26 February, 2009

Bismillah

Saya baru pulang dari SEMINAR TAKHRIJ HADITH PERINGKAT KEBANGSAAN 2009 yang bertempat di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur Anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia.



Keletihan membuat persiapan untuk seminar dan berseminar masih terasa walau seminar hanya dijalankan sehari sahaja.

Beberapa hari sebelum seminar saya hanya sempat melelapkan mata 3 atau 4 jam sahaja lantaran menyiapkan tugasan dan tanggungjawab yang diberikan untuk seminar.

Dan malam ini, saya katakan dengan tegas pada diri saya:

Saya perlu berehat!

Dengan itu, blog ini juga akan berehat untuk seketika setelah saya 'sembuh' dari keletihan dan kesibukan yang amat sangat.Doakan untuk saya agar dipermudahkan segalanya.

Jurulapor seminar sesi pagi

22 February, 2009

Gelap

Sunyi

Hitam

Saya terkejut!

Saya menggosok kedua mata saya.Berkali-kali.

Masih Gelap

Masih Sunyi

Masih Hitam

Jantung saya berdegup kencang! Takut! Lalu saya berkata dalam hati:

“Ya Allah, dah mati ke aku?”

Saya menggeleng-gelengkan kepala saya dan cuba menenangkan jiwa. Dalam kegelapan itu saya merasa sekeliling saya dengan sentuhan penuh berhati-hati. Saya pegang dan rasa betul-betul. Saya mengerutkan dahi…

“Laaaa…hidup lagi lah aku!Masih kat atas katil ni! Black out rupanya! Astaghfirullah!”

Heheh :D

Rupa-rupanya kolej Ungku Omar terputus bekalan elektriknya. Buat suspen sahaja.

Akhirnya tersenyum-senyum sendiri saya dibuatnya. Lalu saya menyindir diri saya dalam hati:

“Hai Sakinah, takut jugak kau mati. Tulah, Allah nak beritahu mati tu bila-bila masa. Bertaubatlah dari segala dosa. Itu pun tak faham-faham lagi ke?”




Ya, benar.

Subhanallah.

Saya benar-benar belajar dari peristiwa pagi tadi.

Terima kasih, Ya Allah, atas pengajaran itu.

Ketahuilah, sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati dan Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, Maka sungguh ia telah beruntung. kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan" (al-Quran, Ali Imran 3:185)

Dan Allah s.w.t berfirman lagi, maksudnya:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada kami kamu dikembalikan” (al-Quran, al-Ankabut 29:57)

Sama-sama kita renungkan dengan renungan yang bukan sekadar untuk direnung.

21 February, 2009

CINTA ITU INDAH BILA ADA TAQWA



Salam kasih,
salam penuh kemesraan dan salam penuh mahabbah Islamiah,
ku hadiahkan buat adik-adik yang ku kasihi

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Semoga kita semua berada di dalam rahmah dan Inayah Allah s.w.t menjadi hamba-Nya yang merasai kemanisan beribadah di setiap ketika dan waktu, menjadi hamba-Nya yang bertaqwa di mana sahaja dan dalam apa jua keadaan.Allahumma Amin.

Adik, pertama sekali ku ucapkan alfu syukran di atas kesudianmu menatap warkah ini begitu juga di atas kesudianmu meluangkan masa yang ku kira amat berharga untuk dihabiskan semata-mata ingin membaca bait kata yang kusuratkan sekaligus memahami apa yang cuba kusiratkan.

Adik, pernahkah kau menerima kata-kata ini dari ku?

Di dalam hati ini ada selautan kasih untuk mu
Dari kasih ini kubentuk sebuah harapan
Ku hiasi ia dengan persahabatan
Untuk melihatmu sebagai pejuang Islam


Jika inilah pertama kali, anggaplah ini sebagai hadiah istimewa dariku. Andai ini sudah banyak kali kau terima, anggaplah ia sebagai hadiah tanda ingatanku dan kasih yang tiada taranya. Kasih atas nama ISLAM.

Ketahuilah adikku yang kukasihi, dirimu mendapat tempat yang istimewa di dalam hati ini. Oleh kerana keistimewaan itulah, aku seringkali berasa bertanggungjawab untuk mendidikmu menjadi muslimah solehah penuh mujahadah. Namun aku mengaku, diri ini sendiri masih lagi bertatih untuk menjadi seorang muslimah mujahidah, diri ini masih lagi mentarbiah diri sendiri untuk menjadi hamba Tuhan penuh redha dan taqwa. Sungguhpun begitu, kerana kasih ku yang selautan dalamnya, aku tidak mahu bersendirian mencapai rahmat Allah, aku tidak mahu tamak dan meninggalkanmu sendirian dalam mengenali hakikat dirimu sebagai seorang muslimah. Lalu aku biarkan kehadiranku dalam hidupmu dan menjadikan diri ini sebagai seorang insan yang kau tidak akan lupakan hingga ke hujung usiamu dan tidak pula kau lupakan bila kita berada diakhirat sana. Bukankah itu yang dinamakan ukhwah fillah? Ikatan ukhwah kerana Allah ..bertemu berpisah kerana agamaNya

Adikku, dalam hati katanya ada cinta. Aku mengerti malah memahami dirimu ingin dikasihi, dirimu jua ingin mengasihi. Itulah lumrah yang Allah s.w.t ciptakan untuk diri kita yang bernama wanita. Terasa dilindungi bila ada lelaki, terasa dihargai dan berharga bila diri dimiliki. Yang pahit menjadi manis, yang hempedu menjadi madu.Aku tidak pernah menafikan kenyataan itu, adikku.

Namun, kau perlu ketahui, kasih kita ada caranya. Jangan menghalalkan yang haram. Ingatlah pesanan selalu kuucapkan padamu bahawa cinta yang halal adalah cinta selepas perkahwinan. Cinta sebelum perkahwinan banyak dihiasi dengan tipuan syaitan malah banyak di baluti dengan pujuk dan rayuan yang dihasilkan dari bisikan syaitan. Jangan jadi mangsa syaitan, adikku. Ingatkan dirimu bahawa di dalam al-Quran syaitan pernah berjanji kepada Allah dengan katanya :

"Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus,
kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)” (Al-Quran, al-A’raf: 16-17)

Peliharalah dirimu. Sejarah telah membuktikan bahawa syaitan tidak pernah memungkiri janjinya malah terus berusaha hingga ke hari kiamat untuk menyesatkan dan menghumbankan anak-anak Adam agar bersama-sama dengannya di dalam neraka. Maka Ittaqillah! Ittaqillah! Ittaqillah! (Takutlah kepada Allah) Sedarilah, diri kita yang Allah jadikan dengan penuh keindahan dan kemuliaan mampu menjadi fitnah. Jangan sekali kau jadikan dirimu sebagai pelemah iman lelaki. Jangan sekali mencampakkan dirimu dalam cinta dengan lelaki ajnabi. Usah biarkan zina hati itu meraja dijiwa mu. Kelak dirimu akan sakit. Sakit ditimpa penyakit cinta yang tidak diredhai Allah. Maka jadikanlah dirimu mawar berduri yang hanya mampu dilihat tetapi tidak mampu dipegang dan dihidu bau harumnya. Duri itu umpama batasan syariat yang kau pegang utuh sebagai panduan hidup, manakala keharumanmu adalah tanda bahawa dirimu wanita solehah mujahidah yang berjuang menegakkan agama Allah.

Berjuanglah dalam mengejar ilmu dan menyebarkan agama Islam dan berjuanglah jua dalam menegakkan hukum tuhan. Usah bermatian dalam memperjuangkan dan mempertahankan cinta. Usah pula kau renangi lautan api kerana cinta. Aku tidak mahu melihatmu kecewa dengan cinta yang tidak pasti. Katakan dengan tegas pada dirimu: “Cintaku hanya kuberikan pada lelaki yang bernama suami dalam hidupku. Dia adalah lelaki yang takutkan Allah, yang tidak mahu mencampakkan dirinya ke lurah fitnah apatahlagi melibatkan pada dirinya dalam kemaksiatan walau sekecil zarah! Lelaki itulah bakal menjadi suamiku dan menjadi bapa kepada zuriatku yang akan mendidik mereka dan diriku menjadi hamba Allah yang takut pada-Nya!”

Tetapi apabila aku amati dan menoleh di kiri dan kananku, aku sedih sekali adikku. Fenomena disekelilingku dan sekeliling kita ini sudah tidak mempedulikan cinta halal. Fenomena disekeliling kita hanya mementingkan keterbukaan akal dan fikiran tanpa sedikitpun menimbangkan dengan iman dan syariat tuhan. Sedangkan ramai diantara mereka itu adalah akhawat seIslamku. Jiwa ini lebih sakit malah jiwa ini lebih pedih apabila kita anak-anak berpendidikan madrasah dan berpengajian Islam sendiri masih memperlekehkan semua ini. Di manakah kita sebenarnya adik-adikku? Apakah ilmu yang kita pelajari selama ini seperti buih dilautan? Adakah kalam Allah dan sabda Rasul yang sering kita hafal dan lafazkan itu hanya sekadar hiasan dalam diri kita?Atau semua itu hanya sekadar untuk menguatkan hujjah kita ketika berdebat atau hanya sebagai menyokong penulisan kita ketika mengeluarkan pendapat? mmm… Tepuk-tepuklah dada kita, tanya-tanyalah iman kita.

Adikku, sahabat akhawat fillah ku, Allah berfirman “Wa Zakkir innaz Zikraa Tanfaul Mu’minin” (al-Quran, al-Zariyat: 55) Dengan penuh rasa rendah dirinya aku ingin mengingatkan mu dan tidak terkecuali juga diri ini, bahawa jangan lupa yang diri kita adalah muslimah-muslimah yang mengetahui hukum Allah. Dirimu mengetahui batassan lelaki dan wanita, dirimu mengetahui bagaimana sebenarnya Islam menetapkan mu'amalah diantara lelaki dan wanita, malah dirimu juga mengetahui cinta yang bagaimana dibolehkan dalam Islam.

Sedarlah bahawa dirimu adalah generasi harapan ummah. Dirimu diharapkan untuk mendidik anak-anak Islam kita agar menjadi anak-anak Islam yang bukan sahaja mengaku diri mereka sebagai muslim dan mempraktikkan ibadah tetapi tugas yang paling besar adalah untuk mendidik mereka agar menjadi anak-anak Islam yang berusaha menyemai taqwa dalam diri. Namun, jika diri kita sendiri yang bakal mendidik anak-anak Islam kita tidak dapat membezakan yang mana halal dan mana haram dalam mengemudi naluri dan perasaan, bagaimakah kita boleh menjadi contoh kepada anak didik kita? Bimbang-bimbang kita menjadi insan yang mendidik dengan niat mengisi duit di saku kita dan bimbang-bimbang juga kita menjadi da'ie yang cakap tidak serupa bikin. Jangan lupa firman Allah yang bermaksud: “Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan” (al-Quran, al-Shaffat:3) Adakah kita rela menjadi hamba Allah yang dibenci oleh Nya? Adakah kita rela menjadi muslimah yang memperlekehkan hukum Tuhan?Na'uzubillah!

Adikku, ku akhiri warkah kasihku ini dengan jutaan maaf, andai kata-kataku menyinggung perasaanmu. Sungguh, itu bukan niatku. Kita sama-sama insan bergelar muslimah yang tidak sempurna. Ada kelebihan dan ada kekurangan. Segalanya adalah atas dasar kasihku yang selautan dalamnya padamu dan juga atas dasar kasihku kepada adik-adik muslimahku yang tiada taranya, lalu aku berpegang dengan kalam Allah s.w.t yang indah:

"وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر"


Maksudnya: “nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran” (al-Quran,al-Asr:3)
Itulah orang-orang yang tidak rugi. Semoga kita sama-sama sentiasa berpesan-pesan diantara satu sama lain dalam usaha untuk mendidik diri menjadi muslimah solehah mujahidah di jalan Allah s.w.t. Sekian.

Bicara kasih dari kakakmu:
Umairah-Sh
Kolej Ungku Omar, 8U 202.
Universiti Kebangsaan Malaysia.
1 Januari 2008

Sibuk

Saya dibelenggu dengan kesibukan sejak kebelakangan ini :(



"Ya Allah, jangan Kau jadikan kesibukan ini penyebab aku jauh dari MU"....

16 February, 2009

Artikel di bawah adalah artikel yang dipetik daripada laman web saifulislam.com.
Artikel ini sudah agak lama ditulis oleh ustaz Hasrizal tetapi pada hari ini ada perkara yang mengingatkan saya padanya yang telah membuatkan saya ingin berkongsi bersama dengan anda yang senang bertandang ke blog ini. Moga bermanfaat :)

********************************************

Insya Allah kalau kita bersusah payah dengan dakwah dan tolong agama Allah, nescaya Allah akan tolong kita”, kata seorang exco dakwah di sebuah kampus.

Kata-katanya itu sedap didengar, tetapi realitinya separuh benar separuh batil.

DULU-DULU

Dulu-dulu saya pernah membaca majalah sebuah gerakan dakwah yang kini sudah diharamkan. Ada sebuah artikel menceritakan bagaimana seorang siswi yang aktif berdakwah hingga tidak sempat membuat persiapan untuk peperiksaannya, telah bertawassul dengan nama mursyid jemaah beliau lalu tertidur di dewan peperiksaan. Sebaik sahaja siswi itu terjaga, kertas peperiksaannya sudah penuh dengan jawapan dan beliau mendapat keputusan yang cemerlang!

Itu kalau versi ‘hikayat menjadi’.

Bagi yang tidak menjadi, pernah di suatu era, ada aktivis dakwah yang menganggap kesanggupan menggagalkan diri dari pengajian atas nama dakwah adalah satu PENGORBANAN yang ditabik rakan sepasukan.

Kita tolong Allah, Allah akan tolong kita… mudah sahaja sifirnya.

Contoh-contoh ekstrim begitu adalah fenomena biasa di era 70′an dan 80′an. Era orang mencampak televisyen ke sungai kerana ‘membenci dunia’.

HARI INI

Namun hari ini, contoh begitu mungkin sudah tidak sebegitu biasa kita dengar. Perbuatan membuang pengajian atau pekerjaan kerana mahu berdakwah sudah jarang-jarang sekali sampai ke telinga kita. Akan tetapi, sikap yang berlegar pada mindset yang sama itu masih sering dilihat dalam catatan aktivis dakwah di kampus hingga ke hari semasa.

Dek kerana kerapnya saya berprogram bersama pelajar universiti, saya terus menerus mengesan masalah ini berlaku di sana sini. Bahawa ramai pelajar yang bersemangat dan aktif dengan dakwah, kecundang di bilik darjah. Kecundang di dewan kuliah.

Apakah golongan yang kecundang akademik hanya dari kelompok dakwah?

Tentu sahaja tidak.

Mereka yang lemah di bidang pengajian atau mungkin terus gagal, terdiri daripada mereka yang beridentitikan pelbagai. Mungkin yang mabuk bercinta, mungkin yang kaki gig, mungkin yang tiada sebab apa-apa sekali pun. Punca kemunduran akademik memang pelbagai. Malah saya tidak terkejut jika ada pelajar yang kecundang pengajian hanya disebabkan oleh cuaca!

Tetapi apa yang ingin diperbahaskan kali ini adalah soal hubung kait aktiviti dakwah dengan aktiviti kuliah.

‘ESCAPISM’

Kenapa suka berdakwah tetapi lesu di bilik kuliah?

Di suatu ketika, saya pernah menyeru anak muda aktivis dakwah supaya mencari keseronokan di dalam mengerjakan amal Islami. Cari nilai untuk menyalakan KEINGINAN YANG MEMBARA. Jangan hanya bergantung pada soal kewajipan, tekanan suasana dan mengikut trend semata. Dakwah itu mesti inside-out. Ia harus datang dari kepercayaan diri bahawa setiap satu tugasan dakwah, menambah makna dan nilai dalam hidup.

Tetapi dalam masa yang sama, keseronokan dakwah itu jugalah yang kemudiannya menjadi salah satu sebab mengapa aktivis dakwah di kampus hilang minat dan tumpuan pada pelajaran. Mereka bertemu dengan kepuasan dan keinginan di dalam dakwah, tetapi tidak di bilik kuliah.

Sama sahaja… sama ada pelajar di bidang pengajian Islam, mahu pun sains atau undang-undang, ia boleh terjadi. Penyakit hilang minat dan keghairahan terhadap mata pelajaran di bilik kuliah sering berlaku.

Dakwah menjadi tempat mahasiswa dan mahasiswi ini melarikan diri dari tekanan, kebosanan dan segala perasaan negatif yang dialami semasa menghadiri kuliah, tutorial dan menyiapkan assignment. Segala perasaan yang tidak seronok lagi merimaskan itu, dapat dilupakan seketika semasa hadir ke dalam usrah, tamrin, ceramah, malah demonstrasi.

Bukan sahaja program dakwah harakiyyah, malah sebahagian pelajar lebih konsisten dan hadir dengan penuh minat ke kelas-kelas menadah kitab dan pengajian tidak formal tetapi mengabaikan kelas, peperiksaan dan tidak endah pada kemerosotan keputusan peperiksaan.

ALASAN

Melebihkan dakwah mengatasi pelajaran boleh berlaku atas sebab yang pelbagai.

“Ana tahu… dah duduk di universiti ni, mana ada yang lebih penting selain pelajaran. Tapi entahlah… macam dah tak ada mood nak study!”, kata seorang pelajar.

Alhamdulillah… biar pun tindakannya membelakangkan akademik itu salah, tetapi sekurang-kurangnya beliau mengakuinya. Menyedari bahawa dirinya sedang berdepan dengan masalah. Mudah-mudahan lebih jelas jalan untuk keluar dari kesulitan ini.

Tetapi, kebimbangan itu datang apabila pelajar-pelajar yang aktif dengan dakwah membelakangkan usaha dan ikhtiarnya di dalam pelajaran dengan kepercayaan yang salah. Kepercayaan yang disangkanya sebagai jalan beragama.

MENOLAK ‘ACUH TIDAK ACUH’

“Abang nak makan ayam masak merah”, kata seorang suami kepada isterinya.

Lalu si isteri ke dapur, digorengnya ayam, ditumisnya sos yang merah, dicampur keduanya dan dihidangkan di dalam pinggan percuma semasa membeli ubat gigi kotak besar.

“Suprani, bapak mahu makan ayam masak merah”, kata lelaki yang sama itu, kepada pembantu rumahnya.

Lalu si Suprani pergi ke dapur, digoreng ayam, dibuat kuahnya seelok mungkin, ditabur pula dengan daun sup, dihias dengan bawang besar, cili belah empat kembang bunga, dan dihidang di dalam pinggan Pyrex bersama nasi panas.

Agak-agaknya, tanpa perlu berbahas dan berdebat, kita sedia maklum yang tentu sahaja si lelaki itu tadi lebih berminat untuk makan ayam masa merah hasil masakan Suprani berbanding isterinya sendiri. Dua-dua ayam masak merah, tetapi ayam masak merah si isteri itu acuh tak acuh. Cincai kata sesetengah orang. Manakala ayam masak merah si pembantu rumah, biar pun yang memasaknya adalah pembantu rumah, tetapi kesungguhannya memasak menyebabkan lelaki itu lebih teruja untuk mencubanya.

Sifirnya mudah.

Tiada manusia yang suka dengan hasil kerja ala kadar, bagai melepaskan batuk di tangga. Dan sebelum kita sesama manusia lebih memilih hasil kerja yang ada nilai kesungguhan, Allah SWT itu sebagai Tuhan lebih Memandang hasil kerja dan ibadah hamba-Nya yang dilakukan secara yang terbaik. Optimum.

Itqan.

Seorang Muslim yang benar-benar menghayati nilai Islam dalam kehidupan seharian akan melakukan apa sahaja secara bersungguh-sungguh. Sama ada sebagai memenuhi kehendak habl min al-naas sesama manusia, mahu pun dalam menunaikan tanggungjawabnya pada habl min Allah!

Maka, bersifat ala kadar dalam menerima keputusan peperiksaan justeru ala kadar juga dalam membuat persiapan pengajian… bukanlah kualiti yang layak bagi seorang Muslim. Apatah lagi Muslim yang mahu memperjuangkan Islam.

Lupakah kita kepada firman Allah SWT:


“Sesungguhnya orang terbaik yang boleh engkau ambil bekerja adalah orang yang mempunyai kekuatan lagi amanah” [Al-Qasas 28 : 26]

Kesempurnaan pada kelayakan seseorang yang ingin diberi tugasan adalah gabung jalin yang kemas di antara integriti dan kompetensi. Bukan sahaja mempunyai kualiti akhlaq malah memiliki kemahiran, ilmu pengetahuan dan segala kekuatan yang diperlukan untuk sebuah tugasan.

Kita tidak mahu gerakan Islam dan barisan saf perjuangan Islam dipenuhi dengan longgokan sisa manusia yang tidak berkualiti. Membiarkan pencapaian masing-masing di dalam akademik pada tahap atas urat, adalah suatu pengkhianatan kepada ketinggian dan kemuliaan Islam.

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN BUKAN SEGALANYA

Setuju. Saya setuju 100%.

Sebab itu saya tidak pernah mengajak kita mengukur kecemerlangan hanya berpandukan keputusan peperiksaan. Ada banyak faktor yang mempengaruhi keputusan peperiksaan, biar pun selalunya ia berpihak kepada yang tekun berusaha.

Kecemerlangan yang diperlukan ialah pada komitmen pelajar yang da’ie, menempuh proses pembelajaran, dan bukan hanya berorientasikan output. Maksud saya, sama ada seorang pelajar itu hadir ke kelas, mengikuti kuliah, membuat kajian, menulis assignment… itulah sebenar-benarnya penentu kecemerlangan. Segala proses itu penting kerana ia merupakan latihan sebenar kepada pemikiran dan daya ilmiah seorang pelajar. Di dalam kelaslah dia belajar berfikiran kritis, belajar bertemu dengan pandangan-pandangan yang berbeza, belajar bersoal jawab, belajar bertanya dan belajar menjawab… iaitu segala-galanya yang di kemudian hari menjadi asas terpenting untuk memimpin dan menerajui masyarakat.

Dan sudah semestinya, jika kelas dihadiri, kajian dibuat, menulis assignment diselesaikan, sedikit sebanyak ia akan menghasilkan natijah yang bagus di akhir musim peperiksaan.

Tetapi kalau kita berhasil menjawab keputusan peperiksaan hanya kerana ‘bernasib baik’ apabila soalan dihafal secara last minute, tetapi tidak ke kelas, tidak mengikuti PROSES pembelajaran, maka segala-galanya tidak ke mana. Lantas segenggam ijazah pun belum tentu ada nilainya!

Pendakwah yang mengkhianati proses pembelajaran semasa di alam menara gading, mereka amat berpotensi untuk masuk ke masyarakat dengan kualiti kepimpinan yang lemah… ekoran pemikiran tumpul yang tidak diasah semasa di alam belajar!

AKIBAT LEMAH AKADEMIK

Kadang-kadang kita menganggap akademik hanya sebagai wasilah. Sekadar tiket untuk memenangi kepercayaan masyarakat. Seumpama lesen.

Tetapi kita sering lupa, lemahnya penguasaan diri terhadap ilmu-ilmu di kelas akan memberikan implikasi yang buruk di masa hadapan… bukan hanya semasa alam pekerjaan bahkan boleh melarat hingga ke Akhirat.

Syariatullah

Pelajar pengajian Islam yang tidak menguasai pengajiannya akibat lemah tahap pembelajaran akan terdedah kepada jenayah di masa depan.

“Ustaz, apa hukumnya zakat KWSP?”, tanya seorang jemaah di surau.

“Alamak… itulah benda yang pensyarah bincangkan tapi aku tak pergi kelas masa tu!” rungut si ustaz di dalam hatinya.

“Err… saya rasa tak payah kot!”, jawab si ustaz ala-ala mujtahid.

Tidakkah perbuatan itu suatu pengkhianatan? Memberikan panduan muamalat yang salah kepada masyarakat, mengingkari Syariat Allah SWT lantaran kecuaian dirinya sendiri semasa di alam pembelajaran. Semasa belajar sudah biasa tak buat homework, bila berceramah pun tak buat homework.

Itu jenayah terhadap Syariatullah.

Sunnatullah

“Err, pesakit diabetik ni nak suntik 1 unit atau 10 unit atau 100 unit insulin ya?”, seorang doktor muda berteka-teki di dalam dirinya.

Akibat kemalasannya terhadap kelas pengajian, atau belajar secara ala kadar, beliau menyuntik pesakitnya dengan 100 unit insulin sedangkan peraturan tubuh badan yang ditentukan Allah SWT hanyalah pada kadar 6 ke 10 unit.

Pesakit mati mengejut akibat hipoglesimik.

Berdosa atau tidak? Jenayah atau tidak?

Dosa terbit bukan hanya kerana melanggar hukum Syariat tetapi juga hukum Sains. Seorang ustaz yang tidak berkompetensi, sama sahaja dengan seorang doktor, jurutera, atau apa sahaja pekerjaan profesional yang tidak berkompetensi.

Mencetus mudarat..

Maka ala kadar dalam menguasai bidang pengajian masing-masing bukan sekadar masalah sikap yang biasa. Ia mampu membunuh!

Ke mana anda mahu membawa dakwah jika duduk di tengah masyarakat sebagai ustaz yang tiada amanah ilmiah atau doktor yang tiada amanah yang sama?


ALLAH MESTI TOLONG


Akhirnya sampai kita kepada alasan paling biasa.

Kita manusia biasa, tetapi sering mengharapkan benda-benda yang luar biasa.

“Kalau kita tolong agama Allah, mesti Allah akan tolong kita!”, yakin benar seorang aktivis dakwah kampus berkata begitu.

Cuba perhatikan firman Allah SWT:


“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu. Dan Allah itu Maha Berilmu terhadap segala sesuatu” [Al-Baqarah 2: 282]

Allah SWT berjanji akan membantu.

Tetapi syarat asasnya adalah TAQWA.

TAQWA itu adalah kepatuhan yang menyeluruh terhadap peraturan Allah SWT… meliputi Syariatullah dan Sunnatullah. Ia telah pun saya jelaskan dengan panjang lebar semasa memperkatakan tentang kualiti Muslim yang mesti bukan sahaja SYARIATIC (komited dengan Syariatullah) malah SCIENTIFIC (komited dengan Sunnatullah).

Jika kita baca sejarah perjuangan Rasulullah SAW, baginda tidak pernah mengambil jalan mudah memperalatkan statusnya sebagai seorang Rasul dan pejuang kebenaran untuk melengah-lengahkan persediaan. Tidak pernah baginda berkata “kalau Allah yang perintahkan aku berjuang, mesti Allah akan tolong menangkan aku!” Tidak sama sekali.

Biar pun sehimpun janji dikurniakan Allah bahawa kebenaran akan mengalahkan kebatilan, Baginda SAW sentiasa mengambil asbab kemenangan secara optimum.

Jika dianalisa peristiwa Hijrah, Baginda SAW telah mengatur sehebat-hebat strategi dan persiapakan untuk menjayakannya. Begitu juga dalam perang-perang yang lain. Strategi yang pada hari ini layak digelar sebagai SAINS KETENTERAAN.

Termasuk juga dalam soal pentadbiran, pengurusan dan kerja seharian. Baginda SAW tidak pernah memalaskan diri dalam ikhtiar dan usaha hanya kerana keyakinan bahawa “Allah bersama kita!”.

Tetapi aktivis dakwah hari ini ramai yang mudah tersasar.

Mereka tanpa segan silu dan malu, merengek-rengek meminta kemenangan sedangkan ikhtiarnya tidak seberapa. Hanya kerana Allah menjanjikan kemenangan bagi pihak yang memperjuangkan kebenaran, mereka melengahkan usaha, tidak seperti orang tidak berTuhan yang tiada janji kemenangan! Pejuang kebatilan melakukan sepenuh daya upaya mereka untuk perjuangan mereka… kesungguhan yang sepatutnya menjadi isi dan kulit manusia berTuhan seperti kita.

BERLATIH MENGURUSKAN REALITI

Sesungguhnya aktivis dakwah di kampus yang gagal menguruskan pengajian di samping tugasan dakwah… mungkin bakal menjadi aktivis yang turut gagal apabila keluar dari kampus.

Tahun 2 pengajian jauh lebih sibuk dari tahun 1.

Tahun akhir jauh lebih sibuk dari tahun-tahun yang sebelumnya.

Bekerja sebelum pengesahan jawatan jauh lebih sibuk dari tahun akhir pengajian.

Bekerja selepas pengesahan jawatan akan disibukkan pula dengan alam berumahtangga. Dari satu emak satu bapa, menjadi dua emak dua bapa. Dari satu kelompok sepupu menjadi dua kelompok sepupu. Dari 5 jemputan kenduri semasa cuti bertambah menjadi 10… semua itu akan berterusan.

Tatkala komitmen semakin reda, jantung pula sudah lemah, darah sudah bertekanan tinggi, urat dan sendi sudah tidak sihat lagi.

TAMRIN DISIPLIN

Sesungguhnya keupayaan seorang pelajar menguruskan akademiknya adalah TAMRIN yang paling penting untuk menghasilkan kualiti pengurusan realiti yang diperlukan apabila pelajar ini meninggalkan alam pengajian.

TAMRIN itu adalah TAMRIN DISIPLIN. Latihan mendisiplinkan diri iaitu berusaha untuk mengawal diri agar komited melakukan perkara yang kita tidak suka, demi meraih apa yang kita suka, suatu hari nanti. Di samping beroleh keseronokan sebagai momentum di dalam dakwah, jangan lupa bahawa ada perkara tidak seronok yang perlu kita pelihara sebaiknya.

“Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” [Al-Baqarah 2: 216]

Mungkin di alam TAMRIN akademik, bilik kuliah adalah medan perang yang kamu benci… padahal ia ditentukan Allah sebagai KEBAIKAN buat dirimu.

Berdisiplinlah!

p/s: pelajar yang enggan memikul amanah dakwah dengan alasan kesibukan akademik juga harus banyak berkoreksi dan memuhasabah diri…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

*********************************

Umairah-sh:

Memetik kembali kata-kata ustaz Hasrizal dalam penulisan di atas:
"Maka, bersifat ala kadar dalam menerima keputusan peperiksaan justeru ala kadar juga dalam membuat persiapan pengajian… bukanlah kualiti yang layak bagi seorang Muslim. Apatah lagi Muslim yang mahu memperjuangkan Islam"


Saya setuju! =)

Dakwah itu pelbagai caranya. Terpulang pada kita bagaimana meletakkan diri kita di dalam dakwah. Lakukan mana yang termampu oleh diri untuk dakwah. Yang penting, usah sekali meninggalkannya. Dan suka untuk saya bertanya bahawa untuk apa kita belajar? Antara tujuannya adalah untuk dakwah juga. Maka atas dasar itu, belajar bersungguh-sungguh adalah penting untuk kemaslahatan dakwah. Agar kita tidak tersalah menyampaikan dan agar kita lebih mengerti akan AMANAH ILMU. Fikirkanlah ...

15 February, 2009

Bilik saya terasa begitu bahang. Mungkin kerana pancaran matahari yang begitu terik masuk ke dalam bilik. Saya memutar kelajuan kipas ke nombor yang lebih tinggi iaitu 4. Kemudian saya kembali duduk di kerusi dan menatap ke skrin komputer untuk meneruskan kerja-kerja menaip dan menterjemah untuk tugasan subjek Metodologi Kajian Tafsir dan Hadith. Berkerut-kerut dahi saya membelek kitab karangan Mahmud Tahhan dan Abu al-Laith berkenaan Takhrij al-Hadith. Kerutan saya semakin dalam apabila bunyi ledakan muzik di bilik atas benar-benar mengganggu konsentrasi saya. Saya sabar. Makin lama makin kuat!

Saya menggelengkan kepala saya. Astaghfirullah. Memang saya hilang daya tumpuan. Lebih-lebih lagi telinga saya ini sebenarnya alah apabila mendengar muzik. Allahu akbar....Bahang matahari di luar sana bagaikan 'bahang' di jiwa saya. Saya meletakkan kitab di atas meja yang sememangnya sudah penuh dengan kitab yang sengaja saya buka agar saya tidak kehilangan muka suratnya.

Saya memikir apa yang perlu saya lakukan. Kalau ikutkan hati mahu sahaja saya naik ke tingkat atas mengetuk pintu dan memberi salam kepadanya yang tak pernah saya bersua muka itu dan meminta agar diperlahankan teriakan muziknya yang amat mengganggu saya. Saya berfikir hingga empat, lima dan enam kali... hmmm...jika saya berbuat demikian tentu sahaja bakal mengundang masalah besar mungkin. Dia akan marah pada saya dan terus bermusuh dengan saya, iaitu saya yang tak pernah dia lihat dan bersua muka apatah lagi menghadiahkan senyum dan salam.

Saya menarik nafas dalam-dalam dan terus-terusan melantunkan istighfar. Bunyi muziknya benar-benar masuk ke dalam bilik saya. Saya jadi resah kerana saya seboleh mana tidak mahu adanya bait-bait lagu yang diputarkannya itu kelak 'berputar-putar' di ingatan saya. Maklum sahajalah saya agak mudah 'memuat turun' sebarang perkara yang saya dengar ke dalam ingatan saya. Dan lebih-lebih lagi jika ianya adalah sebuah lagu dan muzik!

Saya lantas membuka blog saya dan menekan siaran Radio Rodja. Alhamdulillah pada waktu itu Radio Rodja sedang memutarkan bacaan ayat suci al-Quran. Saya menguatkan sedikit agar saya dapat menepis keluar lagu-lagu dari bilik atas dari masuk ke telinga saya. Ingin sahaja saya menguatkan 'volume' komputer saya... tetapi saya tahu, itu bukan caranya. Saya tidak mahu akhirnya nanti saya dan dia berlaga-laga speaker siapa yang paling kuat!

Kerana perkara itu, saya hilang tumpuan dan 'mood' saya pergi entah ke mana. Dan ketika mengangkat baju di ampaian, apa yang saya dengar kebanyakan bilik di sekitarnya memutarkan muzik mengikut citarasa masing-masing. Bibir saya tiada senyumnya. Wajah saya hambar. Jiwa saya gusar. SETERUSNYA MEMBUATKAN SAYA BERFIKIR: ADAKAH MUZIK ITU SUDAH MENJADI MAKANAN UTAMA BAGI JIWA ANAK-ANAK ISLAM PADA HARI INI?"

JIWA DAN PEMIKIRAN KITA BENAR-BENAR TELAH DIJAJAH!



Lihat sahajalah rancangan-ranacangan televisyen dewasa ini, bukan sahaja di Malaysia malah di Singapura dan Indonesia. Nyanyian dan muzik adalah rancangan yang mendapat tempat di hati masyarakat Islamnya. Ianya HIDUP di hati anak-anak Islam dan seterusnya MEMATIKAN alunan suci kalamullah dari jiwa mereka.

Saya risau!

Teringat kembali persoalan saya bersama Sa'adah dan Ayu di kafe canselori beberapa minggu yang telah lalu:

"Kita nak jadi apa ye?"
"Apa yang boleh kita buat nak selamatkan semua ini?"

Persoalan itu tercetus apabila kami membincangkan perkara-perkara yang dilakukan oleh pelajar-pelajar Islam dewasa ini. Rosaknya mereka akibat pengaruh seks yang tidak dapat dibendung! Setelah berkongsi kisah, pengalaman dan pandangan, akhirnya kami mati akal dan hanya mampu mengggelengkan kepala dengan persoalan yang kami cipta sendiri.

Dan pada hari ini, persoalan itu muncul kembali di benak saya:

"Apa yang boleh kita lakukan?"

Saya termenung dan merenung...

Dan untuk anda, saya serahkan kepada anda untuk menjawab sendiri persoalan itu. Yang penting saya ingin kita semua memuhasabah diri dan juga bertanya pada diri, antara alunan al-Quran dan muzik, mana satukah yang lebih dekat di hati kita?

................

12 February, 2009

Air mata saya mengalir juga…
Setelah sekian lama saya menahan sebak dan sendu yang bermain di jiwa
Setelah saya berusaha melepasi satu demi satu ujian yang Allah s.w.t ‘hadiah’kan pada saya
Dan pada hari ini
Pada petang tadi
Saya hampir tewas
Ya Allah…berat untuk saya tanggung sebenarnya….
(mungkin pada orang lain tidak ada apa-apa ,tetapi tidak pada saya)

Dan pada malam ini, saya merenung kembali kata-kata Dr. (ustaz) Azwira kepada saya siang tadi:

“Cuba anti muhasabah kembali diri anti, ada tak perkara-perkara yang menarik yang ada pada diri anti yang menyebabkan ‘dia’ selalu nak datang?”

Saya mengerutkan dahi saya. Saya bertanya kembali meminta kepastian:

“ ‘Menarik’? Maksud, Ustaz?”

Lalu dia menerangkan dengan penuh bersungguh-sungguh pada saya:

“Senang macam ni. Anjing. Anjing suka pada tulang kan? Kemudian kita bawa tulang. Anjing itu pun datang pada kita. Kita halau dia. Dia pergi. Tapi kemudian dia ikut kita lagi. Kita halau. Dia pergi Kemudian dia ikut kita lagi. Sebab apa? Sebab kita ada tulang yang menarik perhatian dia untuk ikut kita. Anti faham tak?”

Walaupun dia masih berkias-kias tetapi saya akhirnya faham juga maksudnya. Saya menganggukkan kepala saya dengan anggukan lemah. Ya, saya faham.

Maafkan saya kerana tidak dapat menceritakan apakah perbincangan sebenar dan seterusnya antara saya dan dia pada satu pertemuan yang saya niatkan tetapi tidak saya aturkan dengannya pagi tadi. Hanya pertemuan yang secara tiba-tiba.

Cuma apa yang mampu saya katakan ialah dalam hidup ini perlu banyak muhasabah. Macam ustaz Azwira ada kata juga pada saya tadi: “Cuba check balik keikhlasan diri kita”.

Ya, kita manusia biasa
Terkadang leka
Terkadang terluka
Kerana leka dan terluka kadangkala kita lupa meletakkan diri kita pada keikhlasan
Keikhlasan mungkin berganti dengan ikutkan perasaan.


Airmata saya mengalir….

Dalam berdakwah
Dalam menjalankan yang hak
Mungkin kita ada silapnya
Mungkin kita ada ujubnya
Cuma terkadang kita tidak sedari keberadaannya
Lantas muhasabah diri itu adalah utama
Walau dakwah umpama makanan kita
KITA BUKAN MANUSIA HEBAT!!!
Tanya pada diri masih adakah keikhlasan?!


Air mata saya semakin tidak dapat saya bendung
Terus meluncur laju bersama sebak di kalbu…..

Periksa kembali keikhlasan diri kita
Apa khabarkah ia?



Sedutan kisah dari filem Ayat-ayat Cinta. Saya katakan pada diri saya: "Allah sedang berbicara padamu tentang SABAR dan IKHLAS, Sakinah"

05 February, 2009

Ya Allah, saya agak terperanjat apabila membaca tajuk berita di laman Yahoo.com yang berbunyi:

SKorean granny fails driving test 771 times

Kuatnya semangat dia!!! heheh

Terbayang bagaimana keadaan saya ketika gagal ujian memandu pada kali ketiganya. Allah sahaja yang tahu perasaan saya pada waktu itu. Memang saya patah semangat dan memakan masa yang agak lama bagi saya kembali ke Akademi memandu untuk belajar dan menduduki sekali lagi ujian memandu. Dan Alhamdulillah, hasil usaha dan sokongan suami saya, akhirnay saya lulus juga ujian memandu pada kali keempat.

Apapun hari ini saya tidak mahu bercerita tentang ujian memandu saya.Sekadar ingin berkongsi kisah nenek yang masih tidak putus harapan untuk mendapatkan lesen memandunya =)

AFP - Thursday, February 5

SEOUL (AFP) - - A dogged South Korean grandmother has failed her driving test 771 times, police said Thursday, but a local newspaper reported she will keep trying.

The 68-year-old, identified only by her last name Cha, has taken the test almost every working day since 2005 in the southwestern city of Jeonju. She failed again Monday for the 771st time.

"It was a record-breaking number here," Choi Yong-Cheol, a police sergeant supervising the test in the city's Deokjingu district, told AFP.

"I wonder if she will try it again for a 772nd time."

The Korea Times said Cha will in fact be back for another attempt.

Choi said that Cha cannot pass the preliminary written section of the test, averaging scores of 30-50 whereas the pass mark is 60 out of 100.

Local media said that Cha sells food and household items door to door at apartment complexes, carrying the items in a handcart, but wants to get a car for her business.

Police estimate she has spent almost five million won (3,600 dollars) to take the written test, with each test costing 6,000 won in addition to other expenses.

"I feel sorry every time I see Cha fail. When she passes, I'll make a commemorative tablet myself and give it to her," one officer was quoted as saying.

04 February, 2009

Muram



Saya muram....
ada kegusaran pada perasaan
ada kekalutan yang tersimpan
ada keletihan yang tiada tepian

Tetapi

dalam apa jua keadaan saya perlu katakan:

"Saya mampu mengatasi semuanya!"

Saya membaca kembali kata-kata yang tertampal indah di tembok bilik ini:

Ya Allah...
Beban yang kugalas amat berat untuk ku bawa
Berikan kekuatan untuk ku
Biar perjuangan ilmu kutempuh dengan redhaMu
Agar beban ini mengajar aku
erti keikhlasan dalam mengejar ilmu Mu
Jangan Kau jadikan kesibukan ini
penyebab aku jauh dariMu
Jangan Kau jadikan airmata ini
Penyebab aku berputus asa
dari terus mencapai rahmat Mu
Thabbit Quluubana ‘Ala Diinik!!
Menuntut ilmu kerana Mu
Agar beban ini terasa ringan
Agar hati ini terasa dibelai kasih Mu
Rabbi Yassir walaa Tua’ssir Ya karim


Itu do'a saya
Do'a yang ada padanya tangisan...