31 July, 2008

video


Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Di dalam al-Quran itu terdapat satu surah yang jumlah ayatnya tiga puluh. Surah itu dapat memberi syafaat kepada pembacanya hingga diampuni, iaitu surah tabarakallazi biyadihil mulku"

H.R Abu Daud. Hukum Hadith: Dihukum hasan oleh al-Albani di dalam kitabnya sahih Abu Daud(1400)

26 July, 2008

Mistik....

Hari ini saya telah 'berjalan-jalan' menziarahi file-file lama saya di dalam komputer.hehe. Seronok juga baca assignments lama-lama dari semester 1 hinggalah ke semester saya yang akhir. Hai..rindu nak buat assignment ke? mmm...lebih kurang macam tu lah... Apapun, sebenarnya saya nak berkongsi dengan semua yang menziarahi blog saya dengan satu tugasan yang diamanahkan kepada kumpulan kami yang bertajuk Unsur-unsur mistik dalam masyarakat Melayu. Tugasan ini adalah untuk subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Untuk presentationnya kami telah membentang kertas kerja tersebut dengan satu video yang amat unik bagi saya. hehe...saya tahu siapa yang ada di dewan kuliah pada waktu itu tentu sahaja teringat-ingat bagaimana saya dan rakan-rakan membuat pembentangan untuk tajuk tersebut. Sehinggakan ada di kalangan pelajar lelaki memanggil saya "Ustazah mistik!!" Ish..jangan main-main tau.Tajuk ni penuh nostalgia dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh saya dan ahli kumpulan saya. Mana tidaknya, sampai ada ahli kumpulan yang histeria kononnya kerana buat research tentang tajuk ini. Wah...amat mencabar sungguh! Macam cerita di dalam filem pula kan?



Apapun, bagi anda yang sudi untuk melihat video tersebut, boleh lah klik di sini. Selamat menonton! (Tapi kalau takut...jangan lihat,tau!)

20 July, 2008



Tidak bererti sekiranya hari ini kita kalah
kita akan kalah untuk selamanya
hakikatnya air mata adalah rakan kita dalam perjuangan
jangan takut untuk mengalirkan air mata
kerana ia sebenarnya umpama mutiara penguat diri
intan yang mengilaukan identiti diri.
Disaat-saat kita hampir jatuh dan rebah
merasa sakitnya perjuangan.

Ketabahan sekeping hati...
sememangnya tak mampu dilihat
apatah lagi disentuh.
namun,
setabah mana pun hati... kadangkala ia mengalami sedikit gegaran
ataupun gegaran yang dasyat.

Lalu...
Adakah kita akan membiarkan hati itu terus bergegar dan menanti saat keruntuhannya?!

kita mampu menyelamatkan hati itu!!
Jangan biarkan tembok tabah di dalam hati itu runtuh.
kuatkan ia kembali - HANYA KITA YANG MAMPU MENGUKUHKAN NYA!!!!

Catatan rasa di Kolej Ungku Omar,8U 202, UKM (2006)

19 July, 2008

From: diza

Date: 07/16/2008 9:28 pm

Subject: salam akak comel....

Message: lame xjmpe, akak pe kabar skrng????
betul ke akak nk ke ******.. arghhh tidak.. wait for me...
xgtau pun....bla akak nk pg?
pe pun tahniah kak... akaklah pejuang Islam yang sebenar..
kita jumpe konvo nati ekkk,
mmuah cayang akak


Saya tersenyum membaca pesanan dari adik yang bernama Diza ini di inbox friendster saya. Ya, sudah agak lama kami tidak berjumpa. Terlalu lama…semasa saya ingin berangkat pulang ke Singapura pun, saya tidak sempat menziarahi dia untuk mengucapkan salam perpisahan. Ada hampa di jiwa saya. Sungguh terlalu ramai adik yang ingin saya temui..terlalu ramai. Kalau boleh, saya ingin menziarahi mereka satu persatu dan mengucapkan terima kasih di atas ikatan ukhwah yang terkait indah sepanjang kami sama-sama menempuh kehidupan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Tetapi masa amat tidak mengizinkan saya untuk saya melakukan semua itu.
Saya perlu pulang dengan segera dan di saat-saat akhir saya di sana, hanya beberapa orang adik sahaja yang dapat saya temui dan peluk dengan erat sebagai tanda perpisahan bukan bererti berakhirnya sebuah ukhwah tetapi perpisahan selalunya perlu agar kita lebih menghargai insan-insan yang telah banyak berkongsi suka dan duka bersama kita.

Diza,Saya & Farhah


Noradiza adalah seorang adik yang berasal daripada Kelantan. Semasa di tahun satu beliau selalu menjenguk saya di bilik saya dan selalu juga solat berjamaah bersama saya. Kehadiran dirinya ke kamar saya selalunya menghalau sunyi yang menyelubungi diri, kadangkala dia belajar di atas katil saya kerana dia sendiri bosan duduk mentelaah di biliknya. Bersamanya banyak perkara yang telah saya kongsikan dan banyak juga perkara yang telah kami bicarakan. Perbualan kami biasanya akan menyentuh soal kefahaman dalam mengamalkan syariat Islam, perjuangan dalam pelajaran, kecemerlangan, persahabatan, kekeluargaan dan juga soal hati dan perasaan. Tetapi setelah Diza berpindah ke Kolej Zaaba, kami jarang berjumpa dan berbual. Maklum sahajalah, masing-masing terlalu sibuk dengan tugasan yang bertimbun-timbun juga masa yang banyak terikat dengan jadual kuliah dan tutorial yang padat.

“akaklah pejuang Islam yang sebenar..”

Sehingga kini saya masih memikirkan maksud kata-kata Diza ini. Mengapa dan atas dasar apa beliau mengungkapkan kata-kata itu kepada saya?

Adakah beliau mengatakannya kerana semangat saya yang tidak pernah mahu mengalah untuk terus menuntut ilmu? Mungkin.

Sebenarnya tidaklah layak bagi saya untuk menerima gelaran pejuang Islam yang sebenar. Siapalah saya. Saya masih terlalu muda dan terlalu mentah dalam banyak perkara, terutamanya dalam hal-hal berkaitan dakwah. Saya masih belajar dan ingin terus belajar tetapi sampai bila pun belum tentu gelaran ‘pejuang Islam yang sebenar’ itu layak untuk saya. Sesungguhnya perjuangan untuk menyebarkan agama Allah dan menegakkan sunnah, bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Mudah diucapkan tetapi teramat sukar untuk dilaksanakan. Tanpa banyak memuhasabah diri, tanpa banyak berusaha untuk mendidik diri sendiri …pasti saya sendiri berada di tengah jalan dalam usaha dakwah fi sabilillah.

Saya tahu…apabila adik-adik melihat diri saya, mereka ingin sekali menjadi seperti saya. Dan saya juga berani mengatakan bahawa ada juga yang mengangkat saya sebagai role model untuk mereka meneruskan kehidupan dengan lebih tabah dan penuh dengan perjuangan. Ramai yang berkenan untuk berada di ‘kasut’ saya…mungkin atas sebab itu ada juga yang suka melabelkan saya dengan gelaran-gelaran yang saya sendiri rasa tidak seharusnya diberikan kepada saya, contohnya “Akaklah pejuang Islam yang sebenar”.

Apapun, segala puji itu saya panjatkan jua kepada Allah s.w.t. Biarlah apa jua pandangan adik-adik atau sesiapa sahaja yang mengenali saya, yang penting saya ingin menjadi insan yang sentiasa membuat orang lain terkesan walaupun hanya dengan sekali pertemuan dengan saya. Dan walau dia tidak pernah bertemu dengan saya, tetapi cukuplah dia terkesan dengan setiap penulisan saya di ruangan ini.

Kepada mereka yang memanggil saya “Kak Sakinah”, kepada mereka yang memanggil saya "ustazah sakinah", kepada mereka yang memanggil saya “Sakinah”, mohon doa kalian untuk saya. Doakan yang terbaik untuk saya.

Akhir sekali, saya akhiri penulisan ini dengan sebuah hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam kitab sahihnya:

Sesiapa yang mengajak kepada satu petunjuk, dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa dikurangi pahala mereka.
H.R Muslim (4831)

Sekian Wallahua’alam.

10 July, 2008



Selepas maghrib tadi, seperti biasanya saya membuka al-Quran dan membacanya. Setelah membaca saya merenung al-Quran itu dalam-dalam. Kemudian saya teringat pada ahli Usrah Fatayat Ghufran. Apa khabar mereka? Bagaimana dengan ‘amanah’ yang telah saya berikan pada mereka? Terlaksanakah? atau terkial-kialkah?

Lalu saya mengatakan pada diri secara berbisik:

“Bukan mudah sebenarnya…saya tahu amanah yang saya berikan ‘berat’, walau pada saya ianya amat mudah”

Tiba-tiba saya teringat kata-kata yang saya muatkan dibelakang kad ‘Menyelami Ayat-Ayat Hati’ mereka (Kad ini adalah sekeping kertas yang saya berikan pada mereka untuk merekodkan bacaan al-Quran mereka yang mana saya peruntukkan sehari satu maqra’):

Kalau saya ada masa untuk
menonton televisyen
mendengar Radio
Chatting di MSN/YM
Melayari internet
Membaca novel
Berbual di telefon

Mengapa pula saya tidak mempunyai masa untuk MEMBACA AL-QURAN???

Sedangkan saya mengaku bahawa
AL-QURAN KALAMULLAH
&
BERIMAN DENGAN ISI KANDUNGANNYA??



Ya…Cukup membuka mata. Cukup membuka hati….

Teringat masa saya masih belajar di UKM. Saya Sibuk. Terlalu sibuk. Kesibukan yang amat sangat kadangkala membuatkan saya mengalirkan air mata. Sehingga terhasillah kata-kata ini:

Ya Allah...
Beban yang kugalas amat
berat untuk ku bawa
Berikan kekuatan untuk ku
Biar perjuangan ilmu
kutempuh dengan redhaMu
Agar beban ini mengajar aku erti keikhlasan
dalam mengejar ilmu Mu
Jangan Kau jadikan kesibukan ini
penyebab aku jauh dari Mu
Jangan Kau jadikan airmata ini
Penyebab aku berputus asa
dari terus mencapai rahmat Mu
Thabbit Quluubana ‘Ala Diinik!!
Menuntut ilmu kerana Mu
Agar beban ini terasa ringan
Agar hati ini terasa dibelai kasih Mu
Rabbi Yassir walaa Tua’ssir Ya karim


Apabila saya letih saya sukar untuk bangun malam. Saya akhirnya bangun subuh dengan penuh kekecewaan kerana rutin harian saya terganggu dek kesibukan yang bagai tiada penghujung!

Bagaimanakah al-Quran saya pada waktu kesibukan menghimpit diri? Kadangkala dari dua maqra’ saya kurangkan kepada satu maqra’ dari satu maqra’ saya kurangkan kepada 1 muka surat. Mmm…dasyatnya! Kemudian pada waktu itu, saya merenung kembali diri dan bermonolog sendirian:

Saya ada masa untuk makan?

-Tentu sekali kalau tak makan, mcm mana saya nak belajar. Nanti saya lembik semacam.

Saya ada masa sms kawan-kawan?

-Ya, kalau tidak sunyilah hidup saya.

Saya ada masa nak jenguk blog saya?

-mmm…setakat jenguk je..tak update pun. Tapi masih peruntukkan lima minit untuk lawati.

Tapi dengan al-Quran bagaimana?

-Saya masih baca..cuma akhir-akhir ini saya terpaksa kurangkan.

Terpaksa kurangkan?!Kenapa?!

Alamak..saya terperangkap dengan persoalan dan jawapan yang saya cipta sendiri.

Tidak boleh!!! Tidak boleh!!!

Al-Quran tidak boleh saya abaikan!! Saya perlu istiqamah!!!

Bukankah al-Quran juga adalah makanan saya?
Makanan untuk hati saya agar ianya tetap teguh dan terus tabah untuk dakwah fillah?!!

Itulah kalamullah….pengubat jiwa dan rindu saya
Kalamullah … yang mengingatkan saya apabila saya lupa
Memberikan kepada saya motivasi untuk terus berjuang hingga ke nafas saya yang terakhir

Itulah juga amalan untuk saya balas budi dan jasa kedua ibu bapa saya.

Saya perlu membaca dan berusaha untuk mentadabbur sekaligus mengamalkannya!

Kerana saya tidak lupa pada sebuah hadith daripada Buraidah r.a beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang membaca al-Quran dan mempelajarinya dan mengamalkannya, maka pada hari kiamat Allah akan memakaikan kedua orang tuanya mahkota dari cahaya yang sinarnya seperti sinar matahari dan akan dipakaikan kepada kedua orang tuanya dua perhiasan yang tidak tertandingi oleh dunia, lantas keduanya bertanya: “Mengapa kami dipakaikan ini?” lalu dijawab: ”Disebabkan pengamalan al-Quran anakmu berdua”.
(Diriwayatkan oleh al-Hakim. Hadith ini dihukum hasan lighairih oleh al-Albani di dalam kitabnya sahih al-Targhib No. 1434)

Dengan hadith itu juga saya hiasi kad ‘Menyelami Ayat-Ayat Hati’ yang saya berikan pada mereka. Saya katakan pada mereka:

“Balaslah jasa kedua orang tua kita dengan bacaan dan amalan kita pada al-Quran. Moga inilah sebaik-baik balasan yang dapat kita hadiahkan kepada kedua ibu bapa kita di akhirat kelak”

Sebenarnya saya ingin memberitahu mereka (dan juga anda yang sedang membaca) untuk menyelami ayat-ayat hati (al-Quran) bukan sahaja pada waktu kita dirundung malang. Ayat-ayat hati itu perlu diselami setiap masa, setiap hari dan setiap keadaan (susah atau senang).

Saya sedar mungkin juga ramai yang sedar..

AL-QURAN SEMAKIN DIPINGGIRKAN
AL-QURAN SEMAKIN DITINGGALKAN

lalu dengan itu saya ingin menyeru diri saya dan anda yang sedang menatap penulisan ini:

MOGA SAYA DAN ANDA BUKAN DI ANTARA MEREKA YANG MEMINGGIRKAN AL-QURAN
Lantas kita perlu sama-sama berusaha untuk menyelami ayat-ayat al-Quran. Tanya-tanyalah pada diri kita:

Jika hari ini kita tidak membaca al-Quran, apakah yang kita rasai?
Jika kita tidak merasai apa-apa…maknanya ada masalah dengan jiwa kita
Jika kita memang benar-benar tidak merasai apa-apa, ada perkara yang perlu kita muhasabahkan dalam hidup kita.

Dengan itu, Saya ingin tinggalkan anda dengan sebuah kata-kata yang sudah lama saya simpan (kata-kata ini saya tidak tahu dari mana dan siapa penulisnya, ianya di forwardkan dari email ke email). Moga ianya mampu menjadi peringatan untuk kita…KITA YANG MENGAKU BERIMAN DENGAN KITABULLAH – AL-QURAN:

BILA AL-QURAN MULA BEBICARA

Waktu engkau masih kanak-kanak
kau laksana kawan sejatiku
Dengan wudu', Aku kau sentuh
dalam keadaan suci, Aku kau pegang
Aku,kau junjung dan kau pelajari
Aku engkau baca dengan suara lirih atau
pun keras setiap hari
Setelah selesai engkau menciumku mesra

Sekarang engkau telah dewasa..............
Nampaknya kau sudah tak berminat padaku...
Apakah Aku bahan bacaan usang tinggalan sejarah...?
Menurutmu, mungkin aku bahan bacaan
yang tidak menambah pengetahuanmu
Atau, menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji.......

Sekarang, Aku tersimpan rapi sekali,
hinggakan engkau lupa di mana Aku tersimpan
Aku, engkau anggap sebagai pengisi setormu.
Kadang kala Aku dijadikan mas kawin
agar engkau dianggap bertaqwa
Atau Aku kau buat penangkal untuk menakuti iblis dan syaitan

Kini... Aku lebih banyak tersingkir,
dibiarkan dalam kesendirian, kesepian.
Di dalam almari, di dalam laci, aku
engkau pendamkan.

Dulu...pagi-pagi...surah-surah yang ada padaku engkau baca beberapa halaman.
Di waktupetang, Aku kau baca beramai-ramai bersama temanmu di surau.....
Sekarang...seawal pagi sambil minum kopi...engkau baca surat khabar
Waktu lapang engkau membaca buku karangan manusia
Sedangkan Aku yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla,
Engkau abaikan dan engkau alpakan...
Waktu berangkat kerja pun kadang engkau lupa baca pembuka ku(Bismillah).

Di dalam perjalanan engkau lebih asyik menikmati musik duniawi
Tiada kaset yang berisi ayat Allah di dalam keretamu
Sepanjang perjalanan, radiomu tertuju ke stasyen radio kesukaanmu...
Mengasyikkan...

Di meja kerjamu tiada Aku untuk di baca sebelum mulai kerja
Di Komputermu terputar musik favoritmu
jarang sekali engkau putar ayat-ayatku.........
E-mail temanmu yang ada ayat-ayatku pun kau abaikan
Engkau terlalu sibuk dengan urusan dunia mu
Benarlah dugaanku bahawa engkau kini
sudah benar-benar hampir melupaiku

Bila malam tiba engkau tahan bersekang mata berjam-jam di depan TV.
Menonton siaran television
Di depan komputer berjam-jam engkau betah duduk
Hanya sekedar membaca berita murahan dan gambar sampah
Waktupun cepat berlalu.........
Aku semakin kusam dalam laci-laci mu
Mengumpul debu atau mungkin dimakan hama
Seingatku, hanya awal Ramadhan engkau membacaku kembali
Itupun hanya beberapa lembar dariku.
Dengan suara dan lafadz yang tidak semerdu dulu
Engkau pun kini terangkak-rangkak ketika membacaku
Atau waktu kematian saudara atau taulan mu

Bila engkau di kubur sendirian menunggu sampai kiamat tiba
Engkau akan diperiksa oleh para malaikat suruhanNya
Apakah TV, radio ,hiburan atau komputer dapat menolongmu?
Yang pasti ayat-ayat Allah s.w.t yang ada padaku menolong mu
Itu janji Tuhanmu, Allah s.w.t

Sekarang engkau begitu enteng membuang waktumu...
Setiap saat berlalu...
Dan akhirnya.....
kubur yang setia menunggu mu...........
Engkau pasti kembali, kembali kepada Tuhanmu
Jika Aku engkau baca selalu dan engkau hayati...
Di kuburmu nanti....
Aku akan datang sebagai pemuda gagah nan tampan.
Yang akan membantu engkau membela diri
Dalam perjalanan ke alam akhirat.
Dan Akulah "Al-Qur'an",kitab sucimu
Yang senantiasa setia menemani dan melindungimu.
Peganglah Aku kembali.. .. bacalah aku kembali aku setiap hari.
Karena ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat-ayat suci.
Yang berasal dari Allah Azzawajalla
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah
Yang disampaikan oleh Jibril melalui Rasulmu
Keluarkanlah segera Aku dari almari, lacimu.......
Letakkan aku selalu di depan meja kerjamu.
Agar engkau senantiasa mengingat Tuhanmu.
Sentuhilah Aku kembali...
Baca dan pelajari lagi Aku....
Setiap datangnya pagi, petang dan malam hari walau secebis ayat
Seperti dulu.... Waktu engkau masih kecil
Di surau kecil kampungmu yang damai
Jangan aku engkau biarkan sendiri....
Dalam bisu dan sepi....

(Selesai penulisan pada jam 12.31 tgh/mlm, Khamis 10.07.08)

07 July, 2008

Bosan..Rindu..



Melihat gambar ini...saya termenung.
Tidak sangka...ianya secantik ini...(itu pada pandangan saya..mungkin pada pandangan orang lain gambar itu tidak memberi apa-apa makna pun. Semua orang ada pandangan yang berbeza,kan?)

Sebenarnya saya yang meminta kepada ustaz Irwan agar mengambil gambar batang pokok itu kerana bagi saya batang pokok tersebut amat unik. Dan apabila saya melihat gambarnya saya terpegun..
Ya..ianya memang unik. Subhanallah!

Mmmm...saya bosan sebenarnya. Saya buntu. Saya tidak ada apa-apa yang menarik untuk dikongsikan dengan semua.Padahal saya baru sahaja pulang dari bercuti di KL dan di sana saya menetap di sebuah hotel yang amat unik dan cantik dari segi reka bentuk dan hiasan dalamannya. Tapi...percutian itu, masih tetap tidak dapat menghadirkan kata-kata dan butir bicara untuk saya taip menjadi satu bahan bacaan yang indah untuk direnungkan (wajah saya sugul...)

Semalam dalam perjalanan pulang ke Singapura, saya sempat menjengah kolej Ungku Omar di UKM dan menunaikan solat fardhu zohor berjamaah di Pusat Islam, UKM. Mengelilingi UKM setelah tidak bergelar pelajar memang menggamit seribu satu nostalgia yang tidak terluah.

Hari ini kebanyakan pelajar universiti di Malaysia sudah pulang ke kampus masing-masing. Jika saya masih lagi bergelar pelajar, tentu semalam kedatangan saya ke UKM adalah untuk meneruskan perjuangan bukan untuk setakat membuang pandang dan mengimbau nostalgia. Tiba-tiba ada sendu di jiwa....

Ya..saya tahu..saya sedang kerinduan...

Rindu untuk ke kuliah..rindu untuk menyiapkan assignment
rindu untuk bergurau bersama teman-teman
rindu untuk menerima tetamu (yang meminta pelbagai nasihat dan tunjuk-ajar) di bilik saya
saya rindu untuk ke perpustakaan
rindu..rindu..rindu

Tiada apa yang saya harapkan melainkan peluang saya untuk menuntut ilmu sentiasa terbuka luas...

Ya Allah, takdirkanlah yang terbaik untuk hamba-Mu

~Menuntut ilmu hingga ke hujung usia....~