16 January, 2009

Terlalu banyak dugaan yang perlu saya tempuh pada awal semester pertama ini. Satu demi satu perkara muncul, tanpa saya duga dan pinta. Bagai nak terputus rasanya dahi ini berkerut dan kadangkala bagai rasa nak tercantum hujung kening saya dengan kening yang satu lagi. Beratnya kepala saya memikirkan itu dan ini.

Allah sahaja yang mengetahui.

TUGASAN KULIAH

Minggu hadapan saya perlu membentangkan dua tugasan dalam kuliah dan kedua-duanya belum lagi saya mulakan. Melainkan untuk tugasan Kajian Hadith Musykil. Setakat ini saya dan rakan kerja saya sudah mengadakan dua kali pertemuan dan perbincangan. Alhamdulillah, kerja-kerja menaip akan bermula walaupun masih ada lagi perkara yang samar-samar dan belum terungkai. Mmmm..dah nama subjeknya pun Kajian Hadith Musykil, tentu saja banyak kemusykilannya yang perlu dirungkaikan :D Manakala tugasan untuk kitab Tafsir al-Nasafi pula, saya masih belum mulakan walaupun dengan melakar rangka kerjanya. Masih kosong! Saya mohon bantuan dari Allah agar mempermudahkan keduanya untuk saya selesaikan sebelum tiba pada tarikhnya. Rabbii Yassir...

KURSUS BAHASA MELAYU

Petang tadi pula, saya hampir-hampir rasa hendak pitam akibat kursus Bahasa Melayu saya yang terlalu banyak kerenahnya untuk dikecualikan. Saya tidak mahu berputus asa memohon pengecualian dari menduduki kelas tersebut. Ini kerana masa saya amat berharga untuk disumbangkan pada perkara lain daripada memasuki kursus Bahasa Melayu yang saya ketahui lebih kepada mengajar pelajar-pelajar Indonesia bagaimana untuk berbahasa Melayu dengan baik dan betul. Malangnya kerana saya berdaftar sebagai pelajar antarabangsa untuk mengecualikan saya dari kelas itu, memakan proses yang pelbagai walaupun pada hakikatnya saya merupakan graduan Universiti Kebangsaan Malaysia bahkan mampu untuk menulis dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan baik.

Seperkara yang membuatkan proses pengecualian saya tergendala adalah kerana di dalam sistem telah mendaftarkan saya ke dalam kursus bahasa Melayu yang wajib diikuti oleh pelajar-pelajar berbangsa Arab yang tidak tahu langsung untuk berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Melayu. Maknanya sistem tersilap mendaftarkan saya dan perkara ini tidak dapat diubah dan ianya menjadi tanda-tanya bukan sahaja bagi pihak saya malah pihak Pusat Pengurusan Siswazah (PPS) sendiri. Saya amat terperanjat bila diberitahu akan hal tersebut oleh pengedali kursus bahasa Melayu di Pusat Pengajian Umum (PPU)pagi tadi. Dia malah berkata kepada saya dengan nada bergurau:

"Takkan lah Sakinah nak masuk kelas bahasa Melayu ni. Malu lah Sakinah. Campur dengan pak Arab pak Arab ni. Silap-silap jadi translator untuk pak Arab. Tidur ajelah nanti bila Sakinah masuk kelas saya. Nak belajar mengeja lagi ...hahahah. Tergelak nanti Sakinah dengar pak Arab sebut perkataan Melayu. Tak patut mereka buat kamu macam ni...kesian betul"

Saya tersenyum. Tidak tahu apa yang hendak dikata. Lidah kelu seribu bahasa.

MASIH TERGENDALA

Pada jam 3 petang tadi, Saya berlari ke Pusat Pengurusan Siswazah (PPS) selepas perbincangan Kajian Hadith Musykil untuk menyelesaikan masalah visa saya. Sekali lagi saya hampa, apabila pegawai yang menguruskan visa untuk pelajar-pelajar Master dan PHD memberitahu saya, visa masih belum dapat dibuat dan sedang dalam proses. Sedangkan itu adalah kali kedua saya ke sana atas arahan pihak pengurusan visa itu sendiri.

Memang saya tidak mampu ucapkan sebarang kata bila pegawai itu mengatakan:

"Nanti datang lagi, hari ni cancelled!"

Saya hanya mampu mengangkat kening terkejut. Ini kerana setelah saya berjalan kaki dari Fakulti Pengajian Islam menuju ke Pusat Pengurusan Siswazah yang terletak jauh di atas bukit itu dan setelah saya beratur panjang bersama-sama pak Arab-Pak Arab yang pelbagai kerenahnya itu lalu apabila saya tiba di hadapan meja kaunter, dia berkata begitu kepada saya! Ya Allah, indahkan hati saya dengan kesabaran, Ya Allah.



MUHASABAH DIRI ITU TERAMAT INDAH

Akhirnya setelah pulang ke bilik dan mengimbas kembali setiap perkara yang berlaku siang tadi, saya teringat kata-kata yang saya ucapkan kepada seorang adik melalui sms dua hari lalu yang lebih kurang begini bunyinya:

"Nak buat mcam mana? Kalau kita dah kata kita nak belajar dan nak berdakwah dengan ilmu yang kita sedang belajar ini, kita perlu tempuhi segalanya. Ni baru sikit je Allah nak uji....."

"Kita perlu banyak istighfar dan bersyukur. Tajdid niat kita dan muhasabah diri. Baru kita mampu tersenyum sepanjang hari walaupun sebenarnya ada tangisan di dalam hati"

:) :) :)

Ya Allah, indahkan hatiku dengan kesabaran....

0 Comments:

Post a Comment