29 June, 2008

Saya dan Julai

Bismillah

Saya tersenyum-senyum sendiri apabila membaca Rahsia bulan kelahiran yang telah dibuat kajian oleh Dato’ Dr Fadzilah Kamsah. Apabila saya meneliti rahsia bulan kelahiran untuk Julai, saya terus berkata dalam hati:
“Alamak, semua betul lah…tapi satu je tak betul. Wah!! ni bukan sebarang kajian ni"

Tapi itu untuk saya lah..mungkin untuk orang lain tak bertepatan dengan dirinya.

JULAI

* Sangat suka didamping.
* Banyak berahsia dan sukar dimengerti terutamanya lelaki.
* Agak pendiam kecuali dirangsang.
* Ada harga dan maruah diri.
* Tak suka menyusahkan orang lain tapi tidak marah apabila disusahkan.
* Mudah dipujuk dan bercakap lurus.
* Sangat menjaga hati orang lain.
* Sangat peramah.
* Emosi sangat mendalam tapi mudah terluka hatinya.
* Berjiwa sentimental.
* Jarang berdendam.
* Mudah memaafkan tapi sukar melupakan.
* Tidak suka benda remeh-temeh.
* Membimbing cara fizikal dan mental.
* Sangat peka, mengambil berat dan mengasihi serta penyayang.
* Layanan yang serupa terhadap semua orang.
* Tinggi daya simpati.
* Pemerhatian yang tajam.
* Suka menilai orang lain melalui pemerhatian.
* Mudah dan rajin belajar.
* Suka muhasabah diri.
* Suka mengenangkan peristiwa atau kawan lama.
* Suka mendiamkan diri.
* Suka duduk di rumah.
* Suka tunggu kawan tapi tak cari kawan.
* Tidak agresif kecuali terpaksa.
* Lemah dari segi kesihatan perut.
* Mudah gemuk kalau tak kawal diet.
* Minta disayangi.
* Mudah terluka hati tapi lambat pulih.
* Terlalu mengambil berat.
* Rajin dalam membuat kerja

Klik di sini untuk melihat rahsia bulan kelahiran anda. Tapi perlu di ingat ia adalah berdasarkan kepada kajian dan tidak semestinya betul. Wallahua’alam :)

28 June, 2008

Jgn biarkan sepi ini menguasai
Aku bimbang menjadi insan yang tidak tahu menghargai
Aku bimbang menjadi insan yang tidak reti mensyukuri
Aku takut tidak menjadi insan yang lebih menghormati

Sukar untuk aku nyatakan padamu
Nanti akhirnya aku juga yang dipersalahkan
Namun adakah semua ini adil untukku
Sedangkan dirimu sendiri tidak pernah berusaha untuk memperbaiki?

Aku dijerut rasa
Aku hampir kecewa
Aku hampir berputus asa
Mungkin juga hampir gila
Sudah bertahun lamanya aku terseksa
Memendam rasa, menyimpan kecewa
Dihimpit sepi yang tidak bertepi
Dibelenggu sunyi yang merantai diri

Mujur aku punya iman di jiwa
Dahiku mencecah sejadah jua
Tangisan hanya terhambur di depan Allah
Aku akur pada ketentuan
Aku sedar kepahitan pada sebuah kesabaran

Ya Allah..aku ingin hati ini dibelai kasih-Mu

Biar insan lain tidak memahami
Kerana kutahu Kau Ya Allah lebih mengerti....

27 June, 2008

Pagi ini tiba-tiba saya kembali pada zaman lepas. Zaman di mana saya masih lagi belum mengenali dunia pekerjaan dan masih mentah dalam dunia dakwah dan pendidikan. Zaman itu yang telah mendidik saya supaya berani untuk bersuara melahirkan apa yang saya rasai dengan penuh yakin. Itulah dia zaman persekolahan saya di Madrasah Alsagoff al-Arabiah.

Saya teringat antara ucapan awal saya ketika menyampaikan kuliah Muslimah semalam:

“Pertama sekali saya nak minta tolong…jika saya tercakap laju, sila beritahu. Sebab saya memang biasa bercakap laju. Kerana apa? Dulu…saya merupakan pembahas Madrasah Alsagoff al-Arabiah…jadi dah terlatih bercakap laju.Kalau dah cakap semangat lagilah, tak mampu nak control. Kadang-kadang saya tak perasan. Jadi, tulah..kalau saya tercakap laju, saya minta makcik-makcik dapat tegur saya…”

Makcik-makcik di hadapan saya semuanya tersenyum-senyum mendengar kata-kata saya sambil mengangguk-angguk tanda faham. Lega sedikit hati saya, sekurang-kurangnya saya telah memohon kerjasama mereka agar dapat membantu untuk menegur saya. Tapi kalau saya tercakap laju juga..agak-agak mereka nak tegur ke? Ehheh..Wallahua’alam.

Berbalik pada zaman semasa saya menuntut di madrasah Alsagoff. Sebenarnya ketika menyentuh tentang percakapan saya yang laju dan kadangkala sukar nak dikawal kelajuannya, telah mengingatkan saya pada waktu saya dan rakan-rakan dilantik sebagai pembahas madrasah Alsagoff al-Arabiah pada tahun 1999. Peraduan Bahas Antara Sekolah Menengah 1999, Piala Berita Harian Anjuran Kelab Coretan Remaja dengan kerjasama Masjid Sultan itu telah banyak memberikan saya pelbagai pengajaran dan manfaat. Antaranya ialah ia telah mendidik diri saya supaya lebih berani berhadapan dengan orang ramai dan menyatakan perkara yang benar dengan lebih diplomasi. Antaranya juga, ianya telah melatih saya supaya bercakap laju! Hehe.


Kumpulan kami yang mendapat bimbingan daripada Cikgu Suhana memang agak tertekan. Kerana cikgu Suhana bukan seorang cikgu yang mudah memuji. Walau kami menang pertandingan pun ada sahaja komen-komen ‘pedas’ yang cikgu berikan pada setiap persembahan kami. Kadang-kadang rasa patah hati juga dengan komen-komen cikgu, tetapi yang penting kami belajar dari komen itu untuk menjadi pembahas yang lebih baik pada masa akan datang.

Sedari awal pertandingan, saya menyertai peraduan itu sebagai pembahas ketiga tetapi tidak dapat mewakili Madrasah Alsagoff di peringkat akhir untuk berdebat dengan Raffles Institution kerana saya terkena penyakit chicken-pox. Lalu pembahas simpanan telah menggantikan tempat saya. Yang sedihnya, Madrasah Alsagoff kecundang ketika berentap dengan Raffles Institution dan hanya dapat merangkul kejayaan sebagai naib juara. Tetapi cikgu Suhana kata: “Takpe, yang penting kita dah dapat masuk final, tu dah kira bagus”.

Saya tersenyum apabila teringatkan bagaimana kami berempat (Saya, Asyunifar, Marlissah dan Raudhah) berlatih bercakap dengan laju kerana hendak mengejar masa dan inginkan setiap point yang kami nyatakan terluah di dewan perbahasan. Memang rasa macam nak terbelit lidah ni! Dalam masa tidak silap saya, lima atau empat minit(saya pun dah terlupa berapa minit yang sebetulnya), kita nak luahkan semuanya. Adui… tapi laju macam manapun mereka yang mendengar perlu faham. Itu yang susah!

Dan ketika saya sedang berlatih ada seorang dari rakan sekelas saya yang melihat saya berlatih berkata:

“Eh..nak cakap semua ni lima minit! Sempat ke? Kalau ana..tak sempat cakap apa-apa seh! Ana beri salam je..dah lima minit!”

Heheh…Ya Allah…nak pecah perut saya tahan ketawa.


Sejak daripada itu, mungkin ianya sedikit sebanyak mempengaruhi cara percakapan saya. Memang saya sedar, kadangkala ketika saya membentangkan kertas kerja, saya mempunyai gaya seperti seorang pembahas dan kadangkala ketika saya menyoal dan menjawab soalan atau memberikan pandangan ketika di bilik tutorial atau pada waktu-waktu lain, saya begitu serius seperti orang yang hendak berdebat. Perkara ini pernah dinyatakan oleh Puan Azizah semasa saya mengikuti kursus English For Islamic Studies di UKM. Ketika itu kami perlu membuat presentasi secara invidual dan setelah saya menyampaikan teks saya, antara soalan yang dikemukakan oleh beliau ialah:

“Dulu semasa di sekolah kamu ni, pembahas ke?”

Saya mengangguk dan menjawab: “ya”

“Patutlah…cara kamu sampaikan ada gaya seorang pembahas”, katanya dengan dihiasi senyumannya yang sentiasa murah.

Jadi, saya tidak menafikan dan tidak marah jika ada makcik-makcik yang kata saya bercakap laju.

Mmm…susah sebenarnya untuk saya melatih diri bercakap perlahan. Saya tidak ada pengalaman menyampaikan ilmu pada makcik-makcik. Kebiasaannya pelajar-pelajar saya terdiri di kalangan para remaja. Tentu cara penyampaian saya lebih sesuai untuk remaja tetapi tidak sesuai untuk golongan dewasa. Saya pun berkata pada suami saya:

“Inah tak sesuai ajar makcik-makcik..mungkin inah tak le ajar mereka.Inah rasa Inah tak le buat. Inah jadi susah hati”

Suami saya terus berkata: “Boleh…U kena usaha!”

“Tapi Inah rasa mcm tak boleh”, kata saya cuba menyakinkan suami saya.

“Inah boleh. Kena usaha. Tak kan kita nak sampaikan ilmu pada sesetengah peringkat umur je…abih yang lain mcm mana? Inah kena faham, Inah ajar orang tua..mereka tak le faham kalau Inah cakap mcm Inah cakap dengan budak-budak. So Inah kena usaha”, dia pula yang meyakinkan saya.

Ya…saya perlu berusaha. Atas dasar itu, dari rumah lagi sebelum ke kuliah saya sudah menasihati diri: “Sakinah..jangan cakap laju!” Sehinggakan, saya meletakkan satu nota kecil di file saya, supaya saya dapat melihat nota itu ketika memberikan kuliah dan nota itu berbunyi: “JANGAN CAKAP LAJU!!!”

Tetapi akibatnya, apabila saya terlalu berhati-hati bercakap dengan ‘tartil’, suara saya pula yang menjadi perlahan. Adui…saya tak boleh lupa lah makcik-makcik ni, bila dah habis kuliah baru dia beritahu, suara saya perlahan...tapi mujur tidak perlahan sangat. Masih boleh didengar, Alhamdulillah. Cuma, mungkin mereka sudah terbiasa dengan ustazah-ustazah yang cakap dengan suaranya berdengung-dengung, tak?! hehe..

Tapi tidak mengapa…kita belajar daripada apa yang berlaku semalam. Bagi saya, saya tidak takut untuk melakukan kesilapan. Ini kerana kesilapan itu sebenarnya banyak mengajar diri seseorang untuk terus memperbaiki dirinya ke arah yang lebih cemerlang. Kesilapan bukan untuk ditangisi tetapi kesilapan adalah untuk dipelajari!

Saya akan terus berlatih dan belajar untuk tidak bercakap laju. Saya tidak mahu MENCUBA agar ia menjadi, tetapi saya mahu MELAKUKAN supaya ia benar-benar terjadi. Maka, Doakanlah untuk saya.

Sekian. Wassalam.

(Semalam di akhir kuliah kak Marziah ada kata: “Budak ni nak nangis ke apa?” mmm..memang ada beberapa bahagian yang saya sampaikan dengan menahan air mata dan sebak di dada kerana ianya adalah kisah benar saya sendiri. Wallahua’alam)

23 June, 2008

Bismillah

Semenjak pulang dari Pulau Redang, kesihatan saya agak sedikit terganggu hinggalah ke hari ini. Saya menjadi lemah dan lesu..tidak pasti pula mengapa. Saya menatap wajah saya di cermin, mmm…kulit saya agak gelap dek panahan matahari sepanjang di Pulau Redang dan mata saya…tidak ada sinar dan nampak sungguh saya ini tidak berapa sihat. Tiba – tiba sahaja saya teringat kata-kata adik Fauzi, Sa’adiah sewaktu kami bertemu di Masjid UKM pada beberapa bulan yang lalu:

“Kak Sakinah sihat? Saya tengok mata kak sakinah ni..sayu je…”,dia seperti biasa apabila bertemu dengan saya akan menegur dengan penuh ramah.

Saya tersenyum.

“Ye ke?”, tanya saya meminta kepastian.

“Ye..setiap kali saya jumpa kak Sakinah, mata kak Sakinah sayu je”

Saya tidak menjawab atau memberikan apa-apa pandangan tentang kata-katanya. Saya cuma mampu mengukir senyuman dan menjawab di dalam hati: “ Akak tak berapa sihat lah,dik”.

Hakikatnya saya tetap manusia biasa..kadangkala kuat dan kadangkala datanglah rasa lemahnya. Sudah berapa hari ini saya tidak mempunyai kestabilan emosi…segalanya bercampur-baur. Semalam semasa usrah AhlulquranPTS pun, saya tidak banyak menyumbang ilmu atau fikrah. Saya lebih banyak senyum dan mengangguk. Sehinggakan anak murid saya Adilah pun, mempersoalkan ‘kesepian’ saya petang semalam.

Ya Allah...bagaimana ni? Saya berdoa moga keadaan saya tidak berterusan seperti ini. Terlalu banyak tanggungjawab yang perlu saya selesaikan.

Ya ..saya perlu bangkit! Sukar macam mana pun, saya tidak boleh ikutkan! Bukankah saya pernah berkata pada Sakinah junior dan Hanisah semasa di pejabat Masjid Darul Ghufran:

“Kita tidak boleh mengikutkan keinginan dan perasaan. Kadangkala kita perlu utamakan tanggungjawab dari keinginan dan apa yang kita suka…”
Ya Allah..yassir Wa laa tu’assir…

~Rindu pada adik-adik saya di UKM~

20 June, 2008

"Eh sakinah, kau duduk dalam bilik tu..sorang-sorang?",tanya kak Rehana kepada saya.

Saya tersenyum dan menganggukkan kepala.

"Kalau aku..aku nangis seh!", tambah kak Rehana lagi.

Hheheh...

"Eh..abih tak de apa2 jadi ke? tak kena kacau ke?", tanya kak Fazidah.

"Tak de apa-apa..Alhamdulillah ..ok", jawab saya.

"Eh...dia jin yang takut dengan dia..bukan dia yang takut dengan jin lah", kata Sakinah junior sambil tersenyum.

Dalam hati saya kata: "pandailah budak ni"

"Eh..saya takut jugak..tapi baca macam-macam lah sebelum tidur. Hari-hari baca surah al-Baqarah", kata saya menerangkan keadaan saya.

"Kenapa tak de orang temankan you? Sanggup nya letakkan you kat situ",kata kak Rina pula.

"Eh..mereka ada tanya saya, ok tak duduk sorang. saya kata, ok Insya Allah. Bukan saya sombong tak nak berteman..saya tengok bilik tu pun lain macam..kesian nak bawa budak-budak tidur dengan saya. tentu mereka tak selesa. Tak pelah...dah selamat balik pun!"






Saya tahu tentu ramai yang pelik macam mana saya boleh nak duduk seorang diri di dalam rumah yang sedemikian rupa. Heheh..terus terang saya katakan, mula-mula sahaja kaki saya menapak ke dalam rumah itu, saya macam nak pengsan pun ada.

Saya kata dalam hati: "Masya Allah...betul ke ni!"

Tindakan pertama saya adalah memanggil ustaz Ahmad dan Ustaz Irwan agar mengazankan rumah tersebut. Satu tindakan yang cepat dan tepat dari saya, cuma malangnya..ustaz-ustaz yang tiba lewat.

Semasa menunggu mereka datang...saya lalu berkata dalam hati:

"Alah..mati pun duduk sorang...kau kena survive. Yakin Allah ada. Kita kena takut pada Allah..bukan 'makhluk-makhluk' yang Allah ciptakan. Boleh Sakinah...tak de apa ni...perkara kecil je..yang penting kena pandai jaga diri"

Bagi saya, saya tidak perlu menyusahkan anak murid saya. Jika saya inginkan mereka menyesuaikan diri dan belajar dengan keadaan yang mereka perlu tempuhi sepanjang kem, saya juga perlu melakukan perkara yang sama. Saya perlu buktikan pada mereka bahawa ustazah mereka juga mampu survive dalam keadaan yang sedemikian...jadi, jika ustazah boleh duduk di tempat yang menyeramkan bersendirian, mengapa mereka yang duduk di tempat yang lebih baik dari ustazah dan beramai-ramai pula, tidak boleh?

Saya berpegang pada prinsip tidak guna mengajar orang supaya meletakkan kebergantungan kepada Allah s.w.t tapi diri sendiri tidak yakin dengan Allah s.w.t.

Untuk itu, pada setiap malam saya menghabiskan 8 halaman dari surah al-Baqarah dan mengusap seluruh tubuh dengan bacaan 3 qul (Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas) sebelum merebahkan diri di pembaringan.

Sungguh...saya memang benar-benar bertawakkal.

Dan tidak ada di hati saya melainkan menyerahkan seluruh diri saya pada Allah s.w.t pada setiap malam ketika ingin melelapkan mata.

Lalu saya mengucapkan firman Allah s.w.t pada diri saya:

"Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha melihat akan hamba-hambaNya" (al-Quran,Surah Ghafir: 44)

Berikut adalah link untuk penulisan saya 'Kita Dan Kergantungan Kita (1)'

19 June, 2008

8Kem Remaja Cemerlang 5 anjuran Masjid Darul Ghufran melakar kenangan di Pulau Redang Terengganu, Malaysia. Terlalu banyak perkara yang sukar untuk saya luahkan. Apa yang saya lihat, apa yang saya rasai, apa yang saya alami...bagai tidak terluah dengan apa kata sekalipun. Maha suci Allah yang menjadikan setiap ciptaan Nya dengan penuh keindahan.



Terlalu banyak kenangan yang telah saya rakamkan sepanjang saya di sana. Akhirnya saya telah membawa pulang pelbagai perasaan yang menyebabkan saya jatuh sakit.mmm..apapun moga kebaikan sentiasa menyebelahi saya. Rabbi yassir..

Sekian.

*Untuk melihat gambar-gambar saya semasa di sana sila klik sini.

18 June, 2008

Bismillah

Saya sebenarnya baru pulang dari mengikuti Kem Remaja Cemerlang 5 anjuran Masjid Darul Ghufran di Pulau Redang, Malaysia. Kem selama 4 hari 3 malam itu telah memberikan kepada saya satu pengalaman baru yang amat menarik dan perlu saya syukuri. Insya Allah, saya akan memuatkan gambar-gambar yang telah dipetik sepanjang berada di Pulau redang.

Apapun yang penting pada hari ini, saya telah menerima keputusan peperiksaan semester 2 2007/2008. Ini merupakan keputusan peperiksaan saya yang terakhir bagi Ijazah sarjanamuda pengajian Islam UKM. Tapi entah mengapa amat berlainan rasanya, dari semester-semester yang lepas. Saya tidak gembira dan saya juga tidak sedih. Tentu Allah sahaja maha mengetahui mengapa.

Apa yang mampu saya katakan: "Segala puji itu hanya layak saya panjatkan kepada Allah s.w.t yang telah memberikan kepada saya terlalu banyak nikmat dan seringkali melimpahi saya dengan rahmah dan hikmah"

10 June, 2008

“Mak, betul ke, ***** dah tak pakai tudung? Tadi kawan kakak cerita kat kakak”, tanya saya kepada emak inginkan kepastian.Saya bertanya kepada emak saya kerana emak saya baik dengan emak rakan saya ini.

“Ye ke?”, Mak saya pula yang menyoal saya kembali.

“Mak ni, kakak tanya mak lah”

“Alah…hari tu adalah kawan mak cakap, dia kerja je tak pakai tudung”

“Eh…kakak tak boleh lah..mak dia tak marah ke? Kawan kakak kata suami dia tak kisah. Kakak tak boleh terimalah! kan dua-dua (suami isteri) sekolah madrasah Al******.Kenapalah mcm tu?” rugut saya penuh kesal.

“Alah..mak dia tak kisah, nak cakap apa”, kata mak saya dengan selamba.

“Pelik lah…”, saya masih dibaluti kehairanan.

“Entah, eh? Kalau mak dia macam aku tak pelah jugak..mak dia lagi warak orangnya. Orang kuat masjid”, kata mak saya lagi.

‘Hai mak, mengaku tak warak nampaknya’, bisik saya dalam hati. Hahaha…

Kesal

Saat mendengar cerita itu daripada rakan saya petang kelmarin, di dalam hati ini cuma ada segudang kesal. Saya berasa kesal apabila tindakan itu disokong oleh ibu dan suaminya. Dan apa yang membuatkan saya bertambah-tambah kesal kerana keluarga itu saya kenali sebagai mereka yang kuat berpegang dengan agamanya dan kawan saya dan suaminya itu pula merupakan anak didik daripada sebuah madrasah yang masyhur di Singapura.

Terdetik persoalan di dalam hati saya, adakah wajar dengan alasan sukar untuk mendapatkan pekerjaan kita menanggalkan tudung yang sememangnya WAJIB dipakai oleh seorang Muslimah? Sedangkan kita masih boleh berusaha untuk mendapatkan pekerjaan di mana pekerjaan itu tidak menuntut kita untuk menanggalkan tudung? Belum ada orang yang bertudung mati kebuluran dan hidup merempat kerana tiada pekerjaan! Dan jika ada pun, mungkin salah diri sendiri yang tidak mahu berusaha mencari rezeki sesuai syariat.

Saya termenung sebentar lalu berdoa:

اللهم اهدني و سددني
"Ya Allah berikanlah aku petunjuk dan luruskanlah aku"

(Hadith riwayat Muslim dalam kitab sahihnya; Kitab al-Du'a, Bab al-Du'a bi al-Hidayah wa al-Sadad)

Sebenarnya saya kecewa…

Jika anak didik madrasah sendiri tidak yakin bahawa berusaha untuk menegakkan perintah Allah s.w.t dan menjunjung sunnah Rasul-Nya nescaya Allah s.w.t sentiasa mempermudahkan segala urusan dan menunjukkan jalan untuk setiap permasalahan, bagaimana anak didik madrasah kita ingin dijadikan sebagai ikon ataupun contoh Muslim cemerlang dunia dan akhirat kepada mereka yang bukan berpendidikan madrasah?

Di mana silapnya sebenarnya? Adakah ini kerana kita terlalu yakin bahawa pelajar madrasah kita sudah cukup baik dan mampu berdikari untuk membezakan yang hak dan yang batil lantaran mereka disogokkan dengan ilmu pengajian Islam selama berbelas-belas tahun? Tetapi adakah kita sedar bahawa ramai pelajar madrasah kita hanya datang ke madrasah untuk belajar tanpa ada kesedaran untuk apa mereka belajar ilmu agama dan kebanyakan mereka juga beramal serta beribadah dengan taklid buta.

Hakikatnya ramai pelajar madrasah yang 'belajar tanpa penghayatan'. Dan konsep 'belajar tanpa penghayatan' inilah yang dibawa oleh mereka hingga ke universiti. Akibatnya mereka belajar pengajian Islam hanya untuk menyempurnakan hasrat menjejakkan kaki ke universiti dan menggenggam segulung kertas bernama ijazah! Paling malang apabila ada di antara mereka menjalani kehidupan seperti orang-orang yang tidak memahami hukum-hakam dan syariat tuhan dan akhirnya pulang ke Singapura ingin menyandang jawatan sebagai pendidik dan pendakwah untuk anak-anak Islam dan masyrakat Islam!

Sesaknya dada saya…bagai tidak mampu bernafas dengan baik apabila memikirkan tentang anak-anak berpengajian Islam ini. Jiwa ini benar-benar terguris….

Benarlah…ini dia fitnah (ujian) akhir zaman!

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dengan sanadnya daripada Abu Hurairah yang bermaksud: sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Bergegaslah membuat amalan-amalan untuk mengatasi fitnah. Fitnah itu seperti potongan malam yang gelap. Lelaki itu di waktu pagi akan beriman dan di waktu petang akan menjadi kafir atau petang beriman dan pagi kafir. Dia akan menjual agama untuk mendapatkan dunia.

(Hadith riwayat Muslim dalam kitab sahihnya, Kitab al-Iman, Bab al-Hath ’ala al-Mubadarah bi al-’Amal Qabla Tadhahuri al-Fitan)

Menjual agama untuk mendapatkan dunia? Nauzubillah. Iman dan Islam tidak boleh dijadikan cagaran untuk mendapatkan dunia lantaran keduanya itu merupakan nikmat yang paling besar yang Allah s.w.t campakkan di dalam hati seorang hamba. Lalu perbanyakkanlah berdoa agar hati kita sentiasa tetap di dalam agama-Nya untuk berjuang menjunjung perintah Allah s.w.t dan Sunnah Rasul-Nya pada hari ini, esok dan selamanya.

يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك
“Wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku dalam agama-Mu”

(Hadith riwayat al-Tirmidhi dalam kitab sunannya, Kitab al-Da’awat An Rasulillah, Bab Ma Jaa Fi Aqdi al-Tasbih bi al-Yad. Hadith ini dihukum sahih oleh al-Albani di dalam kitabnya sahih al-Tirmidhi (No 3522)