18 March, 2009



Melihat gambar ini, membuatkan saya merenung dan memuhasabah diri.

Saya akur menjadi seorang ustazah memikul amanah dakwah yang begitu menguji keimanan dan kesabaran.

Teringat kata-kata ustaz Fadlan pada saya suatu ketika dahulu:

"Ustaz dan ustazah adalah doktor jiwa"

Saya seperti biasa apabila disogokkan dengan kata-kata yang baru saya dengar, saya akan termenung dan merenung. Dan akhirnya saya akui bahawa dalam makna kata-kata itu.

MENGAJAR ADALAH AMANAH DAKWAH

Memegang amanah sebagai ustaz dan ustazah, kadangkala banyak tekanannya juga. Ini kerana kita perlu sering membantu pelajar menjawab kemusykilan mereka, merungkaikan permasalahan mereka dan meyakinkan pada mereka bahawa setiap perkara dalam hidup ini boleh ditempuhi dengan sebaik-baiknya. Mereka sering meminta nasihat, meminta pandangan dan menginginkan respon dari kita terhadap pelbagai perkara yang mereka utarakan (terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan kemusykilan agama) dan kadangkala cukup bagi mereka setakat kita menjadi seorang pendengar yang setia.

Kerana tugas kita yang sepertimana saya sebutkan di atas tadi, seringkali kita dilihat sebagai manusia sempurna yang banyak ilmunya oleh pelajar dan kadangkala dianggap sebagai manusia yang begitu dikagumi.

Saya tersenyum =)

Adakah pelajar-pelajar ini lupa? Sedangkan sebenarnya seorang ustaz dan ustazah itu juga manusia biasa yang mempunyai banyak permasalahan dan kemusykilan. Mereka juga ingin ada yang mendengar bicara dan luahan isi hati mereka.

Tapi memang tugas seorang ustaz dan ustazah itu begitu,kan? Itu sudah tangggungjawab malah adanya amanah dakwah. Usahlah nak merungut-rungut. Saya selalu berpegang pada prinsip:

"Bila kita ikhlas dalam menyampaikan ilmu dan menganggapnya sebagai satu amanah, kita akan berjaya memenangi hati mereka yang menerima penyampaian itu. Walaupun apa yang kita sampaikan itu hanya satu ayat"

Tetapi pastikan apa yang disampaikan itu benar bukanlah sesuatu yang di'goreng-goreng' untuk menyedapkan hati pelajar. Jika perkara 'goreng-menggoreng' ini berlaku ketika kita menyampaikan ilmu, itu sudah menunjukkan tiadanya amanah ilmu apatahlagi amanah dakwah.

NASIHAT SAYA KEPADA PELAJAR (TERMASUK DIRI SAYA YANG TETAP BERGELAR PELAJAR)

Dalam melayari kehidupan sebagai seorang pelajar itu perlu menunjukkan ihtiram yang tinggi pada guru. Insya Allah, di situ adanya keberkatan. Hormatilah guru dan sayangilah mereka.

Semua ini mengingatkan saya pada ustazah Fahimah Ali Hasan. Beliau bukan sahaja ustazah saya semasa menuntut di Maahad Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat tetapi boleh juga saya kira sebagai seorang rakan dan kakak kepada saya. Sewaktu saya menemani beliau di biliknya dia ada mengatakan begini kepada saya:

"Sakinah, ana lihat kamu ni ada ihtiram yang tinggi pada guru. Ana suka sekali. Insya Allah, hidup kamu berkat"

Saya tersenyum bila dia menghadiahkan kata-kata yang saya anggap sebagai doa itu kepada saya. Kini, apa yang boleh saya katakan ialah:

"Saya benar-benar merasai 'keberkatan' itu, Alhamdulillah" =)

P/S: Saya rindukan pelajar-pelajar saya di mana jua mereka berada. Moga mereka semua tabah dalam menghadapi hidup dan berjalan di muka bumi ini dengan satu tujuan iaitu untuk menegakkan al-Quran dan al-Sunnah. Salam kasih dan rindu dari saya untuk mereka semua.

0 Comments:

Post a Comment