15 March, 2009



Pada tarikh 2 Mac yang lalu, saya ada menerima pesanan di ruangan ‘Salam Ukhwah’ dari seorang ukhti yang menggelarkan dirinya ‘mawaar’. Saya tidak pasti siapakah ‘mawaar’ ini sebenarnya, tapi dari kata-katanya saya rasa dia mungkin salah seorang daripada pelajar saya di Singapura (mungkin juga salah seorang adik saya yang berada di Malaysia). Tapi itu tidak mengapa. Walau siapapun dia, saya tidak mahu menghampakan harapannya. Di ruangan itu, beliau menghantar pesanan yang berbunyi begini:

“Salam.rindunyer dengan ust Sakinah =) ana nak minta sesuatu boleh? Ana mohon wasaya, nasihat-nasihat, tips-tips, kata-kata motivasi dari ustazah dalam memulakan safar yang dijadualkan akhir bln March. Dalam fatrah sekarang ini yang sibuk dalam menyiapkan persediaan untuk terbang ke sana..ana tak dapat nafikan satu kekurangan. Ana tak nak pergi dengan membawa hati yang kosong. ustazah, bimbinglah ana ke jalan menuju cintaNya…”


Menurut ‘mawaar’ dia akan memulakan safar ke Syria. Tetapi saya terlupa bertanya padanya untuk tujuan apa dia ingin memulakan safarnya itu. Cuma, apa yang dapat saya rasakan tentu dia bakal melanjutkan pengajiannya di sana.

Hmmm….apa sebenarnya yang perlu saya ucapkan kepada ‘mawaar’ ini dan mereka-mereka yang mungkin memerlukan sepertimana ‘mawaar’? Lama saya termenung dan lama juga saya ingin menarikan jari-jemari saya untuk memberikan respon. Tetapi Alhamdulillah pada malam ini, masa yang sepatutnya saya habisi dengan menaip tugasan saya, terpaksa saya curi untuk seketika (walau sebenarnya ianya mengambil masa yang agak lama) agar tidak menghampakan permintaan ukhti ‘mawaar’.

Sejujurnya saya bukanlah insan yang layak untuk berbicara tentang ini, apatah lagi membimbing seseorang untuk menuju cintaNya. Berat. Tetapi perasaan ‘berat’ itu, tidak menjadikan saya keberatan untuk berkongsi bicara =)

JAUHI KEMAKSIATAN, PERBAIKI SEBUAH TUJUAN

Dalam mengharungi laluan ilmu, saya berpegang dengan kata-kata imam al-Syafie rahimahullah:

شَكَوْتُ إلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِي فَأرْشَدَنِي إلَى تَرْكِ المعَاصي
وَأخْبَرَنِي بأَنَّ العِلْمَ نُورٌ ونورُ الله لا يهدى لعاصي


“Aku mengadu kepada guruku Waki’ tentang kelemahan hafalanku, lalu dia mengarahkanku agar meninggalkan maksiat. Dia memberitahuku bahawa ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak memberikan hidayah kepada orang yang melakukan maksiat”



Ilmu itu diibaratkan cahaya dari Allah dan cahaya Allah itu mana mungkin akan menerangi diri mereka yang melanggar perintah Allah s.w.t. Peringatan itu saya tanamkan dalam-dalam di lubuk hati saya. Lalu saya berkata pada diri saya bahawa belajar adalah satu wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan juga satu fatrah untuk mendidik diri agar lebih hampir kepada-Nya. Justeru itu, memelihara diri dari melakukan perkara-perkara yang dilarang sama ada secara terang-terangan atau bersendirian adalah menjadi satu kewajipan.

Maka jaga-jagalah diri kita dan genggam kemaslah setiap perintah Allah dan RasulNya. Cepat-cepatlah perbaiki keadaan, jika kita terasa kita sudah jauh berada dalam kealpaan ketika menuntut ilmu. Bersegeralah dengan istighfar dan taubat bila kita terasa kita telah melakukan dosa dan kemaksiatan.

Ketahuilah, menjadi satu perkara yang sia-sia bila mana kita belajar tetapi semuanya tiada mendatangkan kesan pada diri kita. Bayangkan, dari dahulu sebelum menjejakkan kaki ke laluan ilmu hinggalah kita tamat pengajian. Kita tetap sama. Yang lainnya adalah kita berjaya menamatkan pengajian dan membawa pulang segulung ijazah.

Tetapi itu bukanlah yang kita inginkan ketika berada di laluan ilmu. Lalu sedari awal lagi, kita perlu tanya-tanyakan pada diri:

“Wahai diri, kenapa kau perlu terbang berbatu-batu meninggalkan yang tersayang?”

“Wahai diri, mengapa kau perlu membiarkan insan yang kau sayang berhempas-pulas mencari wang untuk perjalanan engkau? ”

“Wahai diri, kenapa engkau sanggup menempuhi kesusahan untuk semua ini?”


Dan mungkin diri akan memberikan satu jawapan iaitu:

“Kerana aku ingin belajar”

Tetapi belajar yang bagaimana,ya?

Saya selalu katakan pada pelajar-pelajar saya:

“Belajar bukanlah untuk mengejar segulung ijazah semata tetapi belajar adalah untuk memburu redha Allah”

Bila kita belajar pastikan kita semakin menjadi insan yang benar-benar terpelajar dan terdidik. Terpelajar dan terdidik untuk merasa takut kepada Allah s.w.t. dan menjunjung perintah-Nya dan Rasul-Nya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" (al-Quran, al-Zumar:9)

Namun, jika kita sudah belajar dan mengetahui tetapi tetap sama seperti orang yang tidak belajar dan tidak mengetahui, alangkah malangnya diri kita. Dan di mana pula silapnya?

Mungkin ketika belajar niat atau tujuan kita ada sedikit tersasar yang membuatkan kita terlupa dengan tujuan yang paling aula yang pernah kita sematkan di jiwa untuk berada di bumi asing sebagai seorang pengembara ilmu. Mungkin kita berasa bahawa kita hanya belajar untuk sekeping kertas yang namanya ijazah itu dan mungkin juga kita hanya ingin melayakkan diri kita mendapat jawatan yang dipandang tinggi dengan kertas itu.

Terlalu banyak kemungkinan lagi yang saya percaya hanya diri kita masing-masing yang mengetahui. Tepuk-tepuklah dada dan tanya-tanyalah diri.

BILA PUDARNYA SEMANGAT

Bila di perantauan kita akan menghadapi fatrah-fatrah hilangnya semangat dalam perjuangan.

Kita rasa jemu..

Kita rasa bosan…

Saya akui itu adalah perkara biasa dalam berjuang.

Perasaan kita kadangkala lebih menguasai sebuah cita-cita dan impian.

Lalu kenangilah orang yang jauh iaitu kedua ibu bapa.(link)

Dan saya percaya, saat itu air mata kita akan mengalir kepiluan.

Air mata pilu yang bersatu dengan rindu!

Mengalirnya air mata itu bukan bererti semakin lemahnya semangat diri tetapi ianya mampu mengilaukan kembali semangat perjuangan yang semakin pudar.

Kenangilah harapan kedua ibu bapa kita. Lakukan sesuatu yang mampu membuatkan mereka berasa sejuk dan bangga bila melihat kita. Dan sesuatu itu adalah kejayaan kita mendapatkan ilmu, mengaplikasikannya pada diri dan menyebarkannya kepada masyarakat.

Lalu usah terus-terusan berada dalam kejemuan dan kehilangan semangat itu. Jadilah seorang pengembara ilmu yang berfikiran positif. Bangkit dan berusahalah untuk terus mengorak langkah mencapai sebuah matlamat.

Sabar-sabarkan diri kita dan katakan pada diri:

Belajar kerana Allah usah diselit rasa jemu
Belajar kerana Allah jangan dilafaz kata hampa.(link)

NASIHAT TERAKHIR

Akhir sekali saya hanya mampu katakan pada ‘mawaar’ dan yang lainnya:

BELAJAR ADALAH UNTUK MENDIDIK DIRI AGAR LEBIH SABAR, TABAH DAN MUHASABAH.

BUKAN UNTUK BERBANGGA DENGAN APA YANG KITA MILIKI APATAH LAGI DENGAN PANGGILAN DIRI SEBAGAI USTAZ DAN USTAZAH.


Untuk ‘mawaar’ saya hadiahkan kepada anti sebuah senyuman dan saya ucapkan selamat melalui sebuah safar yang saya pasti bakal menggoncang kekuatan diri. Usah mengalah bila susah dan usah beralah bila terasa seolah-olah kalah. KITA YANG MENGAWAL KEADAAN BUKAN KEADAAN YANG MENGAWAL KITA. Dalam apa jua perkara dan situasi, satu sahaja yang mampu menyelamatkan diri kita iaitu “ITTAQILLAHA AINAMA KUNTI” (Bertaqwalah kamu di mana sahaja kamu berada)


Selamat berjuang! =)

Wallahu’alam

0 Comments:

Post a Comment