22 May, 2009

Pada hari ini saya membelek album-album lama yang terperuk di dalam almari entah sejak bila pun saya kurang pasti. Tatkala saya membuka album yang berwarna merah jambu, tertera kata-kata yang saya tulis dan telah lama saya lupakan. Kata-kata itu berbunyi:

Sekeping gambar itu mampu mengungkap
pelbagai rasa dan suasana
Yang pastinya sekeping gambar itu
mempunyai kuasa luar biasa
untuk meninggalkan kesan-kesan memori
yang menjadi nostalgia abadi di dalam ingatan


Dan album itu adalah album yang berisi gambar-gambar saya ketika di Maahad Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat Melaka. Lembar demi lembar saya buka, setiap keping gambar yang terdapat di dalamnya, memang mempunyai kuasa luar biasa dalam meninggalkan kesan-kesan memori yang tentu sahaja tidak mungkin untuk saya lupakan.

RINDU

Tiba-tiba saya menjadi rindu dengan kehijauan bumi Chenderah. Rindu pada sekelilingnya yang dilindungi dengan pokok-pokok getah. Rindu pada bau rumputnya di pagi hari yang seringkali jelas kelihatan embun putih menghiasi. Rindu pada dada langitnya di malam hari yang seringkali dihiasi bintang-bintang berkerlipan. Rindu pada warna-warni pelangi yang tiba-tiba muncul di kaki langit entah apa sebabnya. Rindu pada gemersik dedaunan yang gugur ketika angin bertiup kencang. Rindu pada tengah hari dan petangnya yang hening dan rindu juga pada malamnya yang meriah dengan suara kami bersolat jamaah, berusrah, berta’lim dan bermuzakarah. Subhanallah…

Terbayang di ruang mata saya pada surau asrama banat. Suraunya yang kecil tetapi cukup berfungsi untuk apa jua aktiviti. Surau yang telah menyaksikan suka duka akhawat Maahad Tahfiz al-Quran Melaka itulah ruang akhawat untuk berkumpul meraikan kegembiraan hati, berkumpul memuhasabah diri, medan akhawat mentarbiyah diri, bermunajat, berqiyamullail dan mengalunkan ayat suci al-Quran al-Karim. Suasana itu semua cukup indah bagi saya. Benar ada segudang rindu yang bertamu di hati ini….Rindu pada bi’ah solehah yang terbit atas dasar untuk menjunjung kalamullah dan mendidik diri untuk menjadi muslimah mujahidah yang solehah.



TEMPAT YANG MEMATANGKAN

Saya tidak menafikan bahawa pengalaman saya di Maahad adalah pengalaman yang kurang indahnya. Terlalu perit dan banyak yang pahitnya. Sehinggakan saya seringkali mahu melarikan fikiran saya dari mengingati apa jua perkara di Maahad. Namun saya akur, saya manusia biasa. Walau saya terluka tetapi mana mungkin saya terlupa.

Walau jiwa terhiris dengan kata-kata sinis insan sekeliling
Walau air mata berderai dengan layanan yang saya rasakan tidak adil
Walau saya kadangkala rasa tersisih dan tersinggung
Walau janji yang sudah terikat hampir 3 tahun akhirnya terpaksa dileraikan

Saya belajar untuk menerima, BERSABAR dan MENCARI HIKMAH atas semua takdirNya. Akhirnya saya sujud dan akui, dugaan yang saya hadapi dan kesilapan yang saya lakukan bukan untuk ditangisi sepanjang hayat tetapi untuk merubah diri, diinsafi dan dipelajari agar saya tidak lagi tersilap langkah untuk kali yang kedua dan agar saya menjadi seorang muslimah yang lebih kuat untuk menggenggam syariat Allah dan Sunnah Rasulullah. Allahu akbar…

[Maafkan saya kerana tidak menceritakan apa yang pahit dan apa yang peritnya secara jelas di sini, kerana semua itu bakal menyebabkan luka lama berdarah kembali. Cukuplah saya katakan semuanya telah berjaya menjadikan saya seorang manusia matang yang mengenal erti sebuah kehidupan dan erti sebuah kesabaran. Subhanallah.]

BERAMAL BUKAN KERANA BI’AH

Kenangan dan suasana indah di Maahad itu, saya aplikasikan dengan realiti graduan Maahad Tahfiz yang telah berjaya menggengam segulung kertas bernama diploma. Tiba-tiba kesedihan singgah di ruang hati saya. Sedih apabila ramai yang berubah setelah Maahad dihadiahkan ucapan ‘Selamat Tinggal’. (Saya katakan ‘ramai’ tidak bererti ‘semua’)

Mungkin kita terlupa bahawa beramal bukanlah tertakluk pada sesebuah bi’ah (suasana). Adakah kita perlu berubah hanya kerana kita sudah tidak lagi berada di dalam suasana ibadah dan tarbiyah seperti Maahad Tahfiz? Kita tinggalkan segalanya hanya kerana kita bukan lagi berada di dalam suasana Maahad yang indah dan damai itu.

Jangan membiarkan saya tersenyum sinis pada mereka-mereka yang sering memandang rendah pada orang lain yang kadangkala membina alasan untuk tidak menyertai aktiviti tarbiyah di Maahad. Tetapi apabila dia (yang sering memandang rendah itu) keluar dari kepompong Maahad, dia sendiri kelihatannya seperti insan yang tidak pernah mengenal apakah itu erti tarbiyah dan apakah itu erti menutup aurat yang sebenar. Maafkan saya jika kata-kata ini sedikit kasar bunyinya. Tetapi saya ingin menyatakan apa yang benar dan apa yang kerap kali berlaku.

Banyak yang saya lihat, antara contohnya, semasa di Maahad cakapnya tentang batas pergaulan lelaki dan perempuan (lebih-lebih lagi tentang masalah coupling) bukan main berdentam-dentum bunyinya. Tetapi apabila keluar sahaja dari Maahad, dia kelihatan seperti tidak pernah tahu apa dia itu batas antara ikhwan dan akhawat. Pelik! Dan saya terlebih-lebih lagi pelik! Bukan saya ingin memburuk-burukkan pelajar hafiz dan hafizah. Tetapi itulah realiti yang berlaku.

Ya, saya mengerti ramai akhawat yang berasa tidak kuat dengan ujian selepas keluar dari dunia Maahad. Jika di Maahad Tahfiz kita dibentuk dengan suasana bi’ah solehahnya yang mana setiap hari disogokkan dengan aktiviti tarbiyah. Namun apabila keluar dan memasuki institusi bernama universiti contohnya atau berada di tengah-tengah masyarakat sebagai seorang yang berkerjaya misalnya, kadangkala kita cepat mengalah dan kalah dengan suasana yang sememangnya tidak seperti yang ada di Maahad.

Ingin saya tegaskan di sini, walau apapun situasinya, semuanya TERPULANG PADA DIRI KITA SENDIRI.

Ketahuilah, tarbiyah di Maahad adalah tarbiyah yang ingin menyiapkan kita menghadapi dunia luar. Tetapi jika kita berubah setelah mendapat tarbiyah, lalu tanya-tanyakan pada diri kita. Mengapa semua itu berlaku?

Bimbang-bimbang kita beramal atas dasar ikut-ikutan dan atas dasar untuk ‘menghormati’ sebuah bi’ah. Bimbang-bimbang kita beramal agar tidak dipandang rendah oleh insan sekeliling dan kita beramal agar diterima oleh masyarakat yang berada pada bi’ah solehah itu. Lalu di manakah letaknya keikhlasan dalam beribadah?

Hmmm….

RINDU YANG MEMBONGKAR

Ya Allah..kerinduan saya telah membongkar isi hati saya yang telah lama tersimpan kemas dalam jiwa. Apa yang saya nyatakan di atas telah lama berada di benak saya [walau saya tahu saya perlu lebih menjelaskan luahan itu agar ianya lebih kemas dan lebih mudah difahami]. Dan hari ini, gambar-gambar yang saya amati telah menggerakkan saya untuk menulis mengenainya (Beramal Bukan Kerana Bi'ah).

Akhir sekali, tulisan yang banyak kekurangannya ini, saya khaskan untuk akhawat yang sedang berjuang di Maahad Tahfiz dan sudah bergelar graduan Maahad Tahfiz.

Untuk anda lebih memuhasabah diri dan untuk anda lebih bersedia untuk menjadikan diri anda insan yang bagaimana selepas itu. Wallahu’alam.

0 Comments:

Post a Comment