31 March, 2008

Bicara Hatiku 1

Semenjak pulang dari rumah ustaz Azwira ahad yang lalu, banyak perkara yang bermain di fikiran saya. Tetapi apa yang mampu saya katakan: saya terharu!
Saya seakan mahu menangis apabila ustaz banyak kali mengingatkan kepada suami saya dengan katanya: “Nanti bawak sakinah sekali”.

Sepanjang perjalanan pulang dari rumah ustaz, saya lebih banyak berdiam di dalam kereta. Memikirkan diri saya dan merenung dengan sedalam-dalamnya tentang diri saya. Air mata saya ingin tumpah tetapi demi menjaga suasana, saya menahan air mata itu. Akhirnya, tangisan saya hanya berirama di dalam hati….

24.03.08

************

Bicara Hatiku 2

Selesai solat isyak, saya termenung di atas sejadah lalu berbisik di dalam hati:

“Ya Allah…andai ini yang perlu ku gadai demi berjuang di landasan dakwah. Kuatkanlah aku ya Allah. Kadangkala aku tidak mampu. Semangat untuk berjuang di dalam agamaMu..tidak pernah mematahkan semangat diri ini…walau jiwa dan kesihatan yang perlu aku pertaruhkan.”

Airmata saya menitis …

Setitis demi setitis…saya menyapu airmata dengan jari-jemari saya.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Tiba-tiba saya teringat kata-kata seorang kakak kepada saya: “Dia ada kata…dia geram. Sebab inah masih nak teruskan perjuangan. Dia dah buat macam-macam tapi inah still dapat bertahan”

Saya tersenyum. Saya tidak pernah takut dengan ‘dia’. Saya hanya takut kepada Allah! lakukankanlah apa sahaja, namun untuk saya berundur dari landasan ini tidak sekali. Ingin sahaja saya berkata padanya…dia tersilap orang mungkin..saya bukan lawannya!

Mungkin bagi orang lain saya begitu sombong untuk mengucapkan kata-kata sedemikian. Biarlah apapun yang orang nak kata. Tetapi saya selalu menganggap itu adalah ketegasan dari diri saya. Tegas untuk terus melawan, untuk terus berjuang dan untuk terus bertahan hingga ke nafas saya yang terakhir.

Perjuangan saya dalam menuntut ilmu beserta jiwa dan hati saya yang sudah terikat dengan dakwah, bukanlah seindah dan semudah pada pandangan mata orang lain. Walaupun mungkin pada orang lain saya belum cukup berjuang dalam dakwah, mungkin pada pandangan orang lain saya tidak terlalu kehadapan dalam dakwah, mungkin pada orang lain saya hanya berdakwah untuk orang-orang tertentu dan mungkin pada pandangan orang lain siapalah saya untuk berbicara tentang dakwah? Saya tidak aktif berusrah, saya tidak aktif dalam halaqah dan saya tidak aktif mengikuti apa-apa kumpulan untuk dakwah dan tarbiyah.

Tetapi adakah orang mengetahui bahawa saya hidup antara derita dan bahagia hampir setiap hari? Saya hidup berlawan dengan kesakitan hampir setiap hari? Semuanya kerana saya ingin terus berada di landasan dakwah! Saya perlu tempuhi semua itu kerana dakwah!

Lalu, mereka yang tidak merasai apa yang saya rasai…adakah wajar beranggapan bahawa saya memperlekehkan dakwah? Saya hanya memilih-milih sasaran mad’u saya? Saya hanya ingin mementingkan diri saya? Belajar untuk pengetahuan saya sahaja?

25.03.08

*********************

Bicara Hatiku 3

Majlis Jamuan Bakal Graduan 08 pagi tadi saya hadiri jua walau sebenarnya saya tidak mempunyai hati untuk duduk di dalam majlis itu. Bukan kerana saya tidak suka. Keadaan jiwa dan kesihatan saya amat menuntut saya agar berehat dan menyendiri. Tetapi mana mungkin saya mengecewakan rakan-rakan saya dan mana mungkin saya memperlekehkan sesuatu yang diatur untuk pelajar tahun akhir (siswa/wi jabatan pengajian al-Quran dan al-Sunnah). Saya tidak boleh mementingkan diri saya…Saya ada banyak hati yang perlu dijaga dan saya ada banyak tanggungjawab yang perlu saya laksanakan.

Walau perit…saya perlu mengukir senyuman

Walau sakit…saya perlu hadapi seolah-olah tiada apa-apa demi sebuah kehidupan

Jika terlalu menurutkan apa yang terjadi, saya tidak akan ke mana

Saya akan sentiasa dirundung malang dan bermuram duka

Saya tidak mahu menjadi manusia yang menyesali nasib diri

Kerana saya sentiasa sedar: Tidak Allah menentukan sesuatu di dalam kehidupan manusia itu dengan saja-saja.

Saya lemah…

tetapi Kebergantungan saya kepada Allah lah yang menguatkan saya

Kepercayaan saya pada bantuan Allah jua yang menjadikan saya penuh bersemangat untuk terus tersenyum meniti hari.

Semuanya kerana Allah…semuanya kerana Allah

Tanpa Allah siapalah saya!

30.03.08

****************************

Bicara Hatiku Tiada Penghujung

Bukanlah niat saya meluahkan semua ini, untuk menagih simpati bukan jua untuk meninggi diri. Tetapi saya ingin memberitahu bahawa dakwah fillah dalam hidup saya bukanlah sebuah perjuangan yang biasa walaupun nampaknya saya seperti tidak ada apa-apa dalam dunia dakwah. Keperitan dan kesengsaraan saya untuk memperjuangkan agama Allah s.w.t hanya Allah yang ketahui. Sukar untuk saya menceritakan…payah untuk saya memahamkan. Entah mengapa, Saya tidak pandai menyusun bicara untuk meluahkannya. Walaupun telah banyak kali saya mencuba untuk mengatur kalimah demi kalimah…tetapi akhirnya, bait-bait ayat itu menjadi kaku. Saya tetap buntu!

Saya selalu bermonolog sendirian:

“Sampai bila?”,Tanya saya pada diri.

-“Tak tahulah..mungkin sampai mati”

“Benarkah?”, Tanya saya lagi.

-“kenapa? Kau takut? kau tak yakin dengan Tuhan?”

“Eh..tidak.Bukan macam tu.Cuma kadang-kadang aku rasa aku tidak mampu”

-“Itu Cuma perasaan sahaja…jangan takut Sakinah. Lawan..lawan…kau akan menang! Yakin dengan Allah…yakin dengan bantuan Allah”

“Tapi kenapa? Kenapa mesti aku? Bukankah aku nak bantu agama Allah?”,tanya saya penuh resah.

- “Sudahlah..Sakinah. Kau sendiri tahu jawapannya. Kau tahu! Usah bertanya-tanya. Usah pertikaikan takdir Tuhan. Bukankah kau kata kau ingin berjuang? Perjuangan tidak pernah mengenal erti senang,kan? Renungi diri…muhasabah diri”

“Astaghfirullah….Astaghfirulah…Astaghfirullah. Ampunkan aku, Ya Allah. Kurniakan kekuatan buatku. Moga ini semua adalah penghapus dosaku. Bukti keimanannku kepadaMu. HambaMu merayu..hambaMu mengadu…mohon dipermudahkan…mohon perlindungan”

Saya menangis!

Sedu-sedan memecah suasana!

Ya Allah…

Sabar…sabar…sabar…

Pergolakan yang melanda jiwa…semakin hari semakin mendesah

.............................

0 Comments:

Post a Comment