31 May, 2008

Oleh Sakinah Saptu (K8U 202, 2005-2008)

Saya memandang ke arah luar tingkap. Dari dalam saya mengamati suasana di luar jendela bilik saya. Memang menenangkan. Pelbagai jenis pokok yang tidak saya ketahui namanya dan jenisnya berada di luar sana dan sesekali kedengaran bunyi kicauan burung yang bagi saya bagaikan satu irama alam yang sukar untuk saya jelaskan bagaimana melodinya. Cuma petang ini, mungkin nampak lebih cantik kerana sekumpulan monyet belum lagi datang menjalankan misi mereka seperti biasa. Jika tidak, mana mungkin saya dapat menikmati pemandangan seperti ini kerana pastinya yang indah menjadi sebaliknya. Tong sampah akan kedengaran berdentam-dentum di luar bilik saya, baju-baju di ampaian akan menjadi bahan permainan monyet-monyet dan sampah sarap akan berselerakan di mana-mana. Begitu juga akan kedengaran suara-suara jeritan mahasiswi UO yang ketakutan dengan monyet-monyet yang suka sangat bergurau tidak kena pada tempatnya. Heheh. Apapun, itulah pemandangan kolej Ungku Omar dari blok 8U. Cantik dan kadangkala mampu berubah menjadi jelek.

Monyet-monyet nakal di luar blok 8U, Kolej Ungku Omar



Pejam celik..pejam celik rupa-rupanya sudah hampir 3 tahun saya menjadi penghuni Kolej Ungku Omar. Pada tahun awal pengajian saya ditempatkan di blok 7A kemudian naik sahaja ke tahun dua saya dipindahkan ke blok 8U. Jika hendak menceritakan pengalaman persatuan selama berada di Kolej Ungku Omar, memang saya tidak layak atau senang kata saya tidak ada pengalaman lantaran saya bukanlah di antara penghuninya yang aktif di dalam persatuan dan aktivitinya. Tetapi bukankah yang dinamakan pengalaman itu adalah sesuatu perkara yang dilalui oleh seseorang sama ada pahit atau manis tanpa mengira dalam aspek apa sekalipun perkara itu dilalui? Justeru itu, penulisan ini lebih ke arah untuk saya berkongsi pengalaman persahabatan yang begitu indah yang mana bagi saya amat perlu untuk saya nyatakan dalam sebuah penulisan penuh makna untuk tatapan semua.

Ukhwah ini pasti mengundang rindu. Itulah yang mampu saya ungkapkan apabila terkenangkan rakan-rakan saya, lebih-lebih lagi kini kami semua berada di tahun akhir pengajian. Jalinan persahabatan yang terkait di antara saya dan rakan-rakan bukanlah antara seorang dan dua orang. Tetapi saya mempunyai ramai rakan daripada pelbagai negeri dan pelbagai jabatan daripada Fakulti Pengajian Islam khasnya (saya juga mempunyai rakan-rakan daripada fakulti lain). Mempunyai rakan-rakan daripada pelbagai negeri merupakan satu rahmat pada saya kerana saya merupakan pelajar daripada luar Negara (Singapura). Melalui mereka saya banyak belajar tentang budaya terutamanya bahasa yang mana saya lihat bahawa setiap di antaranya mempunyai pelbagai keistimewaan yang mampu untuk dipelajari dan diambil iktibar daripadanya.

Mereka semua saya kenali ketika menjalani Minggu Mesra Mahasiswa (3M) di kolej Ungku Omar ataupun ketika menjalani kehidupan sebagai penghuni kolej Ungku Omar. Mungkin jika sekiranya saya tidak berada di kolej ini saya tidak berpeluang berkenalan dengan manusia-manusia berhati mulia seperti mereka. Bukan saya ingin memuji rakan-rakan saya dengan pujian yang melambung tinggi tetapi saya memuji mereka berdasarkan setiap kebaikan yang ada pada mereka. Namun perlu saya nyatakan bahawa setiap manusia mempunyai kelemahan dan keistimewaan yang tersendiri, lalu apa salahnya kita memuji kebaikan orang lain kerana itu sebenarnya lebih membahagiakan dan lebih mengeratkan lagi jalinan persahabatan (tetapi itupun, jika sekiranya pujian itu datang dari hati yang ikhlas).


Ikatan persahabatan menjadi semakin erat kerana bukan sahaja kami berada di dalam satu fakulti tetapi kami juga berada di dalam sebuah kolej yang sama. Walaupun kami merupakan pelajar daripada jabatan yang berlainan, iaitu ada yang belajar di Jabatan syariah, Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Jabatan Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Jabatan Dakwah dan Kepimpinan dan Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, tetapi semua itu bukan penghalang untuk kami menjalin satu ikatan ukhwah yang begitu indah ataupun menghalang kami untuk bergurau-senda dan beramah-mesra di antara satu sama lain. Kami berkongsi banyak perkara bersama. Kami saling bantu-membantu di antara satu sama lain di dalam menyelesaikan persoalan pembelajaran (walaupun berlainan jabatan) mahupun persoalan kehidupan seharian yang kami lalui. Sehinggakan walaupun ada di antara rakan-rakan saya yang dipindahkan ke Kolej Zaaba dan kolej yang lain (ketika di tahun dua) kami masih lagi berhubung dan mempunyai ikatan persabahatan yang baik. Subhanallah (maha suci Allah), yang menjadikan ikatan persabahatan ini terikat dengan begitu indah.


Semangat persahabatan semakin terasa apabila kami dipindahkan ke tempat penginapan sementara di pangsapuri Taman Tenaga pada semester 1 sesi 2007/2008 yang lalu. Terus terang saya katakan bahawa kehidupan di sana adalah pengalaman perit yang sukar untuk saya dan rakan-rakan lupakan sebagai penghuni kolej Ungku Omar. Namun dari situ juga kami belajar untuk menjadi kawan yang sebenar-benar kawan. Di sana, saya dan rakan-rakan belajar ataupun dengan bahasa lain mendidik diri untuk menjadi kawan yang sentiasa sudi untuk mengambil berat, membantu, menyelami hati dan perasaan begitu juga memberikan sokongan di antara satu sama lain di kala sama-sama lemah dengan ujian yang tidak pernah terfikir dek akal. Maka semua itu tidaklah saya dan rakan-rakan saya perolehi melainkan sebagai penghuni kolej Ungku Omar.

Di sini suka untuk saya menyenaraikan nama rakan-rakan saya. Mereka itu antaranya adalah Suzana, Azizah, Faridah Hanim, Dayang Siti Hani, Siti Nor Isma, Sarinah, Azimah, Khyrul Sholihah, Zurina dan yang telah berpindah ke kolej lain antaranya Syuhada, Wahyuni, Aisyah, Noradiza, Farhah, Asnah dan Azuwa. Begitu juga saya tidak lupa kepada rakan-rakan yang bukan sefakulti dengan saya antaranya Salmi Azillah, Nurul Adlizi, Fizah Jasmin, Suhaima, Effy, rakan-rakan di blok 8U dan yang lain yang tidak saya sebutkan namanya.

Sungguh…bagi saya Kolej Ungku Omar adalah tempat menyemai kasih untuk ikatan ukhwah dan persahabatan yang amat bermakna. Semoga kolej ini sentiasa bersinar dengan semangat ‘pertama mengatasi semua’ nya di dalam pelbagai aspek yang positif dan juga sentiasa memperbaiki mutu pentadbirannya dari semasa ke semasa agar tidak lebih mengecewakan.

(Penulisan ini ditulis khas untuk dimuatkan di dalam majalah tahunan kolej Ungku Omar)

27 May, 2008

Hari ini saya telah menyanggupi satu tanggungjawab yang berat. Saya menghembuskan nafas perlahan-lahan. Terbayang saya wajah dan kelegaan yang dipamerkan oleh ustaz Ahmad di hadapan saya tadi, saat saya menyatakan kesanggupan saya.

"Ya Allah, berikan pada hamba Mu kekuatan..."

Saya akui bukan mudah...
Saya perlu melaksanakan amanah ini dengan baik dan pastinya kerana agama Allah jua.Sungguh...Tugas mentarbiyah tidak semudah mengucap kata "Insya Allah, tentu sekali boleh!"

Saat ini juga saya masih terbayang-bayang suasana qiyamullail di Madrasah Alsagoff al-Arabiah. mmm...saya tidak akan melupakan qiyam kali ini. Saya tidak akan melupakannya kerana malam itu saya amat tersentak! Tidak pernah saya menjadi imam solat dengan keadaan menggigil seperti malam itu. Mana tidaknya saya tidak menyangka ustazah Sapiah akan menolak saya secara tiba-tiba ke sejadah imamah.

Waktu itu adalah solat maghrib berjamaah. Ustazah Sapiah sudah bersedia di sejadah imamah sambil menghayati iqamah yang dilaungkan oleh seorang adik ini. Selesai iqamah, tiba-tiba sahaja ustazah menarik tangan saya dan menolak badan saya yang berdiri di sebelah kirinya ke tempat imamah.

Saya kata: "Ustazah, tak boleh ustazah". Saya menahan kaki saya dari berganjak.
Tapi ustazah terus dengan tegas dan kuat menarik saya: "Tafaddolii"
Saya kata lagi sambil menggeleng kepala saya: "Ustazah..."
Ustazah menyahut penolakan saya dengan katanya: "Tafaddolii.. ana ihtiram.."

Ya Allah...bagai ingin tercurah airmata saya sebenarnya. Tak sanggup saya, apabila seorang guru yang telah benyak mengajar saya ilmu agama memberikan ihtiram sebegitu tinggi pada saya. Bagi saya ustazah lebih layak untuk mengimamkan solat, saya begitu kecil kalau hendak dibandingkan dengan ustazah. Siapalah saya...walaupun saya bergelar hafizah. Usai solat saya memeluk erat ustazah, air mata saya tumpah dengan begitu deras sekali....memang saya tidak dapat menahan sebak...

"Ya Allah...jadikanlah hati ini sekuat hatinya (ustazah)...terus berjuang mendidik anak-anak Islam untuk mengenal dan menjaga syariatMu...aku ingin menjadi sepertinya...mendidik tanpa jemu. Ya Allah bantulah hambaMu..."

23 May, 2008



Sudah dua hari saya mengemas bilik saya. Macam nak pitam pun ada. Bermula dari selepas solat dhuha sampailah jam 1 pagi. Aduii…nak patah pinggang alihkan almari dan meja ke sana dan ke sini.(First time saya buat semua ini sendirian...macam nak nangis..maklumlah,tak biasa angkat barang berat..hehe) Pagi tadi saya sambung semula misi mengemas bilik. Semua laci-laci dalam bilik saya telah saya selongkar. Banyaklah 'khazanah-khazanah antik' telah saya temui yang membuatkan saya terpaksa berfikir 4-10 kali untuk memasukkannya ke plastik sampah. Tapi..banyak juga yang saya buang, antaranya surat-surat lama yang penuh nostalgia, kertas-kertas yang banyak dengan lakaran dan tulisan-tulisan saya, barang-barang yang saya rasa unik yang telah saya simpan semenjak di sekolah rendah lagi. Mmmm…Terpaksa saya buang semuanya. Nak buat macam mana? Saya ada banyak barang yang dibawa dari UKM dan saya perlukan tempat untuk mengisi barang-barang tersebut.



Apapun satu perkara yang menarik ketika mengemas laci lama saya, saya terjumpa lencana sekolah saya semasa menuntut di Madrasah Alsagoff al-Arabiah. Saya tidak menyangka saya masih menyimpan lagi kesemuanya. Melihat lencana-lencana itu, membuatkan saya tersenyum-senyum sendiri..hai..tak sangka,banyaknya tanggungjawab saya di sekolah dahulu dan sudah begitu lama saya meninggalkan sekolah rupanya.



Saya mengemas dan terus mengemas. Terlalu banyak cenderamata yang diberikan kepada saya dari rakan-rakan sama ada rakan-rakan dari Madrasah AlSagoff mahupun Maahad Tahfiz Melaka. Setiap satunya saya belek dan untuk setiap satunya itu juga, saya cuba mengingati kembali siapa yang menghadiahkannya kepada saya. Lalu banyaklah wajah-wajah yang sudah saya terlupakan muncul di ruang mata saya. Saya tersenyum…

Kemudian saya mengemas lagi. Satu demi satu barang saya keluarkan dari laci, lalu tangan saya mencapai sebuah bingkai gambar. Eh?!. Dahi saya berkerut kemudian tersenyum. Sukanya saya melihat gambar yang terletak kemas di dalam bingkai gambar tersebut. Sunngguh…saya memang sudah terlupa dengan gambar ini. Inilah gambar yang paling saya suka suatu ketika dulu. Gambar yang dipetik oleh sahabat saya Siti Khafizah semasa majlis Yaumul Huffaz untuk pelajar tahun akhir di Maahad Tahfiz al-Quran Wa al-Qiraat Chenderah, Jasin, Melaka. Penuh dengan memori dan penuh dengan seribu satu rahsia sebenarnya.

Kini saya sedang berehat. Alhamdulillah, akhirnya misi mengemas saya hampir 80% selesai. Tinggal almari baju sahaja yang belum saya selongkar. Mmm..apa pula yang akan saya temui di dalam almari baju nanti? Agak2 uniform sekolah saya masih ada lagi tak?ehheh…

21 May, 2008

Rabbi...
Hati ini tidak mahu mengalah
tapi mengapa ada ketakutan
Hati ini tidak mahu merasa lemah
tetapi mengapa ada kegusaran
Peluang yang diberikan padaku bukan calang-calang
lalu mengapa aku berbisik penuh kesangsian
Takdirkanlah yang terbaik untuk hamba Mu
Aku ingin sentiasa dekat padaMu
Biar hatiku dekat
Jiwaku dekat
Batinku dekat
Cinta dan sayangku dekat
Hanya UntukMu
Bantulah aku Ya Allah
Tiupkanlah semangat dalam diriku Ya Allah
kerana aku ingin sentiasa berjalan dengan keyakinan
keyakinan bahawa Kaulah segalanya dalam hidupku
Hanya keranaMu...

16 May, 2008

Nikah Satu Lagi?

Apakah yang ingin saya ceritakan pada malam ini? Malam yang penuh sunyi sepi…yang hanya kedengaran di kamar ini adalah putaran kipas yang had lajunya di nombor lima, ketikan jarum jam yang tiada henti, ketukan jari-jemari saya di papan kekunci dan pastinya hembusan nafas saya yang masih lagi diizinkanNya untuk tidak berhenti.

10.50 malam. Saya masih lagi sendiri seperti dua hari yang lalu. Tiada teman untuk berbicara dan tiada teman untuk berkongsi rasa. Suami saya terpaksa kerja over time, gara-gara masalah kapal terbang SIA yang baru tiba. Bila saya melelapkan mata, baru dia pulang kerja dan apabila saya mencelikkan mata, dia sudah tiada di sisi saya. Kadangkala terasa terpinggir…tetapi saya faham, bukan kehendak suami saya. Saya tahu dia penat dan dia juga tertekan mungkin.

Mmm,tak mengapalah. Sebenarnya saya tidak mahu bercakap panjang tentang perkara itu. Saat ini saya sedang terfikirkan tentang poligami atau dengan kata yang lebih cantik lagi ‘sunnah berpoligami’. Mungkin ada yang terkejut..mengapa pula tiba-tiba saya terfikir tentang hal ini. Tentu sahaja ianya bukan saja-saja…ada sebabnya dan sudah tentu ada juga perkara yang berlaku menyebabkan saya terfikir-fikir hinggalah ke saat ini.

Setakat ini sudah tiga orang lelaki (dan semestinya salah seorang daripada mereka bukan suami saya) yang berbincang mengenai poligami dengan saya. Ketiga-tiga mereka bukan calang-calang orang. Mereka adalah lelaki yang pada hemat saya mempunyai ilmu yang tinggi, kesemuanya baik (dari segi agama dan akhlaknya) dan insya Allah mereka adalah lelaki yang soleh. Masing-masing sedang mencari isteri yang kedua. Permasalahannya ialah mampukah saya membantu mereka? Pertanyaan itu membuatkan saya tersenyum sinis pada diri sendiri. Siapalah saya. Malah untuk suami sendiri pun saya belum mampu untuk mencarikan, inikan pula untuk suami orang lain.Terasa tidak sanggup saya. Saya juga seorang isteri, sudah tentu saya memahami perasaan seorang isteri.

Saya ada katakan pada salah seorang dari mereka:

“Saya bimbang kawan-kawan saya tidak sudi untuk menjadi isteri nombor 2”

Dia menjawab:

“kalau begitu terpinggirlah sunnah”

Terpinggirlah sunnah…mmmm...bagaimana ya?

Jangan kata kawan-kawan saya. Saya pun belum tentu mahu jadi yang kedua. Ini kerana kami wanita amat memahami risikonya menjadi yang kedua.walau sunnah macam mana pun pada pandangan kita, tetapi perspektif masyarakat tetap sukar untuk diubah. Pelbagai kata nista akan dilemparkan kepada isteri nombor dua:

“Perampas suami orang!”
“Perosak rumah tangga orang!”
“Perempuan tak laku!”
“tak malu..menumpang kasih orang!”



Itu belum lagi berdepan dengan mak, ayah dan keluarga kedua belah pihak. Silap-silap mak ayah tak mengaku anak nanti. Kasihan pada isteri nombor dua,kan?. Baik-baik nak membina hidup bahagia akhirnya jadi hidup berendam air mata pula.

Lelaki tidak merasa semua itu…kurang-kurang pun orang akan kata:

“Tak cukup ke..isteri sorang?!”
“hebat..ada dua isteri satu masa!Apa rahsia?”


Mmm..dahulu saya hampir-hampir menjadi isteri yang kedua tetapi emak selalu berpesan dan berleter macam-macam pada saya. Sebenarnya itu bukan serius pun. Tetapi saya yakin jika saya juga sama-sama bertepuk tangan mungkin akan jadi. Namun, bukan mudah untuk saya jatuh ke perangkap. Mujur saya lebih banyak berfikir daripada mengikut kata hati dan perasaan.

Saya tidak menafikan hak seorang suami untuk bernikah lebih dari satu. Cuma saya seringkali bimbang, seorang suami tidak mampu berlaku adil. Bercakap untuk berlaku adil memang mudah tetapi untuk melaksanakan seringkali timbul pelbagai masalah.

Saya juga bimbang dari sudut ekonomi, kerana bagi saya untuk menampung seorang isteri dan beberapa orang anak memerlukan ekonomi yang mantap. Jika mempunyai seorang isteri dari sudut ekonomi pun sudah bermasalah lalu bagaimana nak memiliki seorang lagi isteri? Saya bimbang keadaan akan menjadi semakin parah.

Dari sudut hati dan perasaan pula saya yakin tentu ada yang terlebih dan ada yang terkurang dikasihi dan dikasihani, ada yang terasa hati dan ada yang merana perasaan, ada yang memendam rasa dan ada terguris jiwa raga dan saya juga yakin tumpuan terhadap anak-anak juga kurang malah mungkin ada antara anak-anak yang diterlepas pandang oleh bapanya lantaran tidak tahu yang mana satu harus diberi perhatian. Anak-anak dari isteri pertama dah lah ramai, di tambah anak-anak dari isteri kedua lagi. Adui…kacau dibuatnya.hehe

Saya mengerti lelaki ingin mempraktikkan sunnah malah saya memuji jika pernikahan dengan isteri kedua bukan berlandaskan nafsu dan keinginan. Namun bagi saya, menjaga dan menghargai apa yang sudah dimiliki lebih indah dari berusaha untuk memiliki yang satu lagi.

Cuba bayangkan, untuk membangun kehidupan dengan isteri bukan mudah. Kadangkala pada awalnya terlalu banyak perkara yang perlu dikorbankan dan terlalu banyak onak dan duri perlu dilalui. Isteri pula banyak bersabar dan redha dengan keadaan seorang suami yang masih belum lagi cukup dari segenap segi. Malah isteri lah manusia paling setia mengharungi jerih perih kehidupan bersama suami. Dia mendengar setiap keluhan, menenangkan setiap kegusaran dan menghiburkan setiap kemurungan yang membelenggu suami. Isteri juga menjadi penguat semangat, penyokong dan pembantu di atas setiap usaha suami. Akhirnya tibalah pada satu fatrah di mana keduanya menikmati hidup yang senang dan stabil. Tetapi tiba-tiba sahaja suami ingin mengongsikan kesenangan dan kestabilan hidup yang diusahakan bersama selama bertahun-tahun itu dengan wanita lain pula…mmmm….saya yakin mungkin ada hati isteri yang terguris..malah mengundang sakit hati yang tiada berkesudahan. Tergamakkah kita melukai hati insan yang kita sayangi dan telah banyak berkorban untuk kita? Tidak tahulah saya, mungkin ada yang tergamak melakukan sedemikian. Lalu ianya membuatkan saya menyoal diri sendiri, mengapa tidak menghargai dan mengapa tidak lebih menjaga apa yang dimiliki kerana bimbang-bimbang yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran,kan?

Jika sekiranya apa yang kita miliki (perhubungan dengan isteri) sememangnya bermasalah mengapa tidak kita berusaha untuk memperbaiki permasalahan tersebut. Bernikah satu lagi bukanlah jalan penyelesaian yang bijak. Malah ianya bakal mengundang permasalahan demi permasalahan yang lain. Jika sekiranya dengan isteri yang kedua pula kita mempunyai masalah, adakah kita akan mencari isteri yang ketiga pula?

Maafkan saya jika ada banyak perkara yang tersilap. Ini hanya pandangan saya sahaja. Saya bercakap dari perspektif seorang wanita yang sudah bersuami. Mungkin saya kurang memahami lelaki. Mungkin.

Apapun saya tidak mempertikaikan sesuatu yang telah Allah s.w.t tetapkan pada seorang lelaki bergelar suami. Jika sekiranya seorang suami mampu memikul amanah yang bakal dipersoalkan ini di akhirat, maka persilakan. Bagi saya jika seorang lelaki bernikah lagi dan dia itu mampu untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaiknya, maka perkara itu tidak akan mengurangkan kredibilitinya sebagai seorang lelaki yang soleh dan baik. Sepertimana yang pernah saya katakan pada seorang adik saya melalui sms, yang lebih kurangnya berbunyi begini:

“Tidak semestinya jika seorang lelaki itu ingin bernikah lagi, dia itu tidak baik. Dia berusaha memenuhi hasratnya secara halal dan ingin mengasihi secara halal…”

Perlu untuk saya nyatakan bahawa sebagai seorang wanita muslimah dan mukminah, tidak seharusnya kita mempertikaikan hak itu. Kita perlu sentiasa meletakkan diri di dalam keaadan bersedia untuk berkongsi kasih agar apabila ianya benar-benar ditakdirkan untuk kita, kita lebih berlapang dada untuk menerima walaupun saya akui pada awalnya jiwa tetap menangis hati tetap terguris. Suami hanya layak untuk dikasihi dan disayangi tetapi tidak dicintai kerana cinta hanya layak untuk Allah dan Rasul-Nya. Jika kita sedar akan hakikat itu, maka kita juga sedar bahawa suami adalah pinjaman dan suami juga adalah ujian untuk kita.

Sekilas saya teringat firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, (nikahilah) seorang sahaja atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya. (Al-Quran, al-Nisa 4:3)

Allah s.w.t sendiri sudah berpesan dalam firman-Nya tadi bahawa bernikah satu itu lebih dekat kepada tidak berbuat aniya. Maka pilihlah wahai insan bergelar suami mana satukah yang terbaik untuk dirimu.

Wallahu a’alam.

(Mula menulis pada 15 Mei 2008 dan selesai penulisan pada 16 Mei 2008 jam 1.52 petang.)

15 May, 2008

Hari ini saya bertekad untuk menuliskan sesuatu setelah agak lama saya menyepikan diri. Saya tidak ke mana-mana. Cuma agak sibuk..maklum sahaja, baru pulang dari UKM. Mmm….saya cuba untuk menulis..tetapi, seperti biasa jika saya ketandusan idea atau tidak tahu bagaimana untuk berbicara …saya akan diam dan termenung.

Beberapa hari ini saya agak sibuk juga, mengemas barang-barang yang dibawa pulang dari UKM. Menjadi satu masalah bagi saya apabila saya tidak ada tempat untuk meletak barang-barang tersebut. Baju-baju saya pun masih lagi tersimpan di dalam beg besar. Saya juga sibuk menyediakan kertas cadangan. Walaupun hanya beberapa helai tetapi fikiran saya tetap perlu dikerah untuk berfikir dengan sebaiknya (terasa macam buat assignment pulak ..hehhe). Ini kerana saya tahu apa yang ingin saya cadangkan bukan perkara yang main-main. Apapun Alhamdulillah, dua kertas cadangan sudah dihantar kepada yang berkenaan dan kini saya sedang menanti jawapan.

Apa yang saya tahu kini..saya benar-benar diulit kerinduan. Rindu pada adik-adik saya di UKM. Rindu pada Syuhada’, Wahyuni, Salmi, Suzana, Aishah, Faridah dan Azizah. Bila terkenangkan malam penuh tangisan tempo hari bersama mereka, jiwa saya sebak…saya ingin menangis lagi rasanya. Setiap apa yang mereka katakan pada saya masih lagi terngiang-ngiang di telinga ini. Setiap pelukan dan genggaman jari-jemari mereka masih hangat saya rasakan…berat untuk saya pergi meninggalkan mereka sebenarnya. Teramat berat….

Saya juga teringatkan Basirah, Linda, Saadah, Nabilah, Saadiah adik Fauzi, Aminah Fpend dan ramai lagi. Saya rasa belum puas berbicara dengan mereka. Belum puas berkongsi rasa dan idea dan belum puas bertukar ilmu dan pendapat.

mmmm….
Tiba-tiba saya rasa sunyi yang amat sangat…
Saya mengerti saya perlukan masa untuk menyesuaikan diri di bumi sendiri kini….
Saya perlu kumpulkan kekuatan untuk berdikari menyebarkan ilmu tanpa pensyarah-pensyarah yang saya kagumi ilmu mereka…
Saya perlu bergerak untuk melakukan sesuatu yang terbaik sebelum saya pergi lagi meninggalkan kota Singa…
Rabbi yassir Walaa Tu’assir…

06 May, 2008

Pertama dan utama...terima kasih di atas setiap pandangan dan nasihat yang diberikan. Amat-amat saya hargai :) Sungguh...setiap manusia ada kelemahan dan ada kesilapan...siapalah saya untuk tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Yang penting kita perlu menjadi insan yang berlapang dada untuk menerima setiap pandangan orang. Apapun... Terima kasih sekali lagi saya ucapkan :)

Saya tersenyum...entah kenapa saya pun tidak pasti. Terlalu banyak sebab:

1) Peperiksaan sudah berakhir
2) Projek ilmiah setebal 161 halaman sudah saya hantar untuk dijilid
3) Saya dan 'seseorang' itu sudah kembali seperti biasa.
4) Pengajian saya di UKM sudah melabuhkan tirainya
5) Saya akan pulang ke kota Singa....dan bakal menempuh satu lagi cabaran dan dugaan yang baru.

Kemudian saya tiba-tiba merasa sebak...

1) Saya akan berpisah dengan adik-adik saya..dan entah bila bakal bertemu
2) Bila mama Syuhada' berbual dengan saya dan menyatakan rasa terima kasihnya kepada saya. Terharu sungguh saya. Bagai tidak terucap dengan apa kata pun...
3) Saya akan tinggalkan bumi UKM..tinggalkan Fakulti Pengajian Islam dan Jabatan al-Quran dan al-Sunnah.

mmmm.....itu sahaja yang dapat saya katakan untuk post kali ini. Di bawah ini saya sertakan bersama penghargaan yang saya muatkan di dalam projek ilmiah saya:

Segala puji dan syukur hanya layak saya panjatkan kepada Allah s.w.t yang mentakdirkan segala sesuatu dengan penuh hikmah dan rahmah. Alhamdulillah dengan izin dan bantuan Allah s.w.t jua, akhirnya saya berjaya menyiapkan projek ilmiah ini yang saya kira cukup menguji dan menduga kesabaran dan keazaman saya.

Pertama dan utama, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada penyelia projek ilmiah, Dr Azwira bin Abd Aziz atas kesudian beliau menerima saya sebagai pelajar di bawah seliaannya, juga atas masa yang diluangkan, pandangan dan cadangan yang diberikan, jawapan-jawapan untuk setiap persoalan yang saya kemukakan, teguran dan kritikan yang membina bagi memperhalusi isi kandungan kajian serta bantuan yang tidak terhingga yang dihulurkannya kepada saya dalam memperbaiki terjemahan bahasa Arab ke bahasa Melayu yang saya usahakan untuk dimuatkan dalam projek ilmiah ini.

Ucapan terima kasih ini juga saya hadiahkan kepada suami saya, Encik Mohammed Yazid bin Abd. Samad yang sememangnya terlalu tinggi pengorbanannya dan tidak terbalas jasanya. Beliau adalah orang pertama yang menyokong tajuk ini dan seterusnya banyak membantu dalam mencari bahan-bahan rujukan untuk saya dan yang paling penting, beliau sering menimbulkan persoalan-persoalan tentang kajian projek ilmiah ini yang membuatkan saya berfikir, ingin terus mengkaji dan seterusnya mencari satu jawapan yang pasti.

Tidak lupa juga kepada adik saya, Muhammad Shibly bin Saptu atas bantuan dan jasa baik beliau mendapatkan bahan-bahan rujukan untuk saya di perpustakaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Begitu juga kepada rakan-rakan seperjuangan, Nurul Syuhada, Wahyuni, Suzana, Faridah Hanim, Basirah, Haslinda, Sa’adah, Nabilah, Azizah Dakwah dan lain-lain yang banyak memberikan sokongan dan dorongan sedari awal saya mencadangkan tajuk projek ilmiah ini hinggalah kini setelah saya berjaya menyiapkannya.

Akhir sekali, jutaan terima kasih kepada mak, Puan Temu binte Tahir dan abah, Encik Saptu bin Markop yang tidak jemu-jemu mendoakan kesejahteraan dan kecemerlangan saya dan juga kepada para pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Ustaz Ahamad Asmadi bin Sakat, Ustaz Fadlan bin Mohd Othman, Ustaz Mohd Akil bin Mohamed Ali dan lain-lain yang prihatin dan sentiasa memberikan semangat kepada saya melalui setiap butir bicara mereka yang disampaikan di dewan kuliah dan kelas tutorial. Perlu untuk saya nyatakan bahawa ianya telah menjadikan saya untuk terus berusaha menjadi pelajar yang sentiasa belajar untuk ilmu bukan untuk mencapai kecemerlangan semata.