29 September, 2008



Sila layari laman web ini untuk mengetahui apakah ia Amalan Sunnah Sempena Aidilfitri

25 September, 2008



Pertama kali saya mengenali adik ini dan kemudiannya menghulurkan tangan untuk berpisah (pada pertemuan pertama itu), saya sudah mengatakan dalam hati: "Kita akan bertemu lagi untuk berbicara dengan penuh makna".

Ya...kami bertemu lagi walau tidak terlalu kerap (dan selalunya pertemuan kami adalah pertemuan yang tidak disengajakan. Kadangkala kami bertemu ketika saya sedang menyiapkan tesis di perpustakaan, ketika saya sedang berjalan pulang dari fakulti ke kolej, ketika menghadiri kelas memandu, di kafe Kolej Ungku Omar atau di masjid UKM). Ada beberapa kali saya mengunjungi beliau di biliknya dan dia juga ada ke bilik saya.

Apa yang mampu saya katakan dia adalah seorang adik yang masih muda tetapi mempunyai semangat juang yang begitu tinggi untuk membawa insan lain ke arah kebaikan. Walaupun beliau merupakan pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan tetapi semangatnya untuk memperjuangkan dakwah dan mentarbiyah lebih tinggi dari pelajar Fakulti Pengajian Islam. Itu yang saya lihat ada pada dirinya.

Dan hari ini, saya membaca semula warkah kirimannya kepada saya melalui emel. Saya dapat rasakan semangat dan harapannya juga luahan hatinya terhadap kehidupan kampus dan juga kehidupan mahasiswa.

Benar...tidak mudah untuk bertahan, andai diri tidak kuat untuk menepis setiap cubaan dan dugaan.

*******************************

From: zunnur_alhaj@yahoo.com
To: alqamariah@yahoo.com


Assalamualaikum w.b.t

Menemui kak sakinah yang disayangi, Insya Allah kerana Allah…

Alhamdulillah akhirnya ana mampu melakarkan bingkisan ini. Maafkan ana kerana terlalu lama untuk menulis di sini. Ana bukanlah orang yang terlalu sibuk tapi banyak hal yang membuatkan ana tidak sempat untuk berbicara di sini.

Macam mana pun ana, Insya Allah segalanya adalah yang terbaik utk diri ini. Biarlah waktu ini banyak yang ana terpaksa korbankan, asalkan ana mampu berdiri bersama di jambatan menuju kemenangan Islam yang telah Allah janjikan…

Kak sakinah,

Ana seronok dapat bertemu akak, walaupun cuma seketika. Lebih indah bila dapat berbicara dengan orang yang sefikrah-yang semangat untuk bawa Islam. Dari penulisan akak, ana belajar memahami hikmah dari setiap apa yang berlaku dalam kehidupan kita. Bait-bait ayat itu menghembus kekuatan buat mereka yang benar-benar memahami hakikat sebuah perjuangan.

Di sini, segalanya cukup mencabar. Bukan sekadar untuk mempertahankan akademik, tapi hibanya rasa hati ini bila iman kita yang sedikit ini dikalahkan oleh tuntutan dunia serta keinginan nafsu. Sedihnya hati ini bila melihat umat menjadikan dunia cita-cita besar mereka, hingga terhijab kebenaran yang sepatutnya menjadi impian setiap manusia, yakni dengan menjadikan redha Allah dan syurga-Nya sebagai dambaan utama.

“Dan orang yang beriman dan mengerjakan amal kebajikan, kelak Kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan janji Allah itu benar. Siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?” (Al-Quran, al-Nisa':122)

Ana bukanlah orang yang selayaknya untuk berbicara di sini. Ana sedar sekali kelemahan diri, sempitnya tsaqofah Islam bahkan bukanlah yang pakar dalam ilmu wahyu tapi bila mana Allah telah memilih kita di jalan tarbiah ini, itulah tugas yg harus kita galas..

Sebelum melangkah ke perbukitan ilmu ini (UKM), ana orang yang banyak sangat lost.. ana belum memahami hakikat Islam dan hidup ini dengan sebenarnya. (Ana adalah) orang yang melalui krisis identiti, terkapai-terkapai mencari destinasi. Ana berada dalam situasi yang agak menghimpit diri. Bila terpaksa hidup bersendirian ana mencari –cari pegangan yang dapat menguatkan diri hinggakan sampai satu ketika ana berkenalan dengan ayat-ayat Allah..

“Adapun orang-orang beriman sangat besar cintanya kepada Allah” (al-Quran, al-Baqarah:165)

cukup tersentuh hati ini menghayatinya...
Barulah ana memahami ayat-ayat di dalam mushaf itu untuk ana, (ia adalah) untuk ana faham dan beramal dengannya. Hati ini jadi terlalu rindu untuk membaca al-Quran, mentelaah buku-buku agama, menghadiri ta'lim, dan terus berkomitmen dengan Islam. Barulah ana merasakan nikmat dan rahmatnya kita diberi petunjuk sebagai Muslim(iaitu) jaminan kehidupan untuk menggapai kemenangan di akhirat.

Tarbiah ini mengajar diri untuk memahami dan mengambil Islam itu dengan komprehensif. Hari demi hari, ana semakin memahami erti kesempurnaan akidah, ibadah dan akhlak. Ana kenal sirah dan perjuangan Rasulullah s.a.w.

Ana sedar yang seharusnya hidup kita berlandaskan sirah (sunnah), bagaimana umat Islam hari ini sangat jauh dari fitrah yang sebenar, jauh dari tuntutan-tuntutan al Quran itu sendiri. Ana melihat sendiri fenomena-fenomena mahasiswa kita, sedih sekali bila intelektualisme yang seharusnya menjadi dasar dalam membentuk jati diri dikotorkan hanya oleh kejahilan terhadap agama.

Akak tentunya lebih memahaminya segalanya tentang hidup ini, perjuangan ini bukan sekadar bicara di bibir. Beratnya tanggungjawab untuk merealisasikannya

" Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?(2) Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan (3) Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh(4)" (al-Quran,As-saff: 2-4)

Dan di sini ana semakin memahami erti dakwah itu sendiri. Menelusuri sirah Rasulullah s.a.w merupakan kenangan terindah yang membuatkan hati jadi terlalu rindu untuk hidup seperti itu (iaitu) untuk melihat umat kita tenang dalam naungan Islam.

“Andai diumpamakan Islam itu seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh. Maka aku berjalan ke seluruh pelusuk dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tak ingin mengutip dengan ramainya bilangan mereka. Tapi aku inginkan HATI yang IKHLAS untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah” –Assyahid Hassan al-Banna.

Moga kita mampu menjadi jiwa-jiwa itu, insan-insan gharib di akhir zaman dan moga Allah s.w.t terus menguatkan kita di jalan ini. Jalan yang kita lalui ini bukanlah satu jalan untuk di lalui oleh orang yang main-main, bukan juga jalan yang ditaburi dengan kesenangan hidup. Moga terus istiqamah di sini..

Kak sakinah,

Insya Allah moga bertemu di helaian lain, Moga akak terus tsabat (kuat) di sana. Teruskan perjuanganmu... biarkan ruh penulisan itu mengalir ke dalam jiwa-jiwa yang dahagakan tarbiah..

Moga ukhuwah ini mampu menguatkan lagi dakwah ini walau di mana medan kita. Insya Allah, jalan kita hanya pada yang satu... kembali pada Allah

Ana rindukan insan-insan seperti akak dalam hidup ini…

Wassalam…

6 September (2008) - Masjid UKM.

Berikut adalah warkah pertama yang pernah dikirimkannya kepada saya: Salam Ukhwah Dari Saadiah

17 September, 2008

~~~Jemputan Iftar~~~



Bila dan di mana?

19 september 2008 @ Masjid Kampung Siglap
Jam:5.30pm

Siapa??

Asatizah PTS/
Ex-pelajar-pelajar PTS & pelajar-pelajar PTS/
Ex-pelajar-pelajar ma'ahad Tahfiz & pelajar-pelajar ma'had Tahfiz/
& AhlulQuranPTS seluruhnya.


Program??

Tadarrus
Muhasabah Ramadhan
Tazkirah Ramadhan
Ta'aruf
Iftar
Solat Maghrib Berjamaah
Berjalan di sekitar bangunan DQ
Solat Isyak Berjamaah
Solat Terawih
Bersurai

sila jejak kawan-kawan antunna yg sedang bercuti!!!

Semoga pertemuan ini memberi seribu satu makna kepada kita semua..

10 September, 2008



PERTEMUAN PERTAMA

“Doakan makcik,ye ustazah. Doakan,ye?”, tangan saya digenggamnya erat. Wajah sayunya merenung saya dengan penuh harapan. Saya menghadiahkannya dengan senyuman dan menganggukkan kepala saya.

Kemudian dia berlalu pergi ke saf pertama dewan solat wanita lalu mengangkat takbir untuk bersolat sunat. Saya sebenarnya masih kehairanan. Mengapa begitu sekali?. Mmmm…mungkin kami baru sahaja selesai bertadarus bersama dan mungkin ada perkara yang telah menerjah ke fikirannya.

PERTEMUAN KELIMA

Bacaan al-Qurannya merangkak-rangkak. Kadangkala dia sendiri tidak begitu pasti dengan bacaannya walaupun sebenarnya apa yang dibacanya adalah betul. Tetapi saya selalu mengatakan:

“Tak pe,cik. Teruskan…..”

Apa yang saya kagumi adalah semangatnya untuk terus bersama-sama dengan yang lain mengalunkan ayat-ayat al-Quran walaupun dia mengetahui bacaanya tidak berapa lancar. Ditolak tepi perasaan malu dan diletakkan di hadapannya keinginan untuk terus mengaji al-Quran dan merebut pahala. Subhanallah!

Semasa saya sedang sibuk mengagihkan bubur Ramadhan di dewan solat wanita selepas solat asar. Dia datang menghampiri saya. Saya seperti biasa menghadiahkannya dengan senyuman saya.

“Nak bubur,cik? Cik nak berapa?”, tanya saya kepadanya.

“Eh,cik tak nak bubur. Cik nak salam ustazah. Cik nak balik ni. Nanti amik bubur tak de orang nak makan kat rumah”, jelasnya. Salaman tangannya masih kuat menggenggam erat jari-jemari saya, lalu dia berkata:

“Ustazah, betul tadi ustazah cakap. Kita kena bersyukur Allah beri kelapangan pada kita datang masjid, mengaji al-Quran. Ni cik dah tua-tua macam ni, baru ada kesempatan. Alhamdulillah”, selepas tadarus saya ada memberikan sedikit tazkirah berdasarkan beberapa ayat al-Quran yang kami baca sebelum itu.

Saya senyum dan mengangguk-anggukkan kepala saya.

“ Saya nak ada anak soleh yang boleh mendoakan saya. Tapi sorang pun anak-anak saya tak ada yang menjadi. Anak cik sorang baru balik azhar (universiti al-Azhar,Mesir) tapi balik dia tak minat nak mengajar. Dia masuk bidang lain, kerja kat bank pulak. Dia jelah yang cik harap, tapi jadi macam ni pulak. Cik Kecewa sangat”, luahnya tanpa saya minta.

“Cik, jangan cakap kecewa,cik. Doalah lah banyak-banyak”, saya cuba menenangkan perasaan seorang tua yang terlalu kecewa.

“Cik bukan apa. Cik sedih. Dia lah sorang yang cik harapkan. Cik nak anak cik jadi ustazah, mengajar. Jadi macam ustazah ni. Boleh doakan cik. Ni balik-balik cik jugak yang membebel kat dia. Sedih hati,cik”

“Insya Allah, cik. Tentu anak cik doakan untuk cik juga. Mungkin cik tak tahu.”, saya menyedapkan hatinya.

“Doakanlah untuk anak cik, ustazah. Doakan dia dapat suami baik yang ingat akhirat. Dia susah lah, pakai pun nak fesyen-fesyen. Cik sayang, ilmu dia belajar kat azhar tak ke mana. Sayang ilmu dia, belajar jauh-jauh tapi tak sebarkan kat orang. Doakan untuk cik, ye?” genggaman salamnya yang masih kemas semakin kuat saya rasakan.

“Insya Allah, cik. Cik doalah banyak-banyak. Doa seorang ibu itu makbul,cik.”, pesan saya padanya.

KECEWA

“Cik Kecewa sangat”

Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga saya. Wajahnya yang sayu juga masih lagi terbayang di mata saya. Genggaman tanganya pula masih hangat saya rasakan hingga kini. Dapat saya rasakan harapannya walaupun sudah meniti usia senja masih lagi belum tercapai. Harapan untuk melihat salah seorang anaknya menjadi anak soleh atau anak solehah. Harapannya menghantar anak belajar jauh ke universiti al-Azhar ,Mesir agar pulangnya menjadi seorang pendakwah juga tidak tercapai……

Sehingga jauh di sudut hati tuanya merasa kecewa kerana tidak ada seorang pun anak-anaknya yang dirasakannya mendoakannya ketika dia masih menghirup udara milik Allah apatahlagi selepas dia menutup mata untuk selama-lamanya kelak. Aduh…sedihnya hati makcik itu. Dan saya selalu melihat dia berdoa lama di dewan solat. Tentu doanya tidak lain adalah untuk anak-anaknya jua….

BILA ANAK BELAJAR PENGAJIAN ISLAM

Berapa ramai ibu bapa yang begitu bangga apabila anak-anak mereka masuk ke kolej atau universiti demi mempelajari pengajian Islam. Lebih-lebih lagi apabila mereka belajar jauh hingga ke timur tengah. Kebanyakan ibu bapa sanggup berlapar dan sanggup membanting tulang empat kerat untuk membiayai pembelajaran dan memberi perbelanjaan seharian anak-anak mereka ketika belajar. Mereka bangga dan mereka berbesar hati kerana anak mereka adalah bakal ustaz dan ustazah.Betapa Sejuknya hati mereka…betapa besarnya harapan mereka.

Tetapi apabila anak-anak mereka sudah tamat pengajian dan pulang ke tanah air kemudian anak-anak mereka tidak menjadi seperti apa yang diharapkan, tentu sahaja ada segudang kecewa di hati mereka. Apatah lagi bila anak itu mengatakan “tak minatlah nak mengajar ni semua…” Tentu sahaja KECEWA, seperti hati ibu tua tadi. Saya percaya apa yang diluahkan oleh ibu tua itu mewakili banyak hati ibu bapa yang lain.

PERSOALAN SAYA….

Sejauhmanakah kita sebagai anak-anak berpengajian Islam peka tentang hal itu? Sejauhmanakah kita sebagai anak-anak yang mendalami ilmu-ilmu Islam sedar akan tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu?

Ya, saya setuju, tak kan semua orang belajar agama nak jadi ustaz dan ustazah,kan? Apa orang belajar agama ni tak layak ke nak kerja lain? Nanti orang kata kita anak-anak pengajian Islam ni jumud….tak ada potensi untuk perkara lain pula,kan?

Saya tidak menafikan itu. Golongan pengajian Islam juga berhak memilih bidang tugas masing-masing (asalkan ianya bukanlah pekerjaan yang haram). Cuma pernahkah kita terfikir kenapa ada hati ibu bapa yang kecewa? Mengapa masih ada lagi hati ibu bapa yang dirundung malang sedangkan anaknya yang berpengajian Islam (walaupun tidak menceburi bidang pendidikan Islam) sudah mempunyai jawatan yang mantap dan membanggakan?

Tentu sahaja ada sebabnya.

Saya berpandangan bahawa ibu bapa tidak akan kecewa jika anak-anak mereka yang berpengajian Islam memiliki peribadi muslim yang mampu untuk dibanggakan. Mereka tidak akan merasa bahawa mereka tidak mempunyai anak yang soleh atau solehah seandainya anak-anak mereka itu menjaga agama bagai nyawa mereka sendiri. Pada waktu itu, bidang apa pun yang ingin diceburi oleh mereka yang berpengajian Islam tidak akan menjadi masalah bagi ibu bapa. Ini kerana mereka tahu walau anak mereka tidak bergelar ustaz atau ustazah tapi anak mereka tetap ‘berperanan sebagai ustaz dan ustazah’. Iaitu anak mereka sentiasa melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sentiasa memelihara akhlaknya terhadap keluarga (terutamanya terhadap ibu bapanya) dan masyarakat. Dan yang paling penting juga apabila anak mereka sentiasa berpegang teguh pada syariat. Jika sudah begitu keadaanya, saya kira kerisauan dan kekecewaan ibu bapa itu dapat diubati.

DOKTOR JIWA

Saya pernah bertanya pada ustaz saya, ketika saya sedikit tertekan apabila dihujani dengan soalan demi soalan dari para jemaah masjid selepas kuliah Muslimah:

“Jadi ustaz atau ustazah memang kerjanya jawab soalan ke ustaz?”

Ustaz saya menjawab:

“Ye…kerana ustaz dan ustazah adalah doktor jiwa”

Doktor jiwa?

Mungkin atas sebab itu ramai yang tidak mahu menjadi ustaz atau ustazah kerana peranan ‘doktor jiwa’ yang perlu dilaksanakan. Mungkin malas nak melayan soalan-soalan lantaran diri sendiri juga masih mempunyai masalah jiwa. Segalanya mungkin…

Atau mereka tidak yakin dengan ilmu yang mereka pelajari bertahun-tahun. Lalu timbul persoalan di benak saya, untuk apa kita belajar,ya?

Setakat untuk disimpan dalam dirikah?
Setakat untuk menggengggam segulung kertas bernama ijazah?
Setakat untuk mempermudahkan kita mendapat pekerjaan dan sekaligus menaikkan tangga gaji kita?
Ya…saya tidak menafikan semua itu perlu dalam kehidupan dunia pada hari ini.

Namun perlu untuk saya menyatakan pada anda yang sedang dan telah tamat belajar pengajian Islam bahawa Ilmu itu amanah. Belajar bukan setakat untuk mendapatkan pengalaman di negera orang dan duduk bersama ulamak dan agamawan yang hebat-hebat. Tetapi belajar pengajian Islam memerlukan kesungguhan yang sebenar untuk merubah diri dan membantu masyarakat Islam yang semakin lama semakin amat menyedihkan jiwa dan perasaan apabila ditinjau dan dilihat dengan mata kepala sendiri. Maka di sinilah peranan ‘doktor jiwa’ yang dapat saya lihat. Membantu mereka yang musykil, menenangkan mereka yang resah dan memandu mereka yang bersimpang-siur jalannya ke jalan yang lurus. Ya tugas itu berat ….tapi jika kita sentiasa mengharapkan redha Allah dan bantuan-Nya semuanya akan dipermudahkan.

JIKA DIA IBU ANDA?

Untuk anda yang masih belajar dan telah bergelar graduan pengajian Islam tidak kira di mana pun anda berada dan sedang membaca penulisan ini, ketahuilah besar harapan saya agar anda tidak mengecewakan harapan mereka yang menyokong anda atau dengan kata lain USAH KECEWAKAN HARAPAN IBU BAPA ANDA.

Belajarlah dengan bersungguh-sungguh. Pulanglah dengan niat untuk menyebarkan ilmu yang telah anda pelajari dengan penuh amanah.

Jadikanlah ia sebuah medan perjuangan untuk memartabatkan al-Quran dan al-Sunnah. Medan untuk anda merasa sakitnya dakwah dan manisnya ibadah.

Dan jangan lupa tidaklah dinamakan sesuatu itu perjuangan, andai kamu melaluinya dengan mudah.

Tidaklah jua dinamakannya perjuangan, andai kamu menginginkan yang senang-senang dan yang hebat-hebat begitu juga pujian dari orang ramai.

Tinggi mana pun kamu berada kelak, jangan lupa pada tanah yang dipijak
Usah mendabik dada dan hanya memandang ke langit
Sedarlah…
Apa yang ada padamu adalah milik Allah
Apa yang ada padamu adalah amanah
Ilmu itu amanah yang pastinya akan dipersoalkan kelak.

Sungguh…
Airmata saya mengalir…mengalir deras sekali
Jiwa saya terlalu sebak
Apabila saya membayangkan jika apa yang diluahkan oleh makcik itu adalah LUAHAN IBU SAYA SENDIRI….
Tidak sanggup saya, Ya Allah….
Saya tidak sanggup apabila ibu saya mencari orang lain dan meminta agar mendoakan untuknya kerana merasakan bahawa saya bukanlah anak solehah yang mampu untuk mendoakannya dunia dan akhirat…
Saya tidak sanggup!


Dan Anda pula bagaimana wahai diri yang sedang belajar dan telah bergelar graduan pengajian Islam?

Tanyakan-tanyakan pada diri anda, apakah perasaan anda jika ibu tua itu adalah ibu anda…

Wallahua’lam

09 September, 2008



Ubatilah setiap kesedihan yang bersarang di hatimu dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Moga ketenangan menyelinap kembali di dalam hatimu...
membentuk sinar,mencipta harapan dan membangkit semangat untuk terus mengorak langkah yang lebih cemerlang di kemudian hari.


Read this document on Scribd: DOA PENAWAR HATI PENYEJUK KALBU

05 September, 2008

Da'ie

Suka untuk saya memuatkan kata-kata seorang adik yang amat saya rindui. Kata-kata ini dihadiahkannya kepada saya menerusi khidmat pesanan ringkas (sms). Kata-kata itu berbunyi:

"DA'IE (Pendakwah) ibarat tiram di laut, dihiris pepasir tercalarlah ia, sungguhpun terluka tetap dipendam, sungguhpun pedih tetap disimpan, namun akhirnya dibalas mutiara" ana uhibbuki fillah ukhti

Sender:
Saadiah Adik Fauzi
+60196*******


Sang Murobbi

04 September, 2008



Bismillah

Salam Ramadhan untuk semua.

Saya agak sibuk di sepanjang bulan Ramadhan ini. Mungkin blog ini terpaksa saya 'sepikan' seketika. Saya memohon jutaan maaf andai ada permintaan-permintaan untuk menulis terpaksa saya tangguhkan lagi. Insya Allah, sepertimana yang saya pernah nyatakan dahulu, saya tidak akan mengecewakan setiap permintaan.

Seperti mana yang tertera di dalam Aktiviti Ustazah Sakinah Sepanjang Bulan Ramadhan, pada setiap Isnin hingga Khamis selepas solat Zohor saya berada di Masjid Darul Ghufran untuk sesi tadarus bersama Muslimah. Bagi anda yang sudi untuk mengikuti sesi tadarus ini,jemputlah hadir untuk bersama-sama saya mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran al-karim. Dan selepas Asar pula saya meneruskan sesi tadarus bersama Fatayat Ghufran di tempat yang sama.

Atas sebab itu, masa dan kesempatan saya untuk duduk lama di hadapan komputer agak terhad. Jika ada sebarang pertanyaan atau untuk menyampaikan sebarang pesanan, boleh taip di ruangan 'Salam Ukhwah' di blog ini atau anda boleh emelkan kepada saya di alqamariah@yahoo.com

Sekian...hingga berjumpa lagi.

Wassalam

01 September, 2008

Sejak dua tiga hari ini, perasaan saya tidak menentu. Malah kadangkala terasa ada perkara yang berat saya simpan di dalam jiwa. Dan saya sering merasakan, semenjak akhir-akhir ini perasaan saya tidak ada siapa pun pedulikan. Ada sahaja perkara yang membuatkan saya terguris. Dan orang-orang di sekeliling saya hanya tahu melafazkan maaf dan maaf. Malah lebih buruk lagi, ada yang hanya mendiamkan diri dan merasakan seolah-olah tidak ada perkara yang berlaku. TIADA KATA MAAF DAN TIADA RASA SERBA SALAH!



Lalu, saya ini siapa?
Bukankah saya ini juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan?
Saya juga manusia biasa.
Ada hati.
Ada perasaan.

"Ya Allah....belailah hati ini....belailah dengan kasih sayang dan rahmat-Mu"



Salam Ramadhan kepada semua. Moga Ramadhan kali ini dilalui dengan penuh ibadah dan lebih baik dari sebelumnya. Apabila Ramadhan tiba, saya teringatkan peristiwa Ramadhan tahun lalu. Peristiwa yang membuatkan saya menangis sendirian penuh kehibaan di dalam bilik Kolej Ungku Omar....lalu saya bangkit dan duduk di hadapan komputer menaip luahan rasa...Maka di sini, saya memuatkan kembali penulisan saya yang bertajuk JAM 7 MALAM.Moga apa yang saya luahkan dapat menjadi renungan yang bukan sekadar untuk direnung semata....

**********************************

Kumulakan dengan seindah kalam

بسم الله الرحمن الرحيم

Entah mengapa aku ingin bersendirian pada malam ini. Ajakan seorang adik untuk berterawih secara berjamaah pada malam pertama Ramadhan ini kutolak lembut. Aku berkata dalam hati, aku ingin bersendirian. Setelah selesai solat isyak dan terawihku, setelah selesai tugasan tutorial untuk dibentang esok, akhirnya, jari jemari ini bertemankan hati yang tidak seperti hari-hari biasa, mengajak aku untuk meluahkan bicara yang tersimpan kemas di dalam jiwa.

Aku ingin berbicara….

Walaupun hati dan fikiran ini terlalu runsing dengan memikirkan nota dan buku-buku yang perlu diulangkaji, hati ini tetap berdegil untuk berbicara. Kerana apa yang ada di dalam hati ini adalah suaraku. Apa yang ada pada suaraku selalunya adalah harapanku…harapan yang bukan harapan biasa, tetapi ia tetap harapan yang bagiku cukup istimewa. Mengapa aku katakan ia sebagai harapan? kerana harapan seringkali mempunyai dua kemungkinan. Samada ia boleh menjadi kenyataan ataupun ia boleh menjadi harapan tinggal harapan…

Hatiku menangis…jam 7 malam.

Mengingatkan aku pada fenomena aku masih lagi anak-anak ingusan, anak-anak yang tidak kenal erti apa itu ibadah dan kewajipan, anak-anak yang masih lagi inginkan hiburan sebagai teman. Pada zaman itu, jam 7 malam selalunya tanyangan Doraemon di RTM 1 (Tidak silap aku pada setiap hari sabtu). Rancangan kartun popular kegemaran kanak-kanak…siapa yang tidak kenal pada Doraemon. Walaupun aku turut menonton kartun tersebut,emak selalu mengingatkan : “Maghrib..maghrib!” Abah pula selalu ingatkan: “dah nak maghrib” Aku tidak mnegerti waktu itu, yang aku tahu mak dan abah ingatkan, jangan lupa solat maghrib kerana menonton cerita kartun yang tidak ada faedah itu. Tetapi, semakin aku membesar sebagai anak gadis yang berpendidikan madrasah, aku semakin mengerti. Rupanya arahan itu, adalah arahan agar aku ihtiram pada waktu maghrib, bersedia dengan wudu’ di sejadah, mengaji al-Quran dan bersedia untuk menghadap Tuhan. Itu bukan satu yang ada nasnya, tetapi itu adalah didikan mak dan abah agar kami adik-beradik tahu menghormati waktu maghrib. (Mengapa maghrib itu amat dititik beratkan oleh emak dan abah, aku tidak pasti. Mungkin bagi mereka itu adalah waktu peralihan dari petang ke malam, waktu yang semua perlu duduk dalam rumah bersama keluarga.Atau macam orang tua-tua kata: waktu setan suka berkeliaran)

Tapi …7 malam di sini, membuat hatiku benar-benar terguris…membuat hatiku dihujani gerimis…suara tawa berdekah-dekah kedengaran…suara jeritan bergurau senda menghilangkan keheningan….suara televisyen dari DRAMA terasa seperti berada dihujung telingaku walau aku berada di tingkat dua bangunan!!! Apa yang membuatkan aku lebih…lebih…ingin menangis..malam ini adalah malam 1 Ramadhan bulan penuh keberkatan dan keampunan. Beginikah caranya anak-anak Islam menghormati maghrib…beginikah caranya anak-anak Islam menghayati Ramadhan?

Suasana..jam 7 malam itulah yang mengingatkan aku pada rumah, pada zaman kanak-kanak, pada zaman di sekolah menengah dan pada zaman tarbiyah di Maahad Tahfiz Melaka. Paling berkesan di jiwa ku ialah pentarbiyahan di maahad Tahfiz. Hinggakan ada seorang adik berkata padaku: “Kalau ingat apa-apa, mesti ingat maahad. Tak de tempat lain ke? Sekolah menengah ke?”

Aku ulangi sekali lagi..maahad paling berkesan! Di situ, hati dilentur untuk menjadi manusia yang menangis kerana Tuhan, hati lembut untuk berlumba-lumba melaksanakan kebaikan, ada ta’lim dan tazkirah..ada solat berjamaah. Di situlah, bila hampir masuk maghrib, ramai yang mandi di bilik air, ramai yang bergegas untuk bersiap-siap solat maghrib. Bila maghrib tiba…ada laungan dari akhawat yang sudah bersiap-siap dengan telekong memanggil kami.. “solat jamaah..solat jamaah”, “mana imamah ni?” jika sekiranya aku yang menjadi imam “eh..banat cepatlah…imamah dah tunggu ni!” Kelihatan…ada yang bergegas ke surau..ada yang jerit…”tunggu…nak amik wudhu’” ada pula yang senyum-senyum masih membuat pertimbangan nak jemaah atau tidak.

Aku rindu suasana itu. Rindu pada malam Qiyamullail kami. Rindu untuk mendengar tangisan dan esakan yang menangis kerana berdo’a kepada Allah. Rindu pada do’a-doa akhawat yang mampu memecahkan tembok keegoan kami hingga mengalirkan air mata yang amat deras bagai tiada henti…rindu pada rintihan doa-doa yang mampu menggegarkan jiwa! Doa-doa yang mampu menginsafkan diri betapa kami adalah manusia kerdil yang seringkali tidak mengenang budi! Rindu…

Akhirnya aku mengalirkan air mata jua. Saat aku menaip ini airmataku mengalir…harapanku untuk mengubat rindu ini, entah bila…

Sukar untuk kudapatkan bi’ah itu di sini. Aku tidak mahu memandang yang jauh-jauh…jika sikap sebahagian pelajar pengajian Islam sendiri sudah mampu membuatkan aku bergusar hati dan menangis hiba…apatah lagi yang bukan pelajar pengajian Islam…

Sering aku berkata dalam diri, jika yang berpengajian Islam sendiri tidak mahu mengubah diri yang masih lemah dalam pembacan al-Quran secara bertajwid, bagaimana nak sebarkan Islam…

Atas tujuan apa kita melabelkan diri kita sebagai pelajar PENGAJIAN ISLAM?

Mungkin ramai yang menjawab "sebab saya tidak ada pilihan…".

Jika begitulah…sampai bila-bila pun anak-anak Islam masih hanyut dengan hiburan
Sampai bila-bila pun, anak-anak Islam akan meremehkan agama dan suruhan Tuhan

Kerana kita salah satu di antaranya..

Kerana kita yang mengetahui hukum..turut sama memegang bendera cinta pada mungkar…jauh pada ma’ruf…

Kita tidak suka pada amalan-amalan sunat, kita jauhkan hati untuk mendengar tazkirah dan menempatkan diri dalam majlis ilmu, kita malas nak rebut pahala…
Kita lebih suka yang relax-relax, yang happy-happy….

Benarlah…kita berada di akhir zaman….zaman penuh fitnah….zaman penuh kemungkaran…

Ya Allah..kuatkanlah aku...

(Luahan rasa di 1 Ramadhan 1428H Kolej Ungku Omar,UKM) (2007)