06 August, 2008

Rasulullah s.a.w bersabda:


انْظُرُوا إِلَىٰ مَنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ. وَلاَ تَنْظُرُوا إِلَىٰ مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ. فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لاَ تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللّهِ

Maksudnya: Lihatlah pada mereka yang di bawah kamu dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi daripada kamu. Hal itu lebih wajar bagi kamu agar tidak meremehkan nikmat yang Allah berikan kepada kamu. (H.R Muslim, Kitab al-Zuhd wa al-Raqaiq, No 7379)

Lihatlah pada mereka yang di bawah kamu….

Apabila kita sakit, ada lagi orang yang lebih sakit dari kita
Apabila kita susah, ada lagi orang yang lebih susah dari kita
Apabila kita rasa diri kita tidak cantik, ada lagi orang yang tidak cantik daripada kita…



Atas sebab itu kita perlu menjadi manusia yang bersyukur. Lalu saya ulangi sekali lagi, Lihatlah orang yang di bawah kamu. Bagaimana mereka yang serba kekurangan daripada kita mampu untuk meneruskan kehidupan tanpa sedikit pun merasa kekok untuk menatap hari demi hari.

Tetapi bagaimanakah dengan diri kita?

Kita kadangkala ada sifat meninggi diri. Kita juga kadangkala ada sikap tidak mahu berada di bawah dan tidak mahu merasa untuk jatuh dan duduk sama rendah dengan orang yang berada di bawah. Baru diberi sedikit ujian kita sudah rasakan bagai langit menghempap diri dan seterusnya kita tidak betah untuk meneruskan hidup. Kita lebih suka menyendiri dan mengatakan orang lain tidak memahami apa yang kita rasai. Adakah perkara itu wajar?

Jangan memberikan alasan bahawa kita tidak setabah orang lain. Tabah itu akan wujud hanya saja kita reti untuk meletakkan rasa syukur dan redha di atas setiap ketentuan yang Allah s.w.t takdirkan. Ia akan hadir apabila kita mengerti untuk mengambil hikmah di atas setiap perkara yang berlaku ke atas diri. Dan ia juga akan lahir di dalam diri kita apabila kita sudi untuk melihat manusia yang berada di bawah kita. Kita perlu melihat bagaimana orang lain yang lebih menderita, lebih serba kekurangan dan lebih sukar dalam hidupnya. Dengan melihat orang yang di bawah, kita boleh mengambil pengajaran dan iktibar. Dengan itu, kita akan lebih menghargai apa yang kita miliki.

Namun begitu, tidaklah bermakna kita tidak boleh melihat orang yang berada di atas kita. Sesekali ataupun banyak kali kita juga perlu untuk melihat orang yang ada di atas. Mengapa? Ianya adalah kerana untuk menjadikan kita manusia yang lebih bermotivasi demi membina masa hadapan yang lebih cemerlang.

Belajarlah untuk menjadi manusia yang berlapang dada. Didiklah diri kita agar apabila melihat mereka yang berada di atas, ianya tidak menjadikan kita manusia yang lebih mempunyai rasa iri dan sakit hati. Ingin saya tegaskan di sini bahawa Kita tidak akan bahagia selagi mana di dalam hati kita asyik dibelenggu dangan rasa ketidakpuasan hati sepanjang masa. Kita perlu sedar bahawa semua orang mempunyai rezeki masing-masing. Dan usah sibuk dengan rezeki orang lain dan usah sakit hati dengan kejayaan orang lain sehingga kita terlupa dengan rezeki sendiri seterusnya merasa tidak bersyukur dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada kita.

Suka untuk saya menyatakan bahawa kelebihan yang ada pada orang lain perlu dicontohi untuk merubah diri kita menjadi manusia yang lebih baik. Atas sebab itu, kita perlu menjadi manusia yang ingin belajar dari setiap orang. Ini kerana pada setiap diri itu, ada perkara dan pengajaran yang mungkin tidak ada pada kita. Lalu lihatlah orang yang di bawah agar diri kita lebih bersyukur dan lihatlah orang yang berada di atas agar kita lebih berusaha untuk menjadi manusia yang lebih baik atau mungkin lebih baik dari orang yang berada di atas.

Dan jangan lupa, kita ingin menjadi manusia yang bagaimana pun, manusia yang bertaqwa jualah manusia yang paling mulia di sisi Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.(al-Hujurat:13)


Wallahua’lam

(Idea penulisan ini terhasil setelah saya memberikan tazkirah ringkas yang disampaikan di kuliah Muslimah yang bertajuk Penawar Hati untuk mereka yang sakit dan ditimpa musibah pada 31 Julai 2008 bertempat di dewan serbaguna Masjid Darul Ghufran,Singapura)

0 Comments:

Post a Comment