08 April, 2009

Saya perlu menulis untuk meluah rasa...




Perlukah saya marah?
Berulang-ulang kali saya beristighfar...
Ya Allah..sabarkan hati saya

Hari ini adalah hari terakhir saya mengajar tutorial
tetapi ianya tidak seindah semalam
Saya jadi makan hati
Saya jadi marah hinggalah saat saya sedang menaip ini

Perlukah saya marah?
Hampir menangis saya dibuatnya
dan saya memang menangis tetapi hanya mengalirkan dua titis air mata
sakitnya jiwa ini lantaran menahan tangis!

Saya jadi kesal dengan sikap sesetengah palajar universiti
andai pelajaran itu diabaikan
apa ertinya bergelar mahasiswa/wi
mereka kelihatan hebat di luar bilik kuliah dan tutorial
tetapi kaku bila mana berada di dalamnya.

Teringat pada persoalan yang pernah saya timbulkan dalam penulisan saya 'Yang mana satukah lebih penting?':

"Apa yang saya lihat sukar untuk saya percaya sebenarnya. Ini kerana suasana bertukar pendapat dan mementingkan ketelitian itu tidak wujud di dalam sesi pembelajaran yang berlangsung baik di dalam dewan kuliah mahupun perbincangan tutorial.Wajah-wajah berani menyuarakan pendapat dan pandangan kadangkalanya adalah manusia berat mulut di dalam sesi perbincangan ilmiah, lebih-lebih lagi apabila diterjah oleh pensyarah dengan persoalan demi persoalan. Saya menjadi pelik. Adakah dunia kepimpinan dan pembelajaran merupakan dua situasi yang berbeza sedangkan keduanya menuntut perbincangan dan penukaran fikrah di antara satu sama lain?"

Itu adalah satu luahan kesal yang pernah saya nyatakan suatu ketika dahulu. Pada waktu itu, saya hanya bergelar mahasiswi tahun 3. Tetapi kali ini, luahan kesal saya adalah luahan ketika saya bergelar pelajar sarjana dan sekaligus seorang tutor. Tentu sahaja saya dapat melihat perkara itu dari pelbagai sudut yang berbeza.

Entahlah, bagai tiada kata yang boleh saya ucapkan
Kelu lidah, beku bahasa untuk saya luahkan menjadi sebuah penulisan penuh makna.

Ya Allah...
Jika saya ikutkan amarah...
saya tidak berfikir panjang untuk 'menghadiahkan' angka 'kosong' kepada mereka yang tidak reti atau sengaja tidak mahu mengerti apa itu tanggungjawab dalam melaksanakan tugasan tutorial.

Apa yang saya lihat, pensyarah atau tutor seringkali berusaha untuk mengajar dan memberikan yang terbaik kepada pelajar-pelajarnya tetapi seringkali juga pelajar-pelajarnya hanya memandang sepi tentang semua itu. Yang mereka tahu mereka inginkan 'A' dari pensyarah mereka tetapi mereka tidak pernah ingin ambil tahu bagaimana seharusnya mendidik diri untuk menuju ke arah 'A' itu.

Inikah dia mahasiswa/wi?
Atau lebih tepat saya katakan:
Inikah dia mahasiswa/wi yang berpendidikan dan berpengajian Islam?

Bukan niat saya ingin memperkecilkan tetapi inilah realiti yang mungkin hanya dibuat-buat tidak sedar oleh mahasiswa/wi pengajian Islam.

Realiti yang bukan baru saya lihat pada hari ini tetapi semenjak saya menjejakkan kaki di Universiti.

Adakah anda sudah cukup layak untuk mendapat 'A'?

Ketahuilah mahasiswa/wi,

'A' itu bukan sahaja perlu untuk dijadikan gred utama pada sesuatu subjek semata-mata. Tetapi gred 'A' itu juga perlu untuk menjadi nilai sejauhmanakah amanahnya kita dalam melaksanakan tangungjawab sebagai seorang pelajar Muslim. Sejauhmanakah kita benar-benar bersyukur dengan peluang yang Allah s.w.t berikan kepada kita kerana berada di sebuah laluan demi MENUNTUT ILMU? Sejauhmakah kita benar-benar meletakkan diri kita berjuang untuk ILMU? Adakah kita layak untuk mendapat 'A' itu jika banyak amanah dalam menuntut ilmu itu kita sering abaikan dan sering pula kita buat-buat lupakan?

Tanyakan pada diri kita tentang semua itu

Benar kata ustaz Asmadi: "Kalau dapat 'A', istighfarlah banyak-banyak".

'A' itu perlu kerana 'A' itu adalah melakukan sesuatu kerana ALLAH s.w.t.

Renungkanlah...

0 Comments:

Post a Comment