11 May, 2009

Dari Blok 8M KUO

Bismillah

Pada malam ini saya menarikan jari-jemari dari blok 8M Kolej Ungku Omar. Terpaksa berpindah bilik hanya untuk duduk lagi seminggu di sini. Baru sahaja hari pertama, saya sudah terasa sunyi. Maklumlah, rakan-rakan Master kebanyakannnya sudah pulang ke kampung halaman masing-masing dan mungkin juga ada yang belum lagi menghirup udara di rumah sendiri lantaran perlu menghabiskan beberapa lagi tugasan yang masih tergendala.

Dan sekarang ini saya perlu menyelesaikan tugasan yang saya perlihatkan pada gambar di bawah ini.




Sekali lihat saya rasa macam tidak boleh untuk saya selesaikan malam ini. Banyak juga...

SEMESTER YANG TELAH LALU

Semester pertama ini agak mencabar pada saya. Ini kerana saya sendiri belum bersedia untuk menduduki pengajian master sebenarnya. Perasaan saya masih remuk di awal-awal pengajian kerana tidak dapat melanjutkan pengajian di Kuwait University. Apapun aturan Allah itu tetap indah. Saya percaya pada hikmah yang tentunya berbaur dengan pelbagai rahmah di atas setiap ketentuan yang Allah s.w.t takdirkan untuk saya.

Pada pengajian ini, saya berpeluang bertemu dengan rakan-rakan dari Indonesia dan Thailand yang hebat-hebat dan juga rakan-rakan dari Malaysia yang tidak kurang hebatnya. Masing-Masing ada ilmu yang tersendiri. Dari pelbagai bidang pengajian Islam (Syariah, usuluddin, Tahfiz dan Qiraat, tafsir, hadith, dakwah) kami dipertemukan di dalam satu kuliah dan di situ tentunya ketika sesi perbincangan pelbagai idea dan persoalan timbul berdasarkan pada ilmu dan fikrah yang dimiliki oleh setiap dari diri mereka.

SA'ADAH DAN AYU

Paling indah pada saya adalah ukhwah saya dengan dua orang adik yang sudah dikenali sedari pengajian peringkat sarjanamuda lagi. Ayu dan Sa'adah. Jazahumallahu khaira kerana selalu memahami keadaan saya yang sering terkejar-kejar dengan belajar dan mengajar. Mereka banyak membantu meringankan kerja-kerja saya. Cuma tak tahannya nanti, bila mereka mula bersoal itu ini pada saya. Nanti mulalah: "akak...akak". Dua-dua hendak mengadu macam-macam pada saya dalam satu masa. Aduiii...pening kepala saya kerana tidak tahu yang mana satu saya perlu dengar dahulu. Tetapi saya tidak kisah pun kerana mereka baik hati, lucu dan suka buat saya ketawa. =)


Bergambar bersama Ayu dan Sa'adah

BILIK DI BLOK 8W KOLEJ UNGKU OMAR

Tiba-tiba rindu pula pada bilik saya di blok 8W. Saya melepaskan nafas dengan berat. Mungkin semester ini adalah semester terakhir saya menjadi penghuni kolej Ungku Omar. Saya akur, sampai bila saya perlu berada di sini. Saya perlu berhijrah dan merasai suasana yang baru, untuk lebih melihat, merasai, mengamati dan memuhasabah diri. Tiada lain yang saya harapkan agar Allah s.w.t takdirkan yang terbaik untuk saya.






NADIAH DAN SYA

Teringat pula pada dua orang pelajar tutorial saya yang comel dan lucu. Kehadiran mereka di bilik saya sering mengundang tawa dan cerita yang cukup menghiburkan hati. Terima kasih kepada mereka terutamanya Nadiah (Dya) kerana sering menjadi teman berbalas sms dan dia juga selalu sudi untuk membantu saya mengangkat baju-baju saya di ampaian ketika saya sedang sibuk di fakulti. Mengenali mereka merupakan satu anugerah dari Allah s.w.t. Semoga Allah mempermudahkan setiap urusan mereka.Allahumma Amin.


Bergambar bersama Sya dan Dya

hmmm...baiklah. Rasanya ini sahaja yang dapat saya tuliskan untuk malam ini. Saya perlu menyambung tugasan saya yang masih banyak ini. Moga dapat diselesaikan dengan secepatnya. Insya Allah, kita bertemu lagi di lain ketika untuk lebih berbicara dari hati...

Sekian

Wassalam

0 Comments:

Post a Comment