31 March, 2009



Pada petang ini saya ada membaca sebuah artikel mengenai poligami dan tiba-tiba teringat kata-kata ustaz Fadlan kepada Dr Azwira tempoh hari:

"Kita kalau nak buat seminar tentang poligami kena ada speaker wanita. Kalau tak emosi..."

Dr Azwira senyum. Saya juga senyum (senyum sampai telinga).

"Kita minta ustazah Sakinah jadi speakerlah..."

Ohhh...saya terkedu seketika. Mata saya yang besar semakin saya besarkan apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut ustaz Fadlan. "Haizzz..aku pulak yang kena!", bisik saya dalam hati. Dr Azwira sudah mengeluarkan tawanya dan Ustaz Fadlan dengan senyuman manisnya terus berlalu dari situ...

Lalu saya kata dalam hati: "Kalau saya nak jadi speaker berbicara tentang poligami, saya kena nikahkan suami saya dahulu. Barulah saya layak untuk bercakap 'berdentam-dentum' tentang poligami,kan?".hehe..

Saya menggelengkan-gelengkan kepala saya. Lucu pula rasanya...

Sebenarnya saya baru sahaja selesai membaca artikel Dr Mohd Asri. Beliau di dalam penulisannya yang bertajuk, 'wahai wanita pastikan arah perjuanganmu', menyatakan bahawa:

"Jika bukan poligami itu satu penyelesaian, apakah kita ingin menyuruh jutaan wanita mengurung ‘naluri kewanitaannya’? Atau apakah kita ingin beritahu mereka; lebih baik bersuamikan lelaki penagih daripada seorang yang telah berstatus suami?"

Hmmm....terangkat kedua kening saya ketika membaca kenyataan itu. Saya mengukir senyuman. Sungguh penuh pengertian untuk difikir-fikirkan =)
Teringat kembali kata-kata saya dalam penulisan yang bertajuk 'Nikah Satu Lagi?':

Suami hanya layak untuk dikasihi dan disayangi tetapi tidak dicintai kerana cinta hanya layak untuk Allah dan Rasul-Nya. Jika kita sedar akan hakikat itu, maka kita juga sedar bahawa suami adalah pinjaman dan suami juga adalah ujian untuk kita.

Wallahu'alam

29 March, 2009



"Grrrr...grrrr"

Saya terperanjat. "Eh, bunyi apa tu?", bisik saya dalam hati. Muka saya masih lagi bertutup dengan bantal. Saya ingin bangun melihatnya tetapi terasa berat.

"Grrr...grrr"

"Eh..itu bunyi kerusi saya", bisik saya lagi. Bunyi kerusi yang ditarik dan digoyang dengan kuat sekali. Saya seakan bermimpi. Saya bangun dan ingin melihat tetapi wajah saya ditutupi rambut yang menyebabkan saya tidak boleh melihat. Saya cuba mgenepikan rambut itu tetapi akhirnya...saya terasa ada benda berat yang menekan wajah saya.

Saya terperanjat untuk kali kedua. "Eh kenapa ni?", saya cemas.

Makin ditekan-tekannya muka saya. Saya cuba menolak dengan sekuat hati sambil melantunkan takbir dengan suara yang agak tertahan-tahan.

"Allahu Akbar"

"Allahu Akbar"

Bertalu-talu saya laungkan kalimah takbir itu. Dan laungan saya sebenarnya adalah antara dengar dengan tidak.

Akhirnya perlhan-lahan tekanan itu dilepaskan dan seterusnya kedengaran suara saya dengan jelas dan kuat: "ALLAHU AKBAR!"

Walau sudah dilepaskan saya masih mengulang-ulang ucapan "Allahu Akbar"

Saya membuka mata saya.

Bibir saya masih menyebut "Allahu Akbar"

Masih berat untuk saya memandang suasana bilik saya.

Bulu roma saya tegak berdiri.

Saya mengucapkan ta'awwuz dan menghembus tiga kali ke kiri saya dan menukar posisi tidur saya.

(Apa yang saya lakukan adalah berdasarkan sebuah hadith sahih yang bermaksud:

"....Jika salah seorang daripada kamu bermimpi sesuatu yang tidak disukainya, hendaklah dia menghembus ketika terjaga ke kirinya 3 kali dan memohon perlindungan dari Allah dari kejahatan mimpi itu..." (Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tib, Bab al-Nafs Fi al-Ruqyah, No. 5743, hlm 491)

Sabda baginda S.A.W lagi dalam hadith yang lain:

“Jika seorang bermimpi suatu yang dibencinya….maka hendaklah dia mengubah posisi mengiringnya"

(Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Ru’ya, Bab FiKaun al-Ru’ya Min Allah Wa Annaha Jil un Min Al-Nubuwwah, No. 5904, hlm 1079)


Saya cuba melelapkan mata tetapi tidak berjaya, masih ada rasa 'takut'.

Saya tidak sedap hati.

Saya membaca ayatul Kursi berulang kali.

Masih tiada yang berkurangnya. Masih ada rasa takut.

Lalu saya menadahkan tangan saya saya membaca surah al-Falaq, surah al-Ikhlas dan surah al-Nas lalu meniupkan bacaan itu di kedua belah telapak tangan saya. Saya sapukan ke seluruh badan saya dari hujung rambut ke hujung kaki dan juga di tempat tidur saya.

(Ini saya lakukan berdasarkan sebuah hadith sahih di mana Nabi s.a.w apabila hendak ke tempat tidurnya baginda melindungi diri dengan bacaan 3 surah tersebut dan baginda melakukannya sebanyak 3 kali. Hadith itu adalah hadith riwayat al-Bukhari, Kitab Fadhail al-Quran, Bab Fadl al-Muawwizat, No 4897.)

Alhamdulillah saya agak tenang sedikit.

Saya memejamkan mata dan membaca ayat kursi sehingga saya terlena.

Peristiwa jam 4.30 pagi itu masih segar di ingatan saya dan masih saya rasai.


َأعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ غَضَبِهِ وَ مِنْ شَرِّ عِبَادِهِ وَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِيْنِ وَأَنْ يَحْضُرُوْنَ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kemurkaanNya dan kejahatan hamba-hambaNya, dari godaan syaitan serta hadirnya mereka kepadaku” (H.R Abu Daud dan al-Tirmidhi – dihukum hasan di dalam kitab Sahih Abu Daud, No 3893)

Entahlah...satu 'permainan' yang selalu berlaku di kolej-kolej mungkin.

Yang pastinya ini bukan cerita Misteri Nusantara =)

23 March, 2009

Banyakkan Sabar



Pada waktu ini jam menunjukkan tepat 12.24 tengah malam. Saya masih lagi berada di hadapan komputer menaip tugasan. Sekejap membaca kitab kemudian menyambung menaip apa yang saya baca. Kadang-kadang sukar juga untuk saya menterjemahkan apa yang cuba dinyatakan oleh pengarang kitab. Saya faham apa yang disampaikan tetapi apabila ingin dialih bahasa Arab ke bahasa Melayu, ianya menjadi rumit lebih-lebih lagi jika saya tidak pasti apakah perkataan yang setepatnya untuk saya terjemahkan.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Saya menghitung hari. Entah boleh atau tidak saya menghabiskan tugasan ini dalam masa dua hari.

Teringat perbualan saya dengan Dr. Azwira petang tadi.

"Apa khabar? Sihat?", tanyanya sungguh-sungguh.

Saya hanya tersenyum. Dia mengajukan soalan yang sama untuk kali kedua tapi dengan bahasa yang berbeza:

"Macam mana? Sihat?"

"hmmm...Sihat. Alhamdulillah", jawab saya.

Ustaz menghadiahkan senyuman kepada saya. Tetapi kemudiannya saya mengubah jawapan saya. Saya katakan padanya:

"Tapi...Insya Allah sihat. Saya tak berani nak kata sihat sepenuhnya ataupun tidak"

Ustaz senyum. Kemudian dia bertanya lagi:

"Belajar master ok? Assignment semua macam mana? Boleh?"

"Insya Allah, Ustaz. Saya usahakan. Perlahan-lahan", jawab saya lemah.

Lalu ustaz yang mengetahui dan memahami situasi saya pun berkata:

"Banyak-banyak kan sabar..."

Hmm...Banyak-banyakkan sabar

Ya, saya mengaku pengajian peringkat master saya tidaklah seperti semasa saya di peringkat sarjana muda. Banyak dugaan dan cabaran. Lebih-lebih lagi apabila masa belajar saya perlu dikongsikan dengan masa untuk mengajar tutorial. Banyak tugasan saya yang tergendala dan nota-nota saya masih lagi terbengkalai. Allah sahaja yang mengetahui betapa sesaknya dada saya.

Mentelah lagi, peperiksaaan sebenarnya sudah tidak lama lagi. Bertambah sesak dada saya jadinya.

Sungguh...

Saya perlukan kekuatan diri untuk menempuhi semua ini.

Saya perlukan pemikiran positif sepenuhnya untuk melaksanakan tugasan dan kerja dengan sebaik-baiknya.

Begitu juga saya perlukan semangat yang tinggi untuk membuat persediaan bagi menduduki peperiksaan.

Banyak perkara yang perlu saya selesaikan dalam masa yang agak singkat.

Ya Allah permudahkan untuk saya, ya Allah.

Benar nasihat ustaz, saya perlu perbanyakkan sabar dalam diri.

Allahumma La sahlaa Illa ma Ja'altahu sahla

18 March, 2009



Melihat gambar ini, membuatkan saya merenung dan memuhasabah diri.

Saya akur menjadi seorang ustazah memikul amanah dakwah yang begitu menguji keimanan dan kesabaran.

Teringat kata-kata ustaz Fadlan pada saya suatu ketika dahulu:

"Ustaz dan ustazah adalah doktor jiwa"

Saya seperti biasa apabila disogokkan dengan kata-kata yang baru saya dengar, saya akan termenung dan merenung. Dan akhirnya saya akui bahawa dalam makna kata-kata itu.

MENGAJAR ADALAH AMANAH DAKWAH

Memegang amanah sebagai ustaz dan ustazah, kadangkala banyak tekanannya juga. Ini kerana kita perlu sering membantu pelajar menjawab kemusykilan mereka, merungkaikan permasalahan mereka dan meyakinkan pada mereka bahawa setiap perkara dalam hidup ini boleh ditempuhi dengan sebaik-baiknya. Mereka sering meminta nasihat, meminta pandangan dan menginginkan respon dari kita terhadap pelbagai perkara yang mereka utarakan (terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan kemusykilan agama) dan kadangkala cukup bagi mereka setakat kita menjadi seorang pendengar yang setia.

Kerana tugas kita yang sepertimana saya sebutkan di atas tadi, seringkali kita dilihat sebagai manusia sempurna yang banyak ilmunya oleh pelajar dan kadangkala dianggap sebagai manusia yang begitu dikagumi.

Saya tersenyum =)

Adakah pelajar-pelajar ini lupa? Sedangkan sebenarnya seorang ustaz dan ustazah itu juga manusia biasa yang mempunyai banyak permasalahan dan kemusykilan. Mereka juga ingin ada yang mendengar bicara dan luahan isi hati mereka.

Tapi memang tugas seorang ustaz dan ustazah itu begitu,kan? Itu sudah tangggungjawab malah adanya amanah dakwah. Usahlah nak merungut-rungut. Saya selalu berpegang pada prinsip:

"Bila kita ikhlas dalam menyampaikan ilmu dan menganggapnya sebagai satu amanah, kita akan berjaya memenangi hati mereka yang menerima penyampaian itu. Walaupun apa yang kita sampaikan itu hanya satu ayat"

Tetapi pastikan apa yang disampaikan itu benar bukanlah sesuatu yang di'goreng-goreng' untuk menyedapkan hati pelajar. Jika perkara 'goreng-menggoreng' ini berlaku ketika kita menyampaikan ilmu, itu sudah menunjukkan tiadanya amanah ilmu apatahlagi amanah dakwah.

NASIHAT SAYA KEPADA PELAJAR (TERMASUK DIRI SAYA YANG TETAP BERGELAR PELAJAR)

Dalam melayari kehidupan sebagai seorang pelajar itu perlu menunjukkan ihtiram yang tinggi pada guru. Insya Allah, di situ adanya keberkatan. Hormatilah guru dan sayangilah mereka.

Semua ini mengingatkan saya pada ustazah Fahimah Ali Hasan. Beliau bukan sahaja ustazah saya semasa menuntut di Maahad Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat tetapi boleh juga saya kira sebagai seorang rakan dan kakak kepada saya. Sewaktu saya menemani beliau di biliknya dia ada mengatakan begini kepada saya:

"Sakinah, ana lihat kamu ni ada ihtiram yang tinggi pada guru. Ana suka sekali. Insya Allah, hidup kamu berkat"

Saya tersenyum bila dia menghadiahkan kata-kata yang saya anggap sebagai doa itu kepada saya. Kini, apa yang boleh saya katakan ialah:

"Saya benar-benar merasai 'keberkatan' itu, Alhamdulillah" =)

P/S: Saya rindukan pelajar-pelajar saya di mana jua mereka berada. Moga mereka semua tabah dalam menghadapi hidup dan berjalan di muka bumi ini dengan satu tujuan iaitu untuk menegakkan al-Quran dan al-Sunnah. Salam kasih dan rindu dari saya untuk mereka semua.

15 March, 2009



Pada tarikh 2 Mac yang lalu, saya ada menerima pesanan di ruangan ‘Salam Ukhwah’ dari seorang ukhti yang menggelarkan dirinya ‘mawaar’. Saya tidak pasti siapakah ‘mawaar’ ini sebenarnya, tapi dari kata-katanya saya rasa dia mungkin salah seorang daripada pelajar saya di Singapura (mungkin juga salah seorang adik saya yang berada di Malaysia). Tapi itu tidak mengapa. Walau siapapun dia, saya tidak mahu menghampakan harapannya. Di ruangan itu, beliau menghantar pesanan yang berbunyi begini:

“Salam.rindunyer dengan ust Sakinah =) ana nak minta sesuatu boleh? Ana mohon wasaya, nasihat-nasihat, tips-tips, kata-kata motivasi dari ustazah dalam memulakan safar yang dijadualkan akhir bln March. Dalam fatrah sekarang ini yang sibuk dalam menyiapkan persediaan untuk terbang ke sana..ana tak dapat nafikan satu kekurangan. Ana tak nak pergi dengan membawa hati yang kosong. ustazah, bimbinglah ana ke jalan menuju cintaNya…”


Menurut ‘mawaar’ dia akan memulakan safar ke Syria. Tetapi saya terlupa bertanya padanya untuk tujuan apa dia ingin memulakan safarnya itu. Cuma, apa yang dapat saya rasakan tentu dia bakal melanjutkan pengajiannya di sana.

Hmmm….apa sebenarnya yang perlu saya ucapkan kepada ‘mawaar’ ini dan mereka-mereka yang mungkin memerlukan sepertimana ‘mawaar’? Lama saya termenung dan lama juga saya ingin menarikan jari-jemari saya untuk memberikan respon. Tetapi Alhamdulillah pada malam ini, masa yang sepatutnya saya habisi dengan menaip tugasan saya, terpaksa saya curi untuk seketika (walau sebenarnya ianya mengambil masa yang agak lama) agar tidak menghampakan permintaan ukhti ‘mawaar’.

Sejujurnya saya bukanlah insan yang layak untuk berbicara tentang ini, apatah lagi membimbing seseorang untuk menuju cintaNya. Berat. Tetapi perasaan ‘berat’ itu, tidak menjadikan saya keberatan untuk berkongsi bicara =)

JAUHI KEMAKSIATAN, PERBAIKI SEBUAH TUJUAN

Dalam mengharungi laluan ilmu, saya berpegang dengan kata-kata imam al-Syafie rahimahullah:

شَكَوْتُ إلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِي فَأرْشَدَنِي إلَى تَرْكِ المعَاصي
وَأخْبَرَنِي بأَنَّ العِلْمَ نُورٌ ونورُ الله لا يهدى لعاصي


“Aku mengadu kepada guruku Waki’ tentang kelemahan hafalanku, lalu dia mengarahkanku agar meninggalkan maksiat. Dia memberitahuku bahawa ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak memberikan hidayah kepada orang yang melakukan maksiat”



Ilmu itu diibaratkan cahaya dari Allah dan cahaya Allah itu mana mungkin akan menerangi diri mereka yang melanggar perintah Allah s.w.t. Peringatan itu saya tanamkan dalam-dalam di lubuk hati saya. Lalu saya berkata pada diri saya bahawa belajar adalah satu wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan juga satu fatrah untuk mendidik diri agar lebih hampir kepada-Nya. Justeru itu, memelihara diri dari melakukan perkara-perkara yang dilarang sama ada secara terang-terangan atau bersendirian adalah menjadi satu kewajipan.

Maka jaga-jagalah diri kita dan genggam kemaslah setiap perintah Allah dan RasulNya. Cepat-cepatlah perbaiki keadaan, jika kita terasa kita sudah jauh berada dalam kealpaan ketika menuntut ilmu. Bersegeralah dengan istighfar dan taubat bila kita terasa kita telah melakukan dosa dan kemaksiatan.

Ketahuilah, menjadi satu perkara yang sia-sia bila mana kita belajar tetapi semuanya tiada mendatangkan kesan pada diri kita. Bayangkan, dari dahulu sebelum menjejakkan kaki ke laluan ilmu hinggalah kita tamat pengajian. Kita tetap sama. Yang lainnya adalah kita berjaya menamatkan pengajian dan membawa pulang segulung ijazah.

Tetapi itu bukanlah yang kita inginkan ketika berada di laluan ilmu. Lalu sedari awal lagi, kita perlu tanya-tanyakan pada diri:

“Wahai diri, kenapa kau perlu terbang berbatu-batu meninggalkan yang tersayang?”

“Wahai diri, mengapa kau perlu membiarkan insan yang kau sayang berhempas-pulas mencari wang untuk perjalanan engkau? ”

“Wahai diri, kenapa engkau sanggup menempuhi kesusahan untuk semua ini?”


Dan mungkin diri akan memberikan satu jawapan iaitu:

“Kerana aku ingin belajar”

Tetapi belajar yang bagaimana,ya?

Saya selalu katakan pada pelajar-pelajar saya:

“Belajar bukanlah untuk mengejar segulung ijazah semata tetapi belajar adalah untuk memburu redha Allah”

Bila kita belajar pastikan kita semakin menjadi insan yang benar-benar terpelajar dan terdidik. Terpelajar dan terdidik untuk merasa takut kepada Allah s.w.t. dan menjunjung perintah-Nya dan Rasul-Nya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" (al-Quran, al-Zumar:9)

Namun, jika kita sudah belajar dan mengetahui tetapi tetap sama seperti orang yang tidak belajar dan tidak mengetahui, alangkah malangnya diri kita. Dan di mana pula silapnya?

Mungkin ketika belajar niat atau tujuan kita ada sedikit tersasar yang membuatkan kita terlupa dengan tujuan yang paling aula yang pernah kita sematkan di jiwa untuk berada di bumi asing sebagai seorang pengembara ilmu. Mungkin kita berasa bahawa kita hanya belajar untuk sekeping kertas yang namanya ijazah itu dan mungkin juga kita hanya ingin melayakkan diri kita mendapat jawatan yang dipandang tinggi dengan kertas itu.

Terlalu banyak kemungkinan lagi yang saya percaya hanya diri kita masing-masing yang mengetahui. Tepuk-tepuklah dada dan tanya-tanyalah diri.

BILA PUDARNYA SEMANGAT

Bila di perantauan kita akan menghadapi fatrah-fatrah hilangnya semangat dalam perjuangan.

Kita rasa jemu..

Kita rasa bosan…

Saya akui itu adalah perkara biasa dalam berjuang.

Perasaan kita kadangkala lebih menguasai sebuah cita-cita dan impian.

Lalu kenangilah orang yang jauh iaitu kedua ibu bapa.(link)

Dan saya percaya, saat itu air mata kita akan mengalir kepiluan.

Air mata pilu yang bersatu dengan rindu!

Mengalirnya air mata itu bukan bererti semakin lemahnya semangat diri tetapi ianya mampu mengilaukan kembali semangat perjuangan yang semakin pudar.

Kenangilah harapan kedua ibu bapa kita. Lakukan sesuatu yang mampu membuatkan mereka berasa sejuk dan bangga bila melihat kita. Dan sesuatu itu adalah kejayaan kita mendapatkan ilmu, mengaplikasikannya pada diri dan menyebarkannya kepada masyarakat.

Lalu usah terus-terusan berada dalam kejemuan dan kehilangan semangat itu. Jadilah seorang pengembara ilmu yang berfikiran positif. Bangkit dan berusahalah untuk terus mengorak langkah mencapai sebuah matlamat.

Sabar-sabarkan diri kita dan katakan pada diri:

Belajar kerana Allah usah diselit rasa jemu
Belajar kerana Allah jangan dilafaz kata hampa.(link)

NASIHAT TERAKHIR

Akhir sekali saya hanya mampu katakan pada ‘mawaar’ dan yang lainnya:

BELAJAR ADALAH UNTUK MENDIDIK DIRI AGAR LEBIH SABAR, TABAH DAN MUHASABAH.

BUKAN UNTUK BERBANGGA DENGAN APA YANG KITA MILIKI APATAH LAGI DENGAN PANGGILAN DIRI SEBAGAI USTAZ DAN USTAZAH.


Untuk ‘mawaar’ saya hadiahkan kepada anti sebuah senyuman dan saya ucapkan selamat melalui sebuah safar yang saya pasti bakal menggoncang kekuatan diri. Usah mengalah bila susah dan usah beralah bila terasa seolah-olah kalah. KITA YANG MENGAWAL KEADAAN BUKAN KEADAAN YANG MENGAWAL KITA. Dalam apa jua perkara dan situasi, satu sahaja yang mampu menyelamatkan diri kita iaitu “ITTAQILLAHA AINAMA KUNTI” (Bertaqwalah kamu di mana sahaja kamu berada)


Selamat berjuang! =)

Wallahu’alam

08 March, 2009

Setibanya saya di kafe UO selepas pulang dari PTSL semalam, saya mencapai bekas makanan untuk meletakkan nasi. Tiba-tiba saya terpandang seorang pakcik yang sedang sibuk memilih lauk-pauk untuk menghiasi nasinya di atas pinggan yang sedang ditatangnya. Pakcik itu kelihatannya sibuk memilih-milih ayam goreng. Saya cuba memerhati sekelilingnya. Tiada isteri dan tiada pula anak-anak bersamanya. Mungkin pakcik itu ada hal ke sini. Saya hanya mengagak.

Dalam sibuk memilih lauk untuk santapan tengah hari, mata saya mencuri-curi pandang ke arah pakcik itu. Ada sayu di hati saya. Sayu yang sukar untuk saya luahkan. Sebenarnya terpandang pakcik itu telah mengingatkan saya kepada abah. Abah yang pendiam dan tidak banyak bicaranya. Tapi dalam diamnya saya tahu kasih abah untuk saya menggunung tingginya. Ya, saya akui saya anak emas abah!

Dalam hati ini ada selaksa rindu untuk Abah

Terkenang suka duka saya bersama abah

Ya Allah...rindunya saya :'(


Abah yang seringkali diam seribu bahasa tetapi dia amat memahami apa yang ada di dalam jiwa saya. Kerana itu sedari kecil lagi, saya selalu berazam untuk membuatkan abah berbangga dengan hadirnya saya dalam hidupnya, iaitu satu-satunya puteri tunggal penyeri hidup dan pengarang jantung hatinya.

Sejak di bangku sekolah ibtidaiyyah (rendah) lagi, abah selalu memberikan galakan dan dorongan kepada saya untuk menjadi seorang yang terpelajar (secara tidak langsung). Apabila abah sering berbicara pada emak tentang anak-anak orang lain yang berjaya memasuki universiti dan belajar di luar negara, saya menanam azam agar dapat menjadi anak abah yang pertama melanjutkan pelajaran di luar negara dan memasuki universiti.

KEBAHAGIAAN ABAH

Dan saya masih ingat lagi ketika saya menangis teresak-esak apabila emak dan abah akan pulang ke Singapura setelah menguruskan pendaftaran saya di Maahad Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat, Melaka. Pada waktu itu, abah tidak menangis sebagaimana emak tetapi hanya tersenyum pada saya dan memberi isyarat dengan menunjukkan ibu jarinya kepada saya (tanda bagus) bahawa saya mampu untuk belajar dan mencapai kecemerlangan.

Allahu akbar, pilunya saya pada waktu itu. Itulah pertama kali, saya hidup jauh daripada abah dan emak. Anak emas abah bagai burung kepatahan sayapnya. Saya lemah pada minggu pertama di pengajian peringkat diploma itu.

Tetapi akhirnya saya sedar saya perlu berbalik pada azam saya - MENJADI ANAK KEBANGGAAN ABAH. Dari situ langkah demi langkah saya atur sehinggakan saya seringkali buat abah tersenyum dengan pencapaian saya di peringkat diploma. Di wajah abah ada kebahagiaan dan dapat saya rasakan setiap penat lelah abah bekerja untuk menampung pengajian saya bukanlah satu yang sia-sia.

Dan kebahagiaan di hati abah itu semakin dapat saya rasakan apabila saya mengkhabarkan padanya menerusi telefon bahawa beberapa hari lagi saya bakal mengkhatamkan al-Quran saya secara hafazan. Saya hanya dengar abah mengucapkan hamdalah "Alhamdulillah". Tetapi dari ucapan itu saya mengerti ianya mewakili kebahagiaannya yang tiada bertepi kerana puteri tunggalnya bakal bergelar "al-Hafizah". Saya bahagia kerana abah bahagia.

LANGIT TIDAK SELALUNYA CERAH

Kemudiannya tiba satu fatrah di mana abah diuji dengan sehebat-hebat ujian. Abah kelihatannya menderita sekali dan saya sebenarnya TURUT MENDERITA. Menderita jiwa yang tidak saya perlihatkan pada abah dan juga emak. Dan saya perlu sama-sama mengharungi ujian itu bersama kedua ibu bapa saya yang menyebabkan saya terpaksa menangguhkan impian untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjanamuda. Akhirnya, atas nasihat emak, impian itu terpaksa saya padamkan dan seterusnya melangkah ke alam pekerjaan.

Abah terlalu lemah pada waktu itu dan abah benar-benar mengharapkan saya untuk merubah segalanya. Lalu saya anak emas abah ini, perlu bertindak memulihkan keadaan walau hati saya hanya Allah sahaja yang tahu. Pedih, perit dan kadangkala terlalu sakit!

Tetapi saya bersyukur kerana abah mampu tersenyum kembali. Saya 'menyejukkan' suasana apabila saya diterima sebagai asatizah Darul Quran, Singapura. Abah bahagia dan teramat lega. Malah abah begitu bangga dengan saya. Pada waktu itu, jika ada masa lapang, abah suka singgah ke masjid tempat saya bekerja untuk solat berjemaah.

PADA HARI INI....

Mengapa agaknya saya menceritakan semua ini? Ini kerana saya merasakan bahawa saya jauh dari abah. Jauh dari beliau setelah abah menyerahkan saya kepada seorang lelaki bergelar suami.

Air mata saya semakin deras mengalir...

Saya sedar, berat di hati abah pada waktu itu. Ada perasaan 'berat' sedari hari pertama ta'aruf dijalankan sebagai pembuka ruang untuk menghalalkan sebuah perhubungan antara saya dan seorang lelaki ajnabi. Dan saya tahu mengapa. Abah bimbang jika anak emasnya tidak akan dijaga sebaik mungkin dan abah telalu khuatir jika anak emas penyeri hidupnya akan disia-siakan.

Terbayang di mata saya wajah abah yang kian dimamah usia...

Memori lalu saya padukan dengan realiti hari ini

Airmata saya mengalir dan terus-terusan mengalir...

Rindunya saya padanya

Walau bagaimanapun dia kini, dia tetap abah saya.

Dialah yang membesarkan saya dengan rezeki yang dicarinya siang dan malam. Diberinya saya makan dan pakai, dilayaninya saya dengan penuh kemanjaan dan kasih sayang dan didoakan saya dengan kejayaan dan kebahagiaan.

Dengan semua yang abah hadiahkan untuk saya itu sedari kecil hinggalah kini, saya menjadi seperti apa yang saya jadi pada hari ini.

Di jiwa saya ada jiwa seorang pejuang!

Hasil dari tangan abah yang membesarkan saya dengan penuh kebahagiaan, kemesraan, kepahitan dan pengalaman.

Dan azam saya tidak pernah mati walau kini saya bukan anak emas abah sepenuhnya.

Azam saya untuk menjadi ANAK KEBANGGAAN ABAH akan terus hidup selagi nafas saya tidak bercerai dari badan dan saya berazam untuk membawanya hinggalah di akhirat sana.

Moga hati abah sejuk melihat saya.

Melihat saya sebagai seorang muslimah yang mendidik diri berjuang untuk dakwah dan mempertahankan sunnah Rasulullah. Dan melihat saya sebagai seorang anak yang sentiasa memuliakan dirinya dan mengusir derita jiwanya.


Pada nama saya ada namanya

sentiasa seiring dan sentiasa berdamping

Kerana saya BINTU SAPTU

Saya rindu abah

"Ya Allah, kurniakan padaku kekuatan untuk sentiasa menabur bakti kepada kedua ibu bapaku hingga ke nafas mereka yang terakhir...Rabbirgfirli Wali walidayya warhamhumaa kama rabbyaanii saghiiraa"

Berikut adalah ungkapan kata yang sudah lama saya hasilkan. Tiba-tiba saya teringatkannya dan mujur ianya masih saya simpan di dalam peti emel saya. Melihat pada tarikhnya saya agak terkejut. 2003!. Lama juga tu. Zaman masih lagi mencari 'cinta halal'. heheh

Apapun, moga kata-kata berikut memberi manfaat untuk mereka-mereka yang sedang dibuai rasa dan dibelenggu rindu yang tersimpan di jiwa :)



Cinta hadir menguntum rindu
Mekar mewangi di taman kalbu
Tulus kasihku tak siapa yang tahu
Melainkan Dia tuhanku yang Satu.

Huluran kasihmu kusambut pasrah
Walau tak pernah bertentang mata
Apatah lagi bersua muka
Hanya bait kata di alam siber
Di hujung talian kudengar suara
Melalui dua penghubung itu lahir sebuah rasa
Dimana…
Suara hati penuh keihklasan sahaja mampu berbicara.

Akhirnya,
Aku resah…terlalu gelisah
Ketahuilah kasih
Aku sering bertanya di dalam diri
Untuk apa cinta itu hadir pada diri
Dua insan ajnabi?!
Kerana…
ku bimbang cinta ini mengundang dosa
Ku khuatir kasih ini melalaikan kita
Lalu kita hanyut dari sentiasa mengingati yang Esa
Lantaran rindu yang sering mendesah di dalam jiwa.

Bisikan syaitan tidak lekang menggoda
Membuaikan kita di dalam asyik dunia cinta
Sekilas kuteringatkan ayat di dalam surah Ali Imran
‘Wallaziina aamanuu asyaddu hubban lillahi’-‘dan orang-orang yg beriman
teramat cintanya kepada Allah’
Astagfirullahhh…
Aku tersedar dari buaian rasa!!!

Hampir setiap hari kita berhubung
Apa salahnya kita sendiri yang meletakkan batasan
Agar cinta dan rindu kita lebih terserlah keindahan dan keihklasan
Kerana terdapat ‘MUJAHADAH’ sebagai hiasan dan amalan
Disitulah bermulanya jihad hati
Menguji keimanan dan keihklasan diri kita yang saling mengasihi.

Bukan kerana tidak tahu menghargai kasih mu
Percayalah, pada bicara kasihku ini
Ini bukti penghargaan!!!.
Apa gunanya kita saling menyayangi
Tapi,hanyut di launtan cinta yang tidak diredhai
Diri ini ingin menjadi penawar hati
Justeru itu,
diri ini bimbang menjadi punca kelalaian hatimu dari mengingati Ilahi.
Jangan biarkan semua itu berlaku,kasih
Rindu dan kasih adalah sebuah ‘rasa’ yang terletak di dalam ‘hati’
Maka usah diikutkan rasa - kelak kita akan binasa!.
Usah diturutkan kehendak hati – kelak kita akan mati!!.

‘Nur Kasih’mu…sungguh istimewa
semaikan ia dengan IMAN, ILMU, AMAL, DAN TAQWA
agar ikatan kasih kita bukan sahaja berasaskan CINTA semata,
tapi disertai MAWADDAH,RAHMAH dan AMANAH.

Ketahuilah,
kasihku padamu..hanya kerana-Nya jua.


Umairah Sh
September 2003

06 March, 2009

Beikut adalah sebahagian daripada laporan Seminar Takhrij al-Hadith 2009 yang dihasilkan untuk Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, UKM.









02 March, 2009

Umairah-sh bermadah:

Wahai jiwa aku bermadah
Perjuangan ini terasa payah
Moga semangatku tidak patah
walau beralun ombak ditelan mehnah...

Wahai jiwa usah berduka
senyumlah dikau walau terluka....



Umairah-sh berkata:

"walau kelihatan 'kebal' pada zahirnya,saya tetap manusia biasa yang punya hati juga perasaan"


sanakhudu - IslamWay.com ( Tarek Jaber )


P/S: "Lagu ini menjadi muzik latar persembahan multimedia takhrij yang diusahakan oleh saya dan akh Noh. Terima Kasih kepada beliau di atas lagu yang disavekan di dalam laptop saya. Ianya pembangkit semangat untuk terus berjuang. Allahu akbar!"