27 May, 2009



Salam Akhawaatii fillah.....

~Remaja Muslimah adalah individu penting yang akan mencorak keluarga dan generasi akan datang

~Kehidupan remaja Muslimah sangat bermakna, oleh itu letakkanlah diri di tempat yang bermakna bersama dengan sahabat-sahabat yang juga bermakna dan bermatlamat.

Ketahuilah, wanita yang solehah itu sukar untuk ditemui bagaikan berlian dalam kaca yang bertaburan. Ramai wanita yang mengetahui hukum syarak tetapi masih ramai yang melanggarinya kerana mahu mengecapi nikmat dunia yang singkat.

Lalu mulakanlah hari ini..

Alihkanlah pandangan kita pada perkara yang bermakna.

Bersama asatizah, pembimbing dan akhawat yang bermakna dan berpengalaman agar kita dapat sama-sama membincangkan tajuk:

"CABARAN REMAJA MUSLIMAH MILLENIUM"

Moderator Forum:

Ustazah Mariam Mohd Hashim

Ahli Panel:

Ustazah Nurliza Ikhsan

Ustazah Rusydah Eusope

Ustazah Sakinah Saptu


Penganjur:

AhlulQuranpts (Masjid Kampung Siglap) dan Putri Samrah


Aktiviti:

1-Forum membentuk jati diri muslimah untuk berdepan dengan cabaran.

2-Tadabbur Alam: Melihat matahari terbenam dan menyingkap perjuangan wanita dalam sejarah.

3-Perbincangan hati ke hati


Hari dan Masa:
Ahad, 31 Mei 2009 (4 petang - 9 malam)


Tempat berkumpul:

Ruang Musolla Wanita Masjid Kampung Siglap


Sasaran:

Para REMAJA MUSLIMAH dan indivudu Muslimah yang berminat


Untuk pendaftaran, sila hubungi:

Ustazah Mariam (96265027)

*Info updated by Ustazah Mariam Hashim.

22 May, 2009

Pada hari ini saya membelek album-album lama yang terperuk di dalam almari entah sejak bila pun saya kurang pasti. Tatkala saya membuka album yang berwarna merah jambu, tertera kata-kata yang saya tulis dan telah lama saya lupakan. Kata-kata itu berbunyi:

Sekeping gambar itu mampu mengungkap
pelbagai rasa dan suasana
Yang pastinya sekeping gambar itu
mempunyai kuasa luar biasa
untuk meninggalkan kesan-kesan memori
yang menjadi nostalgia abadi di dalam ingatan


Dan album itu adalah album yang berisi gambar-gambar saya ketika di Maahad Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat Melaka. Lembar demi lembar saya buka, setiap keping gambar yang terdapat di dalamnya, memang mempunyai kuasa luar biasa dalam meninggalkan kesan-kesan memori yang tentu sahaja tidak mungkin untuk saya lupakan.

RINDU

Tiba-tiba saya menjadi rindu dengan kehijauan bumi Chenderah. Rindu pada sekelilingnya yang dilindungi dengan pokok-pokok getah. Rindu pada bau rumputnya di pagi hari yang seringkali jelas kelihatan embun putih menghiasi. Rindu pada dada langitnya di malam hari yang seringkali dihiasi bintang-bintang berkerlipan. Rindu pada warna-warni pelangi yang tiba-tiba muncul di kaki langit entah apa sebabnya. Rindu pada gemersik dedaunan yang gugur ketika angin bertiup kencang. Rindu pada tengah hari dan petangnya yang hening dan rindu juga pada malamnya yang meriah dengan suara kami bersolat jamaah, berusrah, berta’lim dan bermuzakarah. Subhanallah…

Terbayang di ruang mata saya pada surau asrama banat. Suraunya yang kecil tetapi cukup berfungsi untuk apa jua aktiviti. Surau yang telah menyaksikan suka duka akhawat Maahad Tahfiz al-Quran Melaka itulah ruang akhawat untuk berkumpul meraikan kegembiraan hati, berkumpul memuhasabah diri, medan akhawat mentarbiyah diri, bermunajat, berqiyamullail dan mengalunkan ayat suci al-Quran al-Karim. Suasana itu semua cukup indah bagi saya. Benar ada segudang rindu yang bertamu di hati ini….Rindu pada bi’ah solehah yang terbit atas dasar untuk menjunjung kalamullah dan mendidik diri untuk menjadi muslimah mujahidah yang solehah.



TEMPAT YANG MEMATANGKAN

Saya tidak menafikan bahawa pengalaman saya di Maahad adalah pengalaman yang kurang indahnya. Terlalu perit dan banyak yang pahitnya. Sehinggakan saya seringkali mahu melarikan fikiran saya dari mengingati apa jua perkara di Maahad. Namun saya akur, saya manusia biasa. Walau saya terluka tetapi mana mungkin saya terlupa.

Walau jiwa terhiris dengan kata-kata sinis insan sekeliling
Walau air mata berderai dengan layanan yang saya rasakan tidak adil
Walau saya kadangkala rasa tersisih dan tersinggung
Walau janji yang sudah terikat hampir 3 tahun akhirnya terpaksa dileraikan

Saya belajar untuk menerima, BERSABAR dan MENCARI HIKMAH atas semua takdirNya. Akhirnya saya sujud dan akui, dugaan yang saya hadapi dan kesilapan yang saya lakukan bukan untuk ditangisi sepanjang hayat tetapi untuk merubah diri, diinsafi dan dipelajari agar saya tidak lagi tersilap langkah untuk kali yang kedua dan agar saya menjadi seorang muslimah yang lebih kuat untuk menggenggam syariat Allah dan Sunnah Rasulullah. Allahu akbar…

[Maafkan saya kerana tidak menceritakan apa yang pahit dan apa yang peritnya secara jelas di sini, kerana semua itu bakal menyebabkan luka lama berdarah kembali. Cukuplah saya katakan semuanya telah berjaya menjadikan saya seorang manusia matang yang mengenal erti sebuah kehidupan dan erti sebuah kesabaran. Subhanallah.]

BERAMAL BUKAN KERANA BI’AH

Kenangan dan suasana indah di Maahad itu, saya aplikasikan dengan realiti graduan Maahad Tahfiz yang telah berjaya menggengam segulung kertas bernama diploma. Tiba-tiba kesedihan singgah di ruang hati saya. Sedih apabila ramai yang berubah setelah Maahad dihadiahkan ucapan ‘Selamat Tinggal’. (Saya katakan ‘ramai’ tidak bererti ‘semua’)

Mungkin kita terlupa bahawa beramal bukanlah tertakluk pada sesebuah bi’ah (suasana). Adakah kita perlu berubah hanya kerana kita sudah tidak lagi berada di dalam suasana ibadah dan tarbiyah seperti Maahad Tahfiz? Kita tinggalkan segalanya hanya kerana kita bukan lagi berada di dalam suasana Maahad yang indah dan damai itu.

Jangan membiarkan saya tersenyum sinis pada mereka-mereka yang sering memandang rendah pada orang lain yang kadangkala membina alasan untuk tidak menyertai aktiviti tarbiyah di Maahad. Tetapi apabila dia (yang sering memandang rendah itu) keluar dari kepompong Maahad, dia sendiri kelihatannya seperti insan yang tidak pernah mengenal apakah itu erti tarbiyah dan apakah itu erti menutup aurat yang sebenar. Maafkan saya jika kata-kata ini sedikit kasar bunyinya. Tetapi saya ingin menyatakan apa yang benar dan apa yang kerap kali berlaku.

Banyak yang saya lihat, antara contohnya, semasa di Maahad cakapnya tentang batas pergaulan lelaki dan perempuan (lebih-lebih lagi tentang masalah coupling) bukan main berdentam-dentum bunyinya. Tetapi apabila keluar sahaja dari Maahad, dia kelihatan seperti tidak pernah tahu apa dia itu batas antara ikhwan dan akhawat. Pelik! Dan saya terlebih-lebih lagi pelik! Bukan saya ingin memburuk-burukkan pelajar hafiz dan hafizah. Tetapi itulah realiti yang berlaku.

Ya, saya mengerti ramai akhawat yang berasa tidak kuat dengan ujian selepas keluar dari dunia Maahad. Jika di Maahad Tahfiz kita dibentuk dengan suasana bi’ah solehahnya yang mana setiap hari disogokkan dengan aktiviti tarbiyah. Namun apabila keluar dan memasuki institusi bernama universiti contohnya atau berada di tengah-tengah masyarakat sebagai seorang yang berkerjaya misalnya, kadangkala kita cepat mengalah dan kalah dengan suasana yang sememangnya tidak seperti yang ada di Maahad.

Ingin saya tegaskan di sini, walau apapun situasinya, semuanya TERPULANG PADA DIRI KITA SENDIRI.

Ketahuilah, tarbiyah di Maahad adalah tarbiyah yang ingin menyiapkan kita menghadapi dunia luar. Tetapi jika kita berubah setelah mendapat tarbiyah, lalu tanya-tanyakan pada diri kita. Mengapa semua itu berlaku?

Bimbang-bimbang kita beramal atas dasar ikut-ikutan dan atas dasar untuk ‘menghormati’ sebuah bi’ah. Bimbang-bimbang kita beramal agar tidak dipandang rendah oleh insan sekeliling dan kita beramal agar diterima oleh masyarakat yang berada pada bi’ah solehah itu. Lalu di manakah letaknya keikhlasan dalam beribadah?

Hmmm….

RINDU YANG MEMBONGKAR

Ya Allah..kerinduan saya telah membongkar isi hati saya yang telah lama tersimpan kemas dalam jiwa. Apa yang saya nyatakan di atas telah lama berada di benak saya [walau saya tahu saya perlu lebih menjelaskan luahan itu agar ianya lebih kemas dan lebih mudah difahami]. Dan hari ini, gambar-gambar yang saya amati telah menggerakkan saya untuk menulis mengenainya (Beramal Bukan Kerana Bi'ah).

Akhir sekali, tulisan yang banyak kekurangannya ini, saya khaskan untuk akhawat yang sedang berjuang di Maahad Tahfiz dan sudah bergelar graduan Maahad Tahfiz.

Untuk anda lebih memuhasabah diri dan untuk anda lebih bersedia untuk menjadikan diri anda insan yang bagaimana selepas itu. Wallahu’alam.

21 May, 2009

"Aku rindu pada malam itu
malam cukup sunyi sepi
mengadu apa yang tersembunyi di hati
menagih simpati agar dibelai kasih
melafaz rindu meluah hasrat kalbu
mengusik jiwa dalam syahdu
moga tiap malamku adalah malam itu
malam bersendiri bertahajjud padaMu Rabbi.."


Maksudnya: Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang Terpuji. (al-Quran, al-Isra' 17:79)

Luahan Rasa Umairah-sh pada 20 April 2007, Jam 1.48 pagi.

18 May, 2009

Segala puji itu hanya layak saya panjatkan kepada Allah s.w.t - tiada Tuhan yang layak di sembah melainkan DIA.

Pada hari ini saya menaip dari ruang kamar saya di Singapura yang hampir setengah tahun saya tinggalkan. Kamar yang menjadi ruang untuk saya melihat erti kejayaan, kegagalan, kegembiraan, kesedihan, senyuman dan tangisan ini tetap sama seperti dahulu, cuma kini agak berserabut sedikit kerana terlalu banyak barang yang entah di mana perlu saya letakkan agar kelihatan sedikit kemas. Kitab-kitab dan fail-fail saya semakin hari semakin bertambah. Saya sebenarnya memerlukan ruang khas untuk barang-barang saya sendiri. Senang kata, memerlukan rumah sendiri agar semuanya lebih teratur. Tetapi memandangkan saya masih lagi ingin bergelar pelajar, rumah sendiri yang sudah sedia ada itu dijadikan salah satu punca rezeki kami suami isteri. Oleh itu, sumbatlah semua barang dalam satu bilik ini yang Alhamdulillahnya masih lagi ada ruang untuk saya dan suami solat berjamaah =)

PIALA HATIKU

Apapun kepulangan saya semalam malam agak memeranjatkan kerana saya melihat susunan piala-piala yang saya perolehi ketika menuntut ilmu di Madrasah Alsagoff al-Arabiah yang tersusun di atas almari baju saya sudah tidak teratur. Saya memanjat katil untuk melihat piala-piala tersebut dan apabila saya amati, habuk di piala-piala itu sudah bersih dilap. Siapa lagi kalau bukan emak yang membersihkan habuk-habuknya.

Saya tersenyum girang.

Bukan apa, sebenarnya semenjak saya bernikah piala-piala itu tidak pernah saya sentuh. Saya hanya membiarkan ianya berhabuk di atas almari tanpa ada sedikitpun keinginan untuk membeleknya apatah lagi membersihkannya (seperti mana dulu yang sering saya lakukan). Tetapi kini, apabila melihat semua piala-piala itu bersinar dan berkilau, saya terkenang zaman persekolahan saya.


Piala Hatiku =)


BERUSAHA MENCAPAI 'KHAIRA UMMATIN'

Sungguh...bukan mudah sebenarnya untuk memperolehi piala demi piala jika tanpa ada keinginan dan kesungguhan. Akhirnya saya sedar. Saya banyak belajar menjadi manusia yang mendidik diri untuk menjadi yang terbaik sejak di Madrasah Alsagoff al-Arabiah lagi. Keinginan dan kesungguhan itu berjaya disemai di sana dan sehingga ke hari ini saya berusaha memastikan agar kesungguhan dan keinginan itu tidak malap. Walau saya sudah bergelar seorang pelajar dewasa yang mempunyai misi dan visi dalam belajar yang mana ianya amat berbeza sewaktu saya di alam persekolahan dahulu tetapi kesungguhan dan keinginan itu tetap sama. Ianya sama kerana menjunjung firman Allah s.w.t yang berbunyi:



Maksudnya: Kamu adalah sebaik-baik ummat yang dikeluarkan kepada manusia untuk mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah s.w.t (al-Quran, Ali 'Imran, 3:110)

Firman Allah itu saya genggam semenjak di bangku sekolah lagi. Bersyukur kerana menjadi sebaik-baik ummat yang dipertanggungjawabkan menjunjung amanah dakwah (mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah). Walau saya akur amanah yang disandang di bahu semenjak bergelar pelajar Madrasah cukup memeritkan sebenarnya. Setiap hari melangkahkan kaki ke Madrasah, saya menanam azam agar dapat mengajak dan memotivasi rakan-rakan untuk melakukan kebaikan dan saya juga berazam agar satu hari saya dapat melakukan sesuatu untuk Dakwah fillah.

Lalu atas dasar konsep 'Khaira Ummatin' itulah yang menggerakkan saya agar sentiasa melakukan sesuatu dengan terbaik dan penuh kesungguhan agar menjadi Muslim yang bukan saja cerdik agama tetapi cerdik juga jiwa dan minda. Medan peraduan di Madrasah itu saya jadikan batu loncatan untuk mengasah bakat agar mampu untuk terus menjadi manusia yang berlumba-lumba untuk mencapai kebaikan. Kebaikan demi merealisasikan 'khaira ummatin' dan memartabatkan agama Allah s.w.t.

ZAMAN YANG MENGUNDANG SENYUMAN




Zaman persekolahan adalah zaman yang mengundang senyuman bila dikenang-kenang. Walau memang tidak saya nafikan di sana terdapat juga pahit dan peritnya. Tetapi walau terkenangkan yang pahit itu sekalipun, saya tetap akan tersenyum. Ini kerana saya mengerti semua itu adalah fatrah untuk saya belajar menjadi insan dewasa, belajar mengenal hati budi manusia dan belajar tentang perjalanan sebuah kehidupan yang tidak Allah s.w.t hadiahkan kepada hambaNya dengan saja-saja.

Tersenyum apabila terkenang karenah dan gurauan rakan-rakan

Tersenyum apabila terkenang bebelan (nasihat) asatizah tersayang

Tersenyum apabila terkenang perkara-perkara lucu yang terjadi di bilik darjah

dan tersenyum apabila terkenang peristiwa dipaksa makan jadam oleh ustazah kerana tidak berbual di dalam bahasa Arab ..hehe



Sebenarnya jauh di sudut hati ini, saya bersyukur dan berbangga menjadi anak kelahiran Madrasah di sebuah negara metropolitan. Kewujudan Madrasah di negara maju seperti Singapura tidak pernah disangka oleh segelintir rakan-rakan saya dari negara jiran. Lalu bila pertama kali mereka berkenalan dengan saya pasti ada yang terkejut:

"Betul ke, orang Singapore?"

"Di Singapura ada sekolah agama juga,ye?"

Saya tersenyum....




KADANGKALA ADA KEKECEWAAN

Namun begitu dalam senyuman kadangkala ada kekecewaan...

Kecewa apabila mengenangkan segelintir anak-anak Madrasah yang tidak menjadi seperti yang diharapkan. Lalu seringkali lidah ini menjadi kelu apabila masalah akhlak dan jahil agama itu berlaku di kalangan segelintir pelajar Madrasah itu sendiri...

Sedih dan kadangkala tidak terkata melainkan ada air mata

Saya tahu...saya perlu melakukan sesuatu untuk anak-anak Madrasah Singapura...

Saya tidak mahu membiarkan apatahlagi hanya memandang dengan sebelah mata.

Rabbi Yassir walaa Tu'assir Ya Karim...

11 May, 2009

Dari Blok 8M KUO

Bismillah

Pada malam ini saya menarikan jari-jemari dari blok 8M Kolej Ungku Omar. Terpaksa berpindah bilik hanya untuk duduk lagi seminggu di sini. Baru sahaja hari pertama, saya sudah terasa sunyi. Maklumlah, rakan-rakan Master kebanyakannnya sudah pulang ke kampung halaman masing-masing dan mungkin juga ada yang belum lagi menghirup udara di rumah sendiri lantaran perlu menghabiskan beberapa lagi tugasan yang masih tergendala.

Dan sekarang ini saya perlu menyelesaikan tugasan yang saya perlihatkan pada gambar di bawah ini.




Sekali lihat saya rasa macam tidak boleh untuk saya selesaikan malam ini. Banyak juga...

SEMESTER YANG TELAH LALU

Semester pertama ini agak mencabar pada saya. Ini kerana saya sendiri belum bersedia untuk menduduki pengajian master sebenarnya. Perasaan saya masih remuk di awal-awal pengajian kerana tidak dapat melanjutkan pengajian di Kuwait University. Apapun aturan Allah itu tetap indah. Saya percaya pada hikmah yang tentunya berbaur dengan pelbagai rahmah di atas setiap ketentuan yang Allah s.w.t takdirkan untuk saya.

Pada pengajian ini, saya berpeluang bertemu dengan rakan-rakan dari Indonesia dan Thailand yang hebat-hebat dan juga rakan-rakan dari Malaysia yang tidak kurang hebatnya. Masing-Masing ada ilmu yang tersendiri. Dari pelbagai bidang pengajian Islam (Syariah, usuluddin, Tahfiz dan Qiraat, tafsir, hadith, dakwah) kami dipertemukan di dalam satu kuliah dan di situ tentunya ketika sesi perbincangan pelbagai idea dan persoalan timbul berdasarkan pada ilmu dan fikrah yang dimiliki oleh setiap dari diri mereka.

SA'ADAH DAN AYU

Paling indah pada saya adalah ukhwah saya dengan dua orang adik yang sudah dikenali sedari pengajian peringkat sarjanamuda lagi. Ayu dan Sa'adah. Jazahumallahu khaira kerana selalu memahami keadaan saya yang sering terkejar-kejar dengan belajar dan mengajar. Mereka banyak membantu meringankan kerja-kerja saya. Cuma tak tahannya nanti, bila mereka mula bersoal itu ini pada saya. Nanti mulalah: "akak...akak". Dua-dua hendak mengadu macam-macam pada saya dalam satu masa. Aduiii...pening kepala saya kerana tidak tahu yang mana satu saya perlu dengar dahulu. Tetapi saya tidak kisah pun kerana mereka baik hati, lucu dan suka buat saya ketawa. =)


Bergambar bersama Ayu dan Sa'adah

BILIK DI BLOK 8W KOLEJ UNGKU OMAR

Tiba-tiba rindu pula pada bilik saya di blok 8W. Saya melepaskan nafas dengan berat. Mungkin semester ini adalah semester terakhir saya menjadi penghuni kolej Ungku Omar. Saya akur, sampai bila saya perlu berada di sini. Saya perlu berhijrah dan merasai suasana yang baru, untuk lebih melihat, merasai, mengamati dan memuhasabah diri. Tiada lain yang saya harapkan agar Allah s.w.t takdirkan yang terbaik untuk saya.






NADIAH DAN SYA

Teringat pula pada dua orang pelajar tutorial saya yang comel dan lucu. Kehadiran mereka di bilik saya sering mengundang tawa dan cerita yang cukup menghiburkan hati. Terima kasih kepada mereka terutamanya Nadiah (Dya) kerana sering menjadi teman berbalas sms dan dia juga selalu sudi untuk membantu saya mengangkat baju-baju saya di ampaian ketika saya sedang sibuk di fakulti. Mengenali mereka merupakan satu anugerah dari Allah s.w.t. Semoga Allah mempermudahkan setiap urusan mereka.Allahumma Amin.


Bergambar bersama Sya dan Dya

hmmm...baiklah. Rasanya ini sahaja yang dapat saya tuliskan untuk malam ini. Saya perlu menyambung tugasan saya yang masih banyak ini. Moga dapat diselesaikan dengan secepatnya. Insya Allah, kita bertemu lagi di lain ketika untuk lebih berbicara dari hati...

Sekian

Wassalam

05 May, 2009



Saya tidak ada kestabilan emosi yang amat sangat sedari keluar dari dewan peperiksaan tadi

Mungkin kerana jawapan yang saya berikan untuk subjek Metodologi Ahli-Ahli Tafsir itu tidak memuaskan saya.

Apapun...saya perlu redha dengan apa jua keputusannya nanti

Ya Allah..sedihnya hati ini

Wahai hati jangan begini...

LAGI SATU KERTAS PEPERIKSAAN MENANTI....

03 May, 2009

Esok pelajar-pelajar tutorial saya akan menduduki Peperiksaan Kajian Ulum al-Hadith.



Kerana itu juga sejak beberapa hari ini, telefon bimbit saya dihujani dengan khidmat pesanan ringkas yang pelbagai macam bunyi ayatnya. Tetapi mengutarakan perkara yang sama iaitu: apa yang perlu ditekankan untuk peperiksaan Kajian Ulum al-Hadith nanti.

Semua khidmat pesanan ringkas itu ada nada sedih dan minta dikasihani dan dibantu.

Saya tersenyum.

Tak sampai hati pun ada. Kasihan pada mereka.

Tapi saya tidak boleh berbuat apa-apa =) Saya sendiri tidak mengetahui tentangnya.

Ramai minta:

key?
hint?
apa yang nak ditekankan?
Hendak fokus yang mana?
apa yang masuk?
soalan macam mana?
apa yang belajar di tutorial perlu baca?

Ya Allah...

Saya yang sedang pening bertambah-tambah pening dibuatnya.

Dan jawapan saya pada berpuluh-puluh sms itu tetap sama:

"Afwan ana tak tahu. Baca je semua betul-betul. Bit taufiq wan najah"

PENGALAMAN MASA LALU

Saya faham untuk subjek Kajian Ulum al-Hadith itu banyak istilah dan perkara yang mereka perlu hafal dan ingat betul-betul. Bukan saya tidak pernah menduduki peperiksaan Kajian Ulum al-Hadith.

Memang perit bila saya kenang-kenang kembali bagaimana kalutnya saya menghafal subjek itu (kerana pada waktu itu saya tidak berapa sihat). Lebih perit lagi apabila apa yang saya hafal hilang begitu sahaja ketika di dalam dewan peperiksaan. Waktu itu saya ingin menangis dan ustaz Akil berjalan di sebelah saya waktu itu berkata pada saya:

"Solli..(berselawatlah)"

Saya kuatkan semangat saya. Melihat kembali kertas peperiksaan dan berbekalkan dengan keyakinan dan tawakkal, saya menjawab soalan peperiksaan berdasarkan apa yang saya ingat dan faham semasa di dewan kuliah dan kelas tutorial.

Allahu Akbar...

Saya keluar dari dewan kuliah dengan wajah penuh kusam dan balik ke bilik lalu mengalirkan air mata yang saya tahan sejak di dewan peperiksaan lagi.

Saya menyapu airmata lalu mengucapkan kalam Allah s.w.t:



Maksudnya: "Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah" (al-Quran, Ghafir: 40:44)

Sedih sungguh saya waktu itu..

Saya biarkan ianya berlalu dan menikmati cuti semester tanpa mahu mengingati sedikit pun tentangnya. Dan akhirnya keputusan peperiksaan dipaparkan di internet. Di situ menyatakan bahawa untuk subjek Kajian Ulum al-Hadith saya mendapat:



Saya tahu anda tersenyum...

Benar saya juga tersenyum

Senyum sebagai tanda syukur saya pada Allah s.w.t

Tiada kata seindah bahasa yang dapat saya luahkan untuk menzahirkan sebuah kesyukuran sebenaranya.

Subhanallah...

Hmmm...baiklah, rasanya itu sahaja yang saya dapat kongsikan dengan semua pada malam ini sebagai motivasi untuk terus belajar walau sudah di saat-saat akhir =)

Dan saya pun hendak menyambung bacaan saya untuk peperiksaan yang tinggal berbaki sehari sahaja lagi ini. Aduiii...BANYAK LAGI NI!!!! Rabbi Yassir..

Sebelum itu, kepada pelajar-pelajar Subjek Kajian Ulum al-Hadith, saya ucapkan:

Selamat Maju Jaya

Wassalam

02 May, 2009

"Selalunya kita tengok kat TV, dengar orang cerita..tapi ni berlaku depan mata,kak", luah seorang adik kepada saya.

"Risau sangat..macam manalah kalau isteri pertama dia tahu. Kesian sangat dengan kak ***", luahnya lagi.

Saya tersenyum lalu berkata:

"Jangan kesiankan dia. Biarkan dia. Itu pilihan dia. Semua orang perlu belajar dengan pilihan yang dibuat olehnya sendiri. Bukan tidak ada orang yang halang dia. Ramai yang dah cakap kat dia. Tapi kerana dia hendak juga jadi yang kedua...biarkan dia rasa"

"Kawan A** pun cakap macam tu. Dia kata jangan kesian kan dia"

Dialog di atas sebenarnya adalah luahan rasa seorang adik kepada saya yang amat risau dengan keadaan rakan baiknya yang baru bergelar isteri kedua. Rakan baiknya itu telah menobatkan dirinya sebagai isteri kedua seseorang lelaki tanpa pengetahuan isteri pertama lelaki tersebut. Pernikahan itu mengundang tangis di mata dan hati ramai insan-insan yang mengasihinya terutama ibunya sendiri.

Satu kehendak yang nekad dan saya pasti kehendak yang telah disimpan sekian lama dan tidak mungkin untuk dipertimbangkan untuk kali kedua. Walau banyak suara prihatin telah cuba menasihatkan tetapi sebuah rasa tidak mungkin terpadam. Perlu dilalui dengan berani. Berani untuk berhadapan dengan risiko. Dan yang penting, berani kerana cinta!



Sebagai seorang isteri saya tidak mahu ditipu dan dikhianati oleh suami sendiri dan juga sebagai seorang wanita yang sudah bergelar isteri saya tidak tergamak untuk melukai hati seorang isteri.

Lalu saya tertanya-tanya adakah kawan adik saya itu yang baru sahaja dinobatkan sebagai isteri kedua, tidak ada rasa bersalah? Bagaimana jika dia yang berada di tempat yang pertama? Relakah dia ditipu oleh suami sendiri?

Bukankah kita sama-sama wanita?

Walau beza macam manapun kita, kita tetap ada jiwa seorang wanita!

Lalu mengapa dia sendiri tidak mahu berusaha agar isteri pertama lelaki yang dicintainya itu mengetahui keadaan yang sebenar? Mengapa dia tidak meminta agar lelaki itu berusaha memberitahu pada isterinya? Nampaknya dia belum benar-benar berani untk dilambung ombak. Dia hanya berani berumah di tepi pantai tapi masih takut untuk dilambung ombak.

Jelas, kita dalam banyak keadaan TERLALU MEMENTINGKAN KEHENDAK DIRI SENDIRI TANPA MEMIKIRKAN PERASAAN ORANG LAIN. Dan dalam keadaan mementingkan diri sendiri itu, kita tidak berfikir panjang. Yang kita fikirkan TERREALISASINYA SEBUAH KEINGINAN.

Hmmm...saya tidak mahu mengulas dengan lebih jauh lagi tentang hal ini. Bimbang-bimbang penulisan saya akan lebih berbaur emosi. Cuma yang penting...tidak semua isteri kedua itu tidak baik malah ada yang lebih baik dari isteri yang pertama dan tidak semestinya apabila seorang suami itu bernikah lagi dia itu tidak baik dan tidak mengasihi isterinya yang pertama, dia cuma ingin meletakkan kasih sayangnya pada wanita lain dengan cara yang halal.

Penulisan saya yang lepas tidak pernah menolak poligami malah saya tidak pernah juga merasakan poligami itu satu diskriminasi terhadap wanita. Tetapi poligami perlu dilaksanakan dengan seindah mungkin tanpa ada rasa terluka, melukai dan dilukai.

Walaubagaimanapun, saya berpendapat memberitahu pada isteri pertama keadaan yang sebenarnya adalah lebih baik. Tanda kita menghargai yang pertama kerana tanpa yang pertama mana mungkin ada yang kedua!

Ketahuilah, menghargai dan menjaga apa yang ada itu adalah lebih indah dan menenangkan sebenarnya daripada mencari yang satu lagi.

Wallahu'alam.

01 May, 2009

Hari ini saya termenung lama setelah membantu ustaz Fadlan menaikturunkan program TV yang saya rakamkan semalam berkenaan Feqah Tandas. Menungan itu bukan kerana saya terkesan dengan perbincangan Feqah Tandas itu tetapi entahlah, saya tidak tahu mengapa. Yang saya tahu semenjak semalam, saya tidak mempunyai kestabilan emosi. Saya asyik rasa terganggu. Terganggu dengan apa pun saya tidak pasti. Padahal saya perlu lebih bnayak mengulangkaji pelajaran untuk dua lagi kertas peperiksaan yang masih berbaki untuk diduduki.

Apapun, di hari cuti yang murung ini, saya postkan kembali sebuah madah butir bicara yang pernah dipostkan pada tahun 2007 dahulu. Moga dapat dirasai dan merasai bersama:

RINDU ITU HIDUP DI HATI INI

Aku terlalu rindu
Jiwa ku penuh dengan sendu
Menahan sakit rindu yang tidak tertahan
Ingin kucurah namun hajat tak kesampaian



Setiap hari rindu ini kusulam
menjadi bunga kasih di dalam jambangan
tersimpan rapi …bila ingin kusentuh, kukata “jangan”
kerana rindu itu adalah rindu terlarang

Sahabat
dayuskah aku menyimpan rindu?
Pengecutkah aku memendam rasa?
Jangan hadiahkan senyuman sinis mu
Jangan berikan pandangan hina mu
Kerana aku takut pada Tuhanku
Kerana aku takut mendekatkan zina pada diriku
Kerana aku gengam bara syariat hingga bertukar menjadi abu

Hidupkah lagi rindu di hati mereka yang berpacaran?
Masih adakah lagi rindu pada mereka yang sudah puas dengan kemaksiatan?
Indahkah lagi rindu bagi mereka, yang tidak peduli halal haram?
Maka disitu wujudkah cinta yang katanya ingin mencari redha tuhan?
Jauhkan aku dari semua itu wahai tuhanku,
Kuatkan aku yang berada di persekitaran hamba-hamba-Mu yang dahagakan cinta terlarang itu
Biar rinduku terlerai disaat yang haram menjadi halal
Biar rinduku terluah disaat ikatan perkahwinan sudah bersimpul mati

Hiaskan sabar pada rinduku, ya Allah
Indahkan ia dengan ketaqwaan, ya Allah
Moga rindu itu hidup dihati ini
Rindu itu hidup kerana-Mu
Agar bila disatukan,
aku berada di dalam rahmat dan keredhaan-Mu
Agar bila ditakdirkan tiada ikatan,
Aku redha dengan ketentuan-Mu

Ya Allah,
Engkaulah yang mengetahui rindu itu hidup di hati ini
pada hamba-Mu yang sentiasa merindui-Mu.

(Adakah KITA merindui-Nya?? Tepuk dada tanya iman)

Zaujah Yazid
K8U 202 Ungku Omar, UKM
21 Mac 2007