16 May, 2008

Nikah Satu Lagi?

Apakah yang ingin saya ceritakan pada malam ini? Malam yang penuh sunyi sepi…yang hanya kedengaran di kamar ini adalah putaran kipas yang had lajunya di nombor lima, ketikan jarum jam yang tiada henti, ketukan jari-jemari saya di papan kekunci dan pastinya hembusan nafas saya yang masih lagi diizinkanNya untuk tidak berhenti.

10.50 malam. Saya masih lagi sendiri seperti dua hari yang lalu. Tiada teman untuk berbicara dan tiada teman untuk berkongsi rasa. Suami saya terpaksa kerja over time, gara-gara masalah kapal terbang SIA yang baru tiba. Bila saya melelapkan mata, baru dia pulang kerja dan apabila saya mencelikkan mata, dia sudah tiada di sisi saya. Kadangkala terasa terpinggir…tetapi saya faham, bukan kehendak suami saya. Saya tahu dia penat dan dia juga tertekan mungkin.

Mmm,tak mengapalah. Sebenarnya saya tidak mahu bercakap panjang tentang perkara itu. Saat ini saya sedang terfikirkan tentang poligami atau dengan kata yang lebih cantik lagi ‘sunnah berpoligami’. Mungkin ada yang terkejut..mengapa pula tiba-tiba saya terfikir tentang hal ini. Tentu sahaja ianya bukan saja-saja…ada sebabnya dan sudah tentu ada juga perkara yang berlaku menyebabkan saya terfikir-fikir hinggalah ke saat ini.

Setakat ini sudah tiga orang lelaki (dan semestinya salah seorang daripada mereka bukan suami saya) yang berbincang mengenai poligami dengan saya. Ketiga-tiga mereka bukan calang-calang orang. Mereka adalah lelaki yang pada hemat saya mempunyai ilmu yang tinggi, kesemuanya baik (dari segi agama dan akhlaknya) dan insya Allah mereka adalah lelaki yang soleh. Masing-masing sedang mencari isteri yang kedua. Permasalahannya ialah mampukah saya membantu mereka? Pertanyaan itu membuatkan saya tersenyum sinis pada diri sendiri. Siapalah saya. Malah untuk suami sendiri pun saya belum mampu untuk mencarikan, inikan pula untuk suami orang lain.Terasa tidak sanggup saya. Saya juga seorang isteri, sudah tentu saya memahami perasaan seorang isteri.

Saya ada katakan pada salah seorang dari mereka:

“Saya bimbang kawan-kawan saya tidak sudi untuk menjadi isteri nombor 2”

Dia menjawab:

“kalau begitu terpinggirlah sunnah”

Terpinggirlah sunnah…mmmm...bagaimana ya?

Jangan kata kawan-kawan saya. Saya pun belum tentu mahu jadi yang kedua. Ini kerana kami wanita amat memahami risikonya menjadi yang kedua.walau sunnah macam mana pun pada pandangan kita, tetapi perspektif masyarakat tetap sukar untuk diubah. Pelbagai kata nista akan dilemparkan kepada isteri nombor dua:

“Perampas suami orang!”
“Perosak rumah tangga orang!”
“Perempuan tak laku!”
“tak malu..menumpang kasih orang!”



Itu belum lagi berdepan dengan mak, ayah dan keluarga kedua belah pihak. Silap-silap mak ayah tak mengaku anak nanti. Kasihan pada isteri nombor dua,kan?. Baik-baik nak membina hidup bahagia akhirnya jadi hidup berendam air mata pula.

Lelaki tidak merasa semua itu…kurang-kurang pun orang akan kata:

“Tak cukup ke..isteri sorang?!”
“hebat..ada dua isteri satu masa!Apa rahsia?”


Mmm..dahulu saya hampir-hampir menjadi isteri yang kedua tetapi emak selalu berpesan dan berleter macam-macam pada saya. Sebenarnya itu bukan serius pun. Tetapi saya yakin jika saya juga sama-sama bertepuk tangan mungkin akan jadi. Namun, bukan mudah untuk saya jatuh ke perangkap. Mujur saya lebih banyak berfikir daripada mengikut kata hati dan perasaan.

Saya tidak menafikan hak seorang suami untuk bernikah lebih dari satu. Cuma saya seringkali bimbang, seorang suami tidak mampu berlaku adil. Bercakap untuk berlaku adil memang mudah tetapi untuk melaksanakan seringkali timbul pelbagai masalah.

Saya juga bimbang dari sudut ekonomi, kerana bagi saya untuk menampung seorang isteri dan beberapa orang anak memerlukan ekonomi yang mantap. Jika mempunyai seorang isteri dari sudut ekonomi pun sudah bermasalah lalu bagaimana nak memiliki seorang lagi isteri? Saya bimbang keadaan akan menjadi semakin parah.

Dari sudut hati dan perasaan pula saya yakin tentu ada yang terlebih dan ada yang terkurang dikasihi dan dikasihani, ada yang terasa hati dan ada yang merana perasaan, ada yang memendam rasa dan ada terguris jiwa raga dan saya juga yakin tumpuan terhadap anak-anak juga kurang malah mungkin ada antara anak-anak yang diterlepas pandang oleh bapanya lantaran tidak tahu yang mana satu harus diberi perhatian. Anak-anak dari isteri pertama dah lah ramai, di tambah anak-anak dari isteri kedua lagi. Adui…kacau dibuatnya.hehe

Saya mengerti lelaki ingin mempraktikkan sunnah malah saya memuji jika pernikahan dengan isteri kedua bukan berlandaskan nafsu dan keinginan. Namun bagi saya, menjaga dan menghargai apa yang sudah dimiliki lebih indah dari berusaha untuk memiliki yang satu lagi.

Cuba bayangkan, untuk membangun kehidupan dengan isteri bukan mudah. Kadangkala pada awalnya terlalu banyak perkara yang perlu dikorbankan dan terlalu banyak onak dan duri perlu dilalui. Isteri pula banyak bersabar dan redha dengan keadaan seorang suami yang masih belum lagi cukup dari segenap segi. Malah isteri lah manusia paling setia mengharungi jerih perih kehidupan bersama suami. Dia mendengar setiap keluhan, menenangkan setiap kegusaran dan menghiburkan setiap kemurungan yang membelenggu suami. Isteri juga menjadi penguat semangat, penyokong dan pembantu di atas setiap usaha suami. Akhirnya tibalah pada satu fatrah di mana keduanya menikmati hidup yang senang dan stabil. Tetapi tiba-tiba sahaja suami ingin mengongsikan kesenangan dan kestabilan hidup yang diusahakan bersama selama bertahun-tahun itu dengan wanita lain pula…mmmm….saya yakin mungkin ada hati isteri yang terguris..malah mengundang sakit hati yang tiada berkesudahan. Tergamakkah kita melukai hati insan yang kita sayangi dan telah banyak berkorban untuk kita? Tidak tahulah saya, mungkin ada yang tergamak melakukan sedemikian. Lalu ianya membuatkan saya menyoal diri sendiri, mengapa tidak menghargai dan mengapa tidak lebih menjaga apa yang dimiliki kerana bimbang-bimbang yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran,kan?

Jika sekiranya apa yang kita miliki (perhubungan dengan isteri) sememangnya bermasalah mengapa tidak kita berusaha untuk memperbaiki permasalahan tersebut. Bernikah satu lagi bukanlah jalan penyelesaian yang bijak. Malah ianya bakal mengundang permasalahan demi permasalahan yang lain. Jika sekiranya dengan isteri yang kedua pula kita mempunyai masalah, adakah kita akan mencari isteri yang ketiga pula?

Maafkan saya jika ada banyak perkara yang tersilap. Ini hanya pandangan saya sahaja. Saya bercakap dari perspektif seorang wanita yang sudah bersuami. Mungkin saya kurang memahami lelaki. Mungkin.

Apapun saya tidak mempertikaikan sesuatu yang telah Allah s.w.t tetapkan pada seorang lelaki bergelar suami. Jika sekiranya seorang suami mampu memikul amanah yang bakal dipersoalkan ini di akhirat, maka persilakan. Bagi saya jika seorang lelaki bernikah lagi dan dia itu mampu untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaiknya, maka perkara itu tidak akan mengurangkan kredibilitinya sebagai seorang lelaki yang soleh dan baik. Sepertimana yang pernah saya katakan pada seorang adik saya melalui sms, yang lebih kurangnya berbunyi begini:

“Tidak semestinya jika seorang lelaki itu ingin bernikah lagi, dia itu tidak baik. Dia berusaha memenuhi hasratnya secara halal dan ingin mengasihi secara halal…”

Perlu untuk saya nyatakan bahawa sebagai seorang wanita muslimah dan mukminah, tidak seharusnya kita mempertikaikan hak itu. Kita perlu sentiasa meletakkan diri di dalam keaadan bersedia untuk berkongsi kasih agar apabila ianya benar-benar ditakdirkan untuk kita, kita lebih berlapang dada untuk menerima walaupun saya akui pada awalnya jiwa tetap menangis hati tetap terguris. Suami hanya layak untuk dikasihi dan disayangi tetapi tidak dicintai kerana cinta hanya layak untuk Allah dan Rasul-Nya. Jika kita sedar akan hakikat itu, maka kita juga sedar bahawa suami adalah pinjaman dan suami juga adalah ujian untuk kita.

Sekilas saya teringat firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, (nikahilah) seorang sahaja atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya. (Al-Quran, al-Nisa 4:3)

Allah s.w.t sendiri sudah berpesan dalam firman-Nya tadi bahawa bernikah satu itu lebih dekat kepada tidak berbuat aniya. Maka pilihlah wahai insan bergelar suami mana satukah yang terbaik untuk dirimu.

Wallahu a’alam.

(Mula menulis pada 15 Mei 2008 dan selesai penulisan pada 16 Mei 2008 jam 1.52 petang.)

0 Comments:

Post a Comment