27 April, 2009

Sahibut Takhrij

Saya suka dengan subjek Takhrij al-Hadith malah saya juga suka mentakhrij Hadith walaupun saya tahu kerja itu sukar dan memerlukan masa yang agak lama. Walau kadang-kadang berkerut-kerut dahi saya di hadapan komputer dan walau kadang-kadang satu hadith itu memerlukan masa yang berhari-hari untuk saya selesaikan pentakhrijan hadithnya tetapi saya tetap merasa ianya adalah satu kerja dan amanah yang amat menyenangkan. Bagi saya mentakhrij Hadith adalah satu kepuasan kerana dengannya saya mengetahui martabat sesuatu hadith dan dapat menggunakan hadith itu tanpa sebarang keraguan.



Insan pertama yang membuat saya jatuh cinta pada kerja takhrij al-Hadith ialah ustaz Ahamad Asmadi Sakat. Di UKM beliau dikenali sebagai sifu takhrij (entah bila pula gelaran itu muncul untuk beliau saya pun tidak pasti). Ini kerana beliau merupakan pensyarah yang bertanggunggjawab mengajar subjek Takhrij al-Hadith di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah. Kemahiran beliau dan ilmu yang beliau miliki dalam bidang takhrij dan hadith amat mengkagumkan saya. Ilmunya terlalu luas sehinggakan apa yang diajarkan di dewan kuliah juga terlalu luas dan selalunya tiada penghujungnya. Sesiapa yang tidak terbiasa dengan cara pengajaran ustaz Asmadi tentu sahaja 'sesat' jika mendengar kuliah beliau =}(apa yang saya maksudkan dengan sesat di situ ialah orang itu akan terpinga-pinga dan tidak tahu apa yang dibualkan oleh beliau dan tidak tahu juga mana pangkal dan mana hujungnya penjelasan beliau itu).

Dengan bimbingan ustaz Asmadi saya belajar mentakhrij hadith sehingga mahir. Beliau banyak menekankan kepada saya bahawa setiap muhaddith mempunyai metodologi mereka yang tersendiri (sama ada metodologi mereka dalam menyusun hadith di dalam kitab hadith mereka atau ketika menentukan martabat sesuatu hadith) dan paling banyak beliau tekankan ialah mengenai tidak mutlaknya kedhaifan sesuatu hadith. Dari beliau saya belajar bagaimana sesuatu hadith yang dhaif itu mampu dinaikkan tarafnya kepada hasan dan sahih dan bagaimana sesebuah hadith yang palsu kemudiannya ditemui sebagai hadith yang sahih dengan sanad yang lain.

Paling menyeronokkan ialah melakar syajarah al-Asanid (jadual yang dilukis untuk memperlihatkan susunan periwayat-periwayat hadith daripada jalur periwayatan yang berbeza). Mula-mula memang amat memeningkan kepala, tetapi lama-kelamaan setelah saya faham bagaimana untuk melukis jadual tersebut,saya jadi seronok. Dengan melukis jadual tersebut saya dapat melihat bagaimana sesatu sanad itu bersambung dan di mana pula ianya terputus dan saya juga dapat melihat dengan jelas kekuatan sesuatu hadith itu kerana berbilangnya mutabaah dan syawahidnya. Subhanallah....terlalu menarik dan mencabar bagi saya. Dan semuanya itu saya pelajari bermula pada tahun dua pengajian hinggalah tamat pengajian di peringkat Ijazah Sarjanamuda.

MENGAPA MENTAKHRIJ HADITH?

Di dalam kertas kerja saya yang bertajuk 'Kaedah Mentakhrij al-Hadith' saya menyatakan bahawa mencari martabat sesebuah hadith sebelum menggunakannnya sebagai hujjah dan amalan adalah sesuatu yang perlu untuk dilakukan. Tanpa berusaha ke arah itu, seseorang Muslim bakal terlibat dalam menggunakan dan menyampaikan hadith-hadith yang palsu. Membuat hadith palsu atau menyebarkannya tanpa ada rasa tanggungjawab untuk memastikan martabatnya bererti mencemarkan ketulenan agama. Pencemaran terhadap ketulenan agama membawa natijah meruntuhkan agama.

Berkenaan dengan perkara ini, al-Khatib Muhammad 'Ajaj mengatakan di dalam kitabnya Usul al-Hadith 'Ulumuhu Wa Mustalahuhu (hlm 428):

Semua hadith maudhu' adalah batil dan ditolak yang mana ianya tidak dianggap sebagai hadith kerana ia adalah pembohongan dan penyelewengan ke atas Rasulullah s.a.w. Sebagaimana ulama bersepakat di atas pengharaman mereka hadith begitu juga ulama bersepakat di atas pengharaman meriwayatkan hadith-hadith maudhu' tanpa menerangkan kepalsuannya dan pembohongannya, dan tidak boleh meriwayatkan satu pun darinya sama ada dalam penceritaan, al-targhib, al-tarhib dan hukum-hakam ataupun selain daripada semua itu.

Al-Suyuti pula mengatakan bahawa: “Ulama hadith telah bersepakat di atas pengharaman meriwayatkan hadith maudhu' dan mereka telah memutuskan bahawa tidak boleh meriwayatkan hadith maudhu' dalam apa perkataan sekalipun kecuali ianya disertai dengan penjelasan mengenai kepalsuannya”(Al-Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti Wa Juhuduhu Fi al-Hadith Wa 'Ulumuhu, Dar Qutaibah, Damsyiq, 1994, hlm 408)

Menurut Muhammad Mahmmud Bakkar pula dalam kitabnya:

Ulama telah bersepakat bahawa antara syarat-syarat seorang mujtahid itu ialah mengetahui berkenaan hadith-hadith yang berkaitan hukum-hakam dan ilmu al-takhrij merupakan jalan untuk sampai kepada hadith-hadith tersebut. Mengetahuinya (takhrij al-Hadith) merupakan sesuatu yang seharusnya bagi mereka yang mendalami ilmu-ilmu syariat. Maka menjadi sesuatu yang tidak wajar bagi seorang penuntut ilmu mendatangkan sesuatu hadith tanpa mengetahui tempatnya di dalam kitab-kitab al-Sunnah (hadith), sanadnya dan juga martabat hadith tersebut.('Ilmu Takhrij al-Hadith, Usuluhu-Taraiquhu- Manahijuhu, Dar Taibah, BeirUt, 1997, hlm 17).

Mohammad Abdul Kadir ibn Ishak pula di dalam artikelnya bertajuk Takhrij Hadith-Hadith Yang Digunakan Oleh Dr Uthman El-Muhammadi Dalam Tulisannya Yang menyokong Konsep Nur Muhammad pula mengatakan bahawa “…Memastikan darjat sesuatu hadith sebelum menyampaikannnya kepada umum adalah satu daripada amanah ilmu”. Beliau menyatakan lagi di dalam artikel yang sama bahawa “tindakan menyebut hadith tanpa memastikan terlebih dahulu hadith tersebut benar daripada Nabi s.a.w ataupun tidak adalah satu tindakan mengambil mudah menggunakan nama Nabi Muhammad s.a.w”.

Di sini jelas menunjukkan kepada kita bahawa penting untuk seseorang Muslim khususnya bagi mereka yang mendalami ilmu-ilmu syariat mengetahui martabat sesebuah hadith sebelum diaplikasikannya ke dalam apa jua perkara. Ini kerana tanpa memastikan martabat kesahihan sesebuah hadith, kemungkinan besar boleh melibatkan diri kepada melakukan pembohongan menggunakan nama Nabi s.a.w dan itu dianggap sebagai jenayah ke atas agama. Untuk itu, individu muslim terutamanya di kalangan ahli akademik dan agamawan Muslim perlu memahirkan diri mereka dengan ilmu pentakhrijan hadith.(Kertas kerja 'Kaedah Mentakhrij al-Hadith' adalah tugasan yang disediakan untuk subjek Metodologi Kajian Tafsir dan Hadith Muasir)

Laman web Durar adalah laman web yang amat baik untuk mentakhrij al-Hadith

KEMAHIRAN YANG PENTING

Saya bersyukur kerana mempelajari kaedah mentakhrij al-Hadith. Banyak kepentingannya dan terlalu besar manfaatnya. Dan saya perlu akur bahawa bukan hanya pelajar yang menekuni bidang pengajian hadith sahaja perlu menguasai ilmu takhrij al-Hadith bahkan setiap daripada individu yang menekuni apa jua bidang dalam pengajian Islam.

Perkara ini telah disebut oleh Muhammad Abu al-Laith dalam kitabnya Takhrij al-Hadith Nashatuhu wa Manhajiyyatuhu (hlm 19):

Takhrij al-Hadith menjadi penting kerana ianya digunakan untuk berinteraksi dengan hadith Nabi s.a.w yang bukan sahaja memainkan peranannya sebagai pentafsir kepada al-Quran al-Karim dan penerang kepada apa yang ingin dimaksudkan oleh al-Quran bahkan juga sebagai hujjah di dalam pelbagai aspek kehidupan seorang Muslim tidak kira sama ada dari sudut akidah, ibadah, muamalat dan budi pekerti. Malah hadith juga merupakan sumber kepada ilmu dan pengetahuan.

Maka atas dasar itu, menjadi satu kewajipan bagi mereka yang berada di dalam bidang syariah dan ilmu-ilmunya yang terdiri di kalangan pakar hadith, pakar fiqh, pakar akidah, pendakwah, pakar sejarah dan Tamadun Islam dan mereka yang ingin memperjuangkan Islam mempunyai kemahiran dalam mentakhrij al-Hadith. Ini kerana takhrij al-Hadith berfungsi sebagai ilmu untuk:

1- Membawa mereka pada tempat rujukan hadith dari sumber-sumber yang asli.

2- Memperkenalkan kepada mereka martabat sesebuah hadith dari sudut sanad dan matannya.

3- Mengharmonikan percanggahan-percanggahan yang terdapat pada riwayat hadith yang mana dahulu dan yang mana kemudian dan yang mana matannya ringkas dan yang mana pula matannya terdapat penambahan lafaz.

4- Membantu dalam menyingkap keadaaan sanad sama ada ianya berada dalam keadaan al-Ittisal, al-Inqita', al-Irsal, al-I'dal, raf' dan waqf ataupun terdapat periwayat yang tadlis dan sebagainya.

5- Mengetahui sebab wurud sesebuah hadith. Maka dari situ dapat membantu memahami maksud dalam sesebuah hadith dengan melihat kepada zaman dan tempat begitu juga bidangnya sama ada kemasyarakatan, politik, ekonomi dan sebagainya.

Bagi saya kemahiran ini amat penting kerana tanpanya saya bimbang seseorang pendakwah itu bakal menggunakan dalil-dalil yang lemah atau palsu ketika berbicara dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat awam. Dan apa yang lebih-lebih membimbangkan ialah jika apa yang disampaikan itu dipegang oleh masyarakat dan mereka menyandarkannya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Maka perkara sebegini perlu dielakkan oleh pendakwah dan mereka perlu lebih berhati-hati ketika mengemukakan hadith-hadith Nabi s.a.w dalam apa jua perkara yang mereka lakukan. Ini kerana sudah menjadi satu yang biasa bagi masyarakat awam dengan satu ucapan yang berbunyi: "Apa yang ustaz dan ustazah cakap itu semua betul..takkan ustaz dan ustazah tak tahu!" Tetapi jika apa yang kita sampaikan itu sesuatu yang tidak betul kemudian dianggap betul oleh mereka malah dipegang dan diamalkan dalam kehidupan seharian mereka..bukankah itu merupakan sesautu yang tidak wajar? Saya tersenyum dan saya menyerahkannya kepada anda untuk berfikir dan mempertimbangkannya.


Maktabah al-Hadith al-Syarif adalah Cd Takhrij al-Hadith yang dikeluarkan oleh Syarikat Komputer Ariss yang bertempat di Beirut. Ianya mengandungi lebih dari 11 Kitab Hadith. Ia merupakan antara CD Takhrij al-Hadith yang paling mudah untuk digunakan. Antara cd-cd Takhrij al-Hadith yang lain ialah: Maktabah al-Syamilah, al-Jami' al-Kabir, Mausu'ah al-Hadith al-Syarif dan Mausu'ah al-Dhahabiyyah.

AKHIR KATA DARI SAYA

Mentakhrij sesebuah hadith sebelum disebarkan dan digunapakai dalam apa jua situasi adalah menjadi satu kewajaran bagi setiap individu Muslim terutamanya di kalangan agamawan Muslim. Daripada pentakhrijan hadith itu sendiri seseorang akan dapat mengetahui atau mengenalpasti darjat sesuatu hadith dengan melihat kepada kekuatan dan berbilangnya jalur sesebuah hadith.

Perlu untuk diberi perhatian bahawa menyandarkan sesuatu hadith kepada Nabi Muhammad s.a.w tetapi pada hakikatnya bukanlah daripada baginda adalah satu kesalahan jenayah ke atas agama. Manakala tidak mentakhrij hadith itu pula menunjukkan bahawa tiadanya amanah ilmu dan juga tiadanya amanah dalam menyebarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w.

Tiba-tiba saya tersenyum kerana teringat salah seorang dari rakan pengajian Master saya menggelarkan saya: "Sahibut Takhrij" =)

Sekian, Wallahu'alam.

Petang ini saya amat sedih sekali...
Sedih apabila jubah-jubah saya menjadi bahan permainan monyet-monyet yang tidak mengenal apakah erti jubah-jubah itu pada saya

Keletihan saya membasuh jubah dan pakaian lain seawal jam 7 pagi tadi masih terasa
Semakin terasa letih dan peritnya jiwa apabila melihat jubah kesayangan saya yang dibelikan oleh suami saya koyak akibat menjadi rebutan oleh monyet-monyet yang menyangka kain-kain itu adalah barang permainan yang cukup menyeronokkan untuk dijadikan sebagai bahan tarik-menarik antara mereka dan lebih-lebih memeritkan saya apabila baju-baju saya dikencingi 'mereka'.

Gambar ini dipetik pada tahun 2008 ketika di blok 8U 202, Kolej Ungku Omar,UKM.


Memang saya menangis
tidak kisahlah jika ada sesiapa yang ingin mengatakan saya seorang yang cengeng
lantaran menangis hanya kerana baju menjadi mangsa monyet-monyet Kolej Ungku Omar yang tidak mengerti apa-apa

Saya memandang sayu ke arah baldi yang penuh dengan baju-baju yang perlu dibasuh semula

Lebih-lebih sayu lagi hati ini tatkala memandang jubah kesayangan saya yang telah dikoyakkan oleh monyet-monyet...

Sungguh...Jubah itu terlalu bererti buat saya kerana ianya memberikan seribu satu makna yang hanya saya dan Allah s.w.t sahaja mengetahui

Saya akan pastikan ianya tidak akan berulang untuk kali yang kedua...

Inna lillahi wa inna ilaihi Raji'un

25 April, 2009

Malam ini saya terkenang-kenang kata-kata yang pernah saya coretkan suatu masa dahulu, kata-kata yang bertarikh 5 Januari 2007:

Aku adalah bunga yang telah disunting, Ya Allah. Peliharalah aku yang berada di kejauhan ini, agar setiap saat hembusan nafasku dijauhi dari sebarang kemaksiatan.

Peliharalah rindu ini, agar ia tidak dicemari dengan keraguan dan kesakitan yang amat sangat..Walau ku tahu rindu itu sememangnya cukup menyakitkan jiwa dan raga!

Tetapkanlah diri dan pemikiran ini agar sentiasa berada dan berfikir mengikut syariatMu..berfikir menggunakan iman dan ilmu yang bersulam di dada, bukan berfikir dengan emosi dan nafsu yang sentiasa ingin beraja di jiwa.

Peliharalah hatiku agar aku tidak menyimpan sedikit pun rasa dengki dan benci, biarkan hati ini penuh dengan kasih sayang dan rasa ukhwah yang tiada galang gantinya.





Lalu saya terus termenung dan merenung...

mujur ada iman
mujur ada ilmu
mujur ada Tuhan..Allah Azza wa Jalla....

21 April, 2009

Bismillah

Peningnya kepala saya bila melihat buku-buku dan file-file ini...



Baru lihat, belum lagi buka untuk dibaca dan dihafal setiap satu darinya.
"Ya Rabbii..Yassir. Boleh..boleh, Sakinah. Insya Allah, BOLEH!" =) Positif lagi!

Teringat masa di dalam dewan peperiksaan tadi. Walau masa hanya berbaki 15 minit, saya tetap menyakinkan diri saya bahawa saya boleh menjawab soalan terakhir itu. Akhirnya, memang saya jawab walau tidak sesempurna yang diminta oleh soalan. Habislah semua apa yang saya ingat saya luahkan di atas kertas jawapan. Saya tersenyum. Itulah dia POWER nya bila ada sikap berfikiran positif! =)

Tiba-tiba saya terpandang hadiah yang diberikan oleh 4 orang pelajar tutorial saya.



Saya tersenyum lagi....
Terlalu banyak kisah telah dilakar
Terlalu banyak cita-cita telah dibina
Terlalu indah ikatan ukhwah yang telah dikait
Terlalu banyak perkongsian ilmu dan rasa telah dibicara
antara saya dan pelajar-pelajar tutorial saya

Kepada mereka saya hadiahkan kata-kata ini:

Di dalam hati ini ada selautan kasih untuk mu
dari kasih itu ku bentuk sebuah harapan
ku hiasai ia dengan persahabatan
untuk melihatmu sebagai pejuang Islam.
Salam juang dari gurumu- UstazahSakinah =)



Indahnya bila dapat berkongsi bicara
bicara yang membuatkan insan lain merasa diri hamba.

P/S: Saya tidak berapa sihat.Doakan untuk kesihatan saya.

18 April, 2009

Terima Kasih saya hadiahkan kepada seorang akh (yang hanya saya kenali dengan nama
akh Ugie) dari Indonesia yang sudi berkongsi dengan saya sebuah video yang begitu menyentuh hati dan perasaan.

Alhamdulillah, saya jumpa kembali sesuatu yang hampir-hampir hilang dalam diri saya.
Tatkala saya sedang gelisah dan mencari semangat diri..akhirnya saya temui pada kata-kata Allahyarham ustaz Armen Halim Naro.

"Mana air mata ciri khas orang yang soleh..orang yang tunduk kepada Allah Azza Wajal. Mana air mata di solat tahajjud? Mana air mata di dalam doa dan tadarru' kepada Allah Azza Wajalla? Apakah kita mempelajar Din (agama) untuk memperkeras hati kita? Untuk menyakiti hati kaum muslimin? Tidak! Kita mempelajari Din untuk bersimpuh di hadapan Allah Azza Wajalla..untuk menciptakan hakikat 'Ubudiyyah kepada Allah Azza wa jalla, untuk menyempurnakan bahawa diri kita adalah hamba Allah"

Ya Rabbi...
Saat saya mendengar itu..kelu lidah dan saya hanya ada airmata

kata-kata itu cukup menggugah perasaan saya
ketika sendiri di malam hari
ketika saya sedang mencari kekuatan untuk terus berjuang menatap kitab dan memujuk hati yang sunyi

Saya sujud dengan airmata...

"Ya hayyu Ya Qayyum Birahmatika Astaghith..."

Dari Anas r.a dia berkata bahawa Nabi s.a.w apabila mengalami suatu kesulitan, baginda mengucapkan doa berikut:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ

Maksudnya: “Wahai yang maha hidup, Wahai yang maha berdiri, aku memohon pertolongan dengan rahmat-Mu” (H.R al-Tirmizi dalam kitab sunannya. Dihukum Hasan di dalam kitab Sahih al-Tirmizi, No.3524)


16 April, 2009

15 April, 2009

Saya agak letih sehingga tertidur di atas karpet dengan buku yang menutupi muka . Saya ketepikan buku Muktalif al-hadith Baina al-Fuqaha' wa al-Muhaddithin dan cuba membetulkan posisi tidur saya.Tapi saya kata dalam hati:
"Ish..tak le jadi ni..kena bangun jugak!"

SMS EMAK

Tadi petang, saya mendapat khidmat pesanan ringkas(sms) dari emak . Kata emak:

"Emak tahu. Engkau makan jangan lupa"

Sender:
Hp Mak
+658104****

Saya termenung. Mak selalu risau tentang makan saya. Maklum sahaja saya selalu lupa makan jika terlalu sibuk dengan sesuatu perkara. Tetapi sekarang saya tidak boleh buat-buat lupa tentang makan. Bila lewat makan sahaja kepala saya sakit dan pusing dan kadangkala juga seperti hendak pengsan. Jadi, perlu jaga makan. Dan Ajid selalu pesan pada saya: "Don't skip your meals".

Sebenarnya sms itu adalah balasan emak kepada sms saya tadi pagi. Saya minta emak mendoakan saya agar dipermudahkan untuk peperiksaan yang bakal saya duduki pada minggu hadapan. Peperiksaan semakin hampir tetapi persediaan saya masih lagi bertatih-tatih.

DOA EMAK...

Itulah dia rahsia besar kejayaan saya selama ini.

Percaya atau tidak, setiap apa yang ingin saya lakukan adalah beriringan dengan doa emak.

Waktu dulu semasa saya menduduki peperiksaan di Madrasah Alsagoff, saya selalu kata pada emak dengan hati penuh kerisauan:

"Mak doakan kakak dapat jawab exam. Doakan kakak ingat apa yang kakak hafal dan baca"

Dan emak seperti biasa hanya menganggukkan kepalanya. Maklum sahajalah pada waktu itu saya ke sekolah adalah awal pagi. Jam 6.15 pagi sudah keluar dari rumah. Mak tentu sahaja mengantuk ketika menghantar saya di depan pintu.

Ketika saya di Maahad Tahfiz pula saya selalu hubungi emak dan berkata:

"Mak, kakak nak exam. Mak doakan kakak"

Cuma sekarang ini, ketika saya di peringkat Universiti saya hanya meng'sms emak. Dan sms saya bunyinya juga hampir sama. Saya katakan padanya:

"Mak doakan kakak. Minggu depan kakak exam......kakak risau"

Doa emak saya pohon bukan sahaja ketika ingin menduduki peperiksaan. Setiap kali saya ingin membentang tugasan saya di dewan kuliah dan juga tutorial, saya mohon emak mendoakan saya agar saya dapat lakukan yang terbaik untuk pembentangan.

Bila saya sedih....saya juga sms emak tanpa menyatakan masalah saya:

"Mak doakan kakak..Kakak sedih dan risau"

Dan emak seperti biasa akan menjawab:

"Mak selalu doakan semua anak-anak mak"

Jawapannya ringkas. Tetapi cukup bermakna buat saya. Cukup berharga untu saya menatap hari dengan lebih bersemangat dan penuh dengan kekuatan.

BAGAI LANGIT DENGAN BUMI

Sunnguh...Emak tidak seperti saya dari sudut kefahaman agamanya.
Emak jauh berbeza dari saya bagaikan langit dengan bumi.Memang saya dan dia terlalu berbeza. Seringkali ada sahaja perkara yang saya ucapkan diberi respon yang menjengkelkan dari emak. Antara ucapan popular yang emak sering ucapkan pada saya bila saya cuba menerangkan sesuatu kepadanya tentang hukum ialah:

"Alaaa..kalau engkau semua dosa..semua tak boleh!" =)

Tetapi beza macam mana pun, saya tetap anak emak. Saya tetap mewarisi sikap-sikap emak.

Senang kata, banyak perkara seni yang ada dalam diri emak juga mengalir dalam diri saya. Cuma saya menggunakan seni itu di tempat yang betul dan perlu.

Satu perkara yang saya tidak pernah lupa, semasa saya kecil dahulu emak mendidik saya supaya membaca al-Quran dengan berlagu. Dari emak saya mengenal huruf Alif, Ba, Ta dan belajar menulis dan membaca jawi. Emak selalu melatih saya mengeja sama ada dalam bahasa Melayu ataupun Jawi. Cuma kurangnya, emak tidak pandai berbahasa Inggeris, jadi saya tidak terdidik bertutur bahasa Inggeris di rumah. Bahasa Melayu begitu sebati dalam diri saya kemudiannya diselit sedikit dengan bahasa Jawa dan Boyan. Apa yang pasti, sikap untuk belajar dengan tekun itu telah ditanamkan dalam diri saya oleh emak sedari kecil lagi.

ANDAI TIADA DIA..

Jika emak tiada, bagaimanakah saya?

Masih terbayang-bayang lagi bagaimana saya duduk jauh dari emak buat pertama kalinya.
Semua perkara saya perlu lakukannya sendiri. Saya perlu membasuh dan memasak. Waktu itu saya menangis teresak-esak. Saya memang tidak reti untuk melakukan semua itu kerana selama ini emak yang melakukannya untuk saya. Saya yang berada jauh di Melaka terus menghubungi emak dengan tangisan. Saya sedih kerana emak tiada di sisi untuk membantu saya. Bila emak mendengar tangisan saya, emak juga menangis pilu. Pada waktu itu baru saya sedar, alangkah BERMAKNANYA EMAK DALAM HIDUP SAYA. Dan bermula saat itu, saya belajar hidup berdikari TANPA EMAK DI SISI.

Walau kini saya mampu survive tanpa emak di sisi tidak bermakna saya melupakan emak. Emak adalah emak yang tiada galang gantinya.

Emak banyak membantu saya dalam menghadapi hidup ini. Walau kadangkala fikrah kami seringkali bercanggah tetapi emak banyak mengajar saya tentang erti sebuah kehidupan.

Bagaimana emak sabar menghadapi hidup ketika dia mengalami fatrah kesusahan dan keperitan, waktu itu saya melihat dan belajar tentang sabar dari emak.

Bagaimana emak menahan luka di jiwa hanya kerana fikirkan anak-anak, waktu itu saya belajar erti sebuah pengorbanan dan kasih sayang dari emak.

Bagaimana satu ketika dahulu emak sanggup bekerja kerana tidak mahu saya menahan lapar, waktu itu saya hanya mampu menangis dan belajar bahawa nyawa sekalipun emak sanggup gadaikan untuk saya.

Bagaimana emak masih lagi menguruskan saya, walau saya sudah bergelar seorang isteri, dan waktu ini saya melihat emak adalah terlalu mulia kerana baginya sejak saya masih di dalam rahim lagi hinggalah saya sudah memasuki gerbang kedewasaan saya adalah pengarang jantung hatinya.

Allahu Akbar... perit emak mengandung dan melahirkan saya tidak dapat saya balas ditambah lagi dengan kasih sayangnya yang tidak pernah berbelah bahagi kepada saya. Sayalah racun dan sayalah penawar baginya. Sungguh lemahnya saya bila mengenangkan semua itu. Apalah daya saya, Ya Allah.

Semuanya terlalu mahal sehingga saya rasa tidak terbayar dengan apa jua harta sekalipun.

Airmata saya mengalir....
Terlalu deras ....

Emak terlalu cantik pada saya dan emak terlalu indah dalam hidup saya.

Senyuman emak adalah senyuman saya
Tangisan emak adalah tangisan saya
Andai tiada emak..tiadalah saya

Dan DOA EMAK ....adalah nyawa saya

Terlalu indah dan bermakna...

Hidup saya terasa tenang kerana REDHA EMAK sering mengiringi setiap gerak langkah saya.

Ya Allah...
Saya tidak mahu menjadi racun dalam hidupnya
Biarkan saya terus menjadi penawar jiwanya di dunia dan akhirat

Emak..kakak sayang emak...

"Ya Allah....sayangilah emak dan kasihanilah dia sebagaimana dia menyayangiku dan mengasihaniku dari kecil hinggalah kini"

Minggu ini adalah minggu study week
Saya tenang sedikit walau agak kelam-kabut =)

Tak sangka juga...saya akan menduduki peperiksaan setelah agak sekian lama tidak berasa tertekan dengan peperiksaan. Hmmm..walau sudah berada di saaT-saat akhir ini, saya tidak mahu patah semangat. Perlu berusaha selagi ada masa dan tenaga!

Kepada semua rakan-rakan pengajian Master, adik-adik yang mengenali diri ini dan juga kepada pelajar-pelajar tutorial Kajian Ulum Hadith PPN1133:
Teruskan usaha untuk mencapai kecemerlangan.



Dari Anas r.a, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w pernah berdoa:

اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً ، وَ أَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزْنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah tidak ada kemudahan selain apa yang Engkau jadikan mudah dan Engkau dapat menjadikan perkara sulit menjadi mudah jika Engkau kehendaki” (H.R Ibn Hibban dan sanadnya dihukum sahih bertepatan dengan syarat Muslim dalam kitab al-Silsilah al-Sahihah, No. 2886).


Untuk anda, saya hadiahkan kata-kata berikut agar terus berusaha mencapai kejayaan:

Kadangkala hidup ini seringkali terasa pahit
lantaran kita berasa kerdil di sisi manusia-manusia hebat.
Tapi sebenarnya kita lupa bahawa kita juga manusia seperti mereka.
Kita lupa kita mampu menjadi hebat. Kerana KITA MANUSIA!

Berjuang untuk menjadi yang terbaik adalah hak kita.

Selagi mana kita tidak lupa, hidup dan mati kerana Allah, selagi itu kita manusia HEBAT!

Semangat itu datang dalam diri yang hatinya memburu redha Tuhan.
Salam perjuangan untuk mu. Moga terus teguh berteman hati yang kukuh.


SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Wassalam

14 April, 2009

Bismillah

Pada entry kali ini saya memuatkan beberapa panduan dan bacaan dari al-Quran dan hadith yang sahih untuk mengubati sihir lantaran terdapat banyak permintaan dari pelajar saya berkenaan hal ini. Apapun jika terdapat perkara yang kurang jelas, boleh emelkan kepada saya persoalannya di alqamariah@yahoo.com.

Semoga bermanfaat


Mengubati Sihir Mengubati Sihir Umairah-sh

12 April, 2009

Tiada Kata...

Tiada kata yang dapat saya lafazkan
untuk mengungkap sebuah rasa yang tersimpan
Tiada bicara yang dapat saya ucapkan
untuk gambarkan sebuah kesakitan...



Hujan masih turun dengan lebat di luar sana
Bangunan blok ini sepi..
tiada kedengaran suara orang bergurau senda
apatah lagi bunyi muzik yang menggamatkan suasana
yang hanya kedengaran
rintikan hujan lebat dan putaran kipas yang kelajuannya di angka empat.

Saat ini kepala saya terasa berpinar-pinar
semuanya bagai kabur di penglihatan saya
bagai tidak mampu untuk saya duduk lama di depan komputer
tapi saya tiada pilihan
peritnya saya menahan sakit
perit lagi menahan tangis

Pada malam ini saya perlu selesaikan segalanya
sebelum mula untuk duduk tetap menelaah kitab dan nota
peperiksaan bakal menjengah dan saya masih lagi terpingah-pingah
Ya Allah..
Bantulah saya.

3 hari tiada di bumi UKM
dan 3 hari juga saya tiada di alam maya
peti emel saya penuh dengan emel yang tidak terbaca
saya hanya memandang sepi semua emel-emel itu
saya tidak larat untuk membuka dan membacanya satu persatu
kerana kepala saya sakit tidak terkira.

Pertarungan saya kelihatannya sudah bermula secara 'rasmi'
bertarung untuk peperiksaan dan bertarung untuk 'melawan'
Tiada yang saya harapkan dari semua melainkan doa ikhlas dari hati
untuk saya meneruskan sebuah perjuangan.

Saya berdoa:



Maksudnya: “Singkirkanlah semua penyakit, Rabb ummat manusia, Sembuhkanlah, Engkau maha penyembuh, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari Mu, yang tidak meninggalkan sedikit pun penyakit” (H.R al-Bukhari dalam Kitab Sahihnya)

"Di sujud ku ada tangisan
dek hirisan yang tidak tertahan
pada mu Ya Rabb ku sandar harapan
kerana Kau yang lebih mengetahui hikmah dugaan"

08 April, 2009

Saya perlu menulis untuk meluah rasa...




Perlukah saya marah?
Berulang-ulang kali saya beristighfar...
Ya Allah..sabarkan hati saya

Hari ini adalah hari terakhir saya mengajar tutorial
tetapi ianya tidak seindah semalam
Saya jadi makan hati
Saya jadi marah hinggalah saat saya sedang menaip ini

Perlukah saya marah?
Hampir menangis saya dibuatnya
dan saya memang menangis tetapi hanya mengalirkan dua titis air mata
sakitnya jiwa ini lantaran menahan tangis!

Saya jadi kesal dengan sikap sesetengah palajar universiti
andai pelajaran itu diabaikan
apa ertinya bergelar mahasiswa/wi
mereka kelihatan hebat di luar bilik kuliah dan tutorial
tetapi kaku bila mana berada di dalamnya.

Teringat pada persoalan yang pernah saya timbulkan dalam penulisan saya 'Yang mana satukah lebih penting?':

"Apa yang saya lihat sukar untuk saya percaya sebenarnya. Ini kerana suasana bertukar pendapat dan mementingkan ketelitian itu tidak wujud di dalam sesi pembelajaran yang berlangsung baik di dalam dewan kuliah mahupun perbincangan tutorial.Wajah-wajah berani menyuarakan pendapat dan pandangan kadangkalanya adalah manusia berat mulut di dalam sesi perbincangan ilmiah, lebih-lebih lagi apabila diterjah oleh pensyarah dengan persoalan demi persoalan. Saya menjadi pelik. Adakah dunia kepimpinan dan pembelajaran merupakan dua situasi yang berbeza sedangkan keduanya menuntut perbincangan dan penukaran fikrah di antara satu sama lain?"

Itu adalah satu luahan kesal yang pernah saya nyatakan suatu ketika dahulu. Pada waktu itu, saya hanya bergelar mahasiswi tahun 3. Tetapi kali ini, luahan kesal saya adalah luahan ketika saya bergelar pelajar sarjana dan sekaligus seorang tutor. Tentu sahaja saya dapat melihat perkara itu dari pelbagai sudut yang berbeza.

Entahlah, bagai tiada kata yang boleh saya ucapkan
Kelu lidah, beku bahasa untuk saya luahkan menjadi sebuah penulisan penuh makna.

Ya Allah...
Jika saya ikutkan amarah...
saya tidak berfikir panjang untuk 'menghadiahkan' angka 'kosong' kepada mereka yang tidak reti atau sengaja tidak mahu mengerti apa itu tanggungjawab dalam melaksanakan tugasan tutorial.

Apa yang saya lihat, pensyarah atau tutor seringkali berusaha untuk mengajar dan memberikan yang terbaik kepada pelajar-pelajarnya tetapi seringkali juga pelajar-pelajarnya hanya memandang sepi tentang semua itu. Yang mereka tahu mereka inginkan 'A' dari pensyarah mereka tetapi mereka tidak pernah ingin ambil tahu bagaimana seharusnya mendidik diri untuk menuju ke arah 'A' itu.

Inikah dia mahasiswa/wi?
Atau lebih tepat saya katakan:
Inikah dia mahasiswa/wi yang berpendidikan dan berpengajian Islam?

Bukan niat saya ingin memperkecilkan tetapi inilah realiti yang mungkin hanya dibuat-buat tidak sedar oleh mahasiswa/wi pengajian Islam.

Realiti yang bukan baru saya lihat pada hari ini tetapi semenjak saya menjejakkan kaki di Universiti.

Adakah anda sudah cukup layak untuk mendapat 'A'?

Ketahuilah mahasiswa/wi,

'A' itu bukan sahaja perlu untuk dijadikan gred utama pada sesuatu subjek semata-mata. Tetapi gred 'A' itu juga perlu untuk menjadi nilai sejauhmanakah amanahnya kita dalam melaksanakan tangungjawab sebagai seorang pelajar Muslim. Sejauhmanakah kita benar-benar bersyukur dengan peluang yang Allah s.w.t berikan kepada kita kerana berada di sebuah laluan demi MENUNTUT ILMU? Sejauhmakah kita benar-benar meletakkan diri kita berjuang untuk ILMU? Adakah kita layak untuk mendapat 'A' itu jika banyak amanah dalam menuntut ilmu itu kita sering abaikan dan sering pula kita buat-buat lupakan?

Tanyakan pada diri kita tentang semua itu

Benar kata ustaz Asmadi: "Kalau dapat 'A', istighfarlah banyak-banyak".

'A' itu perlu kerana 'A' itu adalah melakukan sesuatu kerana ALLAH s.w.t.

Renungkanlah...

05 April, 2009

Assalamualaikum kepada pembaca setia blog umairah-sh. Mungkin anda berasa resah kerana saya tidak mencoretkan sesuatu semenjak menjengahnya bulan April dan mungkin juga anda jemu berulang kali ke sini tetapi masih lagi tidak ada perkara menarik yang saya perkatakan dan kongsikan.

Maafkan saya.

Saya sedang sibuk menghabiskan dua lagi tugasan saya sebelum bermulanya peperiksaan pertama saya di pengajian Master ini. Jadi minggu ini dan tentu sahaja minggu-minggu yang seterusnya, saya agak kelam-kabut sedikit. Dan fikiran saya juga agak terganggu kerana memikirkan beberapa perkara yang memerlukan saya untuk berfikir dan menimbangkannya dari pelbagai sudut.

Hmmm....Doakan saya agar dipermudahkan segala urusan.

Apapun pada hari ini, saya hanya dapat berkongsi dengan semua kata-kata yang saya kira amat menarik untuk direnungkan bersama yang terdapat di video ini.

Lihatlah dan hayatilah...

Semoga bermanfaat =)



P/S: Teringat kata-kata yang sering saya coretkan untuk suami saya:
"Ketahuilah ...kasihku padamu hanya keranaNYA jua"