15 April, 2009

Saya agak letih sehingga tertidur di atas karpet dengan buku yang menutupi muka . Saya ketepikan buku Muktalif al-hadith Baina al-Fuqaha' wa al-Muhaddithin dan cuba membetulkan posisi tidur saya.Tapi saya kata dalam hati:
"Ish..tak le jadi ni..kena bangun jugak!"

SMS EMAK

Tadi petang, saya mendapat khidmat pesanan ringkas(sms) dari emak . Kata emak:

"Emak tahu. Engkau makan jangan lupa"

Sender:
Hp Mak
+658104****

Saya termenung. Mak selalu risau tentang makan saya. Maklum sahaja saya selalu lupa makan jika terlalu sibuk dengan sesuatu perkara. Tetapi sekarang saya tidak boleh buat-buat lupa tentang makan. Bila lewat makan sahaja kepala saya sakit dan pusing dan kadangkala juga seperti hendak pengsan. Jadi, perlu jaga makan. Dan Ajid selalu pesan pada saya: "Don't skip your meals".

Sebenarnya sms itu adalah balasan emak kepada sms saya tadi pagi. Saya minta emak mendoakan saya agar dipermudahkan untuk peperiksaan yang bakal saya duduki pada minggu hadapan. Peperiksaan semakin hampir tetapi persediaan saya masih lagi bertatih-tatih.

DOA EMAK...

Itulah dia rahsia besar kejayaan saya selama ini.

Percaya atau tidak, setiap apa yang ingin saya lakukan adalah beriringan dengan doa emak.

Waktu dulu semasa saya menduduki peperiksaan di Madrasah Alsagoff, saya selalu kata pada emak dengan hati penuh kerisauan:

"Mak doakan kakak dapat jawab exam. Doakan kakak ingat apa yang kakak hafal dan baca"

Dan emak seperti biasa hanya menganggukkan kepalanya. Maklum sahajalah pada waktu itu saya ke sekolah adalah awal pagi. Jam 6.15 pagi sudah keluar dari rumah. Mak tentu sahaja mengantuk ketika menghantar saya di depan pintu.

Ketika saya di Maahad Tahfiz pula saya selalu hubungi emak dan berkata:

"Mak, kakak nak exam. Mak doakan kakak"

Cuma sekarang ini, ketika saya di peringkat Universiti saya hanya meng'sms emak. Dan sms saya bunyinya juga hampir sama. Saya katakan padanya:

"Mak doakan kakak. Minggu depan kakak exam......kakak risau"

Doa emak saya pohon bukan sahaja ketika ingin menduduki peperiksaan. Setiap kali saya ingin membentang tugasan saya di dewan kuliah dan juga tutorial, saya mohon emak mendoakan saya agar saya dapat lakukan yang terbaik untuk pembentangan.

Bila saya sedih....saya juga sms emak tanpa menyatakan masalah saya:

"Mak doakan kakak..Kakak sedih dan risau"

Dan emak seperti biasa akan menjawab:

"Mak selalu doakan semua anak-anak mak"

Jawapannya ringkas. Tetapi cukup bermakna buat saya. Cukup berharga untu saya menatap hari dengan lebih bersemangat dan penuh dengan kekuatan.

BAGAI LANGIT DENGAN BUMI

Sunnguh...Emak tidak seperti saya dari sudut kefahaman agamanya.
Emak jauh berbeza dari saya bagaikan langit dengan bumi.Memang saya dan dia terlalu berbeza. Seringkali ada sahaja perkara yang saya ucapkan diberi respon yang menjengkelkan dari emak. Antara ucapan popular yang emak sering ucapkan pada saya bila saya cuba menerangkan sesuatu kepadanya tentang hukum ialah:

"Alaaa..kalau engkau semua dosa..semua tak boleh!" =)

Tetapi beza macam mana pun, saya tetap anak emak. Saya tetap mewarisi sikap-sikap emak.

Senang kata, banyak perkara seni yang ada dalam diri emak juga mengalir dalam diri saya. Cuma saya menggunakan seni itu di tempat yang betul dan perlu.

Satu perkara yang saya tidak pernah lupa, semasa saya kecil dahulu emak mendidik saya supaya membaca al-Quran dengan berlagu. Dari emak saya mengenal huruf Alif, Ba, Ta dan belajar menulis dan membaca jawi. Emak selalu melatih saya mengeja sama ada dalam bahasa Melayu ataupun Jawi. Cuma kurangnya, emak tidak pandai berbahasa Inggeris, jadi saya tidak terdidik bertutur bahasa Inggeris di rumah. Bahasa Melayu begitu sebati dalam diri saya kemudiannya diselit sedikit dengan bahasa Jawa dan Boyan. Apa yang pasti, sikap untuk belajar dengan tekun itu telah ditanamkan dalam diri saya oleh emak sedari kecil lagi.

ANDAI TIADA DIA..

Jika emak tiada, bagaimanakah saya?

Masih terbayang-bayang lagi bagaimana saya duduk jauh dari emak buat pertama kalinya.
Semua perkara saya perlu lakukannya sendiri. Saya perlu membasuh dan memasak. Waktu itu saya menangis teresak-esak. Saya memang tidak reti untuk melakukan semua itu kerana selama ini emak yang melakukannya untuk saya. Saya yang berada jauh di Melaka terus menghubungi emak dengan tangisan. Saya sedih kerana emak tiada di sisi untuk membantu saya. Bila emak mendengar tangisan saya, emak juga menangis pilu. Pada waktu itu baru saya sedar, alangkah BERMAKNANYA EMAK DALAM HIDUP SAYA. Dan bermula saat itu, saya belajar hidup berdikari TANPA EMAK DI SISI.

Walau kini saya mampu survive tanpa emak di sisi tidak bermakna saya melupakan emak. Emak adalah emak yang tiada galang gantinya.

Emak banyak membantu saya dalam menghadapi hidup ini. Walau kadangkala fikrah kami seringkali bercanggah tetapi emak banyak mengajar saya tentang erti sebuah kehidupan.

Bagaimana emak sabar menghadapi hidup ketika dia mengalami fatrah kesusahan dan keperitan, waktu itu saya melihat dan belajar tentang sabar dari emak.

Bagaimana emak menahan luka di jiwa hanya kerana fikirkan anak-anak, waktu itu saya belajar erti sebuah pengorbanan dan kasih sayang dari emak.

Bagaimana satu ketika dahulu emak sanggup bekerja kerana tidak mahu saya menahan lapar, waktu itu saya hanya mampu menangis dan belajar bahawa nyawa sekalipun emak sanggup gadaikan untuk saya.

Bagaimana emak masih lagi menguruskan saya, walau saya sudah bergelar seorang isteri, dan waktu ini saya melihat emak adalah terlalu mulia kerana baginya sejak saya masih di dalam rahim lagi hinggalah saya sudah memasuki gerbang kedewasaan saya adalah pengarang jantung hatinya.

Allahu Akbar... perit emak mengandung dan melahirkan saya tidak dapat saya balas ditambah lagi dengan kasih sayangnya yang tidak pernah berbelah bahagi kepada saya. Sayalah racun dan sayalah penawar baginya. Sungguh lemahnya saya bila mengenangkan semua itu. Apalah daya saya, Ya Allah.

Semuanya terlalu mahal sehingga saya rasa tidak terbayar dengan apa jua harta sekalipun.

Airmata saya mengalir....
Terlalu deras ....

Emak terlalu cantik pada saya dan emak terlalu indah dalam hidup saya.

Senyuman emak adalah senyuman saya
Tangisan emak adalah tangisan saya
Andai tiada emak..tiadalah saya

Dan DOA EMAK ....adalah nyawa saya

Terlalu indah dan bermakna...

Hidup saya terasa tenang kerana REDHA EMAK sering mengiringi setiap gerak langkah saya.

Ya Allah...
Saya tidak mahu menjadi racun dalam hidupnya
Biarkan saya terus menjadi penawar jiwanya di dunia dan akhirat

Emak..kakak sayang emak...

"Ya Allah....sayangilah emak dan kasihanilah dia sebagaimana dia menyayangiku dan mengasihaniku dari kecil hinggalah kini"

0 Comments:

Post a Comment