17 January, 2009

Sudah lama airmata saya tidak mengalir dek kerana mendengar lagu nasyid. Tiba-tiba hari ini saya tersentuh mendengar sebuah nasyid nyanyian Rabbani yang bertajuk Subuh yang Terakhir. Entah betul atau tidak tajuknya itu saya sendiri tidak pasti dan sama ada ianya sebuah lagu lama atau baru, saya juga tidak pasti, ini kerana saya sudah terlalu lama meninggalkan dunia nasyid dan tidak lagi mengambil pusing hal-hal yang berkaitan dengannya.

Saya benar-benar tersentuh mendengar rangkap pertama bait nasyid itu:

Bilakah kali yang terakhir kau ucapkan sayang
pada insan yang setia berkongsi susah dan senang
Luahkan isi hati, andainya sudah ditakdir
Tadi subuh yang terakhir


Saya terkenangkan pada suami saya. Seorang insan yang telah banyak berbudi pada saya dan telah banyak berkongsi susah dan senang bersama. Airmata saya mengalir. Bilakah kali terakhir saya ucapkan sayang padanya? Dan bilakah pula kali terakhir dia mengucapkan sayang kepada saya? Jawapannya, saya tidak tahu. Kesibukan saya dan kesibukannya seolah-olah telah menenggelamkan kalimah indah itu. Semuanya hanya tersimpan di dalam hati. Tidak terluah. Tiada kata yang tersusun untuk diluah. Padahal jauh disudut hati ada SAYANG yang bukan kepalang.
Lalu bagaimanakah jika sekiranya pagi tadi itu adalah subuh saya yang terakhir?

Bila berdekatan kadangnya makin kita leka
Bila berjauhan barulah merindu di dada
Selagi berkesempatan ucapkan terima kasih
Andai esok takkan hadir


"Bila berjauhan barulah merindu di dada", saya rindukan suami saya. Tapi rindu itu hanya tersimpan kemas di dalam jiwa. Terima kasih di atas rindu ini. Tanpanya sebagai seorang suami mana mugkin saya merasai sebuah rindu. RINDU HALAL antara seorang lelaki dan perempuan. SunGguh...rindu di hati tiada siapa yang tahu, melainkan Dia tuhanku yang satu.

Tika terkasar bahasa mungkin ada yang terasa
Tapi tak kedengaran rintihan kerna sayangkan dirimu
Namun di hati mampukah dilupakan
Rayulah kemaafan
Jangan sebelum nyawa dipulangkan


Sebagai manusia biasa, tentu saya ada terkasar bahasa pada sesiapa sahaja terutama kepada suami saya. Dan benar, kerana sebuah rasa yang dinamakan sayang yang tertanam kukuh di dalam jiwa, semuanya diabaikan dan semuanya terpaksa dibiarkan. Hanya kerana SAYANG. Dan kadangkala kita juga begitu. Kerana SAYANG, yang diturutkan semuanya sukar untuk dinyatakan walau apa yang dilakukan seseorang cukup mencalar-balarkan jiwa.

Namun, di hatinya dan hati kita, mampukah dia dan kita melupakan? Hanya kita dan Allah s.w.t sahaja yang mengetahui. Itupun, kita seringkali lupa untuk melafazkan maaf dan kita seringkali lupa untuk menyatakan rasa kesal.

Patutkah sedemikian?

Airmata saya mengalir semakin deras....Maafkan saya.

Bilakah kali yang terakhir kau kucupi pipi
Ayah bonda yang tak mungkin kau terbalas budi
Tunjukkanlah syukurmu bertuahnya kau dilahir


Airmata semakin meluncur laju ke pipi saya. Saya sayang emak dan abah. Saya mengaku tanpa keduanya saya tidak akan melihat dunia dan manusianya sehinggakan saya menanam azam untuk mengislahkan masyarakat. Tanpa keduanya mana mungkin saya berada di tempat yang kini saya berada. Malah pada keduanya juga saya sering mengharap doa apabila ingin menduduki peperiksaan dan apa jua pekerjaan yang berat untuk saya lakukan. Keduanya adalah manusia mulia bagi saya.

Suami dan sahabat jika pergi boleh dicari ganti, tetapi ayah dan bonda jika pergi tiada satu manusia pun dapat mengganti. Itulah keduanya hingga ke hari kiamat dan itulah keduanya yag mana darah mereka mengalir bersama darah ini.

Rabbirghfirlii waliwaalidayya warhamhumaa kama rabbayaanii saghiraa

Tika terkasar bahasa mungkin ada yang terasa
Tapi tak kedengaran rintihan kerna sayangkan dirimu
Namun di hati mampukah dilupakan
Rayulah kemaafan
Jangan sebelum nyawa dipulangkan

Lihatlah saja isterimu berkorban separuh nyawa
Demi menjamin kebahagian anak dan suami tercinta
Buktikan padanya pilihan jodohmu tepat
Sebelum semua terlewat

Lafazkan rasa cinta...
andainya sudah ditakdir
Tadi subuh yang terakhir


Saya pegang pada ayat ini dan ingin saya simpan kemas di sudut hati:

"Buktikan padanya pilihan jodohmu tepat"

Subhanallah yang mentakdirkan sesuatu dengan begitu indah. Dia memang jodoh saya. Jodoh yang tepat!

Alhamdulillah....


Subuh Yang Terakhir - Rabbani

P/S: Saya suka kata-kata nasyid ini, cuma saya kurang berkenan dengan bunyi-bunyiannya.

0 Comments:

Post a Comment