27 June, 2008

Pagi ini tiba-tiba saya kembali pada zaman lepas. Zaman di mana saya masih lagi belum mengenali dunia pekerjaan dan masih mentah dalam dunia dakwah dan pendidikan. Zaman itu yang telah mendidik saya supaya berani untuk bersuara melahirkan apa yang saya rasai dengan penuh yakin. Itulah dia zaman persekolahan saya di Madrasah Alsagoff al-Arabiah.

Saya teringat antara ucapan awal saya ketika menyampaikan kuliah Muslimah semalam:

“Pertama sekali saya nak minta tolong…jika saya tercakap laju, sila beritahu. Sebab saya memang biasa bercakap laju. Kerana apa? Dulu…saya merupakan pembahas Madrasah Alsagoff al-Arabiah…jadi dah terlatih bercakap laju.Kalau dah cakap semangat lagilah, tak mampu nak control. Kadang-kadang saya tak perasan. Jadi, tulah..kalau saya tercakap laju, saya minta makcik-makcik dapat tegur saya…”

Makcik-makcik di hadapan saya semuanya tersenyum-senyum mendengar kata-kata saya sambil mengangguk-angguk tanda faham. Lega sedikit hati saya, sekurang-kurangnya saya telah memohon kerjasama mereka agar dapat membantu untuk menegur saya. Tapi kalau saya tercakap laju juga..agak-agak mereka nak tegur ke? Ehheh..Wallahua’alam.

Berbalik pada zaman semasa saya menuntut di madrasah Alsagoff. Sebenarnya ketika menyentuh tentang percakapan saya yang laju dan kadangkala sukar nak dikawal kelajuannya, telah mengingatkan saya pada waktu saya dan rakan-rakan dilantik sebagai pembahas madrasah Alsagoff al-Arabiah pada tahun 1999. Peraduan Bahas Antara Sekolah Menengah 1999, Piala Berita Harian Anjuran Kelab Coretan Remaja dengan kerjasama Masjid Sultan itu telah banyak memberikan saya pelbagai pengajaran dan manfaat. Antaranya ialah ia telah mendidik diri saya supaya lebih berani berhadapan dengan orang ramai dan menyatakan perkara yang benar dengan lebih diplomasi. Antaranya juga, ianya telah melatih saya supaya bercakap laju! Hehe.


Kumpulan kami yang mendapat bimbingan daripada Cikgu Suhana memang agak tertekan. Kerana cikgu Suhana bukan seorang cikgu yang mudah memuji. Walau kami menang pertandingan pun ada sahaja komen-komen ‘pedas’ yang cikgu berikan pada setiap persembahan kami. Kadang-kadang rasa patah hati juga dengan komen-komen cikgu, tetapi yang penting kami belajar dari komen itu untuk menjadi pembahas yang lebih baik pada masa akan datang.

Sedari awal pertandingan, saya menyertai peraduan itu sebagai pembahas ketiga tetapi tidak dapat mewakili Madrasah Alsagoff di peringkat akhir untuk berdebat dengan Raffles Institution kerana saya terkena penyakit chicken-pox. Lalu pembahas simpanan telah menggantikan tempat saya. Yang sedihnya, Madrasah Alsagoff kecundang ketika berentap dengan Raffles Institution dan hanya dapat merangkul kejayaan sebagai naib juara. Tetapi cikgu Suhana kata: “Takpe, yang penting kita dah dapat masuk final, tu dah kira bagus”.

Saya tersenyum apabila teringatkan bagaimana kami berempat (Saya, Asyunifar, Marlissah dan Raudhah) berlatih bercakap dengan laju kerana hendak mengejar masa dan inginkan setiap point yang kami nyatakan terluah di dewan perbahasan. Memang rasa macam nak terbelit lidah ni! Dalam masa tidak silap saya, lima atau empat minit(saya pun dah terlupa berapa minit yang sebetulnya), kita nak luahkan semuanya. Adui… tapi laju macam manapun mereka yang mendengar perlu faham. Itu yang susah!

Dan ketika saya sedang berlatih ada seorang dari rakan sekelas saya yang melihat saya berlatih berkata:

“Eh..nak cakap semua ni lima minit! Sempat ke? Kalau ana..tak sempat cakap apa-apa seh! Ana beri salam je..dah lima minit!”

Heheh…Ya Allah…nak pecah perut saya tahan ketawa.


Sejak daripada itu, mungkin ianya sedikit sebanyak mempengaruhi cara percakapan saya. Memang saya sedar, kadangkala ketika saya membentangkan kertas kerja, saya mempunyai gaya seperti seorang pembahas dan kadangkala ketika saya menyoal dan menjawab soalan atau memberikan pandangan ketika di bilik tutorial atau pada waktu-waktu lain, saya begitu serius seperti orang yang hendak berdebat. Perkara ini pernah dinyatakan oleh Puan Azizah semasa saya mengikuti kursus English For Islamic Studies di UKM. Ketika itu kami perlu membuat presentasi secara invidual dan setelah saya menyampaikan teks saya, antara soalan yang dikemukakan oleh beliau ialah:

“Dulu semasa di sekolah kamu ni, pembahas ke?”

Saya mengangguk dan menjawab: “ya”

“Patutlah…cara kamu sampaikan ada gaya seorang pembahas”, katanya dengan dihiasi senyumannya yang sentiasa murah.

Jadi, saya tidak menafikan dan tidak marah jika ada makcik-makcik yang kata saya bercakap laju.

Mmm…susah sebenarnya untuk saya melatih diri bercakap perlahan. Saya tidak ada pengalaman menyampaikan ilmu pada makcik-makcik. Kebiasaannya pelajar-pelajar saya terdiri di kalangan para remaja. Tentu cara penyampaian saya lebih sesuai untuk remaja tetapi tidak sesuai untuk golongan dewasa. Saya pun berkata pada suami saya:

“Inah tak sesuai ajar makcik-makcik..mungkin inah tak le ajar mereka.Inah rasa Inah tak le buat. Inah jadi susah hati”

Suami saya terus berkata: “Boleh…U kena usaha!”

“Tapi Inah rasa mcm tak boleh”, kata saya cuba menyakinkan suami saya.

“Inah boleh. Kena usaha. Tak kan kita nak sampaikan ilmu pada sesetengah peringkat umur je…abih yang lain mcm mana? Inah kena faham, Inah ajar orang tua..mereka tak le faham kalau Inah cakap mcm Inah cakap dengan budak-budak. So Inah kena usaha”, dia pula yang meyakinkan saya.

Ya…saya perlu berusaha. Atas dasar itu, dari rumah lagi sebelum ke kuliah saya sudah menasihati diri: “Sakinah..jangan cakap laju!” Sehinggakan, saya meletakkan satu nota kecil di file saya, supaya saya dapat melihat nota itu ketika memberikan kuliah dan nota itu berbunyi: “JANGAN CAKAP LAJU!!!”

Tetapi akibatnya, apabila saya terlalu berhati-hati bercakap dengan ‘tartil’, suara saya pula yang menjadi perlahan. Adui…saya tak boleh lupa lah makcik-makcik ni, bila dah habis kuliah baru dia beritahu, suara saya perlahan...tapi mujur tidak perlahan sangat. Masih boleh didengar, Alhamdulillah. Cuma, mungkin mereka sudah terbiasa dengan ustazah-ustazah yang cakap dengan suaranya berdengung-dengung, tak?! hehe..

Tapi tidak mengapa…kita belajar daripada apa yang berlaku semalam. Bagi saya, saya tidak takut untuk melakukan kesilapan. Ini kerana kesilapan itu sebenarnya banyak mengajar diri seseorang untuk terus memperbaiki dirinya ke arah yang lebih cemerlang. Kesilapan bukan untuk ditangisi tetapi kesilapan adalah untuk dipelajari!

Saya akan terus berlatih dan belajar untuk tidak bercakap laju. Saya tidak mahu MENCUBA agar ia menjadi, tetapi saya mahu MELAKUKAN supaya ia benar-benar terjadi. Maka, Doakanlah untuk saya.

Sekian. Wassalam.

(Semalam di akhir kuliah kak Marziah ada kata: “Budak ni nak nangis ke apa?” mmm..memang ada beberapa bahagian yang saya sampaikan dengan menahan air mata dan sebak di dada kerana ianya adalah kisah benar saya sendiri. Wallahua’alam)

0 Comments:

Post a Comment