10 June, 2008

“Mak, betul ke, ***** dah tak pakai tudung? Tadi kawan kakak cerita kat kakak”, tanya saya kepada emak inginkan kepastian.Saya bertanya kepada emak saya kerana emak saya baik dengan emak rakan saya ini.

“Ye ke?”, Mak saya pula yang menyoal saya kembali.

“Mak ni, kakak tanya mak lah”

“Alah…hari tu adalah kawan mak cakap, dia kerja je tak pakai tudung”

“Eh…kakak tak boleh lah..mak dia tak marah ke? Kawan kakak kata suami dia tak kisah. Kakak tak boleh terimalah! kan dua-dua (suami isteri) sekolah madrasah Al******.Kenapalah mcm tu?” rugut saya penuh kesal.

“Alah..mak dia tak kisah, nak cakap apa”, kata mak saya dengan selamba.

“Pelik lah…”, saya masih dibaluti kehairanan.

“Entah, eh? Kalau mak dia macam aku tak pelah jugak..mak dia lagi warak orangnya. Orang kuat masjid”, kata mak saya lagi.

‘Hai mak, mengaku tak warak nampaknya’, bisik saya dalam hati. Hahaha…

Kesal

Saat mendengar cerita itu daripada rakan saya petang kelmarin, di dalam hati ini cuma ada segudang kesal. Saya berasa kesal apabila tindakan itu disokong oleh ibu dan suaminya. Dan apa yang membuatkan saya bertambah-tambah kesal kerana keluarga itu saya kenali sebagai mereka yang kuat berpegang dengan agamanya dan kawan saya dan suaminya itu pula merupakan anak didik daripada sebuah madrasah yang masyhur di Singapura.

Terdetik persoalan di dalam hati saya, adakah wajar dengan alasan sukar untuk mendapatkan pekerjaan kita menanggalkan tudung yang sememangnya WAJIB dipakai oleh seorang Muslimah? Sedangkan kita masih boleh berusaha untuk mendapatkan pekerjaan di mana pekerjaan itu tidak menuntut kita untuk menanggalkan tudung? Belum ada orang yang bertudung mati kebuluran dan hidup merempat kerana tiada pekerjaan! Dan jika ada pun, mungkin salah diri sendiri yang tidak mahu berusaha mencari rezeki sesuai syariat.

Saya termenung sebentar lalu berdoa:

اللهم اهدني و سددني
"Ya Allah berikanlah aku petunjuk dan luruskanlah aku"

(Hadith riwayat Muslim dalam kitab sahihnya; Kitab al-Du'a, Bab al-Du'a bi al-Hidayah wa al-Sadad)

Sebenarnya saya kecewa…

Jika anak didik madrasah sendiri tidak yakin bahawa berusaha untuk menegakkan perintah Allah s.w.t dan menjunjung sunnah Rasul-Nya nescaya Allah s.w.t sentiasa mempermudahkan segala urusan dan menunjukkan jalan untuk setiap permasalahan, bagaimana anak didik madrasah kita ingin dijadikan sebagai ikon ataupun contoh Muslim cemerlang dunia dan akhirat kepada mereka yang bukan berpendidikan madrasah?

Di mana silapnya sebenarnya? Adakah ini kerana kita terlalu yakin bahawa pelajar madrasah kita sudah cukup baik dan mampu berdikari untuk membezakan yang hak dan yang batil lantaran mereka disogokkan dengan ilmu pengajian Islam selama berbelas-belas tahun? Tetapi adakah kita sedar bahawa ramai pelajar madrasah kita hanya datang ke madrasah untuk belajar tanpa ada kesedaran untuk apa mereka belajar ilmu agama dan kebanyakan mereka juga beramal serta beribadah dengan taklid buta.

Hakikatnya ramai pelajar madrasah yang 'belajar tanpa penghayatan'. Dan konsep 'belajar tanpa penghayatan' inilah yang dibawa oleh mereka hingga ke universiti. Akibatnya mereka belajar pengajian Islam hanya untuk menyempurnakan hasrat menjejakkan kaki ke universiti dan menggenggam segulung kertas bernama ijazah! Paling malang apabila ada di antara mereka menjalani kehidupan seperti orang-orang yang tidak memahami hukum-hakam dan syariat tuhan dan akhirnya pulang ke Singapura ingin menyandang jawatan sebagai pendidik dan pendakwah untuk anak-anak Islam dan masyrakat Islam!

Sesaknya dada saya…bagai tidak mampu bernafas dengan baik apabila memikirkan tentang anak-anak berpengajian Islam ini. Jiwa ini benar-benar terguris….

Benarlah…ini dia fitnah (ujian) akhir zaman!

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dengan sanadnya daripada Abu Hurairah yang bermaksud: sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Bergegaslah membuat amalan-amalan untuk mengatasi fitnah. Fitnah itu seperti potongan malam yang gelap. Lelaki itu di waktu pagi akan beriman dan di waktu petang akan menjadi kafir atau petang beriman dan pagi kafir. Dia akan menjual agama untuk mendapatkan dunia.

(Hadith riwayat Muslim dalam kitab sahihnya, Kitab al-Iman, Bab al-Hath ’ala al-Mubadarah bi al-’Amal Qabla Tadhahuri al-Fitan)

Menjual agama untuk mendapatkan dunia? Nauzubillah. Iman dan Islam tidak boleh dijadikan cagaran untuk mendapatkan dunia lantaran keduanya itu merupakan nikmat yang paling besar yang Allah s.w.t campakkan di dalam hati seorang hamba. Lalu perbanyakkanlah berdoa agar hati kita sentiasa tetap di dalam agama-Nya untuk berjuang menjunjung perintah Allah s.w.t dan Sunnah Rasul-Nya pada hari ini, esok dan selamanya.

يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك
“Wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku dalam agama-Mu”

(Hadith riwayat al-Tirmidhi dalam kitab sunannya, Kitab al-Da’awat An Rasulillah, Bab Ma Jaa Fi Aqdi al-Tasbih bi al-Yad. Hadith ini dihukum sahih oleh al-Albani di dalam kitabnya sahih al-Tirmidhi (No 3522)

0 Comments:

Post a Comment