29 August, 2008

Terima Kasih

Bismillah

Terima kasih kepada anda yang sentiasa menanti agar saya meng'update' blog ini. Malah bukan itu sahaja, ada yang sampai meng'sms' saya agar menuliskan tentang perkara yang ingin sekali dibacanya. Cuma masalahnya, saya terikat dengan masa yang amat tidak mengizinkan begitu juga dengan kesihatan yang seperti biasanya, kadangkala ok..kadangkala tidak ok =) Allahu Musta'an.

Alhamdulillah, kuliah-kuliah yang dikendalikan oleh saya sudah di garisan penamatnya. Dengan itu, Insya Allah, saya akan cuba mengusahakan dan meluangkan masa untuk lebih menulis.



Doakan untuk saya, kerana BUKAN MUDAH UNTUK MENULIS DARI HATI. Banyak perkara yang perlu saya muhasabahkan diri dahulu, melihat, merenung dan mendalami agar lebih merasai dan dapat dirasai.

Hingga di sini dahulu. Insya Allah kita bertemu di lain penulisan dan saya tidak akan mengecewakan setiap permintaan.

Wassalam =)

20 August, 2008

Berita yang dikhabarkan kepada saya semalam, sedikit sebanyak telah menggugat semangat saya. Walaupun saya sedih, tapi Alhamdulillah saya masih dapat mengawal perasaan saya. Kalau boleh saya ingin ke sana, tetapi rezeki tidak menyebelahi. Tentu sahaja Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk saya. Bukankah Allah s.w.t ada memperingatkan hamba-hambaNya dengan Firmannya yang bermaksud:

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah 2/216)

Kini, saya sedang merenung dan cuba melihat apakah yang akan saya lakukan selepas ini dan di manakah saya bakal berada pada 3 bulan akan datang.

Sebenarnya, ada perasaan yang begitu berat di dalam dada ini….

Ya Allah, permudahkanlah urusan hambaMu….Takdirkanlah yang terbaik…

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

Siapa yang mengalami kesusahan dan kesedihan hendaklah dia berdoa dan mengucapkan kalimah-kalimah berikut:

أَناَ عَبْدُكَ ابْنُ عَبْدِكَ ابْنُ أَمَتِكَ فِيْ قَبْضَتِكَ ، ناَصِيَتِيْ بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ نُوْرَ صَدْرِيْ وَرَبِيْعَ قَلْبِيْ وَجِلاَءَ حُزْنِيْ وَذَهَابَ هَمِّيْ


“Ya Allah, aku adalah hambaMu, anak hamba lelaki dan hamba perempuanMu, diriku berada di dalam genggamanMu, jiwaku berada di tanganMu, hukum Mu berlaku pada diriku, keadilan keputusanMu berlaku terhadap diriku, aku memohon kepadaMu dengan menyebut semua Asma’Mu yang Engkau namakan diriMu dengannya atau Engkau turunkan dalam kitabMu atau Engkau mengajarkannya kepada seorang di antara makhlukMu atau Engkau memeliharanya di dalam ilmu ghaib di sisiMU. Jadikanlah al-Quran sebagai cahaya dadaku, kebahagiaan hatiku, penghapus kesedihanku dan pelenyap kesusahanku”

Maka, seorang dari satu kaum berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang-orang yang rugi adalah orang yang tidak membaca doa tersebut.” Nabi s.a.w menjawab: “Benar, kerana itu ucapkanlah selalu doa tersebut, dan ajarkanlah (kepada orang lain), sesungguhnya orang yang mengucapkan do’a itu kerana memohon apa yang terkandung di dalamnya, nescaya Allah akan melenyapkan kesedihannya dan melestarikan kegembiraannya” (Sahih Kitab al-Azkar Wa Dha'ifuhu, Sheikh Salim al-Hilali. Hadith ini sahih kerana banyak syahidnya)



Sungguh…saya memohon dari Allah untuk kekuatan perasaan saya…

17 August, 2008

Bismillah

Sebenarnya mata saya sudah tidak larat untuk menatap komputer dan menaip. Ini kerana saya baru sahaja pulang dari usrah ahlulquranPTS dan saya keletihan yang amat sangat. Hampir setengah jam lebih saya menunggu bas. Cukup membosankan! Pulang dari Masjid Kampong Siglap pada waktu malam-malam begini mengingatkan saya pada 5 tahun yang lalu. Beginilah saya pada waktu itu. Pulang kerja jam 10.00 malam dan menunggu bas sendirian di perhentian bas di hadapan masjid. Letih, mengantuk dan amat membosankan.

Semasa sedang menantikan kedatangan bas, saya melihat bangunan masjid. Gelap dan sunyi. Seperti biasanya, ia masih tetap begitu. Terkenangkan masa yang telah saya habisi di masjid itu 5 tahun yang lalu. Itulah masjid yang memulakan pelbagai sejarah dalam hidup saya.

Di situlah saya memperolehi ilmu dan pengalaman. Dari seorang tutor biasa kepada seorang yang mengajar tahfiz secara sepenuh masa. Di situ juga saya belajar mengenal hati budi manusia, mengajar saya agar lebih banyak memuhasabahkan diri dan yang paling saya tidak dapat lupakan masjid itu jugalah tempat saya mengenali kekasih hati yang kini bergelar suami.

Maha suci Allah yang mentakdir segala sesuatu dengan begitu indah. Saya bersyukur.

Semasa di dalam bas tadi, air mata saya mengalir. Daripada seribu satu kenangan yang terlakar di Masjid kampong Siglap, saya mengimbas kembali kehidupan saya sedari saya kecil hinggalah kini setelah saya bergelar isteri dan memegang ijazah sarjanamuda pengajian Islam dengan kepujian (cemerlang).

Terlalu banyak yang telah Allah berikan kepada saya. NIKMAT DAN RAHMAT. Terngiang-ngiang di telinga saya ayat di dalam surah al-Rahman yang diulang-ulang sebanyak 31 kali.

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (al-Quran, al-Rahman:13)



Ya Allah, Kerdilnya saya….saya sedar kedudukan saya sebagai seorang hamba. Hakikatnya saya tidak mempunyai apa-apa. Jika bukan kerana rahmat dan nikmat Allah s.w.t, tentu saya tidak menjadi sepertimana saya sekarang ini. Lalu mengapa kadangkala saya masih lagi hendak mempertikaikan itu dan ini? Mengapa kadangkala saya masih berasa kurang sabar dengan apa yang Allah takdirkan sebagai ujian?

KONVOKESYEN DAN PERGOLAKAN PERASAAN

Kelmarin semasa sedang berjalan-jalan di WARTA,Bangi sebuah lagu nasyid diputarkan di sana. Nasyid itu sudah lama saya lupakan…sudah lama saya hilangkan dalam ingatan. Apabila saya mendengar nasyid itu tanpa di sengajakan bagai ingin tumpah air mata saya di tengah-tengah orang ramai yang sedang sibuk membeli-belah. Tiba-tiba nasyid itu membuat saya terlalu sebak….

“Tuhan dosaku menggunung tinggi
tapi rahmatMu melangit luas
Harga selautan syukurku
hanyalah setitis NikmatMu dibumi”

Mengemis Kasih - The Zikr

Pada waktu itu, lagi 2 jam sahaja saya akan bersiap-siap menyarungkan jubah konvo dan memasuki dewan konvokesyen dan setelah mendengar lagu itu saya bertanya pada diri.

-Apakah tanda majlis konvokesyen itu pada saya?

-Pentingkah majlis itu untuk menobatkan saya sebagai seorang graduan Fakulti Pengajian Islam yang telah tamat dengan cemerlang?

Tiba-tiba saya menjadi malu dengan diri sendiri dan merasa diri amat kerdil…

“Perlukah aku menghadiri majlis konvokesyen ini,Ya Allah? Berikan kekuatan untuk aku?”, bisik saya di dalam hati penuh sebak.

Mana mungkin saya boleh berbangga dengan semua itu.

Saya tidak mahu melihat ia sebagai tanda kemegahan, kebanggaan dan kecemerlangan. Tetapi saya mahu melihat ia sebagai tanda rahmat yang Allah s.w.t berikan kepada saya. Airmata saya mengalir saat saya mengambil wudhu’ untuk menunaikan solat zohor petang itu…. Hati saya penuh sebak. Walau di bibir terukir senyuman tetapi hati saya hanya Allah yang Maha mengetahui.

Saat saya turun dari pentas dan kembali di tempat duduk, saya mengambil hp saya yang di’silent’kan. Saya menjadi bertambah sebak apabila ada seseorang yang amat saya hormati sebagai guru meng’sms’ saya:

“Salam, Kak Kinah, tahniah dapat hadiah buku universiti”

Saya tersenyum (tapi di hati ada sebak yang begitu menebal) lalu saya berbisik pada diri sendiri:

“Ya Allah…HambaMu memohon agar kejayaan ini menjadikan aku lebih tunduk dan sujud pada Mu. Permudahkan urusan suamiku, ibu bapaku, guru-guruku, sahabat-sahabatku, rakan-rakanku dan mereka yang telah banyak membantu diri ini sehingga berjaya dengan cemerlang”.

KITA DAN NIKMAT ALLAH S.W.T

Sungguh…nikmat Allah itu amat tidak terkira untuk seorang hamba. Jelasnya, Allah s.w.t sentiasa memberikan apa yang kita kehendaki walaupun kadangkala apa yang kita inginkan itu tidak diberikan pada masa yang cepat dan jika sekiranya apa yang kita inginkan itu tidak dikecapi, tentu sahaja Allah s.wt menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik dari apa yang kita inginkan (itupun, sama ada kita sedar ataupun tidak).

Saya teringat firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)”. (al-Quran, Ibrahim: 34).

Moga kita sama-sama sentiasa mendidik diri menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur dengan setiap apa yang diberikan olehNya kepada kita. Lantas dari situ, moga ianya juga mampu mendidik diri kita menjadi hambaNya yang penuh TAQWA.

Saya akhiri penulisan ini dengan firman Allah s.w.t sebagai satu renungan yang bukan sekadar untuk direnung semata:

Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:

Sesungguhnya manusia dicipta bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir, kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, (1) yang mana mereka itu tetap mengerjakan solatnya, dan (2)orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu, bagi orang miskin yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa yang tidak mahu meminta, dan (3)orang-orang yang mempercayai hari pembalasan, dan (4)orang-orang yang takut terhadap azab tuhannya, kerana sesungguhnya azab tuhan mereka tidak dapat orang merasa aman dari kedatangannya, dan (5) orang-orang yang memelihara kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba-hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. barang siapa yang mencari yang disebalik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. dan (6)orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janji mereka. dan (7) orang-orang yang memberikan kesaksian. dan (8) orang-orang yang memelihara solatnya. mereka itulah di syurga lagi dimuliakan.
(al-Quran, al-Ma'arij :19-35)

15 August, 2008



mmm...saya tidak ada apa yang hendak dikatakan tentang konvokesyen ini. Cuma saya agak sedikit terkilan kerana majlis yang diharapkan dapat menemukan saya dan rakan-rakan menjadi yang sebaliknya. Selesai sahaja majlis, entah ke mana sahaja rakan-rakan saya semuanya bertebaran. Hanya beberapa orang sahaja yang dapat ditemui dan saling mengucapkan tahniah. Ramai yang meng'sms' ingin bertemu dengan saya tetapi keinginan hanya tinggal keinginan semata. Tidak mengapalah, saya faham masing-masing sibuk mencari ahli keluarga dan ingin cepat pulang mungkin.

Apapun, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan TAHNIAH kepada diri saya (hehe) dan adik-adik saya yang telah berjaya menamatkan pengajian dan telah memperolehi Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam dengan kepujian.

12 August, 2008

Jam 3 pagi nanti saya sekeluarga (Suami, emak , abah dan bapa mertua saya) akan bertolak dari Singapura menuju ke Bangi. Saya tiada di Singapura selama 2 hari iaitu dari 13-14 Ogos. Pemergian kami ke sana adalah untuk menghadiri Majlis Konvokesyen UKM ke 36. Bagi sesiapa yang sudi untuk melihat majlis tersebut secara langsung boleh melayari laman web UKM. Saya akan berada di Majlis tersebut pada sidang 10, jam 1.30 petang.

Gambar konvo saya semasa mengambil Diploma Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat di Darul Quran,Kuala Kubu Baru pada 26 Julai 2003.

06 August, 2008

Rasulullah s.a.w bersabda:


انْظُرُوا إِلَىٰ مَنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ. وَلاَ تَنْظُرُوا إِلَىٰ مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ. فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لاَ تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللّهِ

Maksudnya: Lihatlah pada mereka yang di bawah kamu dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi daripada kamu. Hal itu lebih wajar bagi kamu agar tidak meremehkan nikmat yang Allah berikan kepada kamu. (H.R Muslim, Kitab al-Zuhd wa al-Raqaiq, No 7379)

Lihatlah pada mereka yang di bawah kamu….

Apabila kita sakit, ada lagi orang yang lebih sakit dari kita
Apabila kita susah, ada lagi orang yang lebih susah dari kita
Apabila kita rasa diri kita tidak cantik, ada lagi orang yang tidak cantik daripada kita…



Atas sebab itu kita perlu menjadi manusia yang bersyukur. Lalu saya ulangi sekali lagi, Lihatlah orang yang di bawah kamu. Bagaimana mereka yang serba kekurangan daripada kita mampu untuk meneruskan kehidupan tanpa sedikit pun merasa kekok untuk menatap hari demi hari.

Tetapi bagaimanakah dengan diri kita?

Kita kadangkala ada sifat meninggi diri. Kita juga kadangkala ada sikap tidak mahu berada di bawah dan tidak mahu merasa untuk jatuh dan duduk sama rendah dengan orang yang berada di bawah. Baru diberi sedikit ujian kita sudah rasakan bagai langit menghempap diri dan seterusnya kita tidak betah untuk meneruskan hidup. Kita lebih suka menyendiri dan mengatakan orang lain tidak memahami apa yang kita rasai. Adakah perkara itu wajar?

Jangan memberikan alasan bahawa kita tidak setabah orang lain. Tabah itu akan wujud hanya saja kita reti untuk meletakkan rasa syukur dan redha di atas setiap ketentuan yang Allah s.w.t takdirkan. Ia akan hadir apabila kita mengerti untuk mengambil hikmah di atas setiap perkara yang berlaku ke atas diri. Dan ia juga akan lahir di dalam diri kita apabila kita sudi untuk melihat manusia yang berada di bawah kita. Kita perlu melihat bagaimana orang lain yang lebih menderita, lebih serba kekurangan dan lebih sukar dalam hidupnya. Dengan melihat orang yang di bawah, kita boleh mengambil pengajaran dan iktibar. Dengan itu, kita akan lebih menghargai apa yang kita miliki.

Namun begitu, tidaklah bermakna kita tidak boleh melihat orang yang berada di atas kita. Sesekali ataupun banyak kali kita juga perlu untuk melihat orang yang ada di atas. Mengapa? Ianya adalah kerana untuk menjadikan kita manusia yang lebih bermotivasi demi membina masa hadapan yang lebih cemerlang.

Belajarlah untuk menjadi manusia yang berlapang dada. Didiklah diri kita agar apabila melihat mereka yang berada di atas, ianya tidak menjadikan kita manusia yang lebih mempunyai rasa iri dan sakit hati. Ingin saya tegaskan di sini bahawa Kita tidak akan bahagia selagi mana di dalam hati kita asyik dibelenggu dangan rasa ketidakpuasan hati sepanjang masa. Kita perlu sedar bahawa semua orang mempunyai rezeki masing-masing. Dan usah sibuk dengan rezeki orang lain dan usah sakit hati dengan kejayaan orang lain sehingga kita terlupa dengan rezeki sendiri seterusnya merasa tidak bersyukur dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada kita.

Suka untuk saya menyatakan bahawa kelebihan yang ada pada orang lain perlu dicontohi untuk merubah diri kita menjadi manusia yang lebih baik. Atas sebab itu, kita perlu menjadi manusia yang ingin belajar dari setiap orang. Ini kerana pada setiap diri itu, ada perkara dan pengajaran yang mungkin tidak ada pada kita. Lalu lihatlah orang yang di bawah agar diri kita lebih bersyukur dan lihatlah orang yang berada di atas agar kita lebih berusaha untuk menjadi manusia yang lebih baik atau mungkin lebih baik dari orang yang berada di atas.

Dan jangan lupa, kita ingin menjadi manusia yang bagaimana pun, manusia yang bertaqwa jualah manusia yang paling mulia di sisi Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.(al-Hujurat:13)


Wallahua’lam

(Idea penulisan ini terhasil setelah saya memberikan tazkirah ringkas yang disampaikan di kuliah Muslimah yang bertajuk Penawar Hati untuk mereka yang sakit dan ditimpa musibah pada 31 Julai 2008 bertempat di dewan serbaguna Masjid Darul Ghufran,Singapura)

01 August, 2008



“Kak, kita cinta dia ..tapi kenapa? Sampai hati dia.Kita sedih sangat kak…”, luah seorang adik yang datang ke bilik saya untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada saya. Saya merenung wajahnya. Ada seribu satu kegusaran yang tak mampu untuk saya rungkaikan. Ada pelbagai macam perasaaan yang amat saya ketahui betapa berat untuk ditanggung olehnya lebih-lebih lagi tinggal sehari sahaja peperiksaan akan membuka tirainya pada waktu itu.

“Macam-macam kita dah buat. Kita dah solat dan doa ..tapi sedih kita tetap tak hilang,kak”

Ya…saya faham, ini dah kes pelamin anganku musnah. Kalau bab-bab cinta dan kasih sayang pada lelaki ni, selalunya susah nak dibiarkan begitu sahaja. Tentu makan masa berbulan-bulan untuk mengubati luka di jiwa.

“Kita cinta dia,kak”, luahnya lagi. Saya tersenyum. Lalu saya katakan padanya:

“Adik, jangan kata cinta. Cukuplah sayang. Kerana cinta itu hanya layak untuk Allah dan Rasul-Nya. Biar cinta kita pada Allah dan Rasul-Nya itu melebihi segalanya. Di situ, apabila berlaku sesuatu, kita mampu untuk mengatasinya kerana kita tahu Allah masih ada untuk kita. Kita takkan rugi apa-apa”

Dia tersenyum,kemudian mengubah kenyataannya: “Ok…kita sayang dia”.

“Setiap apa yang berlaku, tentu ada hikmahnya. Jangan terlalu sedih sangat,k? Mungkin kita ada melakukan kesilapan yang kita tidak sedari. Atas sebab itu, berlakulah perkara seperti ini, untuk kita lebih muhasabah diri. Tentu ada lelaki yang lebih baik lagi untuk adik”

“Tapi dia baik, kak. Dialah lelaki yang paling baik yang pernah kita kenal”

“Ya..dia baik. Tapi mungkin dia baik untuk orang lain, tidak untuk adik. Yakinlah, Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Kan Allah ada kata dalam al-Quran: “Boleh jadi apa yang kamu benci itu adalah baik untuk kamu dan boleh jadi apa yang kamu sukai itu tidak baik untuk kamu” (ayat itu terdapat di dalam surah al-Baqarah: 216).

Dia terdiam seolah-olah sedang memikirkan dalam-dalam apa yang saya katakan padanya sebentar tadi. Saya menyambung lagi kata-kata saya:

“Dalam hidup ini perlu banyak sabar, dik. Akak teringat pada sebuah hadith yang menyatakan tentang kehebatan kehidupan seorang mukmin yang mana hidup orang mukmin semuanya adalah perkara yang baik. Orang mukmin ni dik, mereka apabila ditimpa dengan musibah, mereka bersabar dan itu adalah baik bagi dirinya. Dan mereka jika diberikan dengan nikmat, mereka bersyukur dan itu juga adalah baik untuknya. Sabar ye,dik. Insya Allah, ada hikmah. Cuma kita belum tahu lagi apakah hikmahnya”.

Kata-kata saya itu adalah berdasarkan kepada sebuah hadith yang bermaksud: "Amat ajaib keadaan seorang mukmin, sesungguhnya semua keadaannya adalah baik belaka. Ini tidak berlaku kecuali kepada seorang mukmin. Sekiranya dia dikurniakan kesenangan dia akan bersyukur dan ini baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa kesusahan pula dia akan bersabar dan ini juga baik untuknya.'(H.R Muslim)

Agak lama juga sesi luahan rasa itu berlangsung di dalam bilik saya. Walaupun sebenarnya pada waktu itu, saya sedang sibuk mengulangkaji untuk peperiksaan tetapi atas rasa ihsan saya terhadap seorang adik yang memerlukan sokongan jiwa dan perasaan, saya terpaksa memberikan ruang untuk dirinya berkongsi rasa. Dan seperti biasa, jika siapa yang bertandang ke bilik saya sama ada selepas maghrib atau isyak untuk apa-apa sesi perbualan pun, ia tidak akan habis selagi jarum jam tidak sampai ke angka 12.

Sakitnya putus cinta…

Saya mengerti bagaimana sakitnya putus cinta. Dan untuk mengubati sakit putus cinta bukan memakan masa sehari dua pasti berbulan dan mungkin bertahun. Sebab itu, ada yang sanggup membunuh diri kerana tidak tahan dengan sakitnya putus cinta.

Putus cinta adalah salah satu daripada ujian yang Allah berikan kepada seorang hamba. Bagaimanakah seorang hamba akan menghadapi situasi tersebut bersabarkah atau sebaliknya? Yang penting saya ingin menegaskan di sini, apabila berlakunya putus cinta adakah seorang hamba itu menyedari bahawa dia itu ada melakukan dosa dan kesalahan di sepanjang hubungan cinta terjalin. Kerana pastinya apa yang berlaku adalah hasil daripada perbuatan seseorang itu sama ada disedarinya ataupun tidak. Allah s.w.t berfirman: Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu. (As-Syuraa: 30)

Mungkin atau memang di sepanjang hubungan cinta itu dilalui banyak perkara maksiat yang dilakukan oleh pasangan kekasih, contohnya keluar berdua-duaan, berpegangan tangan, bertentangan mata dan sebagainya. Lalu Allah s.w.t mentakdirkan keduanya berpisah agar keduanya menyedari dosa-dosa yang telah dilakukan.

Tetapi seramai manakah pasangan kekasih yang ingin mengingati semua itu dan berasa insaf? Kebanyakannya hanya tahu bersedih dan menangisi sebuah perpisahan dan menyalahkan antara satu sama lain bahkan mengungkit-ungkit pengorbanan yang telah dilakukan oleh diri masing-masing. Akhirnya timbullah perasaan sakit hati, dengki dan tidak puas hati yang berpanjangan. Sehinggakan saya tidak menafikan ada yang sampai sanggup berbomoh-bomohan. Maka di situ jelas menunjukkan bahawa ada di antara manusia yang tidak mempercayai takdir malah tidak redha di atas ketentuan yang telah Allah s.w.t berikan.

Mengintai kasih di celah ketaqwaan

Dalam apa jua perkara TAQWA itu amat penting untuk diletakkan dalam diri. Begitu juga dengan perkara-perkara cinta dan kasih sayang. Mereka yang ada rasa takut kepada Allah tidak akan mudah jatuh dalam perasaan yang haram (iaitu hubungan cinta antara lelaki dan perempuan bukan mahram di luar pernikahan) apatah lagi untuk melakukan perkara-perkara yang haram atas kata-kata ‘I love you’ dan ‘you love me’ (sebelum pernikahan). Belajarlah untuk mengintai dan merasai kasih di celah ketaqwaan. Lakukanlah sesuatu berdasarkan apa yang telah digariskan oleh syariat Islam bukan berdasarkan kehendak hati dan perasaan.

Lalu saya teringat persoalan yang pernah dilontarkan oleh ustaz Fadlan semasa kuliah hadith 2 pada semester saya yang terakhir (sesi 2007/2008) dahulu .

“Boleh ke orang lelaki nak sayang orang perempuan dengan cara memberikan sms “ANA UHIBBUKI FILLAH”?Boleh tak?”

Kami yang berada di dalam kuliah tersenyum dan menjawab tidak boleh.(Pelajar perempuan yang menjawab. Pelajar lelaki hanya diam dan tertunduk. Entahlah ...terkena pada diri sendiri agaknya..=))

Ustaz pun berkata: “Nak mengasihi orang perempuan adalah dengan cara berkahwin dengannya…”

Tetapi berapa ramai lelaki yang mampu untuk melakukan sedemikian dan berapa ramaikah wanita yang mampu untuk menolak lelaki yang mudah meluahkan perasan sayang dan cinta kepadanya dan belum apa-apa lagi sudah berani berkorban itu dan ini untuk lelaki yang kononnya mencintainya? Sungguh...ramai yang lebih mengikut hati dan perasaan daripada mengikut apa yang ditetapkan oleh Islam.

Ketahuilah, mengintai kasih di celah ketaqwaan hanya mampu dilakukan oleh diri kita sendiri. Lalu tepuk-tepuklah dada kita..tanya-tanyalah iman kita. Kasih kita adalah kasih yang bagaimana?

Wallahu’alam.