27 April, 2009

Sahibut Takhrij

Saya suka dengan subjek Takhrij al-Hadith malah saya juga suka mentakhrij Hadith walaupun saya tahu kerja itu sukar dan memerlukan masa yang agak lama. Walau kadang-kadang berkerut-kerut dahi saya di hadapan komputer dan walau kadang-kadang satu hadith itu memerlukan masa yang berhari-hari untuk saya selesaikan pentakhrijan hadithnya tetapi saya tetap merasa ianya adalah satu kerja dan amanah yang amat menyenangkan. Bagi saya mentakhrij Hadith adalah satu kepuasan kerana dengannya saya mengetahui martabat sesuatu hadith dan dapat menggunakan hadith itu tanpa sebarang keraguan.



Insan pertama yang membuat saya jatuh cinta pada kerja takhrij al-Hadith ialah ustaz Ahamad Asmadi Sakat. Di UKM beliau dikenali sebagai sifu takhrij (entah bila pula gelaran itu muncul untuk beliau saya pun tidak pasti). Ini kerana beliau merupakan pensyarah yang bertanggunggjawab mengajar subjek Takhrij al-Hadith di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah. Kemahiran beliau dan ilmu yang beliau miliki dalam bidang takhrij dan hadith amat mengkagumkan saya. Ilmunya terlalu luas sehinggakan apa yang diajarkan di dewan kuliah juga terlalu luas dan selalunya tiada penghujungnya. Sesiapa yang tidak terbiasa dengan cara pengajaran ustaz Asmadi tentu sahaja 'sesat' jika mendengar kuliah beliau =}(apa yang saya maksudkan dengan sesat di situ ialah orang itu akan terpinga-pinga dan tidak tahu apa yang dibualkan oleh beliau dan tidak tahu juga mana pangkal dan mana hujungnya penjelasan beliau itu).

Dengan bimbingan ustaz Asmadi saya belajar mentakhrij hadith sehingga mahir. Beliau banyak menekankan kepada saya bahawa setiap muhaddith mempunyai metodologi mereka yang tersendiri (sama ada metodologi mereka dalam menyusun hadith di dalam kitab hadith mereka atau ketika menentukan martabat sesuatu hadith) dan paling banyak beliau tekankan ialah mengenai tidak mutlaknya kedhaifan sesuatu hadith. Dari beliau saya belajar bagaimana sesuatu hadith yang dhaif itu mampu dinaikkan tarafnya kepada hasan dan sahih dan bagaimana sesebuah hadith yang palsu kemudiannya ditemui sebagai hadith yang sahih dengan sanad yang lain.

Paling menyeronokkan ialah melakar syajarah al-Asanid (jadual yang dilukis untuk memperlihatkan susunan periwayat-periwayat hadith daripada jalur periwayatan yang berbeza). Mula-mula memang amat memeningkan kepala, tetapi lama-kelamaan setelah saya faham bagaimana untuk melukis jadual tersebut,saya jadi seronok. Dengan melukis jadual tersebut saya dapat melihat bagaimana sesatu sanad itu bersambung dan di mana pula ianya terputus dan saya juga dapat melihat dengan jelas kekuatan sesuatu hadith itu kerana berbilangnya mutabaah dan syawahidnya. Subhanallah....terlalu menarik dan mencabar bagi saya. Dan semuanya itu saya pelajari bermula pada tahun dua pengajian hinggalah tamat pengajian di peringkat Ijazah Sarjanamuda.

MENGAPA MENTAKHRIJ HADITH?

Di dalam kertas kerja saya yang bertajuk 'Kaedah Mentakhrij al-Hadith' saya menyatakan bahawa mencari martabat sesebuah hadith sebelum menggunakannnya sebagai hujjah dan amalan adalah sesuatu yang perlu untuk dilakukan. Tanpa berusaha ke arah itu, seseorang Muslim bakal terlibat dalam menggunakan dan menyampaikan hadith-hadith yang palsu. Membuat hadith palsu atau menyebarkannya tanpa ada rasa tanggungjawab untuk memastikan martabatnya bererti mencemarkan ketulenan agama. Pencemaran terhadap ketulenan agama membawa natijah meruntuhkan agama.

Berkenaan dengan perkara ini, al-Khatib Muhammad 'Ajaj mengatakan di dalam kitabnya Usul al-Hadith 'Ulumuhu Wa Mustalahuhu (hlm 428):

Semua hadith maudhu' adalah batil dan ditolak yang mana ianya tidak dianggap sebagai hadith kerana ia adalah pembohongan dan penyelewengan ke atas Rasulullah s.a.w. Sebagaimana ulama bersepakat di atas pengharaman mereka hadith begitu juga ulama bersepakat di atas pengharaman meriwayatkan hadith-hadith maudhu' tanpa menerangkan kepalsuannya dan pembohongannya, dan tidak boleh meriwayatkan satu pun darinya sama ada dalam penceritaan, al-targhib, al-tarhib dan hukum-hakam ataupun selain daripada semua itu.

Al-Suyuti pula mengatakan bahawa: “Ulama hadith telah bersepakat di atas pengharaman meriwayatkan hadith maudhu' dan mereka telah memutuskan bahawa tidak boleh meriwayatkan hadith maudhu' dalam apa perkataan sekalipun kecuali ianya disertai dengan penjelasan mengenai kepalsuannya”(Al-Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti Wa Juhuduhu Fi al-Hadith Wa 'Ulumuhu, Dar Qutaibah, Damsyiq, 1994, hlm 408)

Menurut Muhammad Mahmmud Bakkar pula dalam kitabnya:

Ulama telah bersepakat bahawa antara syarat-syarat seorang mujtahid itu ialah mengetahui berkenaan hadith-hadith yang berkaitan hukum-hakam dan ilmu al-takhrij merupakan jalan untuk sampai kepada hadith-hadith tersebut. Mengetahuinya (takhrij al-Hadith) merupakan sesuatu yang seharusnya bagi mereka yang mendalami ilmu-ilmu syariat. Maka menjadi sesuatu yang tidak wajar bagi seorang penuntut ilmu mendatangkan sesuatu hadith tanpa mengetahui tempatnya di dalam kitab-kitab al-Sunnah (hadith), sanadnya dan juga martabat hadith tersebut.('Ilmu Takhrij al-Hadith, Usuluhu-Taraiquhu- Manahijuhu, Dar Taibah, BeirUt, 1997, hlm 17).

Mohammad Abdul Kadir ibn Ishak pula di dalam artikelnya bertajuk Takhrij Hadith-Hadith Yang Digunakan Oleh Dr Uthman El-Muhammadi Dalam Tulisannya Yang menyokong Konsep Nur Muhammad pula mengatakan bahawa “…Memastikan darjat sesuatu hadith sebelum menyampaikannnya kepada umum adalah satu daripada amanah ilmu”. Beliau menyatakan lagi di dalam artikel yang sama bahawa “tindakan menyebut hadith tanpa memastikan terlebih dahulu hadith tersebut benar daripada Nabi s.a.w ataupun tidak adalah satu tindakan mengambil mudah menggunakan nama Nabi Muhammad s.a.w”.

Di sini jelas menunjukkan kepada kita bahawa penting untuk seseorang Muslim khususnya bagi mereka yang mendalami ilmu-ilmu syariat mengetahui martabat sesebuah hadith sebelum diaplikasikannya ke dalam apa jua perkara. Ini kerana tanpa memastikan martabat kesahihan sesebuah hadith, kemungkinan besar boleh melibatkan diri kepada melakukan pembohongan menggunakan nama Nabi s.a.w dan itu dianggap sebagai jenayah ke atas agama. Untuk itu, individu muslim terutamanya di kalangan ahli akademik dan agamawan Muslim perlu memahirkan diri mereka dengan ilmu pentakhrijan hadith.(Kertas kerja 'Kaedah Mentakhrij al-Hadith' adalah tugasan yang disediakan untuk subjek Metodologi Kajian Tafsir dan Hadith Muasir)

Laman web Durar adalah laman web yang amat baik untuk mentakhrij al-Hadith

KEMAHIRAN YANG PENTING

Saya bersyukur kerana mempelajari kaedah mentakhrij al-Hadith. Banyak kepentingannya dan terlalu besar manfaatnya. Dan saya perlu akur bahawa bukan hanya pelajar yang menekuni bidang pengajian hadith sahaja perlu menguasai ilmu takhrij al-Hadith bahkan setiap daripada individu yang menekuni apa jua bidang dalam pengajian Islam.

Perkara ini telah disebut oleh Muhammad Abu al-Laith dalam kitabnya Takhrij al-Hadith Nashatuhu wa Manhajiyyatuhu (hlm 19):

Takhrij al-Hadith menjadi penting kerana ianya digunakan untuk berinteraksi dengan hadith Nabi s.a.w yang bukan sahaja memainkan peranannya sebagai pentafsir kepada al-Quran al-Karim dan penerang kepada apa yang ingin dimaksudkan oleh al-Quran bahkan juga sebagai hujjah di dalam pelbagai aspek kehidupan seorang Muslim tidak kira sama ada dari sudut akidah, ibadah, muamalat dan budi pekerti. Malah hadith juga merupakan sumber kepada ilmu dan pengetahuan.

Maka atas dasar itu, menjadi satu kewajipan bagi mereka yang berada di dalam bidang syariah dan ilmu-ilmunya yang terdiri di kalangan pakar hadith, pakar fiqh, pakar akidah, pendakwah, pakar sejarah dan Tamadun Islam dan mereka yang ingin memperjuangkan Islam mempunyai kemahiran dalam mentakhrij al-Hadith. Ini kerana takhrij al-Hadith berfungsi sebagai ilmu untuk:

1- Membawa mereka pada tempat rujukan hadith dari sumber-sumber yang asli.

2- Memperkenalkan kepada mereka martabat sesebuah hadith dari sudut sanad dan matannya.

3- Mengharmonikan percanggahan-percanggahan yang terdapat pada riwayat hadith yang mana dahulu dan yang mana kemudian dan yang mana matannya ringkas dan yang mana pula matannya terdapat penambahan lafaz.

4- Membantu dalam menyingkap keadaaan sanad sama ada ianya berada dalam keadaan al-Ittisal, al-Inqita', al-Irsal, al-I'dal, raf' dan waqf ataupun terdapat periwayat yang tadlis dan sebagainya.

5- Mengetahui sebab wurud sesebuah hadith. Maka dari situ dapat membantu memahami maksud dalam sesebuah hadith dengan melihat kepada zaman dan tempat begitu juga bidangnya sama ada kemasyarakatan, politik, ekonomi dan sebagainya.

Bagi saya kemahiran ini amat penting kerana tanpanya saya bimbang seseorang pendakwah itu bakal menggunakan dalil-dalil yang lemah atau palsu ketika berbicara dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat awam. Dan apa yang lebih-lebih membimbangkan ialah jika apa yang disampaikan itu dipegang oleh masyarakat dan mereka menyandarkannya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Maka perkara sebegini perlu dielakkan oleh pendakwah dan mereka perlu lebih berhati-hati ketika mengemukakan hadith-hadith Nabi s.a.w dalam apa jua perkara yang mereka lakukan. Ini kerana sudah menjadi satu yang biasa bagi masyarakat awam dengan satu ucapan yang berbunyi: "Apa yang ustaz dan ustazah cakap itu semua betul..takkan ustaz dan ustazah tak tahu!" Tetapi jika apa yang kita sampaikan itu sesuatu yang tidak betul kemudian dianggap betul oleh mereka malah dipegang dan diamalkan dalam kehidupan seharian mereka..bukankah itu merupakan sesautu yang tidak wajar? Saya tersenyum dan saya menyerahkannya kepada anda untuk berfikir dan mempertimbangkannya.


Maktabah al-Hadith al-Syarif adalah Cd Takhrij al-Hadith yang dikeluarkan oleh Syarikat Komputer Ariss yang bertempat di Beirut. Ianya mengandungi lebih dari 11 Kitab Hadith. Ia merupakan antara CD Takhrij al-Hadith yang paling mudah untuk digunakan. Antara cd-cd Takhrij al-Hadith yang lain ialah: Maktabah al-Syamilah, al-Jami' al-Kabir, Mausu'ah al-Hadith al-Syarif dan Mausu'ah al-Dhahabiyyah.

AKHIR KATA DARI SAYA

Mentakhrij sesebuah hadith sebelum disebarkan dan digunapakai dalam apa jua situasi adalah menjadi satu kewajaran bagi setiap individu Muslim terutamanya di kalangan agamawan Muslim. Daripada pentakhrijan hadith itu sendiri seseorang akan dapat mengetahui atau mengenalpasti darjat sesuatu hadith dengan melihat kepada kekuatan dan berbilangnya jalur sesebuah hadith.

Perlu untuk diberi perhatian bahawa menyandarkan sesuatu hadith kepada Nabi Muhammad s.a.w tetapi pada hakikatnya bukanlah daripada baginda adalah satu kesalahan jenayah ke atas agama. Manakala tidak mentakhrij hadith itu pula menunjukkan bahawa tiadanya amanah ilmu dan juga tiadanya amanah dalam menyebarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w.

Tiba-tiba saya tersenyum kerana teringat salah seorang dari rakan pengajian Master saya menggelarkan saya: "Sahibut Takhrij" =)

Sekian, Wallahu'alam.

0 Comments:

Post a Comment