08 March, 2009

Setibanya saya di kafe UO selepas pulang dari PTSL semalam, saya mencapai bekas makanan untuk meletakkan nasi. Tiba-tiba saya terpandang seorang pakcik yang sedang sibuk memilih lauk-pauk untuk menghiasi nasinya di atas pinggan yang sedang ditatangnya. Pakcik itu kelihatannya sibuk memilih-milih ayam goreng. Saya cuba memerhati sekelilingnya. Tiada isteri dan tiada pula anak-anak bersamanya. Mungkin pakcik itu ada hal ke sini. Saya hanya mengagak.

Dalam sibuk memilih lauk untuk santapan tengah hari, mata saya mencuri-curi pandang ke arah pakcik itu. Ada sayu di hati saya. Sayu yang sukar untuk saya luahkan. Sebenarnya terpandang pakcik itu telah mengingatkan saya kepada abah. Abah yang pendiam dan tidak banyak bicaranya. Tapi dalam diamnya saya tahu kasih abah untuk saya menggunung tingginya. Ya, saya akui saya anak emas abah!

Dalam hati ini ada selaksa rindu untuk Abah

Terkenang suka duka saya bersama abah

Ya Allah...rindunya saya :'(


Abah yang seringkali diam seribu bahasa tetapi dia amat memahami apa yang ada di dalam jiwa saya. Kerana itu sedari kecil lagi, saya selalu berazam untuk membuatkan abah berbangga dengan hadirnya saya dalam hidupnya, iaitu satu-satunya puteri tunggal penyeri hidup dan pengarang jantung hatinya.

Sejak di bangku sekolah ibtidaiyyah (rendah) lagi, abah selalu memberikan galakan dan dorongan kepada saya untuk menjadi seorang yang terpelajar (secara tidak langsung). Apabila abah sering berbicara pada emak tentang anak-anak orang lain yang berjaya memasuki universiti dan belajar di luar negara, saya menanam azam agar dapat menjadi anak abah yang pertama melanjutkan pelajaran di luar negara dan memasuki universiti.

KEBAHAGIAAN ABAH

Dan saya masih ingat lagi ketika saya menangis teresak-esak apabila emak dan abah akan pulang ke Singapura setelah menguruskan pendaftaran saya di Maahad Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat, Melaka. Pada waktu itu, abah tidak menangis sebagaimana emak tetapi hanya tersenyum pada saya dan memberi isyarat dengan menunjukkan ibu jarinya kepada saya (tanda bagus) bahawa saya mampu untuk belajar dan mencapai kecemerlangan.

Allahu akbar, pilunya saya pada waktu itu. Itulah pertama kali, saya hidup jauh daripada abah dan emak. Anak emas abah bagai burung kepatahan sayapnya. Saya lemah pada minggu pertama di pengajian peringkat diploma itu.

Tetapi akhirnya saya sedar saya perlu berbalik pada azam saya - MENJADI ANAK KEBANGGAAN ABAH. Dari situ langkah demi langkah saya atur sehinggakan saya seringkali buat abah tersenyum dengan pencapaian saya di peringkat diploma. Di wajah abah ada kebahagiaan dan dapat saya rasakan setiap penat lelah abah bekerja untuk menampung pengajian saya bukanlah satu yang sia-sia.

Dan kebahagiaan di hati abah itu semakin dapat saya rasakan apabila saya mengkhabarkan padanya menerusi telefon bahawa beberapa hari lagi saya bakal mengkhatamkan al-Quran saya secara hafazan. Saya hanya dengar abah mengucapkan hamdalah "Alhamdulillah". Tetapi dari ucapan itu saya mengerti ianya mewakili kebahagiaannya yang tiada bertepi kerana puteri tunggalnya bakal bergelar "al-Hafizah". Saya bahagia kerana abah bahagia.

LANGIT TIDAK SELALUNYA CERAH

Kemudiannya tiba satu fatrah di mana abah diuji dengan sehebat-hebat ujian. Abah kelihatannya menderita sekali dan saya sebenarnya TURUT MENDERITA. Menderita jiwa yang tidak saya perlihatkan pada abah dan juga emak. Dan saya perlu sama-sama mengharungi ujian itu bersama kedua ibu bapa saya yang menyebabkan saya terpaksa menangguhkan impian untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjanamuda. Akhirnya, atas nasihat emak, impian itu terpaksa saya padamkan dan seterusnya melangkah ke alam pekerjaan.

Abah terlalu lemah pada waktu itu dan abah benar-benar mengharapkan saya untuk merubah segalanya. Lalu saya anak emas abah ini, perlu bertindak memulihkan keadaan walau hati saya hanya Allah sahaja yang tahu. Pedih, perit dan kadangkala terlalu sakit!

Tetapi saya bersyukur kerana abah mampu tersenyum kembali. Saya 'menyejukkan' suasana apabila saya diterima sebagai asatizah Darul Quran, Singapura. Abah bahagia dan teramat lega. Malah abah begitu bangga dengan saya. Pada waktu itu, jika ada masa lapang, abah suka singgah ke masjid tempat saya bekerja untuk solat berjemaah.

PADA HARI INI....

Mengapa agaknya saya menceritakan semua ini? Ini kerana saya merasakan bahawa saya jauh dari abah. Jauh dari beliau setelah abah menyerahkan saya kepada seorang lelaki bergelar suami.

Air mata saya semakin deras mengalir...

Saya sedar, berat di hati abah pada waktu itu. Ada perasaan 'berat' sedari hari pertama ta'aruf dijalankan sebagai pembuka ruang untuk menghalalkan sebuah perhubungan antara saya dan seorang lelaki ajnabi. Dan saya tahu mengapa. Abah bimbang jika anak emasnya tidak akan dijaga sebaik mungkin dan abah telalu khuatir jika anak emas penyeri hidupnya akan disia-siakan.

Terbayang di mata saya wajah abah yang kian dimamah usia...

Memori lalu saya padukan dengan realiti hari ini

Airmata saya mengalir dan terus-terusan mengalir...

Rindunya saya padanya

Walau bagaimanapun dia kini, dia tetap abah saya.

Dialah yang membesarkan saya dengan rezeki yang dicarinya siang dan malam. Diberinya saya makan dan pakai, dilayaninya saya dengan penuh kemanjaan dan kasih sayang dan didoakan saya dengan kejayaan dan kebahagiaan.

Dengan semua yang abah hadiahkan untuk saya itu sedari kecil hinggalah kini, saya menjadi seperti apa yang saya jadi pada hari ini.

Di jiwa saya ada jiwa seorang pejuang!

Hasil dari tangan abah yang membesarkan saya dengan penuh kebahagiaan, kemesraan, kepahitan dan pengalaman.

Dan azam saya tidak pernah mati walau kini saya bukan anak emas abah sepenuhnya.

Azam saya untuk menjadi ANAK KEBANGGAAN ABAH akan terus hidup selagi nafas saya tidak bercerai dari badan dan saya berazam untuk membawanya hinggalah di akhirat sana.

Moga hati abah sejuk melihat saya.

Melihat saya sebagai seorang muslimah yang mendidik diri berjuang untuk dakwah dan mempertahankan sunnah Rasulullah. Dan melihat saya sebagai seorang anak yang sentiasa memuliakan dirinya dan mengusir derita jiwanya.


Pada nama saya ada namanya

sentiasa seiring dan sentiasa berdamping

Kerana saya BINTU SAPTU

Saya rindu abah

"Ya Allah, kurniakan padaku kekuatan untuk sentiasa menabur bakti kepada kedua ibu bapaku hingga ke nafas mereka yang terakhir...Rabbirgfirli Wali walidayya warhamhumaa kama rabbyaanii saghiiraa"

0 Comments:

Post a Comment