24 October, 2008



RockYou FXText

23 October, 2008

Kunjungan saudara saya semasa awal bulan Syawal kelmarin, mmebuatkan saya mengerutkan dahi saya dan bertanya-tanya. Tetapi saya hanya menyedapkan hati saya dengan berkata di dalam hati:

“Mmmm…mungkin kau tak tahu. Kan selama ni belajar kat UKM”

Lalu setelah beberapa jam saudara saya itu pulang dari rumah, saya pun mengajukan persoalan ini pada mak saya:

“Mak, *** tu dah kahwin ke?”

“Tunang dia lah”, jawab mak saya dengan pantas.

“Tunang? Abih dah jalan raya sama-sama dengan family?”

“Biarlah… kan tunang dia”

“Tunang pun..mana boleh jalan sama-sama. Tak manis lah” (sebenarnya saya nak kata, “Tak boleh lah”, tapi saya masih lagi beralas-alas dalam berbicara)

“Alaaahhh..kalau kau sume tak boleh!”

Aik…mak saya marah saya pula. Saya menggelengkan kepala lalu malas nak menyambung bicara. Perkara itu telah mengingatkan saya kepada persoalan yang pernah dilontarkan kepada saya beberapa tahun yang lalu (waktu itu juga adalah Hari Raya Aidilfitri):

“Kinah tak jalan raya dengan boyfriend ke?”, tanya kakak ipar saya ketika saya sedang sibuk membasuh pinggan mangkuk di dapur. Saya tersenyum lalu menjawab:

“Tak lah…mana boleh keluar-keluar. Belum jadi suami”

“Oh…”, wajah kaki par saya yang putih itu terus bertukar merah dan ada riak-riak terkejut di wajah itu. Barangkali dia malu sendiri dengan soalan yang diajukannya kepada saya dan terkejutnya dia kerana saya tidak keluar berjalan raya dengan bakal suami saya.

“Abih…selama nie tak pernah keluar jalan sama-sama eh?”, tanyanya lagi kerana masih tidak percaya. Saya ketawa lalu menjawab:

“Tak lah..tak pernah keluar pun”

Pada situasi yang lain (pada tahun yang sama) ketika rumah saya dikunjugni oleh makcik dan pakcik saya dan pada waktu itu mak saya memberitahu salah seorang makcik saya bahawa saya bakal mendirikan rumahtangga, makcik saya itu terus bertanya:

“Abih tak jalan-jalan dengan abang, ke?”, tanyanya selamba kepada saya. Saya hanya tersenyum. Pada kali ini mak saya yang jawabkan:

“Dia mana nak…belum kahwin. Dosa!” Saya terkejut.Wahh..jawapan mak saya betul-betul straight to the point, tidak ada belok-belok. DOSA!

Tetapi apa yang lebih memeranjatkan saya adalah respon dari makcik saya itu:

“Alaa…Na! Belum kahwin nie,nak buat dosa, buatlah banyak-banyak. Nanti dah kahwin barulah tutup buku, taubat banyak-banyak. hahahhahh”, jawabnya dan diikuti dengan tawanya yang berdekah-dekah.

Hah! Terperanjatnya saya dengan ucapannya itu. Tanpa ada rasa segan apatahlagi bersalah, dia mengucapkannya kepada saya yang sememangnya dia ketahui bahawa saya adalah seorang asatizah di Darul Quran Masjid Kampung Siglap yang setiap harinya kerja saya adalah mengajar al-Quran dan menyemak hafazan para pelajar saya. Tidak keluar berjalan dengan bakal suami saya dianggap sebagai satu bahan lucu yang harus ditertawakan!

Astaghfirullah…saya tidak terucap sepatah dua kata pun. Hanya bibir saya sahaja yang mampu mengukir senyuman yang cuba saya manis-maniskan. Tetapi hati saya sebenarnya ada kepahitan. Pahit itu bersarang di jiwa saya adalah kerana muslim sekarang seolah-olah tidak dapat membezakan apakah itu halal dan apakah itu haram. Adakah halal dan haram hanya setakat pada makanan dan minuman yang masuk ke dalam perut?!

Sebenarnya inilah antara fenomena Hari Raya Aidilfitri yang ingin saya kongsikan dengan anda. Bertandang ke sana ke mari berduaan dengan tunang tersayang dan kadangkala berjalan bersama keluarga tapi merpati dua sejoli ini berkepit sahaja. Satu fenomena biasa tetapi sebenarnya adalah luar biasa yang ada apa-apanya. Dan apabila yang ada apa-apa itu dianggap sebagai tiada apa-apa, jiwa saya tercalar-balar jadinya. Bukankah dosa dan pahala itu adalah perkara yang banyak apa-apanya tetapi ramai di antara kita yang melihatnya sebagai tiada apa-apa. Kosong….melakukannya (iaitu perkara haram dan dosa) dengan tiada rasa bersalah malah tiada rasa malu dan berdosa! Kurang-kurang pun orang akan kata: “Kubur masing-masing..tak yah sibuklah nak jaga dosa pahala orang lain!”

Oh..begitu ke? Kubur masing-masing ya? Tapi musibah dan ujian Allah s.w.t timpakan kepada hambaNya di muka bumi ini bukan untuk orang yang berbuat dosa sahaja. Allah s.w.t telah menjelaskan di dalam firmannya yang bermaksud:

Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. dan Ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya. (al-Quran, al-Anfal:25)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa seksa Allah tidak sahaja dikhususkan untuk orang yang berbuat zalim. Lalu apakah tugas kita sebagai orang yang tidak mahu dikategorikan sebagai mereka yang berbuat zalim (melakukan dosa), jawapannya ialah ajaklah insan lain melakukan kebaikan dan cegahlah orang lain untuk melakukan kemungkaran (amar ma’ruf dan nahy munkar).



Justeru atas dasar amr ma’ruf dan nahy mungkar itu, perlu untuk saya nyatakan bahawa ikatan pertunangan bukanlah tiket untuk dua insan lelaki dan perempuan (bukan mahram) berjalan berdua-duaan, bergambar bersama dan melakukan perkara-perkara lain secara bersama. Hanya ikatan pernikahan sahaja yang menghalalkan perkara itu. Tidak ada yang lain. Jika perlu melakukan tugas secara bersama pun ianya bersyarat dengan ditemani mahram yang thiqah tanpa ada sebarang persentuhan.

Di dalam perkara ini suka untuk saya memetik beberapa perkara yang dibataskan semasa pertunangan yang telah dinyatakan oleh ustaz Zaharudin di laman webnya. Menurutnya, pasangan yang telah bertunang hendaklah:

1) Tidak bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Beliau menyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu’ dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.

2) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat), bagaimanapun, beliau tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi pada pandangan beliau, secara ‘verbal’ lebih mudah.

3) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu ( semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-
a. Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
b. Haram ber”dating” tanpa disertai mahram yang thiqah.
c. Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat (sms, phone, chat, mesengger )
d. Awas fitnah masyarakat sekeliling.
e. Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
f. Haram melihat kepada aurat masing-masing.
g. Awas daripada bertukar gambar.

Tetapi kini, semua perkara yang dinyatakan di atas sudah berleluasa. Tidak melakukannya adalah sesuatu kejanggalan yang kadangkalanya menjadi bahan gurauan dan tawaan orang lain. Pernah di dalam satu kelas madrasah mingguan (pelajar di dalam kelas tersebut adalah pelajar belasan tahun dan ada juga yang umurnya sudah menjangkau ke angka 20an tahun) saya menyatakan kepada para pelajar bahawa saya dan suami saya tidak pernah keluar berdua sebelum bernikah dan hendak tahu apa yang dikatakan oleh seorang pelajar lelaki yang duduk di barisan hadapan kepada saya?. Katanya:

“Alamak ustazah..kalau nak bohong pun janganlah bohong dengan kita orang. Ustazah ingat kita nie budak-budak ke?”

Mmmmm….saya menggelengkan kepala. Inilah akibatnya bila perkara yang ada apa-apa dianggap sebagai tiada apa-apa. MALAH PELAJAR MERASAKAN BAHAWA SAYA TIDAK JUJUR KETIKA MENYAMPAIKAN PELAJARAN KEPADA MEREKA. Berat sungguh!.

Saya mengerti, hendak berpegang teguh dengan hukum yang Allah s.wt tetapkan tidaklah mudah. Kata orang, kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Tapi saya tidak mahu menjadi orang yang takut dilambung ombak. Biarlah ombak besar mana pun yang melanda, saya akan harungi juga. Atas sebab itu, sejak dahulu lagi saya sudah bersiap sedia ketika membina rumah di tepi pantai. Dan saya yakin rumah itu akan utuh jika saya sendiri yang tidak merobohkan rumah itu. Segalanya bermula dari kita, iaitu anda dan saya. Jika saya berani untuk memulakannya (mempertahankan apa yang orang lain perlekehkan) lalu anda pula bagaimana?

21 October, 2008




Adik,

Sememangnya untuk meresapkan ketabahan dalam diri

tidaklah semudah kita mengungkapkannya di hujung bibir

Untuk mengabadikan sebuah keteguhan jua,

tidaklah semudah kita melafazkannya dengan suara merintih

Mampukah kita menjadi juara di atas setiap mehnah (ujian) yang Tuhan hadiahkan pada kita?

Mampukah kita menjadi manusia yang masih terus kuat untuk berdiri walau ribut taufan datang dengan tiba-tiba?

Mampu atau tidak…

Semuanya itu terpulang pada diri kita.


Adik,

Kadangkala kita lupa bahawa semakin hari kita semakin dewasa,

Kita lupa bahawa kita perlu mempersiapkan diri untuk menempuh gerbang dewasa

Agar setiap apa yang mendatang kita bersedia untuk menghadapinya

Kerana..

semakin kita dewasa, kita akan dihimpit dengan dugaan dan cubaan

semakin kita dewasa, kita akan didatangi kemanisan dan kepahitan

yang mana semuanya itu cukup luar biasa

cukup menduga kekuatan kita

cukup untuk membuatkan kita berserah diri pada keadaan

maka kita perlu punya hati yang utuh

jiwa yang kukuh

agar kita tidak cepat melatah ketika di cubit bisa penderitaan

Jiwa tidak mudah rentung bila dibakar api kekecewaan

diri tidak jatuh terduduk bila di hempas ombak kegelisahan.



Namun hakikatnya jiwa kita masih rapuh..

Kerana jiwa kita masih muda

Kita mahu yang indah-indah

Kita suka yang mudah-mudah

Kita rasa hidup bila gelak dan tawa berdekah-dekah

Kita tidak mahu yang pahit-pahit

Kita tidak suka yang leceh-leceh

Kita tidak gemar pada yang sakit-sakit


Jelas...

Kita lupa bagaimana perjuangan para sahabat s.a.w ketika mereka muda

ketika jiwa dan hati mereka masih muda SEPERTI KITA

Mereka adalah pemuda pemudi luar biasa

kehidupan mereka banyak yang pahit

banyak yang leceh

banyak yang sakit

semua itu menjadikan mereka manusia luar biasa

MANUSIA YANG BERHATI TEGUH BERJIWA KUKUH

MANUSIA YANG AMAL DAN IBADAHNYA

HIDUP DAN MATINYA

HANYA UNTUK TUHAN YANG ESA.

Lalu tanyakan pada diri kita

Kita bagaimana?

Jika Kita HANYA mahu yang indah-indah

HANYA suka yang mudah-mudah

HANYA rasa hidup bila gelak dan tawa berdekah-dekah

TIDAK MAHU yang pahit-pahit

TIDAK SUKA yang leceh-leceh

TIDAK GEMAR pada yang sakit-sakit

TIDAK MAHU BICARA TENTANG DOSA DAN PAHALA

APATAHLAGI SOAL AMALAN DAN IBADAH KITA

HANYA KERANA KITA MASIH MUDA

HATI DAN JIWA KITA MASIH MUDA


Jelas...

Kita perlukan terapi untuk mengukuhkannya

MENGUKUHKAN JIWA KITA

Agar bila ia berbicara ia menyusun kata dengan iman

Agar bila ia terguris ia mudah diubati jua dengan iman


ketahuilah

Terapi hati kita adalah semangat para Anbiya’

Terapi jiwa kita adalah al-Quran dan al-Sunnah

Semua itu akan menghadiahkanmu TAQWA.


~Bicara Kasih Umairah-Sh~

(Selesai penulisan pada 21 Mac 2007 di K8U 202 Ungku Omar, UKM dan telah diubahsuai pada 21 Oktober 2008 di Hougang, Singapura)

14 October, 2008

Salam ukhwah kepada pengunjung setia blog ini dan juga kepada mereka yang baru sahaja menatap ruangan ini. Agak terlalu lama juga saya menyepi. Sepinya saya bukannya apa. Sepinya saya kerana sibuk dengan berjalan hari raya.Hai..jalan-jalan tidak habis-habis...

Tapi bukan jalan untuk collect duit raya tau! Jalan-jalan ke rumah sanak-saudara dan teman-teman untuk mengeratkan lagi silaturrahim =)

Untuk pengetahuan anda, sepanjang berapa minggu Syawal menjengah, saya telah melihat dan melalui pelbagai perkara yang boleh saya kongsikan bersama anda. Ada yang sedih, ada yang gembira dan ada juga yang mencalar-balarkan hati ini. Tetapi penulisan saya pada kali ini bukanlah untuk menyentuh tentang semua perkara itu. Saya belum lagi ada keinginan untuk berbicara tentangnya. Insya Allah, ada rezeki saya akan menarikan jari-jemari saya untuk anda agar anda dapat melihat dan merasakan apa yang saya lihat dan rasai.

Dan penulisan saya pada kali ini, hanya untuk mengulang kembali apa yang pernah saya kongsikan di blog friendster saya bertarikh 10 March 2007, sebagai wadah untuk kita sama-sama merenung dan mengoreksi diri.

**********************




Kali ini, ana ingin membawa KITA semua berfikir. (Iaitu) berfikir akan fenomena di persekitaran kita. Fenomena manusia yang bergelar muslim, cukupkah kita sekadar hidup di muka bumi ini dengan memegang title muslim sedangkan kita sendiri hanyut dari kehidupan agama Islam? ADAKAH sememangnya kefahaman agama kita KURANG, masih lagi berada di tahap baru nak mengenali agama? Rasanya tidak, kerana kita semua berpendidikan agama. Jangan kita salahkan metodologi pembelajaran, jangan kita salahkan persekitaran dan jangan kita salahkan ibu bapa .

Kita belajar pengajian Islam, kita belajar yang hebat-hebat tentang Islam (jika tidak belajar pengajian Islam pun, kita tahu tentang Islam)…tetapi kita tetap memperlekehkan hukum Allah, seolah-olah kita tidak akan mati, seolah-olah kita tak akan dikumpulkan di padang mahsyar, seolah-olah kita tidak akan dipersoalkan tentang ilmu yang kita pelajari! Maka jelas, ada yang tidak kena dengan kefahaman kita tentang agama Islam.

Kita hidup bertunjangkan nafsu dan berasaskan keinginan. Mungkin kita rela anak-anak kita dan keturunan kita turut sama mewarisi kelalaian kita. Andai kita rela dan redha ia berlaku..mmm…entahlah…memang betul ada yang tak kena dengan diri kita.

MANAKAH LETAKNYA IMAN DAN ISLAM KITA?
Adakah kita masih lagi belum sedar bahawa Allah menciptakan kita di muka bumi ini dengan NIKMAT IMAN DAN ISLAM?
Apa yang ada pada kita ikhwah dan akhawat?
Kebahagiaan? Kebanggaan? Keluarga bahagia? Anak-anak yang comel? Suami yang handsome dan memahami? Ibu bapa yang penyanyang? Rakan-rakan yang prihatin?Wang? Harta? Pangkat? Karier? Wajah yang cantik?

HAKIKATNYA SEMUA ITU BUKAN MILIK KITA….

Tetapi jika kita masih lagi lupa dengan semua itu atau kita masih lagi ingin terus menutup mata kita dari melihat kebenaran, ia adalah amat-amat menyedihkan kerana dalam keadaan kita MASIH LUPA Allah TETAP MEMBERIKAN RAHMATNYA PADA KITA. Allah MASIH tunjukkan kasih sayangNya pada kita. Allah beri apa yang kita inginkan ,walaupun kita sentiasa lupa dan sentiasa mengabaikan perintahNya.

Siapalah KITA?

Suka untuk ana tegaskan di sini bahawa Kita adalah hamba Allah yang perlu sentiasa sujud memohon keampunan, mengharap keredhaan tuhan, mensyukuri nikmat yang tidak terhingga, menunaikan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Akhir sekali, Menilai diri kita di sisi Allah adalah lebih utama dari kita menilai diri kita di sisi MANUSIA. Andai kita takut, dengan menunaikan perintah Allah kita akan disisih masyarakat di sekitar kita, cuba nilai kedudukan kita di sisi Allah s.w.t.

Andai kita mampu untuk melakukan apa sahaja demi orang yang mengambil berat tentang kita, mengasihi kita, mencintai kita tetapi apakah yang telah kita lakukan untuk Allah yang menciptakan kita, yang LEBIH-LEBIH SAYANG PADA KITA dan bukan setakat sayang tapi sentiasa melimpahkan RAHMATNya dan InayahNya pada kita?!!!!

Tiada Siapa yang dapat menjawab persoalan itu melainkan anda yang sedang membaca...dan jangan kita lupa, Islam itu bukan hanya sekadar pada nama kita.