ada anda berada di tahun pertama, kedua, ketiga atau keempat sekalipun. Yang penting, saya mahu mengajak anda merenung situasi yang saya ceritakan sebentar tadi dengan penuh makna.

Mungkin bagi anda kedua situasi itu adalah situasi biasa yang tidak perlu disedihkan. Tetapi ketahuilah situasi itu bukan situasi biasa pada saya. Ianya amat bermakna dan ianya juga sedang menceritakan sesuatu kepada saya.

Ia menceritakan betapa besar dan tingginya harapan seorang ayah dan seorang ibu ketika seorang anak menjejakkan kaki ke universiti. Mereka sanggup berbelanja dan menyediakan apa sahaja untuk keselesaan seorang anak yang bakal memulakan sebuah kehidupan baru.

Bangganya kedua ibu bapa. Senyum mereka tidak lekang dari bibir. Dan jika yang masuk universiti itu adalah anak mereka yang sulong, lebih-lebih lagi bangganya tidak terkira. Ini kerana anak sulong itu bakal menjadi contoh kepada adik-adik di bawahnya. Mungkin juga jika hilang rasional dari fikiran ingin sahaja mereka berteriak kepada dunia “Anak aku masuk Universiti!!!”

Mereka menghantar anak ke universiti dengan kegembiraan, kebanggaan dan tangisan yang entah bagaimana ingin saya gambarkan. Lalu anak itu ditinggalkan berjuang dengan penuh harapan akan terus memekarkan kebanggaan.

Itulah ceritanya.

HARAPAN DITUKAR DENGAN KEHANCURAN

Hampir 4 tahun saya menjadi penghuni institusi bernama universiti dan dalam masa itu saya sudah melihat pelbagai karenah dan pelbagai ragam manusia yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi.

Mereka yang pada awalnya datang bersama harapan kedua ibu bapa tetapi akhirnya ada antara mereka sendiri yang memusnahkan harapan itu. Malah mereka melupakan semua harapan itu. Mungkin boleh saya katakan, mereka sudah terlupa bagaimana saat-saat awal mereka ingin menapakkan kaki di universiti. Lupa akan sebuah pengorbanan dan keprihatinan yang dilakukan oleh ibubapa. Lupa akan pelukan mereka untuk melepaskannya menjadi penghuni kampus. Malah lupa juga tentang kenangan membeli-belah bersama mereka pada awal-awal semester pertama tahun satu.

Sedangkan semua itu adalah harapan. Harapan yang mampu untuk memotivasikan diri menjadi manusia yang lebih beriman, berilmu, berakhlak mulia dan menjunjung budi.

Tapi sayangnya, semakin lama di universiti ada yang merasakan semua itu sudah lapuk dan tak perlu dikenang-kenang. Sudah merasa diri terlalu dewasa dan mampu menentukan jalan hidup sendiri. Lantas ada yang belajar sambil lewa, belajar antara mahu dengan tidak, ada yang sibuk dengan dunia pacaran dan bertukar-tukar pasangan dan ada juga hanyut dengan dunia kemaksiatan. Dan akhirnya ada juga yang terkandas di tengah jalan.

Apabila sudah terhantuk barulah sedar diri sebenarnya tidaklah sehebat mana, baru sedar betapa perlunya ibu bapa, dan selalunya baru teringat ingin menangis sambil menyebut-nyebut kalimah ‘emak’ dan ‘abah’.

Semua itu berlaku di hadapan mata saya.

Lalu bayangkan perasaan kedua ibubapa apabila kejayaan yang diharapkan mekar mewangi tetapi kehancuran yang dihadiahkan oleh si anak. Bayangkan juga perasaan mereka yang setiap bulan menghantar wang belanja untuk anak yang kadangkala menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut tetapi akhirnya dibalas dengan kekecewaan. Tentu sahaja amat menyakitkan dan mencalar-balarkan perasaan seorang tua bernama ibu dan ayah.

BILA TERLEKA

Ya, kadang-kadang kita terleka. Contoh mudah, ketika kita memandu kereta dengan lurus, kadangkala terbengkok juga panduan kita. Tapi, adakah kita akan terus memandu dengan bengkok? Tentu sahaja tidak. Demi keselamatan nyawa, kita akan meluruskannya kembali. Begitulah hidup kita. Bila kita sedikit terleka, cepat-cepatlah pulang ke asalnya dan memperbetulkan keadaan. Jangan terus-terusan membiarkan diri terleka kerana itulah yang akan menyebabkan kehancuran. Umpama memandu kereta tadi. Jika kita terus memandu dengan bengkok, kita akan menyebabkan diri terjebak dengan kemalangan jalan raya.

Dan perlu kita ingat, bila terjebak pada kehancuran, kita bukan sahaja menyusahkan diri kita sendiri tetapi kita juga akan menyusahkan ibubapa.

Lalu apa yang mampu saya katakan seterusnya ialah mengenang jasa dan budi kedua ibu bapa mampu memotivasikan diri. Jangan luputkan setiap perkara baik yang mereka lakukan untuk kita. Dan tidak salah apabila setiap kali terleka, kita kenangkan harapan dan impian ibu bapa kita. Kenangkan senyuman dan pengorbanan mereka ketika pertama kali mereka menghantar kita ke universiti. Jadikan itu sebagai satu pembakar semangat untuk berusaha mencapai kejayaan dan memekarkan harapan mereka.

Akhir sekali, jadilah seorang anak yang menjunjung budi kedua ibubapa.