07 March, 2008

Ketika sedang berbual-bual di kafe Fakulti Pengajian Islam, tiba-tiba Basirah menggenggam jari-jemari saya dan mengucapkan tahniah. Sebenarnya di dalam perjalanan menuju ke kafe, saya telah memberitahu Syuhada’, Basirah dan Haslinda bahawa saya mendapat Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti Pengajian Islam pada Majlis Makan Malam Kolej Ungku Omar tetapi saya tidak menghadiri majlis tersebut lalu kawan saya yang mewakilkan saya naik ke pentas. (Saya sebenarnya tidak tahu bahawa saya akan menerima anugerah pada malam itu tetapi kalau saya tahu pun, saya tidak akan hadir pada majlis makan malam kolej. Maklum-maklum sajalah, tentu acara-acara pentasnya akan membuatkan hati saya terbakar dan menangis. Maka untuk mengelakkan sakit hati dan menjaga diri saya sentiasa mengambil keputusan untuk tidak menghadiri majlis makan malam kolej).

“Kak tahniah, kak. Dapat anugerah cemerlang! Kalau boleh saya nak jadi macam akak dan Linda”, katanya kepada saya dan Linda dengan nada separuh kecewa. Tindakannya yang tiba-tiba itu membuatkan saya terkejut dan tergamam. Saya mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan senyuman kepadanya lalu berkata:

“Jadilah..kenapa tak nak jadi?”

“Tulah..tak boleh”, katanya dengan memuncungkan mulutnya. Bibir saya masih mengukirkan senyuman kepadanya dan dengan nada yang perlahan saya menyusun kata kepadanya:

“Tak pe. Jangan risau, kecemerlangan sebenar untuk seorang muslim adalah sejauhmana dia sabar dalam menghadapi sebuah kehidupan. Kat dunia memang kita tak dapat anugerah..tapi di akhirat Insya Allah..ada anugerah yang menanti untuk orang-orang yang sabar”

Linda terus menyokong: “Betul..betul!”

Basirah tersenyum kelat dan mengerutkan dahinya lalu berkata:

“A’ahlah..betul apa yang akak cakap tu. kenapalah saya tak terfikir macam tu?”

“Anugerah cemerlang tidak ada apa-apa sebenarnya. Bagi akak, kecemerlangan itu lebih terserlah jika seseorang itu berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Begitu juga berusaha untuk menjadikan dirinya lebih baik dari sudut iman dan akhlak. Adakah Kita sudah cukup cemerlang dari sudut itu? Tapi, tidaklah bermakna kita tidak perlu untuk jadi cemerlang dalam pelajaran atau perkara-perkara yang lain. Kerana kecemerlangan dalam perkara itu semua merupakan motivasi untuk kita menghadapi kehidupan dengan lebih berani dan berkeyakinan. Jadi, bila nak cemerlang…pastikan kita juga perlu berusaha untuk cemerlang dunia dan akhirat.”

Basirah pun bersuara: “Tiba-tiba saya rasa dapat tazkirah dari akak!”

Saya dan Linda ketawa..hai Basirah ni…macam-macam lah.

“Yang pentingnya kita kena ingat: manusia yang cemerlang adalah sejauhmana dia itu bersabar dengan setiap ujian yang Allah berikan kepadanya dan manusia itu juga layak dikatakan cemerlang jika dia mampu mengawal emosi diri dan hawa nafsu. Itulah cemerlang”

Basirah dan Linda mengangguk-anggukkan kepala mendengar pandangan saya yang saya berikan kepada mereka dengan harapan untuk membangkitkan semangat mereka terutamanya Basirah.

“Baguslah....saya suka lah..akak cakap lah lagi”

“Eh awak ni…nak tazkirah free pulak”

Kami ketawa. Kemudian saya sambung lagi kata-kata saya:

“Akak cakap macam ni, supaya awak tidak merasa merendah diri. Jadi apabila awak bersama dengan kawan-kawan yang lebih pandai, awak tidak merasa banyak kekurangan. Kita semua sama sebenarnya. Sama-sama belajar dan sama-sama nak perbaiki diri”.

Anugerah, anugerah dan anugerah.



Semenjak semester kedua tahun pertama hinggalah di saat saya hampir berada di garisan penamat untuk Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam, saya tidak pernah sunyi dari mendapat ucapan tahniah kerana mendapat anugerah pelajar cemerlang pada setiap semester.

Alhamdulillah di atas nikmat yang Allah kurniakan ke atas saya.

Airmata saya mengalir…

Jiwa saya bergetar…

Saya memejamkan mata saya lalu dengan nada penuh kehambaan saya ucapkan pada diri saya:

“Hadha Min Fadli Rabbi liyabluwani a ashkuru am akfur”

(“Ini adalah termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmatnya)”- surah al-Naml: 40)

Setiap kali saya mendapat anugerah, saya berasa takut sebenarnya. Saya bimbang saya menjadi hamba Allah yang lupa diri dan saya takut jika saya menanam ujub di dalam hati tanpa saya sedari.

Moga ia menjadikan saya hambaNya yang lebih merendah diri, menjadikan saya hambaNya yang sentiasa mengharap redha Ilahi dan menjadikan saya hambaNya yang menyedari bahawa segalanya tidak mungkin saya perolehi tanpa bantuan dan ketentuanNya.
Saya ingin menjadi inspirasi kepada kawan-kawan saya agar mereka lebih berjaya dan saya ingin menjadi pembakar semangat mereka agar mereka terus berusaha berjuang untuk mencapai kecemerlangan!

Segala puji itu hanya layak untuk Allah s.w.t. Allahu Akbar Walillah hil hamd!

0 Comments:

Post a Comment