06 May, 2008

Pertama dan utama...terima kasih di atas setiap pandangan dan nasihat yang diberikan. Amat-amat saya hargai :) Sungguh...setiap manusia ada kelemahan dan ada kesilapan...siapalah saya untuk tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Yang penting kita perlu menjadi insan yang berlapang dada untuk menerima setiap pandangan orang. Apapun... Terima kasih sekali lagi saya ucapkan :)

Saya tersenyum...entah kenapa saya pun tidak pasti. Terlalu banyak sebab:

1) Peperiksaan sudah berakhir
2) Projek ilmiah setebal 161 halaman sudah saya hantar untuk dijilid
3) Saya dan 'seseorang' itu sudah kembali seperti biasa.
4) Pengajian saya di UKM sudah melabuhkan tirainya
5) Saya akan pulang ke kota Singa....dan bakal menempuh satu lagi cabaran dan dugaan yang baru.

Kemudian saya tiba-tiba merasa sebak...

1) Saya akan berpisah dengan adik-adik saya..dan entah bila bakal bertemu
2) Bila mama Syuhada' berbual dengan saya dan menyatakan rasa terima kasihnya kepada saya. Terharu sungguh saya. Bagai tidak terucap dengan apa kata pun...
3) Saya akan tinggalkan bumi UKM..tinggalkan Fakulti Pengajian Islam dan Jabatan al-Quran dan al-Sunnah.

mmmm.....itu sahaja yang dapat saya katakan untuk post kali ini. Di bawah ini saya sertakan bersama penghargaan yang saya muatkan di dalam projek ilmiah saya:

Segala puji dan syukur hanya layak saya panjatkan kepada Allah s.w.t yang mentakdirkan segala sesuatu dengan penuh hikmah dan rahmah. Alhamdulillah dengan izin dan bantuan Allah s.w.t jua, akhirnya saya berjaya menyiapkan projek ilmiah ini yang saya kira cukup menguji dan menduga kesabaran dan keazaman saya.

Pertama dan utama, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada penyelia projek ilmiah, Dr Azwira bin Abd Aziz atas kesudian beliau menerima saya sebagai pelajar di bawah seliaannya, juga atas masa yang diluangkan, pandangan dan cadangan yang diberikan, jawapan-jawapan untuk setiap persoalan yang saya kemukakan, teguran dan kritikan yang membina bagi memperhalusi isi kandungan kajian serta bantuan yang tidak terhingga yang dihulurkannya kepada saya dalam memperbaiki terjemahan bahasa Arab ke bahasa Melayu yang saya usahakan untuk dimuatkan dalam projek ilmiah ini.

Ucapan terima kasih ini juga saya hadiahkan kepada suami saya, Encik Mohammed Yazid bin Abd. Samad yang sememangnya terlalu tinggi pengorbanannya dan tidak terbalas jasanya. Beliau adalah orang pertama yang menyokong tajuk ini dan seterusnya banyak membantu dalam mencari bahan-bahan rujukan untuk saya dan yang paling penting, beliau sering menimbulkan persoalan-persoalan tentang kajian projek ilmiah ini yang membuatkan saya berfikir, ingin terus mengkaji dan seterusnya mencari satu jawapan yang pasti.

Tidak lupa juga kepada adik saya, Muhammad Shibly bin Saptu atas bantuan dan jasa baik beliau mendapatkan bahan-bahan rujukan untuk saya di perpustakaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Begitu juga kepada rakan-rakan seperjuangan, Nurul Syuhada, Wahyuni, Suzana, Faridah Hanim, Basirah, Haslinda, Sa’adah, Nabilah, Azizah Dakwah dan lain-lain yang banyak memberikan sokongan dan dorongan sedari awal saya mencadangkan tajuk projek ilmiah ini hinggalah kini setelah saya berjaya menyiapkannya.

Akhir sekali, jutaan terima kasih kepada mak, Puan Temu binte Tahir dan abah, Encik Saptu bin Markop yang tidak jemu-jemu mendoakan kesejahteraan dan kecemerlangan saya dan juga kepada para pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Ustaz Ahamad Asmadi bin Sakat, Ustaz Fadlan bin Mohd Othman, Ustaz Mohd Akil bin Mohamed Ali dan lain-lain yang prihatin dan sentiasa memberikan semangat kepada saya melalui setiap butir bicara mereka yang disampaikan di dewan kuliah dan kelas tutorial. Perlu untuk saya nyatakan bahawa ianya telah menjadikan saya untuk terus berusaha menjadi pelajar yang sentiasa belajar untuk ilmu bukan untuk mencapai kecemerlangan semata.

0 Comments:

Post a Comment