18 May, 2009

Segala puji itu hanya layak saya panjatkan kepada Allah s.w.t - tiada Tuhan yang layak di sembah melainkan DIA.

Pada hari ini saya menaip dari ruang kamar saya di Singapura yang hampir setengah tahun saya tinggalkan. Kamar yang menjadi ruang untuk saya melihat erti kejayaan, kegagalan, kegembiraan, kesedihan, senyuman dan tangisan ini tetap sama seperti dahulu, cuma kini agak berserabut sedikit kerana terlalu banyak barang yang entah di mana perlu saya letakkan agar kelihatan sedikit kemas. Kitab-kitab dan fail-fail saya semakin hari semakin bertambah. Saya sebenarnya memerlukan ruang khas untuk barang-barang saya sendiri. Senang kata, memerlukan rumah sendiri agar semuanya lebih teratur. Tetapi memandangkan saya masih lagi ingin bergelar pelajar, rumah sendiri yang sudah sedia ada itu dijadikan salah satu punca rezeki kami suami isteri. Oleh itu, sumbatlah semua barang dalam satu bilik ini yang Alhamdulillahnya masih lagi ada ruang untuk saya dan suami solat berjamaah =)

PIALA HATIKU

Apapun kepulangan saya semalam malam agak memeranjatkan kerana saya melihat susunan piala-piala yang saya perolehi ketika menuntut ilmu di Madrasah Alsagoff al-Arabiah yang tersusun di atas almari baju saya sudah tidak teratur. Saya memanjat katil untuk melihat piala-piala tersebut dan apabila saya amati, habuk di piala-piala itu sudah bersih dilap. Siapa lagi kalau bukan emak yang membersihkan habuk-habuknya.

Saya tersenyum girang.

Bukan apa, sebenarnya semenjak saya bernikah piala-piala itu tidak pernah saya sentuh. Saya hanya membiarkan ianya berhabuk di atas almari tanpa ada sedikitpun keinginan untuk membeleknya apatah lagi membersihkannya (seperti mana dulu yang sering saya lakukan). Tetapi kini, apabila melihat semua piala-piala itu bersinar dan berkilau, saya terkenang zaman persekolahan saya.


Piala Hatiku =)


BERUSAHA MENCAPAI 'KHAIRA UMMATIN'

Sungguh...bukan mudah sebenarnya untuk memperolehi piala demi piala jika tanpa ada keinginan dan kesungguhan. Akhirnya saya sedar. Saya banyak belajar menjadi manusia yang mendidik diri untuk menjadi yang terbaik sejak di Madrasah Alsagoff al-Arabiah lagi. Keinginan dan kesungguhan itu berjaya disemai di sana dan sehingga ke hari ini saya berusaha memastikan agar kesungguhan dan keinginan itu tidak malap. Walau saya sudah bergelar seorang pelajar dewasa yang mempunyai misi dan visi dalam belajar yang mana ianya amat berbeza sewaktu saya di alam persekolahan dahulu tetapi kesungguhan dan keinginan itu tetap sama. Ianya sama kerana menjunjung firman Allah s.w.t yang berbunyi:



Maksudnya: Kamu adalah sebaik-baik ummat yang dikeluarkan kepada manusia untuk mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah s.w.t (al-Quran, Ali 'Imran, 3:110)

Firman Allah itu saya genggam semenjak di bangku sekolah lagi. Bersyukur kerana menjadi sebaik-baik ummat yang dipertanggungjawabkan menjunjung amanah dakwah (mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah). Walau saya akur amanah yang disandang di bahu semenjak bergelar pelajar Madrasah cukup memeritkan sebenarnya. Setiap hari melangkahkan kaki ke Madrasah, saya menanam azam agar dapat mengajak dan memotivasi rakan-rakan untuk melakukan kebaikan dan saya juga berazam agar satu hari saya dapat melakukan sesuatu untuk Dakwah fillah.

Lalu atas dasar konsep 'Khaira Ummatin' itulah yang menggerakkan saya agar sentiasa melakukan sesuatu dengan terbaik dan penuh kesungguhan agar menjadi Muslim yang bukan saja cerdik agama tetapi cerdik juga jiwa dan minda. Medan peraduan di Madrasah itu saya jadikan batu loncatan untuk mengasah bakat agar mampu untuk terus menjadi manusia yang berlumba-lumba untuk mencapai kebaikan. Kebaikan demi merealisasikan 'khaira ummatin' dan memartabatkan agama Allah s.w.t.

ZAMAN YANG MENGUNDANG SENYUMAN




Zaman persekolahan adalah zaman yang mengundang senyuman bila dikenang-kenang. Walau memang tidak saya nafikan di sana terdapat juga pahit dan peritnya. Tetapi walau terkenangkan yang pahit itu sekalipun, saya tetap akan tersenyum. Ini kerana saya mengerti semua itu adalah fatrah untuk saya belajar menjadi insan dewasa, belajar mengenal hati budi manusia dan belajar tentang perjalanan sebuah kehidupan yang tidak Allah s.w.t hadiahkan kepada hambaNya dengan saja-saja.

Tersenyum apabila terkenang karenah dan gurauan rakan-rakan

Tersenyum apabila terkenang bebelan (nasihat) asatizah tersayang

Tersenyum apabila terkenang perkara-perkara lucu yang terjadi di bilik darjah

dan tersenyum apabila terkenang peristiwa dipaksa makan jadam oleh ustazah kerana tidak berbual di dalam bahasa Arab ..hehe



Sebenarnya jauh di sudut hati ini, saya bersyukur dan berbangga menjadi anak kelahiran Madrasah di sebuah negara metropolitan. Kewujudan Madrasah di negara maju seperti Singapura tidak pernah disangka oleh segelintir rakan-rakan saya dari negara jiran. Lalu bila pertama kali mereka berkenalan dengan saya pasti ada yang terkejut:

"Betul ke, orang Singapore?"

"Di Singapura ada sekolah agama juga,ye?"

Saya tersenyum....




KADANGKALA ADA KEKECEWAAN

Namun begitu dalam senyuman kadangkala ada kekecewaan...

Kecewa apabila mengenangkan segelintir anak-anak Madrasah yang tidak menjadi seperti yang diharapkan. Lalu seringkali lidah ini menjadi kelu apabila masalah akhlak dan jahil agama itu berlaku di kalangan segelintir pelajar Madrasah itu sendiri...

Sedih dan kadangkala tidak terkata melainkan ada air mata

Saya tahu...saya perlu melakukan sesuatu untuk anak-anak Madrasah Singapura...

Saya tidak mahu membiarkan apatahlagi hanya memandang dengan sebelah mata.

Rabbi Yassir walaa Tu'assir Ya Karim...

0 Comments:

Post a Comment