19 March, 2008

“Takut ‘Orang Minyak’ ke?”, pertanyaan Aminah yang baru sahaja selesai memberus giginya memeranjatkan saya yang sedang menutup pintu bilik mandi. Azizah terus keluar semula dari bilik mandinya lalu memulakan cerita. Mendengar mereka bercerita saya pun jadi penasaran ingin tahu dan terus keluar semula dari bilik mandi dan tumpang sekaki dengan perbualan mereka.

“Eh…takut lah..macam ni!nak bangun subuh pun takut”

“Macam-macam orang cerita,ada kata mata dia merah. Dia masuk ikut tingkap”

“Tapi hari tu saya dengar dia le tembus tembok..sebab dia ada ilmu”

“Ada kes tu terjadi pada waktu subuh…ish!takut lah nak bangun subuh macam ni”

“Dia ada macam-macam taktik ke?”

“Entahlah..ada kata dia sembunyi bawah katil. Malam baru dia keluar”

“Tapi,saya dengar ada kata dia kat bilik air..tu yang takut nak pergi tandas tu!”

“Risau nyer saya….tak tenteram lah..nak balik kampong!”


mmm…Saya tidak menyangka bahawa petang itu ada mesyuarat tidak terancang di dalam bilik air. Sakit perut saya tahan ketawa. Macam-macam yang mereka ceritakan dan macam-macam yang mereka rekakan taktik untuk menghalang dari diserang orang minyak. Sebenarnya saya sendiri tidak pasti sejauhmana kebenaran cerita-cerita itu, tetapi yang pastinya setiap hari saya mendengar ada sahaja kes-kes baru yang disampaikan oleh kawan-kawan kepada saya. Dari Kolej Ibu Zain, Keris Mas, Hussein On, Aminudin Baki, Ibrahim Ya’kub, Pendeta Za’ba dan terbaru Burhanuddin Helmi. Di mana-mana saya pergi semua tentu menceritakan khabar ini. Semasa dalam kelas tutorial, semasa makan di kafe, semasa balik ke kolej hinggalah petang tadi di dalam bilik air! Dasyat kan?..mmmm…serius jugak ni. Kalau tidak...takkan lah budak-budak ni asyik nak bercerita tentang hal ini. Kata orang: kalau tidak ada angin, masakan pokok boleh bergoyang?. Atas sebab itu, masing-masing takut dengan keselamatan masing-masing! Saya pun naik takut di buatnya! Lalu langkah berjaga-jaga tetap diutamakan setiap kali berada di dalam kolej.


Tiga ‘Qul’


Ketika saya sedang asyik menterjemah untuk penulisan tesis saya, tiba-tiba apa yang diperbualkan di kamar mandi tadi terngiang-ngiang di telinga saya.

“Macam mana nak lindung diri kita,kak?Saya takut lah!”, tanya Azizah dengan soalannya yang sama setiap hari kepada saya. Dalam sehari ini, sudah 3 kali beliau mengajukan soalan tersebut.

“Letakkan kebergantungan kita kepada Allah”, jawab saya seperti biasa. Ringkas dan penuh makna.

“Saya dah letak kebergantungan saya kepada Allah, kak.Tapi takut saya datang jugak.Saya tak boleh lah,kak. Nak Buat macam mana ni?”

“Awak bacalah 3 Qul (Surah Al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas)” (Kata-kata saya ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi, Imam Abu Daud dan Imam al-Nasaie. Hadith ini dihukum sahih oleh al-Albani di dalam kitabnya Sahih al-Jami’, No.4406)

“Alah, kak…letih lah saya…asyik baca 3 Qul je…sampai 4 Qul saya baca! Tapi masih takut jugak!”

Saya dan Aminah ketawa.

‘Eh, Nabi ajar 3 Qul…kau baca 4 Qul pulak.pandai-pandai je! Apa qul lagi satu?”,tanya saya geli hati dan kehairanan.

“Qul ya ayyuhal kafirun!(Surah al-Kafirun)”

Heheh…adui…macam-macam lah! Sebenarnya saya berasa kasihan dengan adik-adik yang amat sangat ketakutannnya, hingga nak ke tandas pun terketar-ketar. Saya pun takut juga sebenarnya. Tetapi macam yang selalu saya pesan pada diri saya dan adik-adik:

“Kebergantungan kita dengan Allah mesti mengatasi segalanya. Kita kena yakin jika kita buat sesuatu kerana Allah, tentu Allah akan jaga kita. Bila kita terlalu takut…kita sebenarnya memberi ruang kepada ‘nya’ untuk menguasai diri kita. Kena selalu ingatkan diri: Allah ada!”

“Saya nak buka pintu pun saya selalu kata: ‘Ya Allah hidup dan mati aku kerana Mu,peliharalah aku’.baru saya keluar cepat-cepat pergi tandas”, kata Aminah pula.

“mmm…betul tu. Yakin dengan Allah. Latih diri mengucapkan “Azubillahhi minasy syaitanirrajim”. Nampak apa-apa yang pelik. Ucap ‘Azubillah. Insya Allah, terhapus ilmu jahat orang itu”, kata saya menyakinkan Azizah dan Aminah.

“Dahlah…tak mandi nanti. Tak pasal-pasal bagi tazkirah kat bilik air pulak. Macam tak de tampat lain”, kata saya untuk menamatkan perbualan kami. Kami ketawa lalu bersurai.

Bila masanya Allah diperlukan?

Apabila saya renung-renung kembali dan apabila saya memikirkan sedalam-dalamnya, saya akhirnya sedar bahawa sebenarnya Allah s.w.t nak lihat sejauhmana kita ini berasa Allah itu ada bersama dengan kita dalam setiap keadaan yang kita lakukan. Bila kita diuji dengan perkara-perkara seperti ini, adakah keyakinan kita untuk bergantung harap dan menyerah diri kepada Allah s.w.t itu akan goyah? Adakah kita ini akan menjadi hambaNya yang mengharapkan kuasa lain untuk dijadikan tempat perlindungan selainNya?

Bila terjadi perkara-perkara seperti ini, barulah kita teringat untuk membuka al-Quran. Bila hati kita dirundung ketakutan barulah kita sedar, kita perlu basahkan lidah kita dan lagukan telinga kita dengan kalamullah. Jika tidak…kita lalai untuk membuka al-Quran dan kita sering berkira untuk memperuntukkan masa membaca al-Quran walau sehalaman untuk sehari. Jika tidak…komputer dan laptop kita hanya berirama muzik yang kita suka, menyenangkan hati dan mengkhayalkan pemikiran kita. Jika tidak…mungkin kita tidak kisah adakah dalam sehari itu, kita mengharapkan bantuan dan perlindungan Allah s.w.t atau tidak.

Tetapi seperti biasanya manusia…bila susah baru kelam-kabut nak mengingati Allah. Bila senang…kadang-kadang tidak terasa Allah menjadi pemerhati setia 24 jam kepada kita. Mungkin semasa susah kita sentiasa membaca al-Quran dan berdoa bermacam-macam memohon kepada Allah, tetapi apabila semuanya sudah reda, kita tidak lagi istiqamah dengan amalan kita, lantaran kita beramal pada waktu-waktu yang kita rasa perlu sahaja. mmm…buruknya tingkah kita, jika kita melakukan sedemikian. Jelas, kita hanya memerlukan Allah s.w.t tatkala dirundung malang dan tatkala kita berada di dalam kesusahan. Benarlah firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“dan apabila kamu ditimpa bahaya dilautan, nescaya hilanglah siapa yang kamu seru melainkan DIA. Maka tatkala DIA menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling. Dan manusia itu adalah selalu tidak berterima kasih” (Surah al-Isra’:67)

Hikmah

Teringat saya pada ucapan Mariam, seorang adik di Singapura yang jiwanya penuh dengan dakwah fillah:

“Kenapa kan,kak?Mariam rasa kita tak adil dengan Tuhan.Bila kita susah baru kita nak cari Allah.”

Saya tersenyum lalu menjawab:

“Tentu ada hikmahnya. Kalau tidak ada kesusahan. Mungkin kita terlalu asyik dengan dunia kita. Maka Allah beri kesusahan untuk ingatkan pada kita, kita sudah terlalu jauh. Maka kembali lah,sebelum lebih jauh. Cuma masalahnya, sejauhmana kita ini, mengambil hikmah dari setiap apa yang Allah takdirkan untuk kita. Adakah kita akan bertambah jauh..atau kita akan bertambah dekat dengannya? Atau kita hanya sedar pada masa kita susah sahaja? Lalu kita tinggalkan Allah bila kita senang selepas itu? Semuanya terpulang pada kita.”

“Mariam,kalau ada apa-apa terjadi. Mariam selalu kata: “Ya Allah, Kau ambillah apa yang memang menjadi milik-Mu.Aku relakan.Tapi tolonglah Ya Allah, jangan Kau ambil iman yang ada di hatiku. Aku mohon sangat-sangat,Ya Allah.Jangan lenyapkan Iman dan Islam dari diriku”

Seperti biasa saya akan menghadiahkan setiap ucapannya dengan senyuman kagum. Kagum dengan semangatnya..kagum dengan ketegasan jiwanya.Subhanallah!


Moga Kita Sedar


Tidak Allah menentukan segala sesuatu itu dengan saja-saja. Maka rengungilah diri kita, muhasabahlah diri kita. Moga setiap apa yang terjadi di sekeliling kita, menjadikan kita hambaNya yang lebih taqwa kepadanya bukan menjadian kita hambaNya yang tidak pernah kenal diuntung. Moga kita sedar siapalah diri kita ini. Kita tetap hambaNya yang tidak mempunyai apa-apa pun. Lalu atas dasar itu, kebergantungan kita yang tinggi terhadap Allah s.w.t di mana sahaja dan di dalam apa jua keadaan perlu diaplikasikan di dalam diri.

Akhir sekali, saya tutupi penulisan saya pada malam ini dengan antara do’a yang diajarkan oleh Rasulullah s.aw. untuk membenteng diri :

أعوذ بكلماتِ الله التامَّة، من كلِّ شيطانٍ وهامَّة، ومن كل عينٍ لامَّة

“Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada setiap syaitan dan binatang berbisa dan dari setiap mata yang jahat”

Hadith ini diriwayatkan oleh:

1- Al-imam al-Bukhari dalam Sahihnya; Kitab al-Anbiya’, Bab Qauli Allah Ta’ala, No 3371, halaman 274.
2- Al-imam al-Tirmidhi dalam Sunannya; Abwab al-Tibb, Bab Kaifa Ya’uzu al-Sibyan, No 2060, halaman 1858.
3- Al-imam Abu Daud dalam Sunannya; Kitab al-Sunnah, Bab Fi al-Quran, No 4737, halaman 1571.
4- Al-imam Ibn Majah dalam Sunannya; Kitab al-Tibb, Bab Ma Uwwiza Bi al-Nabiyyi s.a.w, No 3525, halaman 2688.
5- Al-imam Ahmad bin Hanbal dalam Musnadnya; Musnad Abdullah Ibn al-Abbas, Juz 1, No 2112.

Hadith ini dihukum sahih oleh al-Albani di dalam kitabnya Sahih Sunan al-Tirmidhi (2060), Sahih Sunan Abi Daud (4737) dan Sahih Sunan Ibn Majah (2857). Sila rujuk laman web: www.dorar .net/hadith.php

Semoga bermanfaat.Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment