15 February, 2009

Bilik saya terasa begitu bahang. Mungkin kerana pancaran matahari yang begitu terik masuk ke dalam bilik. Saya memutar kelajuan kipas ke nombor yang lebih tinggi iaitu 4. Kemudian saya kembali duduk di kerusi dan menatap ke skrin komputer untuk meneruskan kerja-kerja menaip dan menterjemah untuk tugasan subjek Metodologi Kajian Tafsir dan Hadith. Berkerut-kerut dahi saya membelek kitab karangan Mahmud Tahhan dan Abu al-Laith berkenaan Takhrij al-Hadith. Kerutan saya semakin dalam apabila bunyi ledakan muzik di bilik atas benar-benar mengganggu konsentrasi saya. Saya sabar. Makin lama makin kuat!

Saya menggelengkan kepala saya. Astaghfirullah. Memang saya hilang daya tumpuan. Lebih-lebih lagi telinga saya ini sebenarnya alah apabila mendengar muzik. Allahu akbar....Bahang matahari di luar sana bagaikan 'bahang' di jiwa saya. Saya meletakkan kitab di atas meja yang sememangnya sudah penuh dengan kitab yang sengaja saya buka agar saya tidak kehilangan muka suratnya.

Saya memikir apa yang perlu saya lakukan. Kalau ikutkan hati mahu sahaja saya naik ke tingkat atas mengetuk pintu dan memberi salam kepadanya yang tak pernah saya bersua muka itu dan meminta agar diperlahankan teriakan muziknya yang amat mengganggu saya. Saya berfikir hingga empat, lima dan enam kali... hmmm...jika saya berbuat demikian tentu sahaja bakal mengundang masalah besar mungkin. Dia akan marah pada saya dan terus bermusuh dengan saya, iaitu saya yang tak pernah dia lihat dan bersua muka apatah lagi menghadiahkan senyum dan salam.

Saya menarik nafas dalam-dalam dan terus-terusan melantunkan istighfar. Bunyi muziknya benar-benar masuk ke dalam bilik saya. Saya jadi resah kerana saya seboleh mana tidak mahu adanya bait-bait lagu yang diputarkannya itu kelak 'berputar-putar' di ingatan saya. Maklum sahajalah saya agak mudah 'memuat turun' sebarang perkara yang saya dengar ke dalam ingatan saya. Dan lebih-lebih lagi jika ianya adalah sebuah lagu dan muzik!

Saya lantas membuka blog saya dan menekan siaran Radio Rodja. Alhamdulillah pada waktu itu Radio Rodja sedang memutarkan bacaan ayat suci al-Quran. Saya menguatkan sedikit agar saya dapat menepis keluar lagu-lagu dari bilik atas dari masuk ke telinga saya. Ingin sahaja saya menguatkan 'volume' komputer saya... tetapi saya tahu, itu bukan caranya. Saya tidak mahu akhirnya nanti saya dan dia berlaga-laga speaker siapa yang paling kuat!

Kerana perkara itu, saya hilang tumpuan dan 'mood' saya pergi entah ke mana. Dan ketika mengangkat baju di ampaian, apa yang saya dengar kebanyakan bilik di sekitarnya memutarkan muzik mengikut citarasa masing-masing. Bibir saya tiada senyumnya. Wajah saya hambar. Jiwa saya gusar. SETERUSNYA MEMBUATKAN SAYA BERFIKIR: ADAKAH MUZIK ITU SUDAH MENJADI MAKANAN UTAMA BAGI JIWA ANAK-ANAK ISLAM PADA HARI INI?"

JIWA DAN PEMIKIRAN KITA BENAR-BENAR TELAH DIJAJAH!



Lihat sahajalah rancangan-ranacangan televisyen dewasa ini, bukan sahaja di Malaysia malah di Singapura dan Indonesia. Nyanyian dan muzik adalah rancangan yang mendapat tempat di hati masyarakat Islamnya. Ianya HIDUP di hati anak-anak Islam dan seterusnya MEMATIKAN alunan suci kalamullah dari jiwa mereka.

Saya risau!

Teringat kembali persoalan saya bersama Sa'adah dan Ayu di kafe canselori beberapa minggu yang telah lalu:

"Kita nak jadi apa ye?"
"Apa yang boleh kita buat nak selamatkan semua ini?"

Persoalan itu tercetus apabila kami membincangkan perkara-perkara yang dilakukan oleh pelajar-pelajar Islam dewasa ini. Rosaknya mereka akibat pengaruh seks yang tidak dapat dibendung! Setelah berkongsi kisah, pengalaman dan pandangan, akhirnya kami mati akal dan hanya mampu mengggelengkan kepala dengan persoalan yang kami cipta sendiri.

Dan pada hari ini, persoalan itu muncul kembali di benak saya:

"Apa yang boleh kita lakukan?"

Saya termenung dan merenung...

Dan untuk anda, saya serahkan kepada anda untuk menjawab sendiri persoalan itu. Yang penting saya ingin kita semua memuhasabah diri dan juga bertanya pada diri, antara alunan al-Quran dan muzik, mana satukah yang lebih dekat di hati kita?

................

0 Comments:

Post a Comment