26 June, 2009



Saya teringat kata-kata saya di usrah Fatayat Ghufran petang tadi:

"Jika saya sebut perkataan 'baik' itu seratus kali pun atau banyak kali pun, ianya tetap takkan dapat untuk menerangkan bagaimana baiknya suami saya"

Subhanallah...

Seterusnya Usrah petang tadi juga mengingatkan kepada saya pada bait-bait ayat yang pernah saya cetuskan khas untuk suami saya yang bertajuk 'Saat Hatiku diketuk oleh Kasihmu'.

Kasih sayangnya terlalu indah.

Tiada kata sebenarnya yang dapat saya luahkan untuk menggambarkan.

Saat hatiku diketuk oleh kasihmu
Aku redha dengan ketentuan
Walau dirimu masih asing dalam hidupku
Tidak kukenal budimu
Tidak kuselam hatimu
Aku yakin akan takdir Tuhan
Aku pasrah dengan jodoh pertemuan

Kerana telah ku berjanji pada Ilahi
Tidak kucintai seorang lelaki
Melainkan tali akad itu pasti disimpul mati

Walau mak kata masih terlalu awal
Walau ramai kata adakah sudah kenal
Aku yakin dengan ketentuan Tuhan
Kau tetap menjadi pilihan

Jelas cintaku
demi iman
Jelas kasihku
demi Islam
Walau banyak kelebihan dan kekurangan
Untuk apa kupersoalkan
Kerana semua manusia tidak ada kesempurnaan

Biar Tuhan menjadi saksi
Di atas cinta yang terpatri
Berpaksikan iman di hati
Ku serah jiwa dan hati
Hanya untuk yang dikasihi
Suami yang kucintai.


Umairah-sh
1 Mei 2007


Dia seorang suami yang baik dari dulu hingga hari ini...

Ketika saya sakit teruk di Cameron Highlands baru-baru ini, saya amat terharu pada kebaikan suami saya menjaga saya. Dia membancuh air untuk saya, dia keluar membeli makanan dan seterusnya menghidangkannya kepada saya, dia juga yang menyapu minyak di badan saya, dia mengurut badan saya di tandas ketika saya muntah-muntah dan apabila makanan yang dibelikannya untuk saya sudah sejuk, dia keluar lagi untuk mendapatkan makanan yang panas untuk saya. Subhanallah.... pada waktu itu, saya teringatkan sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dalam kitab Sahihnya yang bermaksud:

"Jika sekiranya aku ingin menyuruh seseorang itu sujud kepada seseorang yang lain, akan aku suruh seorang isteri itu sujud kepada suaminya" (Hukum Hadith: Sahih)

Air mata saya menitis....

24 June, 2009

MASA DULU-DULU

"Akak ni orang mana?" tanya seorang adik yang baru mengenali saya.

"Tekalah", jawab saya.

"KL,eh?", tekanya. Kawannya yang sebelah pula meneka: "Johor ni"

Saya senyum sahaja. Habis semua negeri di Malaysia mereka sebut, tapi satu pun tidak ada yang mengena. Lalu saya pun berkata: "Singapore lah"

"Singapore!!!. Oooo..orang Singapore pun ada yang macam ni,eh?", kata salah seorang dari mereka dengan penuh hairan.

"Orang Singapore pun ada yang macam ni,eh?", ulang saya dalam hati.

hmmm..pelik ke aku ni?

MASA PENDAFTARAN PELAJAR SISWAZAH

Ketika saya ingin menjejakkan kaki masuk ke bahagian pendaftaran untuk pelajar Siswazah, saya dihalang oleh pegawai yang bertugas.

"Ini untuk international student",katanya.

"Saya international student",jawab saya sambil menunjukkan surat tawaran saya. Pegawai itu mengangguk lalu membenarkan saya masuk.

ORIENTASI PELAJAR SISWAZAH ANTARABANGSA UKM

Ramai yang terpinga-pinga melihat saya masuk ke dewan taklimat untuk pelajar antarabangsa. Sehinggakan ada seorang pelajar perempuan berasal dari Iran melihat saya dari hujung tudung hingga ke hujung kasut tanpa berkelip matanya. Dia senyum kepada saya (mungkin senyum hairan). Saya membalas senyumannya. Kemudian dia berbahasa Parsi dengan temannya yang duduk di sebelahnya. Lalu temannya itu bertanya kepada saya dengan mesra:

"Where are you from?"

Saya senyum lalu menjawab: "Singapore"

"Oooo..Singapore!!"

Hah! barulah berkelip mata temannya itu. Mungkin dia berasa hairan dan berkata dalam hatinya: "Kenapalah budak Malaysia ni tersesat di dewan orientasi untuk international student" Hmmm..mungkin =)

DI PERHENTIAN BAS

Pada waktu itu, saya sedang menanti bas di perhentian bas Pusat Pengajian Siswazah, UKM. Dan hanya saya dan seorang lelaki Arab sahaja yang sedang menunggu bas di situ. Saya melihat lelaki itu tidak senang duduk. Sekejap-sekejap matanya melihat ke arah saya. Apabila saya melihatnya, dia pura-pura melihat ke arah lain. Dalam hati saya berkata: "Alamak mamat Arab ni apahal..buat takut aku je"

Kemudian tiba-tiba dia bersuara:

"Excuse me, can you speak English?"

"hmmm..yeah" saya menjawab.

Rupa-rupanya dia hendak bertanya kepada saya adakah benar esok cuti umum di Malaysia.

Kemudian dia berkata: "Are you from here (Malaysia)?"

Saya senyum.

"No, I'm from Singapore"

Muka mamat Arab itu bagai tidak percaya mendengar jawapan saya. Keningnya ternaik dan matanya dibesarkan. Hendak tahu apa dia kata selepas itu:

"Ooooo...sorry, but you look similar...." kata-katanya terhenti di situ. Mungkin lidahnya kelu.

Saya faham maksud dia. Dia hendak kata saya serupa seperti pelajar Malaysia.

DI SIM LIM SQUARE (Singapura)

Seorang perempuan cina dengan selambanya berkata kepada saya:

"Saya tahulah awak bukan orang sini. Saya tengok, awak saya tahu"

Saya ketawa. Tidak menafikan dan tidak membenarkan. Hai, di tempat sendiri pun orang sangka saya orang Malaysia. Saya menggelengkan kepala. Suka hati lah nak kata apa pun.

KENAPA AGAKNYA?

Sebabnya....

saya bertudung labuh dan berjubah

Mungkin berjubah masih kira 'ok' lagi

tapi sebab utamanya saya bertudung labuh

Kenapa?

Orang Malaysia sahaja ke yang boleh mengenakan tudung labuh? =)

Aduiiii..kalau orang Singapura sendiri menyangka saya berwarganegara Malaysia, apatahlagi orang Malaysia, kan?.

Walau apapun.. SAYA MASIH LAGI MEMEGANG PASSPORT SINGAPURA dan telah bersuamikan ORANG SINGAPURA.

Dan tak kurang juga yang menyangka saya menukar warganegara Malaysia kepada Singapura kerana berkahwin dengan lelaki Singapura.

Tidak..tidak..tidak..

semua itu tidak benar!!!

Saya anak jati Singapura

Singapuralah tanah tumpah darahku ..hehe

Teringat kata-kata saya kepada tiga orang pelajar saya (Sakinah, Muslihah dan Atikah) yang bertandang ke rumah saya semalam:

"Awak perlu keluar dari Singapura dan melihat tempat orang. Nanti awak akan rasa, betapa bersyukurnya menjadi anak Singapura"

=) =) =)

22 June, 2009

Doakan Saya


Bismillah

Agak lama saya tidak menarikan jari-jemari saya di papan kekunci untuk blog ini. Saya tidak tahu mengapa saya tiba-tiba ketandusan kata dan bicara. Bukan kata untuk blog ini sahaja, malah banyak lagi perkara-perkara lain yang tidak terlaksana kerana dibelenggu rasa murung. Saya jadi lemah dan mudah bosan. Mungkin kerana terlalu lama terkurung di dalam rumah dek sakit yang pergi dan tidak pernah berjanji yang ia tidak akan kembali.

Saya masih perlu memakan ubat.

Saya perlu mematuhi masa dan perut saya perlu sentiasa berisi sebelum menelan sebiji ubat yang perlu saya makan setiap 4 jam dalam sehari. Kadangkala letih dibuatnya melihat jam dan sentiasa perlu mengunyah makanan. Doktor sudah berpesan "Double your meal. Makan enam kali sehari".

Mungkin kerana itu, banyak perkara yang ingin saya lakukan tergendala kerana dililit bosan yang tiada penghujung. Akhirnya, Saya tidak ada kestabilan emosi.

Saya berasa sedih dan saya berasa agak kecewa kadangkalanya. Dan itu juga yang dikatakan pada setiap artikel yang saya baca mengenai sakit ini. Mereka yang terkena sakit ini, kebiasaannya akan mempunyai perasaan-perasaan seperti itu.(Maaf kerana tidak berterus-terang tentang apakah sakit yang saya hidapi. Saya cuma berharap agar saya sembuh sepenuhnya sebelum kuliah saya bermula pada bulan Julai nanti)

Ya Allah, kuatkan saya, ya Allah. Berikan kesembuhan pada saya.
Jangan jadikan saya hamba Mu yang berputus asa, ya Allah.
Indahkan hati ini dengan sabar, Ya Allah....


اللهم رب الناس, أذهب البأس , اشف أنت الشافي , لا شفاء إلا شفاؤك , شفاء لا يغادر سقما


"Ya Allah, Rabb Ummat Manusia, singkirkanlah semua penyakit. Engkau maha penyembuh, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan satu penyakit pun" (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)


P/s: Doakan untuk saya...

17 June, 2009

Peperiksaan pada semester lepas adalah peperiksaan pengajian Master saya yang pertama. Persiapan saya untuk peperiksaan ini merupakan persediaan yang paling teruk pernah saya lakukan.

Belajar di saat-saat akhir dengan nota-nota yang masih berterabur!

Senang kata, saya kurang bersedia setiap kali masuk ke bilik peperiksaan. Saya masih ingat lagi, setiap kali membaca soalan yang tertera di atas kertas, saya selalunya ada perasaaan terkejut dan dahi saya pula berkerut-kerut dibuatnya. Walau apapun, oleh kerana saya sudah terdidik dengan 'perlunya ada keyakinan diri yang tinggi' lalu dengan lafaz bismillah dan doa:



saya berusaha memberikan jawapan yang paling cantik dan paling indah menurut apa yang saya hafal dan fahami :)

Dan semalam, keputusan peperiksaan telah diumumkan. Alhamdulillah, ianya berada di luar jangkaan saya. Akhirnya saya akur, betapa pentingnya ilmu itu difahami dan dihayati bukan dihafal semata.



Moga ianya menjadi pembangkit semangat dan pencetus inspirasi untuk mereka yang sedang bertungkus-lumus di medan pengajian.

Sungguh...segala puji itu hanya layak untuk Allah s.w.t.

P/S: Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan alfu mabruk kepada rakan-rakan pengajian yang telah berjaya untuk peperiksaan semester lepas terutamanya kepada Ayu dan Sa'adah :)

16 June, 2009

Percutian saya di Cameron Highlands tidaklah seindah yang saya dan suami rancangkan. Siapa sangka, sesampainya saya di sana, tiba-tiba sahaja saya berasa tidak sedap badan dan tidak selera makan. Saya muntah-muntah kerana keracunan makanan.

Kegirangan saya melalui jalan yang bengkak-bengkok selama satu jam lebih untuk sampai ke Tanah Rata, Cameron Highlands, hilang serta merta. Yang ada hanya kesakitan...

Saya terus-terusan muntah-muntah dari jam 3 petang hinggalah selepas azan maghrib berkumandang. Badan saya terlalu lemah. Air mata saya mengalir tanpa henti kerana kesakitan dan saya tidak putus-putus melafazkan istighfar. Kerana tidak tahan dengan keadaan diri yang saya rasakan hampir menempah maut itu, saya berkata dengan tangisan kepada suami saya: "Inah nak pergi Doktor". Tanpa berlengah lagi, suami saya bergegas menghantar saya ke Hospital Cameron Highlands. [saya tidak mahu menceritakan pengalaman di hospital.Yang penting, saya semakin pulih. Alhamdulillah]

Kerana sakit tidak banyak tempat yang dapat saya kunjungi. Saya tidak boleh bau dan memikirkan tentang makanan. Semuanya meloyakan dan memualkan. Sepanjang tiga hari di sana, saya hanya boleh menelan bubur sahaja. Kalau makanan lain hanya sedikit sahaja yang dapat mengisi ruang perut saya.

Pada hari kedua, saya kira saya sudah boleh berjalan-jalan untuk menikmati kesejukan Cameron Higlands dan kehijauan buminya. Tetapi baru sahaja singgah ke beberapa tempat saya sudah berasa pening dan tidak mampu untuk meneruskan perjalanan. Akhirnya, saya mengajak suami saya pulang semula ke hotel kerana saya perlu berehat.






Pada hari ketiga, keadaan saya semakin pulih. Jadi, sebelum berangkat pulang menuju ke KL, kami sempat singgah ke Taman Agro al-Mashoor (sebuah kebun strawberry yang comel) dan Cameron Bharat Tea Plantation.

Taman Agro al-Mashoor




Bharat Tea Plantation





Sejuknya Cameron masih ku rasa
Hijau buminya memukau mata
sakit di sana takkan ku lupa
ku catat ia dalam diari kembara.

P/S: Doakan untuk kesihatan saya.

11 June, 2009

Bismillah

Mengikuti peristiwa berdarah di Narathiwat,Thailand yang berlaku baru-baru ini benar-benar membuatkan jiwa dan hati saya sebak dan pilu. Pertama kali membaca berita itu di laman web yahoo saya agak terperanjat. Terasa sesaknya dada saya.

Pada pagi ini, saya cuba mencari berita-berita selanjutnya di internet. Dan saya menjumpai laporan berita yang mengnyayat hati dari laman Berita Harian Online (Malaysia). Cerita Nasir, antara mereka yang terselamat dalam peristiwa berdarah itu membuatkan saya terbayang-bayang bagaimana ianya terjadi.

Saat surah al-Fatihah pada rakaat kedua dibacakan....

Segalanya bermula...

Laporan berikut dipetik dari laman Berita Harian Online (Malaysia):

'Saya hanya ingat mati'
Daripada Ismail Mat
ismailmat@bharian.com.my


ANGGOTA keluarga mangsa serangan di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan Narathiwat kelmarin, melihat jemaah yang mati ditembak penyerang bersenjata raifal ketika solat Isyak. - Foto Reuters

12 jemaah ditembak mati ketika imam baca al-Fatihah pada rakaat kedua solat Isyak

NARATHIWAT (Selatan Thailand): "Ketika itu saya hanya terfikir saat kematian dan tidak mampu berpaling melihat siapa menembak kami," kata Nasir Ibrahim, salah seorang jemaah yang terselamat dalam serangan ketika solat Isyak di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, dekat sini malam kelmarin.

Nasir, 42, yang juga penghulu kampung itu berkata, imam Wan Abdullah Wan Latif, 62, sedang membaca surah al-Fatihah pada rakaat kedua apabila mereka diserang dua lelaki bersenjatakan raifel kira-kira jam 9 malam waktu Malaysia itu.

Dua penyerang itu, yang berpakaian serba hitam, masing-masing berada di pintu utama dan sebelah kanan masjid berkenaan, melepaskan tembakan dari jarak kurang tiga meter ke arah jemaah, menyebabkan kebanyakan mangsa mati akibat terkena tembakan di kepala dan tubuh badan masing-masing.

Serangan kejam itu, yang dianggap paling buruk di selatan Thailand, menyebabkan 10 jemaah termasuk Wan Abdullah mati serta-merta, manakala dua lagi jemaah meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Narathiwat.

Sebelas lagi mangsa cedera parah dan dirawat di hospital itu. Hanya Nasir dan seorang lagi jemaah terselamat dalam serangan itu, tetapi terpaksa dirawat di Klinik Cho Airong dekat sini, ekoran trauma dan serangan jantung kerana terkejut.


PENDUDUK Islam Thai melihat jenazah mangsa serangan di masjid dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Cho Airong, Narathiwat, semalam. - Foto Reuters

Nasir berkata, tembakan bertalu-talu dari dari arah belakang dan tepi berlaku hampir 10 minit, menyebabkan ramai jemaah tumbang.

"Saya yang berada di hujung saf di sebelah kanan, turut merebahkan badan. Ketika kelam-kabut itu, saya merangkak di celah jemaah yang cedera dan berlumuran darah, menuju ke stor di sebelah tempat imam. Saya duduk di situ sehingga penyerang melarikan diri," katanya ketika ditemui semalam.

Walaupun bersyukur kerana terselamat dalam serangan itu, Nasir amat bersedih mengenangkan ramai jemaah termasuk Wan Abdullah yang menjadi korban serangan kejam itu.

Isteri Wan Abdullah, Yah Che Kob, 58, berkata ketika kejadian beliau berada di rumahnya, kira-kira 50 meter di hadapan masjid berkenaan.


ORANG ramai melihat mayat mangsa serangan di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, malam kelmarin. - Foto Reuters

"Secara tiba-tiba, saya terdengar bunyi tembakan bertalu-talu macam bertih goreng dari arah masjid. Saya terus berlindung di sebalik pintu rumah dan sejurus selepas itu, terdengar jeritan penduduk kampung menyatakan masjid diserang.

"Saya hanya mampu mendoakan keselamatan suami kerana saya tahu dia mengimamkan solat Isyak. Secara kebetulan anak lain keluar, jika tidak mereka juga berjemaah di masjid," katanya.

Yah berkata, jenazah suaminya hanya dapat dikeluarkan dari masjid itu kira-kira jam 7 pagi semalam.

"Serangan ini amat kejam. Mereka tergamak menyerang dan membunuh umat Islam yang sedang solat," katanya dengan nada sedih mengenangkan kematian suaminya yang sudah 15 tahun menjadi imam masjid itu.

Adik Wan Abdullah, juga seorang imam, Wan Ismail Wan Latif, 58, berkata selain abangnya, turut terkorban ialah lapan ahli kumpulan tabligh yang berkunjung ke masjid itu sejak tiga hari lalu.

Jenazah semua mangsa disemadikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan kampung itu kira-kira 11 pagi semalam dengan dihadiri kira-kira 2,000 penduduk termasuk kumpulan pelajar pondok sekitar Narathiwat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Razak Ali, yang meninjau tempat kejadian pagi semalam, mengutuk serangan kejam itu.

"Serangan kejam ini didalangi pihak yang tidak mahu melihat keamanan dinikmati semua penduduk di selatan Thailand. Mereka yang berbuat begini sebenarnya mahu melihat selatan Thailand terus berada dalam pergolakan," katanya.

Tinjauan Berita Harian mendapati, dinding depan masjid dan cermin pintu turut mempunyai kesan peluru, dipercayai akibat tembakan yang tersasar, manakala sebahagian besar lantai dipenuhi darah jemaah yang terkorban. Kesan itu hanya dibersihkan kira-kira 2 petang semalam dengan sebuah lori tangki air yang dihantar pihak berkuasa tempatan.

*********************

Umairah-sh berkata: Bersyukur menjadi Muslim Singapura. Lalu, apakah alasan kita untuk tidak terus menjadi Hamba Allah s.w.t yang menunaikan perintahNya dan menjauhi laranganNya sedangkan di kanan dan kiri kita adanya keamanan dan ketenangan. Wallahu'alam.

09 June, 2009

"Kesiannya ...selalu sakit teruk-teruk", kata Doktor setelah memeriksa 'sakit' saya.

Saya senyum.

Setelah keluar dari bilik doktor saya menunggu lagi 10 minit untuk mengambil ubat. Saya dipanggil oleh makcik yang mengendalikan ubat-ubatan di klinik itu. Dia menerangkan pada saya tentang cara pemakanan ubat lalu menyebutkan harga ubat yang perlu dihabiskan dalam masa lima hari.

"S$1**", katanya dengan senyuman. Ohhh...dengan senyuman terkejut dan dahi yang berkerut saya berkata:

"Mahalnya!"

"Ubat ni memang mahal. Kesian budak ni!", kata makcik itu lagi.

Saya masih tersenyum.

"Boleh bayar guna 'NETS'?",tanya saya.

"Bolehhh...untuk awak semua bolehhh", jawab makcik yang sememangnya peramah. Hai..duit 'cash' yang saya bawa memang tidak mencukupi untuk membayar ubat itu. Mujur boleh bayar guna 'Nets', kalau tidak, satu kerja lagi saya perlu mencari ATM.

Tak sangka...ubatnya berharga setinggi itu!

Sepanjang perjalanan pulang dari klinik saya banyak memuhasabah diri. Merenung dengan senyuman yang saya tahu ianya bukanlah senyuman semanis madu tetapi ianya adalah senyuman sepahit hempedu.

Ada air yang bertakung di kolam mata saya. Ada juga sebak yang menyelubungi jiwa.

Namun, saya masih ingin menghadapi semuanya dengan senyuman. Moga senyuman itu sebagai tanda sebuah ketabahan.

Ya Allah..kuatkan hati ini.

Moga saya lebih menghayati 'Hikmah dan Faedah Adanya Penyakit' sepertimana yang pernah saya syarahkan di kuliah Muslimah Masjid Darul Ghufran pada tahun lepas.

Hikmah Dan Faedah Adanya Penyakit Hikmah Dan Faedah Adanya Penyakit Umairah-sh Kuliah Muslimah @MDG



P/S: Ayat al-Quran pada dokumen di atas tidak dapat dibaca 'font'nya oleh Scribd. Harap dapat rujuk pada surah dan nombor ayat yang dinyatakan di situ. Akhir sekali, moga bermanfaat dan doakan untuk saya...

06 June, 2009

Hari ini saya senyum sampai telinga.

Saya telah ke pesta buku Islam di Wisma Indah petang tadi. Saya tidak membeli banyak buku melainkan satu sahaja kitab. Tetapi yang satu ini amat bermakna buat saya. Baru sahaja saya selesai membelek kitab ini dan saya memeluknya kuat-kuat sambil mengukir senyuman hingga ke telinga.

Ya Allah...Sukanya saya dengan kitab ini.



Mausu'ah al-Hadith al-Syarif (ensiklopedia hadith) ini memuatkan 6 kitab hadith utama di dalam sebuah kitab. Ianya mengandungi:

1) Sahih al-Bukhari
2) Sahih Muslim
3) Sunan Abi Daud
4) Jami' al-Tirmizi
5) Sunan al-Nasai
6) Sunan Ibn Majah

Setahu saya kitab ini cuma terdapat satu sahaja di Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM dan ianya sering menjadi rebutan mahasiswa dan mahasiswi modul Hadith. Saya adalah antara mereka-mereka yang sering merebut kitab ini dan amat setia menggunakannya sebagai rujukan. Ini kerana ianya mudah dan amat menjimatkan masa. Memuatkan kitab-kitab sumber hadith yang berjilid-jilid ke dalam satu kitab. Subhanallah...satu usaha yang amat baik.

Atas sebab itu, saya tidak hairan jika ada beberapa kali, kitab ini 'ghaib' entah ke mana. Puas di cari di dalam bahagian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, tetapi tetap tidak ditemui. Hmmm..saya tahu! Ada lah tu, yang nakal sembunyikan kitab itu. Maklumlah, kalau ramai yang hendak menggunakannya, tentulah yang empunya diri yang sengaja menyembunyikan itu, tidak berpeluang untuk menggunakannya. Kalau saya hendak kata ada yang meminjam, MUSTAHIL! Ini kerana kitab tersebut tidak boleh dipinjam apatah lagi dibawa keluar dari perpustakaan.

Tidak elok buat begitu,kan? Kasihan pada orang lain yang sedang sibuk membuat kajian. Saya tidak kisah jika kitab itu, disediakan dengan jumlah yang banyak oleh pihak perpustakaan. Kalau ada banyak, sembunyikanlah. Tidak kisah pun. Tapi ini cuma ada satu sahaja. Kalau satu tidak ada, maka tidak adalah jawabnya.

Pernah juga saya murung berminggu-minggu kerana 'kehilangan' kitab ini. Dan akhirnya saya terpaksa juga merujuk kitab-kitab sumber hadith yang berjilid-jilid.

Atas dasar pentingnya kitab ini dalam hidup saya dan khususnya dalam pembelajaran saya, saya tidak teragak-agak untuk membelinya petang tadi. Sukanya saya hingga menyebabkan saya memeluk kitab ini sekuat-kuatnya. Saya letakkan ia dekat di hati sebagai tanda 'salam perkenalan' dari saya.(Nasib baik tak hancur..heheh. Sebenarnya penting kita membina hubungan dengan buku, tau! Nanti jika saya berpeluang akan saya kongsikan bagaimana ukhwah saya terbina dengan setiap subjek dan kitab yang perlu saya habiskan bacaannya. hehe)

Kini, Alhamdulillah, saya tidak perlu risau lagi jika kitab ini disembunyikan oleh sesiapa pun. Ianya sudah ada bersama dengan saya. Boleh lah saya merujuknya nanti bila saya memerlukannya walau angka jam sudah menunjukkan 3 pagi.

Saya masih tersenyum hingga ke telinga... =) =) =)

Terima Kasih kepada pelajar saya, Maryam yang memetik gambar ini tanpa pengetahuan saya. Hehhe

03 June, 2009

Bismillah

Saya masih diulit dengan keletihan...

KEM

Pada hari Sabtu yang lalu (30.05.09), saya telah mengikuti perkhemahan B.I.L.L Camp (Basic Islamic Learning Leadership Camp) di Pulau Ubin. Penyertaan saya di kem tersebut sebagai cadre (maaf tidak tahu bagaimana hendak diterjemahkan ke bahasa Melayu) telah menemukan saya dengan Fatayat Ghufran yang agak lama saya tinggalkan. Insya Allah, selepas ini pertemuan demi pertemuan akan diatur untuk kami meneruskan sesi usrah yang terpaksa dihentikan kerana masa mereka yang tidak mengizinkan dan kerana saya pula perlu melanjutkan pangajian saya di peringkat Master.


Saya dan Fatayat Ghufran



Kehadiran saya di kem ini sebenarnya lebih untuk menemani seorang adik yang baru saya kenali yang bernama Abidah. Walaupun dahulu kami berada di satu madrasah tapi baru kali ini saya dapat mengenalinya dengan lebih dekat. Subhanallah....Moga ukhwah ini berterusan dan dirahmati Allah s.w.t.


Saya dan Abidah

FORUM

Pada keesokan harinya (31.05.09), saya terpaksa bergegas pulang dari Pulau Ubin untuk menyiapkan diri sebagai ahli panel untuk Forum Cabaran Remaja Muslimah Millenium di Masjid Kampung Siglap anjuran AhlulquranPTS dan puteri Samrah. Memang agak kelam-kabut. Saya bagai nak pitam pun ada. Dengan keletihan yang masih lagi belum hilang walau sedikit pun, ingin sahaja saya menarik diri dari menjadi ahli panel pada petang itu. Namun, memandangkan saya sudah berjanji, saya kira tidak elok saya menghampakan permintaan orang di saat-saat akhir. Mujur saya sudah menyiapkan isi-isi penting sehari sebelum saya bertolak ke Pulau Ubin dan Alhamdulillah, walau keletihan, segalanya dapat berjalan dengan lancar.

KULIAH MUSLIMAH

Setelah forum, saya perlu menyiapkan diri untuk menyampaikan kuliah Muslimah pada hari Selasanya. Harapan saya untuk berehat dengan sepenuhnya nampaknya tidak kesampaian. Masa saya pada hari Isnin itu pula, terpaksa saya habiskan dengan menelaah kitab-kitab sebagai persedian untuk kuliah Muslimah. Akhirnya pada malam semalam saya dapat menyampaikan kuliah Muslimah yang bertajuk "Pagar diri dan rumah menurut al-Quran dan al-Sunnah". Alhamdulillah...

LETIH DAN SAKIT

Hmmm, akibat keletihan yang amat sangat sedari hari Sabtu hinggalah selasa semalam, hari ini badan saya begitu lemah(ditambah lagi dengan cold sore yang tumbuh di atas bibir). Cold sore itu merupakan amaran kepada saya bahawa saya tidak boleh keluar rumah melainkan jika ia sudah agak kering dan hampir sembuh.

Maka dengan itu, hari ini saya perlu berehat..

walaupun di otak saya ini terus-terusan berfikir kerana ada banyak tugasan yang perlu saya selesaikan belum lagi saya usahakan..

Apapun, saya ingin terus tersenyum walau tidak berapa sihat dan keletihan =) =) =)

Rabbi yassir walaa tu'assir Yakarim..

P/S: Doakan untuk kesihatan saya =)