17 August, 2008

Bismillah

Sebenarnya mata saya sudah tidak larat untuk menatap komputer dan menaip. Ini kerana saya baru sahaja pulang dari usrah ahlulquranPTS dan saya keletihan yang amat sangat. Hampir setengah jam lebih saya menunggu bas. Cukup membosankan! Pulang dari Masjid Kampong Siglap pada waktu malam-malam begini mengingatkan saya pada 5 tahun yang lalu. Beginilah saya pada waktu itu. Pulang kerja jam 10.00 malam dan menunggu bas sendirian di perhentian bas di hadapan masjid. Letih, mengantuk dan amat membosankan.

Semasa sedang menantikan kedatangan bas, saya melihat bangunan masjid. Gelap dan sunyi. Seperti biasanya, ia masih tetap begitu. Terkenangkan masa yang telah saya habisi di masjid itu 5 tahun yang lalu. Itulah masjid yang memulakan pelbagai sejarah dalam hidup saya.

Di situlah saya memperolehi ilmu dan pengalaman. Dari seorang tutor biasa kepada seorang yang mengajar tahfiz secara sepenuh masa. Di situ juga saya belajar mengenal hati budi manusia, mengajar saya agar lebih banyak memuhasabahkan diri dan yang paling saya tidak dapat lupakan masjid itu jugalah tempat saya mengenali kekasih hati yang kini bergelar suami.

Maha suci Allah yang mentakdir segala sesuatu dengan begitu indah. Saya bersyukur.

Semasa di dalam bas tadi, air mata saya mengalir. Daripada seribu satu kenangan yang terlakar di Masjid kampong Siglap, saya mengimbas kembali kehidupan saya sedari saya kecil hinggalah kini setelah saya bergelar isteri dan memegang ijazah sarjanamuda pengajian Islam dengan kepujian (cemerlang).

Terlalu banyak yang telah Allah berikan kepada saya. NIKMAT DAN RAHMAT. Terngiang-ngiang di telinga saya ayat di dalam surah al-Rahman yang diulang-ulang sebanyak 31 kali.

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (al-Quran, al-Rahman:13)



Ya Allah, Kerdilnya saya….saya sedar kedudukan saya sebagai seorang hamba. Hakikatnya saya tidak mempunyai apa-apa. Jika bukan kerana rahmat dan nikmat Allah s.w.t, tentu saya tidak menjadi sepertimana saya sekarang ini. Lalu mengapa kadangkala saya masih lagi hendak mempertikaikan itu dan ini? Mengapa kadangkala saya masih berasa kurang sabar dengan apa yang Allah takdirkan sebagai ujian?

KONVOKESYEN DAN PERGOLAKAN PERASAAN

Kelmarin semasa sedang berjalan-jalan di WARTA,Bangi sebuah lagu nasyid diputarkan di sana. Nasyid itu sudah lama saya lupakan…sudah lama saya hilangkan dalam ingatan. Apabila saya mendengar nasyid itu tanpa di sengajakan bagai ingin tumpah air mata saya di tengah-tengah orang ramai yang sedang sibuk membeli-belah. Tiba-tiba nasyid itu membuat saya terlalu sebak….

“Tuhan dosaku menggunung tinggi
tapi rahmatMu melangit luas
Harga selautan syukurku
hanyalah setitis NikmatMu dibumi”

Mengemis Kasih - The Zikr

Pada waktu itu, lagi 2 jam sahaja saya akan bersiap-siap menyarungkan jubah konvo dan memasuki dewan konvokesyen dan setelah mendengar lagu itu saya bertanya pada diri.

-Apakah tanda majlis konvokesyen itu pada saya?

-Pentingkah majlis itu untuk menobatkan saya sebagai seorang graduan Fakulti Pengajian Islam yang telah tamat dengan cemerlang?

Tiba-tiba saya menjadi malu dengan diri sendiri dan merasa diri amat kerdil…

“Perlukah aku menghadiri majlis konvokesyen ini,Ya Allah? Berikan kekuatan untuk aku?”, bisik saya di dalam hati penuh sebak.

Mana mungkin saya boleh berbangga dengan semua itu.

Saya tidak mahu melihat ia sebagai tanda kemegahan, kebanggaan dan kecemerlangan. Tetapi saya mahu melihat ia sebagai tanda rahmat yang Allah s.w.t berikan kepada saya. Airmata saya mengalir saat saya mengambil wudhu’ untuk menunaikan solat zohor petang itu…. Hati saya penuh sebak. Walau di bibir terukir senyuman tetapi hati saya hanya Allah yang Maha mengetahui.

Saat saya turun dari pentas dan kembali di tempat duduk, saya mengambil hp saya yang di’silent’kan. Saya menjadi bertambah sebak apabila ada seseorang yang amat saya hormati sebagai guru meng’sms’ saya:

“Salam, Kak Kinah, tahniah dapat hadiah buku universiti”

Saya tersenyum (tapi di hati ada sebak yang begitu menebal) lalu saya berbisik pada diri sendiri:

“Ya Allah…HambaMu memohon agar kejayaan ini menjadikan aku lebih tunduk dan sujud pada Mu. Permudahkan urusan suamiku, ibu bapaku, guru-guruku, sahabat-sahabatku, rakan-rakanku dan mereka yang telah banyak membantu diri ini sehingga berjaya dengan cemerlang”.

KITA DAN NIKMAT ALLAH S.W.T

Sungguh…nikmat Allah itu amat tidak terkira untuk seorang hamba. Jelasnya, Allah s.w.t sentiasa memberikan apa yang kita kehendaki walaupun kadangkala apa yang kita inginkan itu tidak diberikan pada masa yang cepat dan jika sekiranya apa yang kita inginkan itu tidak dikecapi, tentu sahaja Allah s.wt menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik dari apa yang kita inginkan (itupun, sama ada kita sedar ataupun tidak).

Saya teringat firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)”. (al-Quran, Ibrahim: 34).

Moga kita sama-sama sentiasa mendidik diri menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur dengan setiap apa yang diberikan olehNya kepada kita. Lantas dari situ, moga ianya juga mampu mendidik diri kita menjadi hambaNya yang penuh TAQWA.

Saya akhiri penulisan ini dengan firman Allah s.w.t sebagai satu renungan yang bukan sekadar untuk direnung semata:

Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:

Sesungguhnya manusia dicipta bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir, kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, (1) yang mana mereka itu tetap mengerjakan solatnya, dan (2)orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu, bagi orang miskin yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa yang tidak mahu meminta, dan (3)orang-orang yang mempercayai hari pembalasan, dan (4)orang-orang yang takut terhadap azab tuhannya, kerana sesungguhnya azab tuhan mereka tidak dapat orang merasa aman dari kedatangannya, dan (5) orang-orang yang memelihara kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba-hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. barang siapa yang mencari yang disebalik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. dan (6)orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janji mereka. dan (7) orang-orang yang memberikan kesaksian. dan (8) orang-orang yang memelihara solatnya. mereka itulah di syurga lagi dimuliakan.
(al-Quran, al-Ma'arij :19-35)

0 Comments:

Post a Comment