06 March, 2008

Petang tadi, sudah agak hendak masuk ke waktu maghrib baru saya melangkahkan kaki keluar dari Perpustakaan Tun Seri Lanang. Ketika berjalan sendirian dengan memikul laptop di bahu, tiba-tiba saya teringatkan suami saya. mmm…kalau Ajid ada di sini, tentu dia datang menjemput saya pulang dan kalau dia ada tentu dia yang angkatkan laptop saya yang saya rasa berat ini (padahal suami saya dah berusaha mencarikan laptop yang tidak terlalu berat agar mudah saya bawa ke mana saya ingini…tapi tu pun bagi saya masih berat juga..alah nak buat macam mana..saya ni lembik sikit lah…hehe).

Ahhh……berangan jelah saya ni. Kalau saya di Singapore lain lah cerita. Memang jika saya keluar sendirian selalunya suami saya meng’sms’ saya dan bertanya,:

“Agak-agak U balik kul brp? Nak I amik? Atau U balik Bedok (rumah mak dan abah suami saya) nanti kita balik sama-sama?”

mmm…tetapi bila di sini, pandai-pandailah saya nak hidup. Saya tidak boleh mengharapkan suami saya atau sesiapa pun. Beg atau buku-buku berat macam manapun saya kena angkat sendiri. Penat macam manapun saya, saya kena jalan kaki juga.

Tentu ada yang tidak mengetahui bahawa saya menjalani kehidupan di sini dengan pergerakan yang amat terbatas. Pada waktu siang, saya tidak boleh berada luar dari kawasan UKM. Saya boleh keluar, itupun jika dengan keizinan suami saya dan itupun setelah beliau mempertimbangkan sebab-sebab mengapa saya perlu keluar dari kawasan UKM. Selepas jam tujuh malam pula, saya tidak boleh berada luar daripada kawasan kolej. Kalau saya perlu juga keluar (contoh ada kuliah ganti) saya mesti berteman daripada saya keluar pintu blok hinggalah saya kembali semula ke blok. Begitulah kehidupan saya di Univerisiti ini. Walaupun suami saya jauh dari saya tidak bermakna hidup saya bebas macam orang yang belum bersuami.

Begitu jugalah ketika tiba waktu untuk pulang ke Singapura. Setakat ini baru sekali sahaja saya menaiki bas pulang ke Singapura (itupun sebab saya terpaksa pulang kerana sakit dan apabila saya turun dari bas suami saya yang menjemput saya). Pada kebiasaanya suami saya lah yang akan datang menjemput saya dan beliau jugalah yang akan menghantar saya pulang semula ke UKM. Saya tidak dibenarkan menaiki bas kerana beliau amat bimbang dengan keselamatan saya. Beliau lebih rela menjemput dan menghantar saya pulang dari membiarkan saya menaiki bas berulang-alik dari Singapura ke UKM atau UKM Ke Singapura. Atas sebab itu walaupun jarak UKM dengan SIngapura hanya 4 jam lebih perjalanannya, saya hanya pulang ke sana apabila cuti semester bermula.

Kehidupan saya ini kadangkala membuat ramai yang mengerutkan dahi kehairanan. Boleh nya saya hidup macam ini. Terperap dalam kawasan university! Ramai kata: “Kalau saya ..saya tak bolehlah..kak! Bosan!” Saya senyum dalam hati kerana telah terbukti saya mampu setelah hampir tiga tahun saya menjalani kehidupan seperti itu. Duduk di dalam kawasan university, hanya keluar dari bilik untuk ke kuliah, tutorial, kafe, library, dan cyber cafĂ© dan waktu malamnya pula selalu memerap di dalam bilik. Itupun semester lepas dan semester ini saya disuruh belajar memandu oleh suami saya, jadi saya keluar jugalah dari UKM ini, jikalau tidak, terpaksalah saya tunggu suami saya datang sebulan sekali, baru saya dapat menjenguk dunia luar UKM. Heheh.

Melihat kehidupan saya yang seperti itu di sini, ramai yang bertanya kepada saya : “Kat Singapore pun akak macam ni, ke?”

Tidaklah…suami saya bukan jenis yang mengongkong kebebasan saya. Saya boleh keluar berjalan-berjalan dengan kawan-kawan saya dan saya boleh pergi ke mana saya nak pergi dengan syarat beliau tahu tujuan dan di mana tempatnya walaupun pada waktu malam.

Kalau saya ada apa-apa aktiviti pada waktu malam, contohnya ada usrah atau kelas ‘iadah al-Quran, tidak ada masalah untuk suami saya membenarkan saya keluar sendirian (tapi selalunya saya akan dihantar dan dijemput, jarang sekali saya pergi ke mana-mana pada waktu malam sendirian). Hatta semasa saya sedang praktikal di Masjid Darul Ghufran, suami saya tidak punya apa-apa masalah untuk melepaskan saya bermalam di Masjid atau pun menyertai apa-apa program yang menuntut saya untuk stay di sana hingga ke tengah malam.

Yang seronoknya…saya selalu dijemput selepas segala kerja dan aktiviti saya selesai. Kadang-kadang terfikir juga saya ni manja sangat lah. Tapi bila dah berada di sini, mmm…macam hilang tempat bermanja gitu, apa-apa pandai-pandai lah bawa diri. Lebih-lebih lagi, saya di kawal ketat dengan peraturan suami saya.

Pernah ada orang kata pada saya: “Alah..kalau akak keluar pun…bukannya suami akak tahu. Jangan cakap lah dengan dia!”

Ish…Allah tahu tau! Saya tidak boleh mengkhianati suami saya walaupun beliau tidak ada di depan mata saya. Pandai-pandai pula nak mengajar saya supaya tidak mentaati suami saya… anak siapa lah tu… heheh

Sebenarnya…hari ini saya rasa bosan sangat. Tak de mood lah…

Rindu sangat nak berceloteh macam-macam pada suami saya. Maklumlah saya ni banyak cakap dan banyak soal. Ada sahaja perkara yang saya nak timbulkan untuk dibincangkan bersama beliau dan begitu juga ada sahaja persoalan yang hendak saya soalkan pada beliau. Sehinggakan beliau selalu kata:

“Penat Ajid dengar Inah cakap!” heheh

Kalau saya soal macam-macam yang buat dia pening kepala pula, mesti dia kata:

“Adui..soal-soal tak habis-habis….” heheh

Apabila suami saya bercerita pula, tentu saya akan mencelah: “kejap-kejap, Inah ada soalan!”Kemudian suami saya kata: “Wah! Ingat ni kelas tutorial ke?” Adui….sakit perut kami berdua ketawa.

Senang kata, saya dan suami saya selalu bercakap dan sukar hendak berhenti.Tidak tahu di mana nak letak tanda titiknya. Ada sahaja yang nak diceritakan dan digelakkan (maklumlah, kami jarang berjumpa. Bila dah berjumpa, apalagi cerita dan terus bercerita. Call pun tidak. Kalau 5 bulan saya tak balik, 5 bulan lah dia tak call saya. sms pun bila ada benda yang penting-penting sahaja). Tapi saya lagi teruk dari suami saya tau! Kadang-kadang dah nak tidur pun saya masih nak buka pelbagai topik untuk diajak berbincang dan bercerita. Hingga satu hari tu, suami saya tutup mulut saya dengan tangannya sambil berkata:

“Sleep-sleep….penatlah Ajid. Esok kerja pagi ni. Syyyyyh. Diam..diam”

Akhirnya tak tidur juga…kami berdua sambung ketawa lagi … hehehe

Hai…kecoh!

Kerana kekecohan kami mak saya pernah membebel kepada kami berdua:

“Eh Korang dua orang ni dah kawin ke belum ni?Macam budak-budaklah! 2 orang macam sepuluh orang kat rumah ni. belum ada anak. Ada anak nanti, lagi memekak agaknya!”
Apa-apa jelah mak!!!!


Oklah…maaf sangat-sangat kerana hari ini saya menulis merepek sikit ke banyak eh?mmm…Terpulang pada anda untuk menilai lah!

Nampak sangat saya sedang stress. Tak pelah bukannya selalu saya menulis macam ini.
Yang pasti…saya sedang kerinduan..rindu sangat-sangat!

Teringat antara bait kata yang pernah saya hadiahkan pada suami saya semasa saya berada di semester pertama tahun satu:

Aku sendiri sedang berjuang
Antara cita-cita dan perasaan
Antara harapan dan impian
Menahan sakit rindu yang mendatang
Mengumpul sabar yang sering berkurang
Mengharap redha pada sebuah perpisahan dan perjuangan.


mmm…Saya tersenyum pahit. ’Menahan sakit rindu yang mendatang’? Sungguh…ianya bukan mudah!!.

Penulisan ini dihasilkan dengan penuh rasa rindu di jiwa pada Selasa 04.03.08 selepas pulang daripada Perpustakaan Tun Seri Lanang,UKM.

0 Comments:

Post a Comment