13 November, 2008

Bismillah

Malam ini saya seperti tiada daya. Entah mengapa saya terasa amat penat. Mungkin kerana kurang rehat. Tapi saya seperti biasanya dengan sikap 'degil' saya. Tetap berdegil untuk 'setia' duduk di hadapan komputer walaupun sedari jam 9 pagi tadi saya sudah mula menatap skrin komputer di pejabat masjid. Dan malam ini setelah pulang dari pejabat, saya duduk lagi di hadapan komputer. Entahlah...apa nak jadi dengan saya ini =)

Sebenarnya saya mempunyai sesuatu yang ingin dibicarakan. Atas sebab itu, jari-jemari saya ini bagai tidak dapat saya kawal untuk menari di atas papan kekunci.

Sebentar tadi tanpa disengajakan saya telah menonton sebuah rancangan hiburan 'K-Nite' di saluran Suria. Rancangan karaoke secara berkumpulan. Dihoskan oleh dua orang pengacara (tidak perlu saya sebut namanya) yang 'pandai' membuat lawak. Ya, saya akui ianya agak menghiburkan dan adakalanya agak mengkagumkan kerana ada peserta yang mampu mengingati bait-bait lagu yang dipadamkan dari skrin. Mereka ingat nama lagu, mereka ingat nama penyanyi dan mereka juga perlu pantas dalam mengingati semua itu untuk meraih markah dan menjadi pemenang pada malam itu. Hebat!

Fatimah al-Hafizah berumur 6 tahun ini bukan sahaja menghafaz ayat-ayat al-Quran tetapi dia juga menghafaz nombor ayat, nombor surah dan dibahagian mana letaknya ayat al-Quran itu. Subhanallah...


Tiba-tiba terlintas sesuatu di fikiran saya. Andainya al-Quran itu mampu diingat sebaik mengingati bait-bait lagu, mmm... alangkah indahnya. Tapi, kebanyakan masyarakat Islam kita, jangankan al-Quran yang berjuz-juz itu, juz amma (juz 30) yang dipanggil muqaddam itupun, belum tentu diingat sepertimana mengingati lirik lagu. Dan jangan kata hendak mengingati, kadangkala hendak membaca ayat demi ayat pun masih lagi merangkak-rangkak dan kadangkala tidak tahu langsung yang mana satu huruf 'alif' dan yang mana satu huruf pula huruf 'lam'. Sedihnya!



Artis selalunya dipuja hingga dijadikan idola tapi seringkali Nabi dilupa hingga tidak reti untuk melantunkan bait-bait ayat (al-Quran, kalamullah)yang diturunkan Allah kepada baginda. Lagu mesti didengar setiap hari tetapi al-Quran seringkali hanya didengar bila orang dijemput oleh mati ataupun setidak-tidaknya bila merasa ada 'hantu' mengelilingi diri! Itulah hakikatnya.

Astaghfirullah, Muslim kita sudah terlalu jauh...

Maafkan saya andai kata-kata itu semua terlalu 'keras', 'pedih' dan kedengarannya kurang enak. Hendak buat bagaimana. Qulil haqqa walau kaana murran (katakanlah yang benar walaupun ianya pahit). Sebenarnya saya berasa kasihan. Saya kasihan pada anak-anak Islam yang masih kaku dengan al-Quran.

Anak-anak kita sudah terlalu hanyut dengan kehidupan hedonisme. Semua perkara perlu ada keseronokan, baru mereka terasa adanya kehidupan dan adanya pembelajaran. Sedangkan tidak semua perkara perlu begitu. Singkaplah kembali bagaimana usaha dakwah baginda Nabi s.a.w di kota Makkah. Masyarakat jahiliah Makkah adalah masyarakat jahiliah yang amat cintakan hiburan. Tetapi mengapa Nabi s.a.w tidak menggunakan cara hiburan untuk menarik dan mendekatkan mereka kepada Islam? Bukankah lebih mudah jika nabi bernyanyi ketika berdakwah. Tentu ramai masyarakat jahiliyah Makkah yang suka dan turut serta bersama Nabi s.a.w untuk memperjuangkan Islam.

Tetapi apa yang kita lihat pada helaian sejarah perjuangan dakwah Nabi s.a.w? Baginda tidak memilih cara hedonisme itu. Malah Nabi s.a.aw lebih memilih berjuang bermati-matian untuk menegakkan syariat Allah. Itu jelas menunjukkan bahawa hedonisme itu adalah sesuatu yang amat merbahaya dan perlu dijauhi sedari awal lagi. Ini kerana yang kita mahu hidupkan di dalam hati Muslim itu adalah iman bukan hiburan.



Ya Allah....sebaknya dada saya memikirkan semua ini dan saya perlu akui ianya tidak mudah. Harapan saya, moga coretan ini dan video-video yang saya sertakan bersama mampu menjadi renungan buat kita bersama bukan sahaja pada malam ini tetapi untuk esok dan selamanya.

Sekian dari saya untuk kali ini. Doakan agar saya berpeluang untuk lebih berbicara di lain waktu dan ketika di ruangan ini. Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment