14 December, 2008

Sudah terlalu lama saya tidak mendapat helaian surat. Terlalu lama. Sehinggakan saya sendiri tidak dapat mengingati bilakah kali terakhir saya menerima sepucuk surat. Selalunya apa-apa perkara peribadi atau apa-apa sahaja perkara yang ingin diucapkan kepada saya, emel dan sms dijadikan sebagai penghubung bicara. Tetapi pada Hari Raya Aidiladha yang lalu, saya dikejutkan dengan sepucuk surat yang serahkan oleh empunya diri secara terus kepada saya tanpa orang tengah. Dan pemberi surat itu menamakan suratnya dengan ‘Surat Cinta’.

Saya tersenyum.

Walau kata-kata yang dicoret tidaklah seindah bahasa bagai di surat cinta malah jauh sekali dari madah dan puisi yang berbunga-bunga, saya tetap tidak jemu-jemu membacanya. Setiap apa yang diluah dan diperkatakan mudah untuk saya rungkaikan apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Air mata saya mengalir.

Suratnya ringkas sahaja. Yang nyata, isi surat itu banyak memuji dan mengkagumi saya. Saya yang seorang insan biasa! (tetapi saya tahu mempunyai pengaruh yang luar biasa)



Dan dia ingin menjadi seperti saya. Subhanallah!

Sungguh, Itu bukanlah kali pertama dan saya sendiri tidak tahu itu adalah kali ke berapa saya menerima kata-kata sedemikian. Cuma entah mengapa, saya terasa menjadi semakin kecil dan kerdil setiap kali ‘dihadiahkan’ dengan semua itu. Lebih-lebih lagi apabila dia menyatakan di dalam surat itu:

“Saya juga selalu anggap ustazah sebagai role model saya bukan sahaja dari segi pelajaran tetapi juga sebagai seorang muslimah”

Sebenarnya dua bulan yang lalu saya juga menerima kata-kata yang hampir serupa melalui emel ringkas daripada seorang adik yang berasal dari Kelantan. Katanya:

“Dah lama minda saya ni tidak diisi dengan makanan rohani dari akak. Dah nak berkarat pun. Dulu tiap-tiap malam dapat usik akak, dapat dengar bebelan akak, dapat dengar nasihat dari akak, akak temankan saya. Yang paling tak dapat saya lupakan sekali, masa kat taman tenaga tu, saya betul-betul terhutang budi ngan akak, akak banyak luangkan masa dengar luahan saya, banyak bagi nasihat kat saya sampai saya rasa akak macam kakak saya sendiri. Tq (Thank You) banyak ek akak. Jangan lupakan saya tau, doakan saya sekali dapat jaga perisai diri ni dan jadi hamba yang taat, anak yang solehah dan berjaya dalam hidup. akak tahu tak, akak la idola saya.”

Saya hanya mampu mengucapkan kata-kata:

“Haza min fadli rabbi…haza min fadli rabbi (Ini adalah kelebihan dariapda Tuhanku)” berulang-ulang kali.

Kerana saya sedar dan faham bahawa untuk ‘memegang’ hati seorang insan bukanlah satu pekerjaan yang mudah. Berjaya ‘memegang’ hati orang lain bermakna kita berjaya membawa dia untuk bersama-sama kita. Walau tidak bersama-sama secara sentiasa (selalu bersama di mana sahaja kita berada) tetapi ingatan tetap bersama dan apa yang kita lakukan pasti akan menjadi ikutan dan teladan. Dan semua itu adalah dengan izin dan bantuan Allah s.w.t jua.

Seperti yang saya nyatakan pada penutup usrah ahlulquranPTS 2008 pagi tadi:

“Ketika saya sendirian (hidup dalam satu suasana yang tiada bi’ah hasanah) tanpa sayap kanan dan kiri (tanpa rakan-rakan yang mampu mengingatkan saya ketika leka dengan dunia)perlukah saya mengikut orang lain (mereka yang tidak kisah dengan dakwah dan tidak hiraukan tentang amr ma’ruf nahy munkar)? Lalu saya katakan pada diri bahawa saya tidak perlu mengikut insan lain tetapi saya perlu menggunakan pengaruh ‘luar biasa’ yang saya ada untuk membawa insan lain bersama saya”.

Penutup Usrah ahlulquranPTS 2008


Alhamdulillah, saya berjaya. Berjaya melepasi ‘fatrah sendirian’ agar saya tidak sendirian lagi untuk menempuh jalan mujahadah. Dan seperti yang pernah saya nyatakan dalam penulisan saya bertarikh 19 Julai 2008, saya ingin menjadi insan yang sentiasa membuat orang lain terkesan walaupun hanya dengan sekali pertemuan dengan saya. Ya Allah, berilah saya kekuatan untuk itu hingga ke hembusan nafas saya yang terakhir….

Kepada pengutus ‘Surat Cinta’, saya hadiahkan dengan ucapan jutaan terima kasih. Sungguh, ianya amat bermakna untuk saya. Untuk lebih bermotivasi dalam melaksanakan amar ma’ruf nahy munkar.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Setiap kebaikan itu adalah sadaqah” (Hadith riwayat Muslim)

0 Comments:

Post a Comment