19 July, 2008

From: diza

Date: 07/16/2008 9:28 pm

Subject: salam akak comel....

Message: lame xjmpe, akak pe kabar skrng????
betul ke akak nk ke ******.. arghhh tidak.. wait for me...
xgtau pun....bla akak nk pg?
pe pun tahniah kak... akaklah pejuang Islam yang sebenar..
kita jumpe konvo nati ekkk,
mmuah cayang akak


Saya tersenyum membaca pesanan dari adik yang bernama Diza ini di inbox friendster saya. Ya, sudah agak lama kami tidak berjumpa. Terlalu lama…semasa saya ingin berangkat pulang ke Singapura pun, saya tidak sempat menziarahi dia untuk mengucapkan salam perpisahan. Ada hampa di jiwa saya. Sungguh terlalu ramai adik yang ingin saya temui..terlalu ramai. Kalau boleh, saya ingin menziarahi mereka satu persatu dan mengucapkan terima kasih di atas ikatan ukhwah yang terkait indah sepanjang kami sama-sama menempuh kehidupan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Tetapi masa amat tidak mengizinkan saya untuk saya melakukan semua itu.
Saya perlu pulang dengan segera dan di saat-saat akhir saya di sana, hanya beberapa orang adik sahaja yang dapat saya temui dan peluk dengan erat sebagai tanda perpisahan bukan bererti berakhirnya sebuah ukhwah tetapi perpisahan selalunya perlu agar kita lebih menghargai insan-insan yang telah banyak berkongsi suka dan duka bersama kita.

Diza,Saya & Farhah


Noradiza adalah seorang adik yang berasal daripada Kelantan. Semasa di tahun satu beliau selalu menjenguk saya di bilik saya dan selalu juga solat berjamaah bersama saya. Kehadiran dirinya ke kamar saya selalunya menghalau sunyi yang menyelubungi diri, kadangkala dia belajar di atas katil saya kerana dia sendiri bosan duduk mentelaah di biliknya. Bersamanya banyak perkara yang telah saya kongsikan dan banyak juga perkara yang telah kami bicarakan. Perbualan kami biasanya akan menyentuh soal kefahaman dalam mengamalkan syariat Islam, perjuangan dalam pelajaran, kecemerlangan, persahabatan, kekeluargaan dan juga soal hati dan perasaan. Tetapi setelah Diza berpindah ke Kolej Zaaba, kami jarang berjumpa dan berbual. Maklum sahajalah, masing-masing terlalu sibuk dengan tugasan yang bertimbun-timbun juga masa yang banyak terikat dengan jadual kuliah dan tutorial yang padat.

“akaklah pejuang Islam yang sebenar..”

Sehingga kini saya masih memikirkan maksud kata-kata Diza ini. Mengapa dan atas dasar apa beliau mengungkapkan kata-kata itu kepada saya?

Adakah beliau mengatakannya kerana semangat saya yang tidak pernah mahu mengalah untuk terus menuntut ilmu? Mungkin.

Sebenarnya tidaklah layak bagi saya untuk menerima gelaran pejuang Islam yang sebenar. Siapalah saya. Saya masih terlalu muda dan terlalu mentah dalam banyak perkara, terutamanya dalam hal-hal berkaitan dakwah. Saya masih belajar dan ingin terus belajar tetapi sampai bila pun belum tentu gelaran ‘pejuang Islam yang sebenar’ itu layak untuk saya. Sesungguhnya perjuangan untuk menyebarkan agama Allah dan menegakkan sunnah, bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Mudah diucapkan tetapi teramat sukar untuk dilaksanakan. Tanpa banyak memuhasabah diri, tanpa banyak berusaha untuk mendidik diri sendiri …pasti saya sendiri berada di tengah jalan dalam usaha dakwah fi sabilillah.

Saya tahu…apabila adik-adik melihat diri saya, mereka ingin sekali menjadi seperti saya. Dan saya juga berani mengatakan bahawa ada juga yang mengangkat saya sebagai role model untuk mereka meneruskan kehidupan dengan lebih tabah dan penuh dengan perjuangan. Ramai yang berkenan untuk berada di ‘kasut’ saya…mungkin atas sebab itu ada juga yang suka melabelkan saya dengan gelaran-gelaran yang saya sendiri rasa tidak seharusnya diberikan kepada saya, contohnya “Akaklah pejuang Islam yang sebenar”.

Apapun, segala puji itu saya panjatkan jua kepada Allah s.w.t. Biarlah apa jua pandangan adik-adik atau sesiapa sahaja yang mengenali saya, yang penting saya ingin menjadi insan yang sentiasa membuat orang lain terkesan walaupun hanya dengan sekali pertemuan dengan saya. Dan walau dia tidak pernah bertemu dengan saya, tetapi cukuplah dia terkesan dengan setiap penulisan saya di ruangan ini.

Kepada mereka yang memanggil saya “Kak Sakinah”, kepada mereka yang memanggil saya "ustazah sakinah", kepada mereka yang memanggil saya “Sakinah”, mohon doa kalian untuk saya. Doakan yang terbaik untuk saya.

Akhir sekali, saya akhiri penulisan ini dengan sebuah hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam kitab sahihnya:

Sesiapa yang mengajak kepada satu petunjuk, dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa dikurangi pahala mereka.
H.R Muslim (4831)

Sekian Wallahua’alam.

0 Comments:

Post a Comment