30 January, 2009


Apabila disoal tentang BELAJAR, saya menjawab:

BELAJAR itu untuk MENDIDIK DIRI agar lebih SABAR, TABAH dan HIDUP PENUH MUHASABAH.

Apabila disoal tentang KECEMERLANGAN, saya akan bertanya kembali:

Adakah HUBUNGAN KITA DENGAN ALLAH S.W.T sudah cukup CEMERLANG UNTUK DIGELAR SEBAGAI MANUSIA CEMERLANG?

Apabila berbicara tentang KEHEBATAN, saya berkata:

KEHEBATAN seseorang terletak pada SUJUDNYA DI MALAM HARI BERSENDIRI MEMUJI DAN MENGADU PADA YANG ESA.

Saya terus termenung dan merenung untuk mencari KEKUATAN DIRI

Dan akhirnya saya temui sebuah jawapan:

KEKUATAN ITU ADA PADA DIRI YANG SENTIASA MENCARI REDHA ILAHI.

17 January, 2009

Sudah lama airmata saya tidak mengalir dek kerana mendengar lagu nasyid. Tiba-tiba hari ini saya tersentuh mendengar sebuah nasyid nyanyian Rabbani yang bertajuk Subuh yang Terakhir. Entah betul atau tidak tajuknya itu saya sendiri tidak pasti dan sama ada ianya sebuah lagu lama atau baru, saya juga tidak pasti, ini kerana saya sudah terlalu lama meninggalkan dunia nasyid dan tidak lagi mengambil pusing hal-hal yang berkaitan dengannya.

Saya benar-benar tersentuh mendengar rangkap pertama bait nasyid itu:

Bilakah kali yang terakhir kau ucapkan sayang
pada insan yang setia berkongsi susah dan senang
Luahkan isi hati, andainya sudah ditakdir
Tadi subuh yang terakhir


Saya terkenangkan pada suami saya. Seorang insan yang telah banyak berbudi pada saya dan telah banyak berkongsi susah dan senang bersama. Airmata saya mengalir. Bilakah kali terakhir saya ucapkan sayang padanya? Dan bilakah pula kali terakhir dia mengucapkan sayang kepada saya? Jawapannya, saya tidak tahu. Kesibukan saya dan kesibukannya seolah-olah telah menenggelamkan kalimah indah itu. Semuanya hanya tersimpan di dalam hati. Tidak terluah. Tiada kata yang tersusun untuk diluah. Padahal jauh disudut hati ada SAYANG yang bukan kepalang.
Lalu bagaimanakah jika sekiranya pagi tadi itu adalah subuh saya yang terakhir?

Bila berdekatan kadangnya makin kita leka
Bila berjauhan barulah merindu di dada
Selagi berkesempatan ucapkan terima kasih
Andai esok takkan hadir


"Bila berjauhan barulah merindu di dada", saya rindukan suami saya. Tapi rindu itu hanya tersimpan kemas di dalam jiwa. Terima kasih di atas rindu ini. Tanpanya sebagai seorang suami mana mugkin saya merasai sebuah rindu. RINDU HALAL antara seorang lelaki dan perempuan. SunGguh...rindu di hati tiada siapa yang tahu, melainkan Dia tuhanku yang satu.

Tika terkasar bahasa mungkin ada yang terasa
Tapi tak kedengaran rintihan kerna sayangkan dirimu
Namun di hati mampukah dilupakan
Rayulah kemaafan
Jangan sebelum nyawa dipulangkan


Sebagai manusia biasa, tentu saya ada terkasar bahasa pada sesiapa sahaja terutama kepada suami saya. Dan benar, kerana sebuah rasa yang dinamakan sayang yang tertanam kukuh di dalam jiwa, semuanya diabaikan dan semuanya terpaksa dibiarkan. Hanya kerana SAYANG. Dan kadangkala kita juga begitu. Kerana SAYANG, yang diturutkan semuanya sukar untuk dinyatakan walau apa yang dilakukan seseorang cukup mencalar-balarkan jiwa.

Namun, di hatinya dan hati kita, mampukah dia dan kita melupakan? Hanya kita dan Allah s.w.t sahaja yang mengetahui. Itupun, kita seringkali lupa untuk melafazkan maaf dan kita seringkali lupa untuk menyatakan rasa kesal.

Patutkah sedemikian?

Airmata saya mengalir semakin deras....Maafkan saya.

Bilakah kali yang terakhir kau kucupi pipi
Ayah bonda yang tak mungkin kau terbalas budi
Tunjukkanlah syukurmu bertuahnya kau dilahir


Airmata semakin meluncur laju ke pipi saya. Saya sayang emak dan abah. Saya mengaku tanpa keduanya saya tidak akan melihat dunia dan manusianya sehinggakan saya menanam azam untuk mengislahkan masyarakat. Tanpa keduanya mana mungkin saya berada di tempat yang kini saya berada. Malah pada keduanya juga saya sering mengharap doa apabila ingin menduduki peperiksaan dan apa jua pekerjaan yang berat untuk saya lakukan. Keduanya adalah manusia mulia bagi saya.

Suami dan sahabat jika pergi boleh dicari ganti, tetapi ayah dan bonda jika pergi tiada satu manusia pun dapat mengganti. Itulah keduanya hingga ke hari kiamat dan itulah keduanya yag mana darah mereka mengalir bersama darah ini.

Rabbirghfirlii waliwaalidayya warhamhumaa kama rabbayaanii saghiraa

Tika terkasar bahasa mungkin ada yang terasa
Tapi tak kedengaran rintihan kerna sayangkan dirimu
Namun di hati mampukah dilupakan
Rayulah kemaafan
Jangan sebelum nyawa dipulangkan

Lihatlah saja isterimu berkorban separuh nyawa
Demi menjamin kebahagian anak dan suami tercinta
Buktikan padanya pilihan jodohmu tepat
Sebelum semua terlewat

Lafazkan rasa cinta...
andainya sudah ditakdir
Tadi subuh yang terakhir


Saya pegang pada ayat ini dan ingin saya simpan kemas di sudut hati:

"Buktikan padanya pilihan jodohmu tepat"

Subhanallah yang mentakdirkan sesuatu dengan begitu indah. Dia memang jodoh saya. Jodoh yang tepat!

Alhamdulillah....


Subuh Yang Terakhir - Rabbani

P/S: Saya suka kata-kata nasyid ini, cuma saya kurang berkenan dengan bunyi-bunyiannya.

16 January, 2009

Terlalu banyak dugaan yang perlu saya tempuh pada awal semester pertama ini. Satu demi satu perkara muncul, tanpa saya duga dan pinta. Bagai nak terputus rasanya dahi ini berkerut dan kadangkala bagai rasa nak tercantum hujung kening saya dengan kening yang satu lagi. Beratnya kepala saya memikirkan itu dan ini.

Allah sahaja yang mengetahui.

TUGASAN KULIAH

Minggu hadapan saya perlu membentangkan dua tugasan dalam kuliah dan kedua-duanya belum lagi saya mulakan. Melainkan untuk tugasan Kajian Hadith Musykil. Setakat ini saya dan rakan kerja saya sudah mengadakan dua kali pertemuan dan perbincangan. Alhamdulillah, kerja-kerja menaip akan bermula walaupun masih ada lagi perkara yang samar-samar dan belum terungkai. Mmmm..dah nama subjeknya pun Kajian Hadith Musykil, tentu saja banyak kemusykilannya yang perlu dirungkaikan :D Manakala tugasan untuk kitab Tafsir al-Nasafi pula, saya masih belum mulakan walaupun dengan melakar rangka kerjanya. Masih kosong! Saya mohon bantuan dari Allah agar mempermudahkan keduanya untuk saya selesaikan sebelum tiba pada tarikhnya. Rabbii Yassir...

KURSUS BAHASA MELAYU

Petang tadi pula, saya hampir-hampir rasa hendak pitam akibat kursus Bahasa Melayu saya yang terlalu banyak kerenahnya untuk dikecualikan. Saya tidak mahu berputus asa memohon pengecualian dari menduduki kelas tersebut. Ini kerana masa saya amat berharga untuk disumbangkan pada perkara lain daripada memasuki kursus Bahasa Melayu yang saya ketahui lebih kepada mengajar pelajar-pelajar Indonesia bagaimana untuk berbahasa Melayu dengan baik dan betul. Malangnya kerana saya berdaftar sebagai pelajar antarabangsa untuk mengecualikan saya dari kelas itu, memakan proses yang pelbagai walaupun pada hakikatnya saya merupakan graduan Universiti Kebangsaan Malaysia bahkan mampu untuk menulis dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan baik.

Seperkara yang membuatkan proses pengecualian saya tergendala adalah kerana di dalam sistem telah mendaftarkan saya ke dalam kursus bahasa Melayu yang wajib diikuti oleh pelajar-pelajar berbangsa Arab yang tidak tahu langsung untuk berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Melayu. Maknanya sistem tersilap mendaftarkan saya dan perkara ini tidak dapat diubah dan ianya menjadi tanda-tanya bukan sahaja bagi pihak saya malah pihak Pusat Pengurusan Siswazah (PPS) sendiri. Saya amat terperanjat bila diberitahu akan hal tersebut oleh pengedali kursus bahasa Melayu di Pusat Pengajian Umum (PPU)pagi tadi. Dia malah berkata kepada saya dengan nada bergurau:

"Takkan lah Sakinah nak masuk kelas bahasa Melayu ni. Malu lah Sakinah. Campur dengan pak Arab pak Arab ni. Silap-silap jadi translator untuk pak Arab. Tidur ajelah nanti bila Sakinah masuk kelas saya. Nak belajar mengeja lagi ...hahahah. Tergelak nanti Sakinah dengar pak Arab sebut perkataan Melayu. Tak patut mereka buat kamu macam ni...kesian betul"

Saya tersenyum. Tidak tahu apa yang hendak dikata. Lidah kelu seribu bahasa.

MASIH TERGENDALA

Pada jam 3 petang tadi, Saya berlari ke Pusat Pengurusan Siswazah (PPS) selepas perbincangan Kajian Hadith Musykil untuk menyelesaikan masalah visa saya. Sekali lagi saya hampa, apabila pegawai yang menguruskan visa untuk pelajar-pelajar Master dan PHD memberitahu saya, visa masih belum dapat dibuat dan sedang dalam proses. Sedangkan itu adalah kali kedua saya ke sana atas arahan pihak pengurusan visa itu sendiri.

Memang saya tidak mampu ucapkan sebarang kata bila pegawai itu mengatakan:

"Nanti datang lagi, hari ni cancelled!"

Saya hanya mampu mengangkat kening terkejut. Ini kerana setelah saya berjalan kaki dari Fakulti Pengajian Islam menuju ke Pusat Pengurusan Siswazah yang terletak jauh di atas bukit itu dan setelah saya beratur panjang bersama-sama pak Arab-Pak Arab yang pelbagai kerenahnya itu lalu apabila saya tiba di hadapan meja kaunter, dia berkata begitu kepada saya! Ya Allah, indahkan hati saya dengan kesabaran, Ya Allah.



MUHASABAH DIRI ITU TERAMAT INDAH

Akhirnya setelah pulang ke bilik dan mengimbas kembali setiap perkara yang berlaku siang tadi, saya teringat kata-kata yang saya ucapkan kepada seorang adik melalui sms dua hari lalu yang lebih kurang begini bunyinya:

"Nak buat mcam mana? Kalau kita dah kata kita nak belajar dan nak berdakwah dengan ilmu yang kita sedang belajar ini, kita perlu tempuhi segalanya. Ni baru sikit je Allah nak uji....."

"Kita perlu banyak istighfar dan bersyukur. Tajdid niat kita dan muhasabah diri. Baru kita mampu tersenyum sepanjang hari walaupun sebenarnya ada tangisan di dalam hati"

:) :) :)

Ya Allah, indahkan hatiku dengan kesabaran....

11 January, 2009

Bismillah.

Saya tidak sepatutnya berada di ruangan siber pada pagi ini, oppss nampaknya kali ini, saya sudah 'mengkhianati' jadual harian saya :)

Saya seharusnya membaca dan menganalisa KITAB TA'WIL MUKHTALIF AL-HADITH OLEH IBN QUTAIBAH waktu ini. Sudahlah semalam saya tertidur 'berpelukan' dengan buku itu, mmm pagi ini, saya masih lagi liat hendak membacanya. Aduiii...



Saya melihat kalendar dan jadual saya. Ya Allah, penuh! Semuanya terisi dengan kuliah, diskusi, membaca dan menghafal kitab, menaip assignment dan bermacam-macam lagi. Belum termasuk 'kerja part-time' saya lagi tu (jika permohonan saya diterima). Itupun, saya masih lagi suka untuk menjenguk-jenguk blog, facebook dan email saya. Bukannya saya tak tahu yang saya mudah 'tersesat' bila dah pegang tetikus (mouse) heheh :D

Sebenarnya saya tidak apa yang ingin diceritakan pun, cuma ada satu perkara menarik yang saya ingin kongsikan dengan semua pada hari ini. Rich Devos dalam bukunya Ten Powerful Phrases for Positive People (hlm 48-49)mengatakan bahawa:


"You will never discover how far you can go if you don't start 'doing it'. Otherwise you limit your whole life and will always have regrets, thinking, I wish I'd tried that. When you develop that 'can do' attitude, it all happens, and the Lord then supplies you and begins to give you answers. You weight obstacles honestly, but you consider them as just something to overcome instead of a reason to do nothing.

Even if you do it and fail, you have the strenght and the courage to know how far you did get so that you're going to try again, or do it differently next time, or take on a new job with greater confidence, think about what you could do and just take a whack at it. Think big!

Too many people never try to do anything because they're afraid -afraid of failure, that someone might critisize them or laugh at them, that they don't have enough training or expertise. To them I say, "Set a goal and go fot it. YOU CAN DO IT!"


YES!!! I CAN DO IT!!! :D

Apapun perkara yang sedang dan ingin anda lakukan, lakukanlah dengan penuh keyakinan kerana anda mampu untuk melakukannya. Tidak ada gunanya hanya duduk termenung dan merungut. Mulakan kerja itu dan baru anda akan tahu apakah hasilnya.

Baiklah, saya juga nak mulakan tugasan-tugasan saya. Moga hasilnya cemerlang dengan izin Allah s.w.t.

Saya akhiri penulisan ini dengan sebuah senyuman agar anda juga tersenyum dan bersemangat untuk memulakan dan meneruskan perjuangan anda.

Wassalam.

07 January, 2009

"Aku sendiri sedang berjuang
Antara cita-cita dan perasaan
Antara harapan dan impian
Menahan sakit rindu yang mendatang
Mengumpul sabar yang sering berkurang
Mengharap redha pada sebuah perpisahan dan perjuangan"


Taman di persekitaran Leeds Castle, Kent, England


(Petikan kata-kata itu tadi adalah sebuah luahan rasa yang telah dicoretkan ketika di tahun satu pengajian prasiswazah bertarikh 14.10.2005 di KUO-314,UKM)

05 January, 2009

Bismillah

SEKEPING HATIKU HANYA SEKEPING HATI
IANYA TETAP RAPUH WALAU KEKUATAN YANG KUHIASI
HAKIKATNYA AKU TETAP HAMBA
HAMBA YANG MEMERLUKAN YANG ESA
TEMPAT MELUAH RASA
TEMPAT MENGHARAP KASIH DAN SIMPATI
KERANA
SEKEPING HATIKU HANYA SEKEPING HATI


Alhamdulillah, petang tadi saya baru sahaja selesai menduduki peperikssan Bahasa Arab untuk pelajar Sarjana. Keputusannya belum diketahui lagi. Saya tidak berani untuk mengatakan apa-apa. Saya serahkan segalanya kepada Allah s.w.t.

Kini, satu lagi peperiksaan menanti saya. Peperiksaan Bahasa Inggeris untuk pelajar antarabangsa (English Proficiency And Placement Test). Ya Allah, secara jujur saya belum mempunyai semangat untuk menduduki apa-apa peperiksaan. Malah kuliah saya yang pertama tadi pun, saya hadiri dengan kosong tanpa sebarang persediaan dan akhirnya saya terkapai-kapai dan kebingungan! hmmm...Saya belum bersedia rupanya.

Perasaan Yang Tersimpan

Keadaan saya menjadi semakin kacau apabila saya diterjah dengan perasaan yang saya tahu apa itu tetapi mustahil untuk saya nyatakan di sini. Akhirnya tangisan jua yang mampu saya lepaskan untuk meluahkan segala apa yang terbungkam di lubuk jiwa. Saya tidak mampu Ya Allah...memang saya tidak mampu untuk menghadapi situasi dan perasaan itu. Saya menangis sendirian. Hatta saya sendiri merasa sedih melihat keadaan saya.

Sampai bila, Ya Allah?

Sungguh hambaMu yang lemah ini menanti segalanya berakhir. Dan hambaMu sedar bahawa penantian itu adalah satu penyeksaan dan untuk menggali hikmah dari setiap takdirMu juga adalah sesuatu yang memeritkan.

Kurniakan pada ku kekuatan untuk menyimpan rasa ini, walau andai Kau takdirkan ianya akan tersimpan seumur hidupku. Sungguh aku tidak mampu menghadapinya tanpa bantuanMu, Ya Rabbii.

Ya Hayyu ya Qayyum birahmatika astaghiithu...
Ya Hayyu ya Qayyum birahmatika astaghiithu...
Ya Hayyu ya Qayyum birahmatika astaghiithu...

(Wahai yang Maha hidup, wahai yang Maha berdiri, aku memohon pertolongan dengan rahmatMu - H.R al-Tirmizi dalam kitab Sunannya. Dihukum Hasan oleh al-Albani dalam kitabnya Sahih al-Tirmizi (No 3524)

Merindui Rakan Seperjuangan

Saya tahu adik-adik saya yang sedang melanjutkan diploma pendidikan mereka di UKM ingin sekali bertemu dengan saya. Begitulah jua keadaannya dengan saya. Saya rindu sekali pada mereka. Syuhada, Basirah dan Suzana.

Malah saya juga rindu pada Linda yang kini berada di UPSI. Kelmarin dia sempat me'miss call' saya, meng'sms' dan mengkhabarkan keadaannya di sana.

Begitu juga pada adik-adik saya yang lain, Wahyuni, Azizah, Faridah, Isma, Aisyah, Salmi dan mereka yang tidak disebut namanya di sini. Saya doakan yang terbaik untuk mereka.

PERJUANGAN ITU INDAH BILA ADANYA UKHWAH
UKHWAH YANG IKHLAS AKAN MENGUNDANG RINDU DI JIWA
RINDU YANG TIADA TEPIAN
RINDU YANG TIADA GANTIAN



Nostalgia - Soutul Amal

03 January, 2009

Artikel ini dihasilkan ketika sedang menjalani Latihan Amali dan Industri (LAI,) UKM 2007/2008 di Masjid Darul Ghufran Singapura.

Muazzin Muda