01 August, 2008



“Kak, kita cinta dia ..tapi kenapa? Sampai hati dia.Kita sedih sangat kak…”, luah seorang adik yang datang ke bilik saya untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada saya. Saya merenung wajahnya. Ada seribu satu kegusaran yang tak mampu untuk saya rungkaikan. Ada pelbagai macam perasaaan yang amat saya ketahui betapa berat untuk ditanggung olehnya lebih-lebih lagi tinggal sehari sahaja peperiksaan akan membuka tirainya pada waktu itu.

“Macam-macam kita dah buat. Kita dah solat dan doa ..tapi sedih kita tetap tak hilang,kak”

Ya…saya faham, ini dah kes pelamin anganku musnah. Kalau bab-bab cinta dan kasih sayang pada lelaki ni, selalunya susah nak dibiarkan begitu sahaja. Tentu makan masa berbulan-bulan untuk mengubati luka di jiwa.

“Kita cinta dia,kak”, luahnya lagi. Saya tersenyum. Lalu saya katakan padanya:

“Adik, jangan kata cinta. Cukuplah sayang. Kerana cinta itu hanya layak untuk Allah dan Rasul-Nya. Biar cinta kita pada Allah dan Rasul-Nya itu melebihi segalanya. Di situ, apabila berlaku sesuatu, kita mampu untuk mengatasinya kerana kita tahu Allah masih ada untuk kita. Kita takkan rugi apa-apa”

Dia tersenyum,kemudian mengubah kenyataannya: “Ok…kita sayang dia”.

“Setiap apa yang berlaku, tentu ada hikmahnya. Jangan terlalu sedih sangat,k? Mungkin kita ada melakukan kesilapan yang kita tidak sedari. Atas sebab itu, berlakulah perkara seperti ini, untuk kita lebih muhasabah diri. Tentu ada lelaki yang lebih baik lagi untuk adik”

“Tapi dia baik, kak. Dialah lelaki yang paling baik yang pernah kita kenal”

“Ya..dia baik. Tapi mungkin dia baik untuk orang lain, tidak untuk adik. Yakinlah, Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Kan Allah ada kata dalam al-Quran: “Boleh jadi apa yang kamu benci itu adalah baik untuk kamu dan boleh jadi apa yang kamu sukai itu tidak baik untuk kamu” (ayat itu terdapat di dalam surah al-Baqarah: 216).

Dia terdiam seolah-olah sedang memikirkan dalam-dalam apa yang saya katakan padanya sebentar tadi. Saya menyambung lagi kata-kata saya:

“Dalam hidup ini perlu banyak sabar, dik. Akak teringat pada sebuah hadith yang menyatakan tentang kehebatan kehidupan seorang mukmin yang mana hidup orang mukmin semuanya adalah perkara yang baik. Orang mukmin ni dik, mereka apabila ditimpa dengan musibah, mereka bersabar dan itu adalah baik bagi dirinya. Dan mereka jika diberikan dengan nikmat, mereka bersyukur dan itu juga adalah baik untuknya. Sabar ye,dik. Insya Allah, ada hikmah. Cuma kita belum tahu lagi apakah hikmahnya”.

Kata-kata saya itu adalah berdasarkan kepada sebuah hadith yang bermaksud: "Amat ajaib keadaan seorang mukmin, sesungguhnya semua keadaannya adalah baik belaka. Ini tidak berlaku kecuali kepada seorang mukmin. Sekiranya dia dikurniakan kesenangan dia akan bersyukur dan ini baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa kesusahan pula dia akan bersabar dan ini juga baik untuknya.'(H.R Muslim)

Agak lama juga sesi luahan rasa itu berlangsung di dalam bilik saya. Walaupun sebenarnya pada waktu itu, saya sedang sibuk mengulangkaji untuk peperiksaan tetapi atas rasa ihsan saya terhadap seorang adik yang memerlukan sokongan jiwa dan perasaan, saya terpaksa memberikan ruang untuk dirinya berkongsi rasa. Dan seperti biasa, jika siapa yang bertandang ke bilik saya sama ada selepas maghrib atau isyak untuk apa-apa sesi perbualan pun, ia tidak akan habis selagi jarum jam tidak sampai ke angka 12.

Sakitnya putus cinta…

Saya mengerti bagaimana sakitnya putus cinta. Dan untuk mengubati sakit putus cinta bukan memakan masa sehari dua pasti berbulan dan mungkin bertahun. Sebab itu, ada yang sanggup membunuh diri kerana tidak tahan dengan sakitnya putus cinta.

Putus cinta adalah salah satu daripada ujian yang Allah berikan kepada seorang hamba. Bagaimanakah seorang hamba akan menghadapi situasi tersebut bersabarkah atau sebaliknya? Yang penting saya ingin menegaskan di sini, apabila berlakunya putus cinta adakah seorang hamba itu menyedari bahawa dia itu ada melakukan dosa dan kesalahan di sepanjang hubungan cinta terjalin. Kerana pastinya apa yang berlaku adalah hasil daripada perbuatan seseorang itu sama ada disedarinya ataupun tidak. Allah s.w.t berfirman: Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu. (As-Syuraa: 30)

Mungkin atau memang di sepanjang hubungan cinta itu dilalui banyak perkara maksiat yang dilakukan oleh pasangan kekasih, contohnya keluar berdua-duaan, berpegangan tangan, bertentangan mata dan sebagainya. Lalu Allah s.w.t mentakdirkan keduanya berpisah agar keduanya menyedari dosa-dosa yang telah dilakukan.

Tetapi seramai manakah pasangan kekasih yang ingin mengingati semua itu dan berasa insaf? Kebanyakannya hanya tahu bersedih dan menangisi sebuah perpisahan dan menyalahkan antara satu sama lain bahkan mengungkit-ungkit pengorbanan yang telah dilakukan oleh diri masing-masing. Akhirnya timbullah perasaan sakit hati, dengki dan tidak puas hati yang berpanjangan. Sehinggakan saya tidak menafikan ada yang sampai sanggup berbomoh-bomohan. Maka di situ jelas menunjukkan bahawa ada di antara manusia yang tidak mempercayai takdir malah tidak redha di atas ketentuan yang telah Allah s.w.t berikan.

Mengintai kasih di celah ketaqwaan

Dalam apa jua perkara TAQWA itu amat penting untuk diletakkan dalam diri. Begitu juga dengan perkara-perkara cinta dan kasih sayang. Mereka yang ada rasa takut kepada Allah tidak akan mudah jatuh dalam perasaan yang haram (iaitu hubungan cinta antara lelaki dan perempuan bukan mahram di luar pernikahan) apatah lagi untuk melakukan perkara-perkara yang haram atas kata-kata ‘I love you’ dan ‘you love me’ (sebelum pernikahan). Belajarlah untuk mengintai dan merasai kasih di celah ketaqwaan. Lakukanlah sesuatu berdasarkan apa yang telah digariskan oleh syariat Islam bukan berdasarkan kehendak hati dan perasaan.

Lalu saya teringat persoalan yang pernah dilontarkan oleh ustaz Fadlan semasa kuliah hadith 2 pada semester saya yang terakhir (sesi 2007/2008) dahulu .

“Boleh ke orang lelaki nak sayang orang perempuan dengan cara memberikan sms “ANA UHIBBUKI FILLAH”?Boleh tak?”

Kami yang berada di dalam kuliah tersenyum dan menjawab tidak boleh.(Pelajar perempuan yang menjawab. Pelajar lelaki hanya diam dan tertunduk. Entahlah ...terkena pada diri sendiri agaknya..=))

Ustaz pun berkata: “Nak mengasihi orang perempuan adalah dengan cara berkahwin dengannya…”

Tetapi berapa ramai lelaki yang mampu untuk melakukan sedemikian dan berapa ramaikah wanita yang mampu untuk menolak lelaki yang mudah meluahkan perasan sayang dan cinta kepadanya dan belum apa-apa lagi sudah berani berkorban itu dan ini untuk lelaki yang kononnya mencintainya? Sungguh...ramai yang lebih mengikut hati dan perasaan daripada mengikut apa yang ditetapkan oleh Islam.

Ketahuilah, mengintai kasih di celah ketaqwaan hanya mampu dilakukan oleh diri kita sendiri. Lalu tepuk-tepuklah dada kita..tanya-tanyalah iman kita. Kasih kita adalah kasih yang bagaimana?

Wallahu’alam.

0 Comments:

Post a Comment