01 September, 2008



Salam Ramadhan kepada semua. Moga Ramadhan kali ini dilalui dengan penuh ibadah dan lebih baik dari sebelumnya. Apabila Ramadhan tiba, saya teringatkan peristiwa Ramadhan tahun lalu. Peristiwa yang membuatkan saya menangis sendirian penuh kehibaan di dalam bilik Kolej Ungku Omar....lalu saya bangkit dan duduk di hadapan komputer menaip luahan rasa...Maka di sini, saya memuatkan kembali penulisan saya yang bertajuk JAM 7 MALAM.Moga apa yang saya luahkan dapat menjadi renungan yang bukan sekadar untuk direnung semata....

**********************************

Kumulakan dengan seindah kalam

بسم الله الرحمن الرحيم

Entah mengapa aku ingin bersendirian pada malam ini. Ajakan seorang adik untuk berterawih secara berjamaah pada malam pertama Ramadhan ini kutolak lembut. Aku berkata dalam hati, aku ingin bersendirian. Setelah selesai solat isyak dan terawihku, setelah selesai tugasan tutorial untuk dibentang esok, akhirnya, jari jemari ini bertemankan hati yang tidak seperti hari-hari biasa, mengajak aku untuk meluahkan bicara yang tersimpan kemas di dalam jiwa.

Aku ingin berbicara….

Walaupun hati dan fikiran ini terlalu runsing dengan memikirkan nota dan buku-buku yang perlu diulangkaji, hati ini tetap berdegil untuk berbicara. Kerana apa yang ada di dalam hati ini adalah suaraku. Apa yang ada pada suaraku selalunya adalah harapanku…harapan yang bukan harapan biasa, tetapi ia tetap harapan yang bagiku cukup istimewa. Mengapa aku katakan ia sebagai harapan? kerana harapan seringkali mempunyai dua kemungkinan. Samada ia boleh menjadi kenyataan ataupun ia boleh menjadi harapan tinggal harapan…

Hatiku menangis…jam 7 malam.

Mengingatkan aku pada fenomena aku masih lagi anak-anak ingusan, anak-anak yang tidak kenal erti apa itu ibadah dan kewajipan, anak-anak yang masih lagi inginkan hiburan sebagai teman. Pada zaman itu, jam 7 malam selalunya tanyangan Doraemon di RTM 1 (Tidak silap aku pada setiap hari sabtu). Rancangan kartun popular kegemaran kanak-kanak…siapa yang tidak kenal pada Doraemon. Walaupun aku turut menonton kartun tersebut,emak selalu mengingatkan : “Maghrib..maghrib!” Abah pula selalu ingatkan: “dah nak maghrib” Aku tidak mnegerti waktu itu, yang aku tahu mak dan abah ingatkan, jangan lupa solat maghrib kerana menonton cerita kartun yang tidak ada faedah itu. Tetapi, semakin aku membesar sebagai anak gadis yang berpendidikan madrasah, aku semakin mengerti. Rupanya arahan itu, adalah arahan agar aku ihtiram pada waktu maghrib, bersedia dengan wudu’ di sejadah, mengaji al-Quran dan bersedia untuk menghadap Tuhan. Itu bukan satu yang ada nasnya, tetapi itu adalah didikan mak dan abah agar kami adik-beradik tahu menghormati waktu maghrib. (Mengapa maghrib itu amat dititik beratkan oleh emak dan abah, aku tidak pasti. Mungkin bagi mereka itu adalah waktu peralihan dari petang ke malam, waktu yang semua perlu duduk dalam rumah bersama keluarga.Atau macam orang tua-tua kata: waktu setan suka berkeliaran)

Tapi …7 malam di sini, membuat hatiku benar-benar terguris…membuat hatiku dihujani gerimis…suara tawa berdekah-dekah kedengaran…suara jeritan bergurau senda menghilangkan keheningan….suara televisyen dari DRAMA terasa seperti berada dihujung telingaku walau aku berada di tingkat dua bangunan!!! Apa yang membuatkan aku lebih…lebih…ingin menangis..malam ini adalah malam 1 Ramadhan bulan penuh keberkatan dan keampunan. Beginikah caranya anak-anak Islam menghormati maghrib…beginikah caranya anak-anak Islam menghayati Ramadhan?

Suasana..jam 7 malam itulah yang mengingatkan aku pada rumah, pada zaman kanak-kanak, pada zaman di sekolah menengah dan pada zaman tarbiyah di Maahad Tahfiz Melaka. Paling berkesan di jiwa ku ialah pentarbiyahan di maahad Tahfiz. Hinggakan ada seorang adik berkata padaku: “Kalau ingat apa-apa, mesti ingat maahad. Tak de tempat lain ke? Sekolah menengah ke?”

Aku ulangi sekali lagi..maahad paling berkesan! Di situ, hati dilentur untuk menjadi manusia yang menangis kerana Tuhan, hati lembut untuk berlumba-lumba melaksanakan kebaikan, ada ta’lim dan tazkirah..ada solat berjamaah. Di situlah, bila hampir masuk maghrib, ramai yang mandi di bilik air, ramai yang bergegas untuk bersiap-siap solat maghrib. Bila maghrib tiba…ada laungan dari akhawat yang sudah bersiap-siap dengan telekong memanggil kami.. “solat jamaah..solat jamaah”, “mana imamah ni?” jika sekiranya aku yang menjadi imam “eh..banat cepatlah…imamah dah tunggu ni!” Kelihatan…ada yang bergegas ke surau..ada yang jerit…”tunggu…nak amik wudhu’” ada pula yang senyum-senyum masih membuat pertimbangan nak jemaah atau tidak.

Aku rindu suasana itu. Rindu pada malam Qiyamullail kami. Rindu untuk mendengar tangisan dan esakan yang menangis kerana berdo’a kepada Allah. Rindu pada do’a-doa akhawat yang mampu memecahkan tembok keegoan kami hingga mengalirkan air mata yang amat deras bagai tiada henti…rindu pada rintihan doa-doa yang mampu menggegarkan jiwa! Doa-doa yang mampu menginsafkan diri betapa kami adalah manusia kerdil yang seringkali tidak mengenang budi! Rindu…

Akhirnya aku mengalirkan air mata jua. Saat aku menaip ini airmataku mengalir…harapanku untuk mengubat rindu ini, entah bila…

Sukar untuk kudapatkan bi’ah itu di sini. Aku tidak mahu memandang yang jauh-jauh…jika sikap sebahagian pelajar pengajian Islam sendiri sudah mampu membuatkan aku bergusar hati dan menangis hiba…apatah lagi yang bukan pelajar pengajian Islam…

Sering aku berkata dalam diri, jika yang berpengajian Islam sendiri tidak mahu mengubah diri yang masih lemah dalam pembacan al-Quran secara bertajwid, bagaimana nak sebarkan Islam…

Atas tujuan apa kita melabelkan diri kita sebagai pelajar PENGAJIAN ISLAM?

Mungkin ramai yang menjawab "sebab saya tidak ada pilihan…".

Jika begitulah…sampai bila-bila pun anak-anak Islam masih hanyut dengan hiburan
Sampai bila-bila pun, anak-anak Islam akan meremehkan agama dan suruhan Tuhan

Kerana kita salah satu di antaranya..

Kerana kita yang mengetahui hukum..turut sama memegang bendera cinta pada mungkar…jauh pada ma’ruf…

Kita tidak suka pada amalan-amalan sunat, kita jauhkan hati untuk mendengar tazkirah dan menempatkan diri dalam majlis ilmu, kita malas nak rebut pahala…
Kita lebih suka yang relax-relax, yang happy-happy….

Benarlah…kita berada di akhir zaman….zaman penuh fitnah….zaman penuh kemungkaran…

Ya Allah..kuatkanlah aku...

(Luahan rasa di 1 Ramadhan 1428H Kolej Ungku Omar,UKM) (2007)

0 Comments:

Post a Comment