13 November, 2008

Bismillah

Malam ini saya seperti tiada daya. Entah mengapa saya terasa amat penat. Mungkin kerana kurang rehat. Tapi saya seperti biasanya dengan sikap 'degil' saya. Tetap berdegil untuk 'setia' duduk di hadapan komputer walaupun sedari jam 9 pagi tadi saya sudah mula menatap skrin komputer di pejabat masjid. Dan malam ini setelah pulang dari pejabat, saya duduk lagi di hadapan komputer. Entahlah...apa nak jadi dengan saya ini =)

Sebenarnya saya mempunyai sesuatu yang ingin dibicarakan. Atas sebab itu, jari-jemari saya ini bagai tidak dapat saya kawal untuk menari di atas papan kekunci.

Sebentar tadi tanpa disengajakan saya telah menonton sebuah rancangan hiburan 'K-Nite' di saluran Suria. Rancangan karaoke secara berkumpulan. Dihoskan oleh dua orang pengacara (tidak perlu saya sebut namanya) yang 'pandai' membuat lawak. Ya, saya akui ianya agak menghiburkan dan adakalanya agak mengkagumkan kerana ada peserta yang mampu mengingati bait-bait lagu yang dipadamkan dari skrin. Mereka ingat nama lagu, mereka ingat nama penyanyi dan mereka juga perlu pantas dalam mengingati semua itu untuk meraih markah dan menjadi pemenang pada malam itu. Hebat!

Fatimah al-Hafizah berumur 6 tahun ini bukan sahaja menghafaz ayat-ayat al-Quran tetapi dia juga menghafaz nombor ayat, nombor surah dan dibahagian mana letaknya ayat al-Quran itu. Subhanallah...


Tiba-tiba terlintas sesuatu di fikiran saya. Andainya al-Quran itu mampu diingat sebaik mengingati bait-bait lagu, mmm... alangkah indahnya. Tapi, kebanyakan masyarakat Islam kita, jangankan al-Quran yang berjuz-juz itu, juz amma (juz 30) yang dipanggil muqaddam itupun, belum tentu diingat sepertimana mengingati lirik lagu. Dan jangan kata hendak mengingati, kadangkala hendak membaca ayat demi ayat pun masih lagi merangkak-rangkak dan kadangkala tidak tahu langsung yang mana satu huruf 'alif' dan yang mana satu huruf pula huruf 'lam'. Sedihnya!



Artis selalunya dipuja hingga dijadikan idola tapi seringkali Nabi dilupa hingga tidak reti untuk melantunkan bait-bait ayat (al-Quran, kalamullah)yang diturunkan Allah kepada baginda. Lagu mesti didengar setiap hari tetapi al-Quran seringkali hanya didengar bila orang dijemput oleh mati ataupun setidak-tidaknya bila merasa ada 'hantu' mengelilingi diri! Itulah hakikatnya.

Astaghfirullah, Muslim kita sudah terlalu jauh...

Maafkan saya andai kata-kata itu semua terlalu 'keras', 'pedih' dan kedengarannya kurang enak. Hendak buat bagaimana. Qulil haqqa walau kaana murran (katakanlah yang benar walaupun ianya pahit). Sebenarnya saya berasa kasihan. Saya kasihan pada anak-anak Islam yang masih kaku dengan al-Quran.

Anak-anak kita sudah terlalu hanyut dengan kehidupan hedonisme. Semua perkara perlu ada keseronokan, baru mereka terasa adanya kehidupan dan adanya pembelajaran. Sedangkan tidak semua perkara perlu begitu. Singkaplah kembali bagaimana usaha dakwah baginda Nabi s.a.w di kota Makkah. Masyarakat jahiliah Makkah adalah masyarakat jahiliah yang amat cintakan hiburan. Tetapi mengapa Nabi s.a.w tidak menggunakan cara hiburan untuk menarik dan mendekatkan mereka kepada Islam? Bukankah lebih mudah jika nabi bernyanyi ketika berdakwah. Tentu ramai masyarakat jahiliyah Makkah yang suka dan turut serta bersama Nabi s.a.w untuk memperjuangkan Islam.

Tetapi apa yang kita lihat pada helaian sejarah perjuangan dakwah Nabi s.a.w? Baginda tidak memilih cara hedonisme itu. Malah Nabi s.a.aw lebih memilih berjuang bermati-matian untuk menegakkan syariat Allah. Itu jelas menunjukkan bahawa hedonisme itu adalah sesuatu yang amat merbahaya dan perlu dijauhi sedari awal lagi. Ini kerana yang kita mahu hidupkan di dalam hati Muslim itu adalah iman bukan hiburan.



Ya Allah....sebaknya dada saya memikirkan semua ini dan saya perlu akui ianya tidak mudah. Harapan saya, moga coretan ini dan video-video yang saya sertakan bersama mampu menjadi renungan buat kita bersama bukan sahaja pada malam ini tetapi untuk esok dan selamanya.

Sekian dari saya untuk kali ini. Doakan agar saya berpeluang untuk lebih berbicara di lain waktu dan ketika di ruangan ini. Wassalam.

07 November, 2008

“Yazid, how come ah..just now I balik, rumah bau wangi?”, tanya makcik suami saya kepadanya. Ketika itu saya baru sahaja keluar dari kamar mandi.

“Awak ada bakar apa-apa,tak? Bau bakar macam ‘agapati’"(tak tahulah betul atau tak ejaannya tu), tanya makcik kepada saya pula. Saya terkejut.

“Agapati? Apa tu?”, tanya saya kembali kepadanya. “Tak..saya tak de bakar apa-apa pun”,jawab saya jujur. Tanya punya tanya, saya masih tidak mendapat jawapan dari makcik apakah 'agapati' yang dimaksudkannya itu. Tetapi saya hanya dapat meneka mungkin ‘agapati’ itu adalah sejenis bahan bakar seperti kemenyan (tetapi digunakan oleh orang India).

“I smell something nice when I enter the rumah. Tak de bakar apa-apa eh? Ooo..Then I thought she is the one...because she’s ‘syurga’”, kata makcik suami saya dengan penuh keyakinan dan bersungguh-sungguh sambil menunjuk ke arah saya.

Saya ingin mengerutkan dahi saya pada waktu itu tetapi saya sedaya upaya menahan supaya tidak membuat sebarang ekspresi di muka saya. Dia kata saya ‘syurga’!

Ya Allah…layakkah saya untuk masuk ke syurga? Untuk mengatakan: "Nantikan daku di pintu syurga" pun, saya tidak berani. Inikan pula hendak masuk ke dalamnya. Allahu a’lam. Saya sendiri tidak mampu berkata sedemikian tapi makcik saya yang seorang ini…aduhh…susah saya nak kata apa pun. Apa-apa kenyataan yang keluar dari bibirnya hanya dapat saya balas dengan senyuman sederhana.

She is ‘syurga’?!

Acapkali dia mengucapkan kata-kata itu kepada suami saya. Reaksi saya?

Saya aminkan sahajalah. Mudah-mudahan =)

Pertama kali dia berkata begitu adalah pada hari kedua kami di rumahnya di Worple Rd, Staines, London. Ketika itu kami sedang bersarapan pagi. Sedang asyik berbual-bual, tiba-tiba dia berkata begini kepada suami saya:

“So..Yazid, a man who married her is lucky. Because she will go to syurga and then her husband will follow her. Lucky you get her”, katanya dengan yakin sambil memandang ke wajah saya. Roti prata yang sedang saya kunyah tidak jadi untuk saya telan. Tiba-tiba saya jadi hilang selera dan hilang kata-kata.

“Tak jugak lah, bergantung pada our amalan. Not everybody can follow”, suami saya ‘cuba’ menyangkal pendapatnya dengan berhati-hati.

“You can follow her!”, katanya lagi. Dan perkara itu diperbualkan dan dikuti dengan beberapa dialognya yang lain sehingga suami saya tidak kuasa jadinya. Lalu hendak tak hendak, terpaksa beliau mengiayakannya.

Mmm…saya tidak mengetahui semacam apakah pemikiran itu. Ada juga beberapa perkara yang mempunyai persamaan dengan pemikiran makciknya telah saya katakan pada suami saya. Dan suami saya juga menyetujui pendapat saya. Tetapi maaf, saya tidak dapat menyatakannya di sini.

Nantikan Hamba di Pintu Syurga

Segalanya mengingatkan saya pada pengajian di Madrasah Alsagoff al-Arabiah peringkat thanawi (menengah). Ustaz Yaakob di dalam kelas hadithnya selalu mengatakan kepada kami bahawa ‘tiket’ untuk ke syurga itu TERLALU MAHAL. Tak mampu kita beli dengan apa jua pun. Lalu saya pula berani mengatakan bahawa dengan amal kita sekalipun belum tentu menjadi JAMINAN MUTLAK bahawa syurga itu adalah milik kita.

Dan jalan menuju ke syurga itu sendiri sepertimana yang dinyatakan oleh Yazid Abd Qadir Jawas di dalam bukunya ‘Doa dan Hiburan bagi orang sakit dan terkena musibah menurut al-Quran dan al-Sunnah yang sahih’ bahawa syurga tidak bisa (tidak boleh) diperoleh melainkan dengan sesuatu yang tidak disukai jiwa manusia (Pustaka Imam As-Syafie, Bogor, 2005, hlm 12-13). Perkara ini juga bersesuaian dengan sebuah hadith Rasulullah s.a.w yang sahih:

«حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ. وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ»


Maksudnya: “Syurga itu dikelilingi dengan hal-hal yang tidak disukai dan neraka itu dikelilingi dengan berbagai macam syahwat” (HR Muslim, No 7079)

Jelas, perkara-perkara yang berunsur kebaikan selalunya payah untuk dilakukan tetapi kalau perkara-perkara kejahatan selalunya mudah sahaja untuk dilaksanakan =)

Begitulah jua dengan syurga. Syurga itu adalah sesuatu yang berkaitan dengan amal soleh dan kebaikan malah TERLALU BAIK. Dengan itu, untuk masuk ke dalam syurga bahkan untuk melalui jalan ke arahnya sahaja terlalu banyak perkara sukar dan tidak kita sukai perlu ditempuh oleh seseorang hamba Allah itu.

Kalau kita mempersoalkan kenapa dan mengapa? Senang sahaja. Jawapannya: Jika kita ingin mencapai sesuatu, tentu sekali tidak ada yang mudah-mudahnya dan tentu banyak yang sakit-sakitnya. Ada jatuh dan bangunnya. Ada musibahnya dan ada jerih perihnya. Setelah segalanya ditempuhi dengan susah payah, barulah kita kecapi apa yang kita inginkan malah kadangkala kita tidak memperolehinya langsung.

Jadi begitulah jalan menuju ke syurga bahkan ianya lebih sukar lagi kerana syurga itu terlalu tinggi nilainya yang tidak dapat dibandingkan dengan apa jua sekalipun. Bak kata ustaz Yaakob ‘TIKET UNTUK KE SYURGA ITU TERLALU MAHAL.”

Jadi, she is ‘syurga’?

Satu kenyataan yang amat memeranjatkan saya sebenarnya.

Apapun, saya serahkan segalanya kepada Allah S.W.T. Moga kata-kata itu menjadi motivasi untuk saya menjadi hamba Allah S.W.T yang tidak jemu untuk memperbaiki diri dan amal ibadah dengan berpaksikan pada lafaz: “Inna solaatii wanusukii wamahyaaya wamamaati lilllahi rabbil a’lamin”(al-Quran, al-An’am:162).

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan semesta alam.



Leeds Castle yang terletak di Kent, England umpama 'syurga dunia' bagi saya. Keindahannya telah membuatkan saya jatuh hati. Subhanallah =)

03 November, 2008

Salam kepada semua.

Alhamdulillah saya kembali semula menghirup udara di kota Singa. Kembali dengan cuaca yang mana sejak saya dilahirkan begitulah ia. Tidak seperti cuaca ketika mana pertama kali kaki ini menjejak di lapangan terbang London, Heathrow. Asap yang keluar dari hidung dan mulut apabila bernafas, batuk, ketawa dan berbual lantaran cuacanya yang terlalu sejuk membuatkan saya agak terperanjat =)

London Eye


Hingga sekarang saya masih dapat merasakan gigilan badan saya ketika menunggu bas di perhentian bas Staines. Alangkah sejuknya cuaca di sana. Cuaca pada waktu itu sudah mencecah 6°-0°. Tidak tahan saya dibuatnya. Saya rasa jika bas terlalu lambat pasti saya pengsan kerana terlalu kesejukan dan baju tebal yang saya kenakan masih belum dapat membendung rasa sejuk itu.

Maha suci Allah yang mentakdirkan segala sesuatu dengan penuh keindahan. Kota London dan persekitarannya agak bergegar pada pagi Rabu 29 Oktober 2008 kerana turunnya salji. Tetapi saljinya tidaklah setebal mana di London berbanding dengan tempat-tempat yang lain. Apabila matahari naik sedikit salji-salji itu cair menjadi air.

Salji di atas rumput


Sebenarnya banyak lagi perkara yang ingin saya kongsikan mengenai kota London, makanannya, kehidupannya dan terutamanya mengenai kehidupan masyarakat Muslimnya kerana ada beberapa perkara tentang mereka (masyarakat Muslim) yang amat menyentuh perasaan saya.

Sharmeen dan Fahima, pelajar yang baru sahaja selesai kelas agama (madrasah) di East London Mosque


Ada beberapa gambar yang sempat saya 'upload'kan dan masih lagi dalam proses meng'upload'. Sila ke laman multiply saya untuk melihat gambar-gambar tersebut.

Insya Allah, kita bertemu di lain ketika untuk lebih berbicara tentang Kota London dan juga keindahan Leeds Castle dan persekitarannya di Kent, England.

Sekian, salam ukhwah dari saya untuk semua.