02 May, 2009

"Selalunya kita tengok kat TV, dengar orang cerita..tapi ni berlaku depan mata,kak", luah seorang adik kepada saya.

"Risau sangat..macam manalah kalau isteri pertama dia tahu. Kesian sangat dengan kak ***", luahnya lagi.

Saya tersenyum lalu berkata:

"Jangan kesiankan dia. Biarkan dia. Itu pilihan dia. Semua orang perlu belajar dengan pilihan yang dibuat olehnya sendiri. Bukan tidak ada orang yang halang dia. Ramai yang dah cakap kat dia. Tapi kerana dia hendak juga jadi yang kedua...biarkan dia rasa"

"Kawan A** pun cakap macam tu. Dia kata jangan kesian kan dia"

Dialog di atas sebenarnya adalah luahan rasa seorang adik kepada saya yang amat risau dengan keadaan rakan baiknya yang baru bergelar isteri kedua. Rakan baiknya itu telah menobatkan dirinya sebagai isteri kedua seseorang lelaki tanpa pengetahuan isteri pertama lelaki tersebut. Pernikahan itu mengundang tangis di mata dan hati ramai insan-insan yang mengasihinya terutama ibunya sendiri.

Satu kehendak yang nekad dan saya pasti kehendak yang telah disimpan sekian lama dan tidak mungkin untuk dipertimbangkan untuk kali kedua. Walau banyak suara prihatin telah cuba menasihatkan tetapi sebuah rasa tidak mungkin terpadam. Perlu dilalui dengan berani. Berani untuk berhadapan dengan risiko. Dan yang penting, berani kerana cinta!



Sebagai seorang isteri saya tidak mahu ditipu dan dikhianati oleh suami sendiri dan juga sebagai seorang wanita yang sudah bergelar isteri saya tidak tergamak untuk melukai hati seorang isteri.

Lalu saya tertanya-tanya adakah kawan adik saya itu yang baru sahaja dinobatkan sebagai isteri kedua, tidak ada rasa bersalah? Bagaimana jika dia yang berada di tempat yang pertama? Relakah dia ditipu oleh suami sendiri?

Bukankah kita sama-sama wanita?

Walau beza macam manapun kita, kita tetap ada jiwa seorang wanita!

Lalu mengapa dia sendiri tidak mahu berusaha agar isteri pertama lelaki yang dicintainya itu mengetahui keadaan yang sebenar? Mengapa dia tidak meminta agar lelaki itu berusaha memberitahu pada isterinya? Nampaknya dia belum benar-benar berani untk dilambung ombak. Dia hanya berani berumah di tepi pantai tapi masih takut untuk dilambung ombak.

Jelas, kita dalam banyak keadaan TERLALU MEMENTINGKAN KEHENDAK DIRI SENDIRI TANPA MEMIKIRKAN PERASAAN ORANG LAIN. Dan dalam keadaan mementingkan diri sendiri itu, kita tidak berfikir panjang. Yang kita fikirkan TERREALISASINYA SEBUAH KEINGINAN.

Hmmm...saya tidak mahu mengulas dengan lebih jauh lagi tentang hal ini. Bimbang-bimbang penulisan saya akan lebih berbaur emosi. Cuma yang penting...tidak semua isteri kedua itu tidak baik malah ada yang lebih baik dari isteri yang pertama dan tidak semestinya apabila seorang suami itu bernikah lagi dia itu tidak baik dan tidak mengasihi isterinya yang pertama, dia cuma ingin meletakkan kasih sayangnya pada wanita lain dengan cara yang halal.

Penulisan saya yang lepas tidak pernah menolak poligami malah saya tidak pernah juga merasakan poligami itu satu diskriminasi terhadap wanita. Tetapi poligami perlu dilaksanakan dengan seindah mungkin tanpa ada rasa terluka, melukai dan dilukai.

Walaubagaimanapun, saya berpendapat memberitahu pada isteri pertama keadaan yang sebenarnya adalah lebih baik. Tanda kita menghargai yang pertama kerana tanpa yang pertama mana mungkin ada yang kedua!

Ketahuilah, menghargai dan menjaga apa yang ada itu adalah lebih indah dan menenangkan sebenarnya daripada mencari yang satu lagi.

Wallahu'alam.

0 Comments:

Post a Comment