31 December, 2008

Bismillah

Alhamdulillah, sudah sehari saya bergelar Pelajar Siswazah (Master) Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada minggu pertama ini, saya agak sibuk walaupun kuliah belum lagi bermula. Ini kerana saya perlu membuat persediaan untuk menghadapi ujian demi ujian yang telah dijadualkan untuk pelajar siswazah dan untuk diri saya pula ada ujian lain yang perlu diduduki kerana berdaftar sebagai pelajar antarabangsa.



Dengan itu, saya ingin menyusun sepuluh jari kepada mereka yang menghantar emel kepada saya atas kelewatan memberikan respon atau jawapan. Terima kasih kerana sudi menghantar pandangan, persoalan dan permintaan untuk mendapatkan nasihat. Emel-emelnya sudah saya baca, cuma saya masih belum berpeluang untuk menjawab emel-emel tersebut. Insya Allah, apabila semua urusan saya selesai, saya akan cuba membantu anda yang memerlukan pandangan, jawapan dan bimbingan.

Doakan agar segala urusan saya dipermudahkan.

Sekian.

Salam mesra dari saya yang kini berada di Kolej Ungku Omar, Blk 8W, Universiti Kebangsaan Malaysia.

26 December, 2008

Saya menarik nafas. Terasa berat. Mungkin saya terlalu penat berkemas atau mungkin saya terlalu banyak berfikir. Esok saya akan berangkat pulang ke bumi UKM. Kali ini saya pergi, entah bila pula saya akan kembali. Mungkin pertengahan tahun hadapan. Saya pun tak pasti. Yang pastinya, bila peperiksaan berakhir untuk semester ini, barulah saya akan pulang ke kota Singa.

Ketika mengemas buku-buku untuk di bawa pulang ke UKM, saya membuka satu demi satu buku yang saya pegang. Membeleknya dan adakalanya saya memeluknya. Lalu saya katakan pada diri: "Aku mesti kuat!"

Ya, kuat untuk menempuhi segalanya. Kuat untuk Kembali ke dunia belajar, kembali bertarung dengan perpisahan dan kembali hidup sendirian tanpa ada siapa yang layak untuk memanjakan saya. Mmmm...saya tahu saya sudah semakin 'naik lemak', bila hidup dengan adanya mak, abah dan suami di sisi. Kadangkala terasa saya tidak berdikari bila sahaja berada di Singapura. Ada sahaja yang sudi membantu dan menjadi penyokong. Lebih-lebih lagi emak dan suami saya.

Ada hiba sudah menyelinap ke seluruh jiwa dan raga saya sejak seminggu yang lalu. Dan hiba itu membuatkan saya lemah.

"Jangan Sakinah..jangan begini. Perjuangan perlu diteruskan!"



Saya terus mengemas buku-buku saya. Satu demi satu saya tarik dari rak-rak buku dan meletakkannya di atas katil. Saya terpandang kitab 'al-Imam al-Tirmidhi wa al-Muwazanah Baina Jaami'ihi wa Baina al-Sahihain'. Terus sahaja saya teringatkan ustaz Asmadi. Setiap apa yang diajarkannya kepada saya dan setiap apa yang diucapkannya di dewan kuliah dan kelas tutorial seolah-olah 'berdengung-dengung' di telinga saya. Saya ingat kembali semuanya. Hadith sahih, hadith dhaif, hadith dhaif yang naik martabatnya, hadith dhaif yang mutlak, metodologi imam al-Tirmidhi, sahih al-Bukhari, sahih Muslim dan macam-macam lagi yang dibincangkannya.

Tiba-tiba saya rasa seolah-olah ustaz berada di hadapan saya dan mengingatkan semua itu kepada saya satu per satu lalu berkata: "Sakinah, jangan lupa semua itu!" Hah! Saya pening seketika.

Lalu dia berkata lagi kepada saya: "Bila kita dah jadi ustaz dan ustazah tak de siapa yang berani tegur kita walaupun kita salah. Baca kitab Sahih Riyadhus Salihin..baca sakinah. Baca!" Saya tersentak! Itu adalah nasihat ustaz yang tidak pernah putus-putus pada pelajarnya. Saya jadi gundah-gulana.

"Mantapkan lagi bahasa Arab dan i'adah al-Qurannya, Sakinah", dia mengingatkan saya lagi. Sekali lagi saya tersentak! Saya sebenarnya ingin mengatakan sesuatu padanya, "Ustaz...." tapi, Ya Allah,rupa-rupanya dia tiada di hadapan saya. Hanya perasaan saya. Hmmmm...

Saya terus menyambung kembali tugas memilih buku-buku yang ingin saya bawa. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Dan selepas ini saya akan menutup komputer, mencabut wayar-wayarnya lalu menyimpannya ke dalam kotak. Untuk membawanya belayar bersama saya menempuh satu lagi perjuangan.

"Ya Allah...
Beban yang kugalas amat
berat untuk ku bawa
Berikan kekuatan untuk ku
Biar perjuangan ilmu
kutempuh dengan redhaMu
Agar beban ini mengajar aku erti keikhlasan
dalam mengejar ilmu Mu
Jangan Kau jadikan kesibukan ini
penyebab aku jauh dari Mu
Jangan Kau jadikan airmata ini
Penyebab aku berputus asa
dari terus mencapai rahmat Mu
Thabbit Quluubana ‘Ala Diinik!!
Menuntut ilmu kerana Mu
Agar beban ini terasa ringan
Agar hati ini terasa dibelai kasih Mu
Rabbi Yassir walaa Tua’ssir Ya karim"


Doakan untuk saya.

Insya Allah, kita bertemu di lain penulisan yang tentunya dicoret dari bumi UKM.

Wassalam

14 December, 2008

Sudah terlalu lama saya tidak mendapat helaian surat. Terlalu lama. Sehinggakan saya sendiri tidak dapat mengingati bilakah kali terakhir saya menerima sepucuk surat. Selalunya apa-apa perkara peribadi atau apa-apa sahaja perkara yang ingin diucapkan kepada saya, emel dan sms dijadikan sebagai penghubung bicara. Tetapi pada Hari Raya Aidiladha yang lalu, saya dikejutkan dengan sepucuk surat yang serahkan oleh empunya diri secara terus kepada saya tanpa orang tengah. Dan pemberi surat itu menamakan suratnya dengan ‘Surat Cinta’.

Saya tersenyum.

Walau kata-kata yang dicoret tidaklah seindah bahasa bagai di surat cinta malah jauh sekali dari madah dan puisi yang berbunga-bunga, saya tetap tidak jemu-jemu membacanya. Setiap apa yang diluah dan diperkatakan mudah untuk saya rungkaikan apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Air mata saya mengalir.

Suratnya ringkas sahaja. Yang nyata, isi surat itu banyak memuji dan mengkagumi saya. Saya yang seorang insan biasa! (tetapi saya tahu mempunyai pengaruh yang luar biasa)



Dan dia ingin menjadi seperti saya. Subhanallah!

Sungguh, Itu bukanlah kali pertama dan saya sendiri tidak tahu itu adalah kali ke berapa saya menerima kata-kata sedemikian. Cuma entah mengapa, saya terasa menjadi semakin kecil dan kerdil setiap kali ‘dihadiahkan’ dengan semua itu. Lebih-lebih lagi apabila dia menyatakan di dalam surat itu:

“Saya juga selalu anggap ustazah sebagai role model saya bukan sahaja dari segi pelajaran tetapi juga sebagai seorang muslimah”

Sebenarnya dua bulan yang lalu saya juga menerima kata-kata yang hampir serupa melalui emel ringkas daripada seorang adik yang berasal dari Kelantan. Katanya:

“Dah lama minda saya ni tidak diisi dengan makanan rohani dari akak. Dah nak berkarat pun. Dulu tiap-tiap malam dapat usik akak, dapat dengar bebelan akak, dapat dengar nasihat dari akak, akak temankan saya. Yang paling tak dapat saya lupakan sekali, masa kat taman tenaga tu, saya betul-betul terhutang budi ngan akak, akak banyak luangkan masa dengar luahan saya, banyak bagi nasihat kat saya sampai saya rasa akak macam kakak saya sendiri. Tq (Thank You) banyak ek akak. Jangan lupakan saya tau, doakan saya sekali dapat jaga perisai diri ni dan jadi hamba yang taat, anak yang solehah dan berjaya dalam hidup. akak tahu tak, akak la idola saya.”

Saya hanya mampu mengucapkan kata-kata:

“Haza min fadli rabbi…haza min fadli rabbi (Ini adalah kelebihan dariapda Tuhanku)” berulang-ulang kali.

Kerana saya sedar dan faham bahawa untuk ‘memegang’ hati seorang insan bukanlah satu pekerjaan yang mudah. Berjaya ‘memegang’ hati orang lain bermakna kita berjaya membawa dia untuk bersama-sama kita. Walau tidak bersama-sama secara sentiasa (selalu bersama di mana sahaja kita berada) tetapi ingatan tetap bersama dan apa yang kita lakukan pasti akan menjadi ikutan dan teladan. Dan semua itu adalah dengan izin dan bantuan Allah s.w.t jua.

Seperti yang saya nyatakan pada penutup usrah ahlulquranPTS 2008 pagi tadi:

“Ketika saya sendirian (hidup dalam satu suasana yang tiada bi’ah hasanah) tanpa sayap kanan dan kiri (tanpa rakan-rakan yang mampu mengingatkan saya ketika leka dengan dunia)perlukah saya mengikut orang lain (mereka yang tidak kisah dengan dakwah dan tidak hiraukan tentang amr ma’ruf nahy munkar)? Lalu saya katakan pada diri bahawa saya tidak perlu mengikut insan lain tetapi saya perlu menggunakan pengaruh ‘luar biasa’ yang saya ada untuk membawa insan lain bersama saya”.

Penutup Usrah ahlulquranPTS 2008


Alhamdulillah, saya berjaya. Berjaya melepasi ‘fatrah sendirian’ agar saya tidak sendirian lagi untuk menempuh jalan mujahadah. Dan seperti yang pernah saya nyatakan dalam penulisan saya bertarikh 19 Julai 2008, saya ingin menjadi insan yang sentiasa membuat orang lain terkesan walaupun hanya dengan sekali pertemuan dengan saya. Ya Allah, berilah saya kekuatan untuk itu hingga ke hembusan nafas saya yang terakhir….

Kepada pengutus ‘Surat Cinta’, saya hadiahkan dengan ucapan jutaan terima kasih. Sungguh, ianya amat bermakna untuk saya. Untuk lebih bermotivasi dalam melaksanakan amar ma’ruf nahy munkar.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Setiap kebaikan itu adalah sadaqah” (Hadith riwayat Muslim)

11 December, 2008








Untuk melihat kemeriahan suasana Aidiladha di MDG, sila ke laman multiply zahrataani's.

Pada petang itu, hujan renyai-renyai turun membasahi bumi. Saya berjalan keluar dari pejabat masjid menuju ke pintu pagar yang mengarah ke swimming pool. Kelihatan di jalan menuju ke swimming pool itu, seorang perempuan sedang duduk bersila di atas sekeping kotak bersama dua orang anak perempuannya. Manakala kedua-dua anaknya sedang berbaring di paha kanan dan kirinya. Ketiga-tiga mereka bertudung dan tudung itu juga menutup sebahagian muka mereka yang hanya menampakkan mata mereka sahaja.(Saya faham mengapa mereka berpakaian sedemikian. Mereka tidak mahu identiti mereka dikenali)

Apabila wanita itu melihat saya dari jauh dia sudah menganggukkan kepalanya kepada saya. Dan saya dengan senyum ramah terus mengucapkan salam kepadanya. Salam saya dijawab mesra. Lalu saya pun bertanya:

"Cik...cik buat apa kat sini, Cik?"

"Biasalah, dik. Cik minta sedekah" Dua orang anaknya lalu bangun dari perbaringan dan duduk bersila di kanan dan kiri emak mereka.

Saya menghadiahkan senyuman saya kepada kedua orang anaknya yang comel. Dan saya menjalankan 'tugas' saya bertanya itu dan ini tentang hidupnya. Setiap jawapan yang diberikan oleh makcik itu, saya memberi respon dengan anggukan prihatin.

"Makcik orang susah,dik. Suami makcik gaji kecil.Gaji dia bikin bayar rumah. Cik tak tahu nak minta tolong siapa. Ni jelah makcik boleh buat. Minta sedekah. Kalau pinjam orang kena bayar balik. Nanti nak bayar dengan apa pulak,kan?"

"Dah lama, Cik duk sini. Anak-anak makcik semua minta sedekah. Selalunya hari Jumaat lah. Ramai orang kutuk-kutuk, Cik. Diorang kata cik didik anak cik salah. Tapi terus-terang lah dik, Cik cakap. Mana ada ibu nak ajar anak-anak minta sedekah. Tidak ada cara lain, ni lah cara anak-anak Cik dapat makan dan hantar pergi klinik. Anak-anak Cik semua ada penyakit. Kalau tak de duit macam mana nak pergi doktor,kan?"

Dia terus bercerita dan saya duduk dihadapannya sebagai pendengar setia.

"Cik, tak minta bantuan di mana-mana?" tanya saya.

"Ada cik minta. tapi mereka dah stop kan. Sebab diorang nak hantar Cik pergi course. Cik tak nak. Manalah cik boleh pergi course,dik. Anak-anak Cik ni macam mana,kan?"

Macam-macam lagi yang diceritakan oleh makcik itu kepada saya. Dia menceritakan kepada saya tentang peminta-peminta sedekah yang lain, reaksi masyarakat sekeliling kepadanya dan anak-anaknya,perasaannya dan begitu juga dengan kehidupannya sehari-hari. Saya mendengar dan cuba memahaminya. Dan di akhir pertemuan itu, saya ada berkata begini kepadanya:

"Cik, kalau Cik nak bantuan,Insya Allah saya boleh cuba usahakan untuk makcik", ucap saya bersungguh-sungguh.

"Eh, dik. Tak payah...tak payah!" Dia terus menolak dengan cepat. "Nanti adik kena marah. Tak pelah, dik. Cik dah boleh duduk kat masjid ni minta sedekah pun dah bagus. Pegawai masjid kat sini semua baik-baik, diorang tak pernah halau, Cik"

Saya senyum. Dan saya 'mengerti' mengapa dia menolak. Bukan kerana dia malu tetapi 'sengaja' dia tidak mahu. Bukan juga kerana dia tidak mahu menyusahkan tetapi 'sengaja' dia tidak mahu adanya perubahan. Saya sudah mengerti. Ini kerana saya telah banyak belajar. Belajar daripada orang-orang seperti ini walau pada waktu itu saya baru sahaja seminggu bekerja sebagai pegawai dakwah dan kebajikan.



Hingga ke hari ini saya masih ingat pertemuan saya dengan makcik dan dua orang anak perempuannya yang masih kecil itu. Dua anak yang masih belum mengerti jerih dan perih sebuah kehidupan. Lalu perlukah saya menyokong makcik ini dalam usahanya mencari sesuap rezeki dengan menadah tangan kepada orang lain? Sedangkan saya tahu bahawa dalam sebuah hadith yang telah disahihkan oleh al-Albani ada menyatakan yang mana maksudnya : "Tangan yang di atas itu lebih baik dari tangan yang di bawah"? Lalu adakah ianya menjadi satu kesalahan juga jika ada orang lain mencerca beliau kerana mendidik anak-anak dengan meminta sedekah?

Sekali pun saya tidak mahu menyokong cara makcik peminta sedekah itu. Dengan rasa ihsan dan belas, tentu sahaja ramai orang termasuk saya ingin membantu, tetapi kita hanya mampu membantu untuk memperbaiki kehidupan makcik itu bukan dengan memberikan wang sepanjang hayatnya. Segalanya terpulang pada dirinya sendiri.

Sebab itu saya pernah mengatakan pada penulisan saya yang bertajuk: Segalanya bermula pada diri KITA, hanya kita sahaja yang mampu untuk mengubah diri kita dan hidup kita. Bukan orang lain. Insan lain hanya mampu memainkan peranan mereka untuk membantu agar kita menjadi manusia yang lebih baik. Selebihnya adalah terpulang pada diri kita. Sejauhmana kita diasak dan sekuat manapun kita digasak agar berubah tetapi jika kita tidak mahu, tidak ada gunanya. Semuanya bakal menjadi bagai air dicurah ke daun keladi.

Makcik itu boleh berubah jika dia ingin mempertingkatkan kemahiran dirinya, mencari pekerjaan sepenuh masa dan mencuba usaha lain daripada meminta sedekah. Masjid ingin membantu dan banyak juga badan-badan kebajikan lain boleh membantu tetapi dengan syarat dia mahu mengubah cara hidupnya dan mempertingkatkan kemahiran dirinya. Bantuan yang diberi adalah untuk membantu dia berubah ke arah kebaikan bukan untuk dirinya bersenang-lenang dengan hanya menerima tetapi tidak mahu berusaha untuk memberi pula.

Dengan itu, saya ingin mengajak anda merenung, mengaplikasikan kisah dan mengambil moral daripada apa yang saya nyatakan di atas.

"Bersyukurlah kerana hidup kita tidak hingga ke tahap menjadi peminta sedekah. Jika kita susah ada lagi orang lain yang lebih susah. Dan apa yang kita ada bukan milik kita ianya hanya pinjaman cuma yang perlu untuk kita kongsi dengan orang lain.

Jangan sekali kita menghina orang di bawah kita (mereka yang lemah, mereka yang kurang bijak, mereka yang sentiasa memerlukan bantuan kita)tetapi kita perlu membantu mereka untuk memperbaiki diri. Berilah bantuan dengan penuh ihsan dan kasih sayang bukan bantuan yang mengharapkan balasan dan penghormatan. Sentiasalah menjadi insan yang prihatin terhadap yang lain bukan menjadi insan yang hanya memikirkan diri sendiri.

Dan jika kita sedar bahawa kita perlukan bantuan dan apabila kita diberi bantuan, jangan pula kita menjadi manusia yang tidak sedar diuntung. Jadikanlah bantuan itu sebagai pembakar semangat untuk memperbaiki hidup kita. Sebenarnya apabila kita dibantu, kita telah diberi peluang oleh orang lain agar kita belajar, iaitu belajar untuk menjadi manusia yang lebih cemerlang di kemudian hari.

Tetapi segalanya terpulang pada diri kita, sejauhmana kita ingin mengambil semua itu sebagai peluang untuk kita merubah hidup yang sememangnya saya akur ianya bukan mudah"

02 December, 2008

Bismillah

Bulan Disember sudah menjengah. Dan saya faham apa maknanya. Saya akan kembali ke dunia belajar saya tidak lama lagi.Tentu sahaja dunia belajar saya pada kali ini tidak akan sama dengan yang lalu. Tempatnya sama dan jabatan pengajiannya juga sama tetapi tidak bererti segalanya akan sama.

Sepanjang 6 bulan berada di kota Singa, masa lapang itu tidaklah saya habisi begitu sahaja. Banyak yang saya pelajari dan lakukan walaupun ada beberapa perkara masih lagi terbengkalai di tangan saya. Ya, 6 bulan terlalu cepat berlalu. Dan kini saya hanya punya masa 19 hari sahaja sebelum berhijrah ke istana ilmu.

Sepanjang dua minggu yang lalu hinggalah ke hari ini saya diulit dengan kesibukan yang amat sangat. Atas sebab itu, blog ini tidak dihiasi dengan sebarang coretan yang terkini. Ditambah pula dengan keadaan kesihatan yang tidak beberapa baik, lalu saya lebih memilih untuk berehat daripada duduk di hadapan komputer setelah pulang dari kerja.

Saya kira ini sahaja yang dapat saya coretkan untuk semua. Terasa sungguh lemahnya penulisan ini. Doakan untuk kesihatan saya. Insya Allah, saya akan kembali untuk menarikan jari-jemari saya selepas Hari Raya Aidiladha.

Wassalam


"Eii..gembiranya saya waktu tu..heheh. Allahumma Anta al-Shaafi, laa shifa a illaa syifauk syifaan laa yu ghaadiru saqama"- sekadar gambar hiasan :D