31 May, 2008

Oleh Sakinah Saptu (K8U 202, 2005-2008)

Saya memandang ke arah luar tingkap. Dari dalam saya mengamati suasana di luar jendela bilik saya. Memang menenangkan. Pelbagai jenis pokok yang tidak saya ketahui namanya dan jenisnya berada di luar sana dan sesekali kedengaran bunyi kicauan burung yang bagi saya bagaikan satu irama alam yang sukar untuk saya jelaskan bagaimana melodinya. Cuma petang ini, mungkin nampak lebih cantik kerana sekumpulan monyet belum lagi datang menjalankan misi mereka seperti biasa. Jika tidak, mana mungkin saya dapat menikmati pemandangan seperti ini kerana pastinya yang indah menjadi sebaliknya. Tong sampah akan kedengaran berdentam-dentum di luar bilik saya, baju-baju di ampaian akan menjadi bahan permainan monyet-monyet dan sampah sarap akan berselerakan di mana-mana. Begitu juga akan kedengaran suara-suara jeritan mahasiswi UO yang ketakutan dengan monyet-monyet yang suka sangat bergurau tidak kena pada tempatnya. Heheh. Apapun, itulah pemandangan kolej Ungku Omar dari blok 8U. Cantik dan kadangkala mampu berubah menjadi jelek.

Monyet-monyet nakal di luar blok 8U, Kolej Ungku Omar



Pejam celik..pejam celik rupa-rupanya sudah hampir 3 tahun saya menjadi penghuni Kolej Ungku Omar. Pada tahun awal pengajian saya ditempatkan di blok 7A kemudian naik sahaja ke tahun dua saya dipindahkan ke blok 8U. Jika hendak menceritakan pengalaman persatuan selama berada di Kolej Ungku Omar, memang saya tidak layak atau senang kata saya tidak ada pengalaman lantaran saya bukanlah di antara penghuninya yang aktif di dalam persatuan dan aktivitinya. Tetapi bukankah yang dinamakan pengalaman itu adalah sesuatu perkara yang dilalui oleh seseorang sama ada pahit atau manis tanpa mengira dalam aspek apa sekalipun perkara itu dilalui? Justeru itu, penulisan ini lebih ke arah untuk saya berkongsi pengalaman persahabatan yang begitu indah yang mana bagi saya amat perlu untuk saya nyatakan dalam sebuah penulisan penuh makna untuk tatapan semua.

Ukhwah ini pasti mengundang rindu. Itulah yang mampu saya ungkapkan apabila terkenangkan rakan-rakan saya, lebih-lebih lagi kini kami semua berada di tahun akhir pengajian. Jalinan persahabatan yang terkait di antara saya dan rakan-rakan bukanlah antara seorang dan dua orang. Tetapi saya mempunyai ramai rakan daripada pelbagai negeri dan pelbagai jabatan daripada Fakulti Pengajian Islam khasnya (saya juga mempunyai rakan-rakan daripada fakulti lain). Mempunyai rakan-rakan daripada pelbagai negeri merupakan satu rahmat pada saya kerana saya merupakan pelajar daripada luar Negara (Singapura). Melalui mereka saya banyak belajar tentang budaya terutamanya bahasa yang mana saya lihat bahawa setiap di antaranya mempunyai pelbagai keistimewaan yang mampu untuk dipelajari dan diambil iktibar daripadanya.

Mereka semua saya kenali ketika menjalani Minggu Mesra Mahasiswa (3M) di kolej Ungku Omar ataupun ketika menjalani kehidupan sebagai penghuni kolej Ungku Omar. Mungkin jika sekiranya saya tidak berada di kolej ini saya tidak berpeluang berkenalan dengan manusia-manusia berhati mulia seperti mereka. Bukan saya ingin memuji rakan-rakan saya dengan pujian yang melambung tinggi tetapi saya memuji mereka berdasarkan setiap kebaikan yang ada pada mereka. Namun perlu saya nyatakan bahawa setiap manusia mempunyai kelemahan dan keistimewaan yang tersendiri, lalu apa salahnya kita memuji kebaikan orang lain kerana itu sebenarnya lebih membahagiakan dan lebih mengeratkan lagi jalinan persahabatan (tetapi itupun, jika sekiranya pujian itu datang dari hati yang ikhlas).


Ikatan persahabatan menjadi semakin erat kerana bukan sahaja kami berada di dalam satu fakulti tetapi kami juga berada di dalam sebuah kolej yang sama. Walaupun kami merupakan pelajar daripada jabatan yang berlainan, iaitu ada yang belajar di Jabatan syariah, Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Jabatan Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Jabatan Dakwah dan Kepimpinan dan Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, tetapi semua itu bukan penghalang untuk kami menjalin satu ikatan ukhwah yang begitu indah ataupun menghalang kami untuk bergurau-senda dan beramah-mesra di antara satu sama lain. Kami berkongsi banyak perkara bersama. Kami saling bantu-membantu di antara satu sama lain di dalam menyelesaikan persoalan pembelajaran (walaupun berlainan jabatan) mahupun persoalan kehidupan seharian yang kami lalui. Sehinggakan walaupun ada di antara rakan-rakan saya yang dipindahkan ke Kolej Zaaba dan kolej yang lain (ketika di tahun dua) kami masih lagi berhubung dan mempunyai ikatan persabahatan yang baik. Subhanallah (maha suci Allah), yang menjadikan ikatan persabahatan ini terikat dengan begitu indah.


Semangat persahabatan semakin terasa apabila kami dipindahkan ke tempat penginapan sementara di pangsapuri Taman Tenaga pada semester 1 sesi 2007/2008 yang lalu. Terus terang saya katakan bahawa kehidupan di sana adalah pengalaman perit yang sukar untuk saya dan rakan-rakan lupakan sebagai penghuni kolej Ungku Omar. Namun dari situ juga kami belajar untuk menjadi kawan yang sebenar-benar kawan. Di sana, saya dan rakan-rakan belajar ataupun dengan bahasa lain mendidik diri untuk menjadi kawan yang sentiasa sudi untuk mengambil berat, membantu, menyelami hati dan perasaan begitu juga memberikan sokongan di antara satu sama lain di kala sama-sama lemah dengan ujian yang tidak pernah terfikir dek akal. Maka semua itu tidaklah saya dan rakan-rakan saya perolehi melainkan sebagai penghuni kolej Ungku Omar.

Di sini suka untuk saya menyenaraikan nama rakan-rakan saya. Mereka itu antaranya adalah Suzana, Azizah, Faridah Hanim, Dayang Siti Hani, Siti Nor Isma, Sarinah, Azimah, Khyrul Sholihah, Zurina dan yang telah berpindah ke kolej lain antaranya Syuhada, Wahyuni, Aisyah, Noradiza, Farhah, Asnah dan Azuwa. Begitu juga saya tidak lupa kepada rakan-rakan yang bukan sefakulti dengan saya antaranya Salmi Azillah, Nurul Adlizi, Fizah Jasmin, Suhaima, Effy, rakan-rakan di blok 8U dan yang lain yang tidak saya sebutkan namanya.

Sungguh…bagi saya Kolej Ungku Omar adalah tempat menyemai kasih untuk ikatan ukhwah dan persahabatan yang amat bermakna. Semoga kolej ini sentiasa bersinar dengan semangat ‘pertama mengatasi semua’ nya di dalam pelbagai aspek yang positif dan juga sentiasa memperbaiki mutu pentadbirannya dari semasa ke semasa agar tidak lebih mengecewakan.

(Penulisan ini ditulis khas untuk dimuatkan di dalam majalah tahunan kolej Ungku Omar)

0 Comments:

Post a Comment